Jumaat, 4 Mei 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Kesebelas dan duabelas )


Penyakit Kesebelas : Lalai dan leka, teragak-agak, ketegar, meminta-minta, panjang angan-angan serta takut menghadapi kematian.

Rawatannya : Ialah sepertimana al-Junaid al-Baghdadi رحمه الله تعالى ditanya, “Bagaimanakah caranya memusatkan tumpuan di dalam peribadatan kepada Allah? Katanya: “Hendaklah bertaubat kepada Allah, taubat itu akan mencairkan sifat ketegar pada diri, membina sifat khauf yang akan menghapuskan sifat bertangguh-tangguh. Kemudian sifat roja’ pula akan merangsang dan membangkitkan keinginan dan semangat untuk membina amal kebaikan, bahkan juga akan mengingatkan empunya diri terhadap waktu-waktu yang telah berlalu yang ditinggalkan kosong begitu sahaja tanpa amal. Disamping itu sifat roja’ juga akan melahirkan perasaan menganggap hina jiwa yang lupa akan hakikat bahawa maut semakin hampir dan diri pula semakin hanyut dengan angan-angan kosong.”

___________________________

Notakaki:

Al-Junaid ialah Abul Qasim al-Junaid bin Muhammad al-Hazar dengan laqab (gelaran) al-Qawariri kerana ayahnya adalah seorang penjual barang-barang kaca. Beliau tinggal di Iraq dan dianggap sebagai tokoh sufi peringkat ketiga. Dia mulai mempelajari fiqh daripada Abu Thur serta sezaman dengan al-Sariy al-Saqathi, al-Muhasibi dan al-Hallaj. Al-Junaid juga menjadi rujukan kepada golongan sufi dan seorang daripada tokoh mereka. Dia diberi gelaran sebagai pemimpin oleh golongan sufi dizamannya kerana beliau seorang yang sangat iltizam dengan disiplin tasawwuf yang mengikut sunnah yang menghimpunkan antara syariat dan hakikat di dalam mazhabnya. Dari sudut yang lain, beliau seorang penentang yang kuat terhadap aliran al-hulul dan al-ittihad. Penilaian betul atau salah amalan seseorang itu adalah berpandukan kepada sejauh mana perkataan dan perbuatannya bertepatan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Beliau meninggal dunia pada tahun 297H, ada pula pendapat mengatakan pada tahun 279H. Lihat al-Tabaqat al-Sufiah oleh al-Sulamiy – 155-163; al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Sya’rani 1/82-84; Tarikh Baghdad 7/241-249; Daqaiq al-Tafsir oleh Ibn Taimiyyah 2/426; al-A’lam oleh Zarakli 2/137-138; Sofwah al-Sofwah 2/235; Wafyat al-A’yan 1/232-325; Syarazat al-Zahab oleh Ibn I’mad 2/228-230; Tabaqat al-Syafeiyyah 2/260-265; Qadaya al-Tasauf fi Dhaui al-Kitab wa al-Sunnah oleh Dr Muhammad Sayyid al-Julainid di bahagian pertama dan kedua.


Penyakit Keduabelas : Sayang dan kasihan terhadap diri serta tidak mahu membebankannya untuk ber’amal.

Rawatannya : Ialah sentiasa melihat dan merasakan bahawa kurniaan Allah ke atas dirinya terlalu banyak dalam pelbagai suasana. Perasaan ini melenyapkan keinginan untuk merasa sayang dan kasihan kepada diri daripada digunakan untuk bertungkus-lumus ber’amal. Kata al-Wasiti(1) “Perkara yang paling hampir untuk mendapat kemurkaan Allah ialah kecenderungan menurut kemahuan hawa hafsu dan segala perbuatan yang lahir daripadanya.”




_________________________________

Notakaki:

(1) Al-Wasiti ialah Abu Bakar Muhammad bin Musa al-Wasiti رحمه الله تعالى yang berasal dari Farghanah. Beliau adalah antara pengikut al-Junaid. Al-Sulami menganggap beliau sebagai tokoh sufi peringkat ketiga. Al-Wasiti ‘alim dalam ‘ilmu usul dan ‘ilmu zahir. Dia meninggal di Marwa pada tahun 320H. Segala pengajaran dan kata-kata hikmahnya telah diajar di Marwa sepanjang beliau tinggal di sana. Tidak ada tanda-tanda yang beliau menganut fahaman sufi yang melampau seperti fahaman al-Hulul dan al-ittihad. Dikatakan bahawa al-Wasiti berpegang kuat kepada sunnah. Antara kata-kata hikmahnya, “Kita telah diuji oleh Allah dengan tibanya suatu zaman di mana padanya tidak wujud lagi adab-adab Islam bahkan ketika itu lebih dahsyat lagi daripada ahklaq jahiliyyah. Begitu juga dizaman ini segala impian dan cita-cita orang yang bermaruah tidak akan mudah tercapai.” Katanya lagi, “Sifat khauf dan roja’ adala dua perkara yang akan menghalangi seseorang daripada melakukan perbuatan keji.” Lihat Tabaqah al-Sufiyyah: 72 – 73.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails