Jumaat, 23 Februari 2007

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis
(Tranliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh : al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan)

(2)

ارادتك التجريد مع اقامة الله اياك في الاسباب من الشهوة الخفية
Ertinya: Berkehendak engkau akan tajrid serta mendirikan(1) Allah akan dikau pada segala asbab(2) yaitu setengah daripada syahwat(3) yang tersembunyi.

(Yakni) barangsiapa didirikan Allah Ta’ala dalam asbab dan berkehendak ia akan keluar daripadanya kepada tajrid makan yang demikian itu setengah daripada syahwat yang tersembunyi. (Dan) hanya sanya adalah ia daripada syahwat kerana tiada berdiri kepada yang dikehendaki Allah Ta’ala padanya dan kehendaknya menyalahi demikan itu. (Dan) hanyasanya adalah ia tersembunyi kerana bahawasanya dzohirnya menghendaki keluar daripada nafsu dan hal yang demikian itu adalah yang dikehendaki Haq Ta’ala, tetapi daripada sekira-kira diredhoi Haq Ta’ala akan dia, tiada daripada sekira-kira yang diredhoi nafsu akan dia. Dan yang diredhoi Allah akan dia bagimu itu, berdirimu pada yang telah mendirikan Allah akan dikau daripadanya.


(Dan kata) muallif(4) dalam kitab tanwir(5), bermula yang dikehendaki Haq Ta’ala akan dia daripadamu itu bahawa engkau diam(6) kepada yang telah didirikan Allah akan dikau hingga adalah Haq Ta’ala yang memerintahkan Ia akan keluar engkau daripadanya seperti yang memerintahkan Ia akan masuk engkau kepadanya. (Dan kata) Sheikh Hijazi, bermula iradat itu tiga perkara (Pertama) iradat al-Thob’ie(7) (إرادة الطبع ) (Kedua) iradat al-Tamanni(8) (إرادة التمني ) (Ketiga) iradat al-Haq(9) ( إرادة الحق ).


(Maka) yang pertama itu iradat yang taa’luq(10) kepada bahagian nafsu dan keluar daripadanya itu wajib (Dan yang kedua) itu iradat bagi segala orang yang ahli tawajjuh yang salik mereka itu iaitu menghendaki kurnia Haq Ta’ala jua (Dan yang ketiga) itu iradat yang taa’luq kepada ikhlas dan hakikatnya itu mensucikan yang dikasihi(11) daripada najis syirik jali(12) dan syirik yang khofi(13).


(Maka) syirik yang khofi itu seperti bahawa kau jadikan iradat bagimu itu serta Allah atau kau lihat bagimu itu wujud. Maka apabila telah ikhlas engkau daripada segala penyakit(14) berpaling itu dan telah kau nafikan hukum ma’siat pada sekalian, maka jadilah engkau serta Allah tiada dengan kaun(15). Dan mendirikan Allah akan dikau didalam segala sebab dan berkehendak engkau akan tajrid maka adalah yang demikian itu daripada lagi tinggal nafsu dan tersembunyinya dan daripada syahwatnya tersembunyi yang tiada dinyatakan atasnya melainkan kepada segala orang yang ahli Inayah kerana bahawasanya syahwat itu tiada jadi ia melainkan daripada nafsu samada nafsu yang bangsa dunia atau bangsa akhirat.


__________________________________________________________________

(1) Kehendak atau kemahuan thobi’e

(2) Usaha penghidupan atau usaha mencari nafqah atau kegiatan untuk mengusahakan sara hidup. Lawan daripada ‘tajrid’

(3) Keinginan hawa nafsu

(4) Pengarang kepada kitab hikam iaitu Shaikh Ibn ‘Athoillah

(5) Kitab ini bertajuk at-Tanwiir fii Isqaathit Tadbir. Kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh al-Fadhil al-Kamill Shaikh Utsman bin Shihabuddin al-Banjari al-Funtiani. Seorang ulama’ besar dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia. Kitab tersebut selesai diterjemahkan oleh beliau pada hari Rabu 12 Sha’ban 1311H (bersamaan 1 Mac 1893M) dan diberi nama Tanwirul Qulub fi Isqati Tadbiril 'Uyub. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 15 Ramadan 1311 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Babi al-Halabi, Mesir, Sya'ban, 1343 H. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M. Cetakan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim Kedah, juga terdapat tashhihan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari

(6) Bermaksud engkau redho menerima dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala terhadap engkau

(7) Kehendak atau kemahuan thobi’e

(8) Kehendak atau kemahuan yang menjadi idaman cita-cita ahlul tawajjuh yang menghadapkan kehendak iradatnya kepada kurniaan Allah Ta’ala jua

(9) Kehendak atau kemahuan yang suci murni dari perlakuan syirik (nyata dan tersembunyi) dalam mentauhidkan Allah Ta’ala

(10) Ta’aluq bermaksud bergantung atau berkait atau berhubung

(11) Yakni Allah Ta’ala

(12) Syirik yang nyata

(13) Syirik yang tersembunyi. Di dalam kitab Dur an-Nafis oleh Shaikh Muhmmad Nafis bin Idris bin Hussin al-Banjari mengatakan bahawa “…(dan yang menegahkan) sampai orang yang Salik kepada Allah itupun amat banyak jua. (Dan setengah daripadanya, syirik khofi) artinya syirik yang tersembunyi iaitu membangsakan segala perbuatan yang tersebut sebab daripada makhluq itu kepada makhluq jua, tiada tiada kepada Allah Ta’ala karena pada haqiqatnya segala perbuatan itu sekeliannya terbit daripada Allah Ta’ala jua ….”.Tamat petikan dari Dur an-Nafis.

(14) Maksudnya daripada penyakit syirik yang berpaling lari daripada mentauhidkan Allah Ta’ala

(15) Jamaknya adalah akwan. Maksudnya alam semesta. Adapun yang dimaksudkan disini adalah maa siwallah yakni apa atau segala sesuatu yang lain dari Allah Ta’ala.

Related Posts with Thumbnails