Memaparkan catatan dengan label Kebinasaan Lidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kebinasaan Lidah. Papar semua catatan

Isnin, 6 April 2009

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 7

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara [dipetik dari kitab Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; juz 3, halaman 78-79]

Kebinasaan Ketujuh:

الآفة السابعة السب والفحش والبذاءة في الكلام، وهو مذموم

Artinya: Kebinasaan yang ketujuh itu iaitu memaki akan orang dan mengata akan manusia dengan perkataan yang keji-keji dan dengan perkataan yang jahat-jahat dan iaitu dicela oleh syara’.


Dan meriwayatkan oleh Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى akan hadits ini dengan katanya:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن تسب قتلى بدر من المشركين

Artinya: Menegahkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bahwa memaki akan orang yang mati di dalam perang Badar daripada orang yang musyrikin (hadits riwayat Ibn Abi Dunya - al-‘Iraqi)

Dan lagi sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم

إياكم والفحش، فإن الله لايحب الفحش

Artinya: Takuti olehmu akan perkataan yang keji itu, maka bahwasanya Allah Ta’ala tiada kasih akan orang yang berkata akan perkataan yang keji itu. (hadits an-Nasaie dan al-Hakim dan hadits ini shahih menurut al-Hakim – al-‘Iraqi)

Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم

البذاءة والبيان شعبتان من النفاق

Artinya: Bermula perkataan yang jahat dan orang yang menyatakan ‘aib manusia itu iaitu kedua-duanya cabang daripada munafiq. (hadits riwayat at-Tirmidhi (hasan) dan Al-Hakim (shahih) – al-‘Iraqi)

Dan kata Ibrahim bin Maisarah رحمه الله تعالى:

يقال يحشر الفاحش المتفحش يوم القيامة في صورة كلب أو في جوف كلب

Artinya: Dikatakan oleh setengah ulama bahwa dihimpunkan [dihalau] orang yang berkata-kata akan perkataan yang keji itu pada hari qiamat padahal ia datang di dalam rupa anjing atau di dalam perut anjing.

Dan kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى (maksudnya): Dan adapun had perkataan yang keji dan hakikatnya itu maka iaitu mengibaratkan daripada segala perkataan yang keji dan segala yang jahat dengan ibarat yang nyata. Dan berlaku kebanyakan lafaz keji itu di dalam beberapa lafaz wiqaa` yakni jimaa’ dan barang yang berkaitan dengan dia. Maka bahwasanya bagi orang yang ahlil fasad( orang yang jahat) itu beberapa ibarat yang shorih (nyata), yang keji yang isti’maalkan (digunakan) oleh mereka itu akan dia di dalam perkataan mereka itu. Bermula orang yang sholeh itu benci mereka itu mendatangkan akan tiap-tiap lafaz yang keji itu dengan menshorihkan (menyatakan) akan dia, tetapi adalah mereka itu mengatakan tiap-tiap lafaz yang keji itu dengan lafaz kinayah (secara sindiran) jua dan menunjukkan atasnya itu dengan lafaz al-rumuz yakni dengan lafaz isyarat jua bukan dengan lafaz shorih (nyata) dan menyebutkan akan dia dengan lafaz yang hampir dengan dia dan lafaz yang ta’luq dengan dia, seperti kata Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Abbas رضي الله عنهما:

إن الله حي كريم يعفوويكني، كني باللمس عن الجماع. فالمسيس واللمس واالدخول والصحبة كنايات عن الوقاع وليس بفاحشة

Artinya: Bahwasanya Allah Ta’ala itu hidup, yang Kariim (Mulia), menegah daripada perkataan yang keji dan perkataan yang jahat, akan menshorihkan akan dia (bahwa disebutkan dengan bahasa yang terang). Dan adalah mengibaratkan Ia akan dia dengan kinayah jua seperti dikinayahkan dengan lafaz ‘al-lamsu’ yakni menyentih itu daripada lafaz jimaa’ akan perempuan. Maka lafaz ‘masis’ dan ‘lamsu’ dan lafaz ‘ad-dukhuul’ dan lafaz sahaabah itu kinayah daripada lafaz jimaa’ dan lafaz wiqaa’, dan iaitu tiada keji.


Bersalahan jikalau dishorihkan dengan lafaz jimaa’ atau dengan lafaz wiqaa’ atau dengan wathi’, maka iaitu keji pada syara’. Dan kiaskan olehmu sekelian lafaz yang keji pada orang banyak itu, maka iaitu jangan engkau shorihkan. Dan bersalahan lafaz yang keji itu sebab bersalah-salahan bahasa dan bersalah-salahan negeri, maka kiaskan olehmu akan sekelian yang demikian itu.




Bersambung ke kebinasaan lidah yang kedelapan …

Rabu, 14 Mei 2008

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 6

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.

Kebinasaan Keenam:

الآفة الخامسة السادسة التشدق في الكلام بتكليف السجع والتفصيح فيه

Artinya: Kebinasaan yang keenam iaitu membaikkan di dalam perkataan dengan memperberati diri dengan saja’-saja` [sajak-sajak] di dalam perkataan dan memperberati fasih-fasih di dalam perkataan, kerana yang demikian itu membawa kepada riya` iaitu dicela oleh syara’, seperti sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:


أنا وأتقياء برءاء من التكلف
Artinya: Bermula aku dan umatku yang takut akan Allah Ta’ala lepas daripada memberati daripada bersaja` di dalam perkataan dan lepas daripada berbuat perkataan yang fasih-fasih. [Kata Imam an-Nawawi, hadits ini tiada tsabit. Dan diriwayatkan oleh ad-Daruqutni daripada Zubair al-Awwam didalam al-Ifrad, hadits marfu’ – Ithaf]

(Dan lagi) sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
شرار أمتي الذين غدوا بالنعيم يأكلون ألوان الطعام ويلبسون ألوان الثياب ويتشدقون في الكلام
Artinya: Bermula yang terlebih jahat umatku ialah mereka yang memakan yang sedap-sedap iaitu memakan mereka itu beberapa warna makanan dan memakai mereka itu akan akan beberapa warna pakaian. Dan adalah mereka itu memberati diri mereka itu berbuat perkataan yang bersaja`-saja` dan berbuat perkataan yang fasih-fasih. [Hadits riwayat Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi – al-‘Iraqi]

(Dan adapun) perkataan bersaja`[bersajak] dan perkataan yang berfasih dengan tiada bersusah dan tiada memberati diri buat akan dia itu, maka tiada dicela oleh syara’, kerana maksud [daripada] dengan perkataan itu iaitu mudah memberi faham akan manusia. Dan bersaja`[bersajak] dan fasih dengan tiada bersusah itu memberi faham di dalam hati dan lagi meraghib [menggemarkan] akan hati dan yang demikian itu tiada dicela oleh syara’. Bersalahan berbuat perkataan yang demikian itu dengan bersusah-susah maka iaitu membawa kepada riya` iaitu dicela oleh syara’.

[Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; juz 3, halaman 78]

Bersambung ke kebinasaan lidah yang ketujuh …

Rabu, 25 Julai 2007

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 5

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara [dipetik dari kitab Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; juz 3, halaman 78]


Kebinasaan Kelima:

الآفة الخامسة الخصومة
Artinya: Bermula kebinasaan yang kelima itu, iaitu berkelahi dan berbantah-bantahan dan iaitu dicela oleh syara’ dan lagi haram.

Kata Imam al-Ghazali رحمه الله maksudnya:
Dan iaitu dicela pula oleh syara’ dan iaitu bahwa engkau berkelahi akan manusia kerana engkau tuntut daripadanya [supaya] menyempurnakan akan hakmu atau kerana engkau menuntut akan hartamu


(Kerana) sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
إن أبغض الرجال إلى الله الألد الخصام
Artinya: Bermula [bahwasanya] yang terlebih benci seorang laki-laki itu kepada Allah Ta’ala itu, iaitu orang yang sangat kuat berkelahi (Menurut takhrij al-‘Iraqi, hadits ini riwayat al-Bukhari)


Dan (lagi) sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
من جادل في خصومة بغير علم لم يزل في سخط الله حتى ينزع
Artinya: Barangsiapa mujadalah didalam perkelahian dengan tiada ilmu nescaya sentiasa ia di dalam murka Allah Ta’ala hingga kembali ia daripada perkelahiannya kepada berdamai. (Menurut takhrij al-‘Iraqi, hadits ini Ibn Abi ad-Dunya dan al-Asbahani didalam at-Targhib wa at-Tarhib, Dhoif)



Bersambung ke kebinasaan lidah yang keenam …

Rabu, 13 Jun 2007

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 4
Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.


Kebinasaan Keempat:

الآفة الرابعة المراء والمجادلة

Artinya: Bermula kebinasaan keempat itu iaitu Mira`un (al-Mira`), yakni mencela akan perkataan orang dan mungkir [mengingkari] akan dia dan mujadalah yakni membantahi akan perkataan orang dengan dalil, supaya ia menang dan supaya alah [kalah] orang itu. Dan yang demikian itu haram yang ditegah oleh syara’ (seperti) sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
لاَتُمَارِ أَخَاكَ وَلاَ تُمَازِحْهُ وَلاَتَعِدْهُ مَوْعِدًا فَتُخْلِفُهُ

Artinya: “Jangan engkau cela akan perkataan saudaramu dan jangan engkau mungkir akan dia dan jangan engkau persenda-sendakan akan dia dan jangan engkau berjanji akan dia sesuatu janji maka engkau menyalahi akan janji itu.” (Hadits riwayat Imam at-Tirmidhi – al-‘Iraqi)

(Dan lagi) sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
مَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بَنَى اللهُ تَعَالى لَهُ بَيْتًا فِيْ أَعْلَى الجَنَّةِ وَمَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَهُوَ مُبْطِلٌ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِيْ رَبَضِ الجَنَّةِ

Artinya: Barangsiapa meninggalkan mencelakan akan perkataan manusia dan tiada membantahi ia akan dia padahal ia benar, nescaya memperbuat Allah Ta’ala baginya akan rumah diatas syurga. Dan barangsiapa meninggalkan akan mencelakan perkataan manusia dan ia meninggalkan akan membantahi akan dia padahal ia tiada benar nescaya memperbuat Allah Ta’ala baginya akan rumah di tepi syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidhi dan Ibnu Majah; hasan - al-‘Iraqi)

(Kata Imam) al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan had (batas) mira’ itu iaitu tiap-tiap membantahi atas perkataan orang lain dengan sebab menyatakan akan cedera di dalamnya. Adakalanya cedera pada lafaz dan ada kalanya cedera pada makna dan ada kalanya pada qasad orang yang berkata-kata itu serta mengqasad akan menghinakan orang itu dan serta menunjukkan kelebihannya atas orang yang lain itu. Dan yang demikian itu haram lagi dicela syara’”

Kemudian berkata pula Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan meninggalkan mira’ itu iaitu dengan meninggalkan akan menegur perkataan orang lain dan meninggalkan akan membantahi akan perkataan orang lain. Maka tiap-tiap perkataan yang engkau dengar akan dia, maka jika perkataan itu benar maka sayogianya engkau benarkan akan dia, dan jikalau ada perkataan itu bathil dan tiada takluk [bersangkut] ia dengan pekerjaan [urusan] agama maka sayogianya engkau diam daripadanya.”

(Kemudian) maka berkata pula Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى (artinya):
“Dan mencela di dalam perkataan orang lain itu ada kalanya di dalam lafaznya dengan menyatakan cedera perkataannya itu daripada pihak bicara nahwunya atau daripada lughatnya atau daripada pihak nazamnya dan tertibnya dengan jahat terdahulu dan terkemudian. Dan demikian itu adakalanya daripada singkat pengatahuannya dan adakalanya dengan tersalah lidahnya. Dan tiap-tiap barang mana kelakuan yang demikian itu maka tiada jalan yang mengharuskan bagi menyatakan akan cedera perkataan yang demikian itu.
Dan adapun cedera pada pihak makna, seperti engkau kata tiada ada makna perkataan itu seperti yang engkau kata itu. [Dan] [se]sungguhnya telah salah perkataanmu itu dengan begian-begian salahnya. Dan adapun cedera didalam qasadnya itu maka seperti engkau kata: Perkataan ini benar tetapi tiada qasadmu itu daripadanya sebenar-benarnya. Hanyasanya engkau qasad di dalamnya itu akan kehendak yang lain daripada makna lafaz itu. Dan barang yang berlaku atas kelakuannya itu. Dan perkataan yang mencela akan perkataan orang lain itu jikalau berlaku didalam masalah ilmu maka iaitu terkadang ditentukan dengan nama jidal, dan yang demikian itu pula dicela oleh syara’, tetapi wajib diam daripada mencela akan perkataan orang lain itu atau bertanya akan orang lain di dalam perkataan yang memberi faedah, bukan atas sifat menyangkali akan orang lain itu. Dan jangan dengan menyakitkan hati orang lain itu atau menyatakan kesalahan perkataan orang lain itu. [dan hendaklah] dengan perkataan yang lemah lembut di dalam mengingatkan akan dia dan jangan dengan perkataan yang mencela akan perkataan orang lain itu.”

(Kemudian) maka berkata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى dengan katanya (artinya):
“Dan mujadalah itu, iaitu ‘ibarat daripada qashad mengalahkan akan orang lain dan melemahkan akan dia, dan mengurangkan akan dia dengan mencela di dalam perkataannya. Dan dibangsakan kepada cedera perkataan itu dan dibangsakan akan dia kepada jahil di dalam perkataannya itu dan yang demikian itu haram lagi dicela oleh syara’”

(Kemudian) maka berkata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى(artinya):
“ Betapa wajib bahwa membenarkan apa yang mendengar ia akan dia daripada perkataan yang benar itu. Dan wajib diam daripada perkataan yang salah itu melainkan apabila ada di dalam menyebutkan akan dia itu faedah di dalam agama dan ada orang yang mendengar itu daripadanya. Maka sayogianya menyebutkan akan dia dengan perlahan dan jangan dikerasi menegur akan dia itu”

[Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; halaman 76 - 78]
Bersambung ke kebinasaan lidah yang kelima … iaitu berkelahi dan berbantah-bantah …….

Jumaat, 18 Mei 2007

Segala kebinasaan lidah – Siri ke 3

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.


Kebinasaan Ketiga:

الآفة الثالثة الحوض في الباطل وهو الكلام في المعاصي

Artinya bermula kebinasaan yang ketiga itu, iaitu masuk berkata-kata di dalam yang bathil dan iaitu berkata-kata di dalam perkataan yang maksiat (seperti) menghikayatkan [menceritakan] akan segala kelakuan perempuan yang helat dan menghikayatkan akan kelakuan yang meminum arak dan menghikayatkan ia akan segala tempat pekerjaannya yang membawa kepada fasiq.

Dan kepada yang tersebut itu diisyaratkan oleh Allah Ta’ala padahal menghikayatkan akan perkataan orang yang di dalam neraka dengan firmanNya:

وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلُخَآئِضِينَ

Artinya: Dan adalah kami masuk berkata-kata akan perkataan yang bathil dan perkataan yang maksiat bersama orang-orang yang memperkatakannya. (Surat al-Mudattsir:45)

(Dan) lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

أعظم الناس خطايا يوم القيامة أكثرهم خوضا في الباطل

Artinya: Bermula yang terlebih besar dosa itu pada hari qiamat itu, iaitu orang yang membanyakkan masuk di dalam perkataan yang bathil yakni orang yang membanyakkan menghikayatkan akan perkataan yang maksiat.(1)

Dan kata Sulaiman(2) رضي الله عنه :

أكثر الناس ذنوبا يوم القيامة أكثرهم كلاما في معصية الله تعالى

Artinya: Bermula orang yang terlebih banyak dosanya pada qiamat itu, iaitu orang yang membanyakkan berkata-kata di dalam perkataan yang maksiat akan Allah Ta’ala.

(Dan kata) Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى di dalam Ihya Ulumiddin:

ويدخل فيه الخوض في حكاية البدع والمذاهب الفاسدة وحكاية ما جرى من قتال الصجابة على وجه يوهم الطعن في بعضهم. فكل ذلك باطل، والخوض فيه خوض في الباطل

Artinya: Dan termasuk pula di dalam perkataan yang bathil itu, iaitu masuk di dalam berhikayat [perkara-perkara] yang bid’ah dan menghikayatkan segala madzhab yang fasid dan menghikayatkan akan perkataan yang berlaku daripada kelakuan [peristiwa] perang shahabat Nabi صلى الله عليه وسلم setengahnya dengan setengahnya atas jalan yang membawa mencela akan setengah daripada mereka itu. Maka sekalian yang demikian itu bathil dan masuk berkata-kata di dalamnya itu, iaitu perkataan yang bathil lagi haram.

[Ditransliterasi berdasarkan kitab Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; Juzuk ke-3; Halaman 76]


_________________________________

Notakaki
(1) Hadits ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dari hadits Qatadah secara mursal dan rijalnya tsiqah. Dan diriwayatkan oleh ath-Thabrani dari Ibn Mas’ud dengan sanad yang shahih.
(2) Berdasarkan kitab Ihya Ulumiddin yang kami rujuk, kata-kata tersebut adalah kata-kata Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه. Berkumungkinan kitab yang kami guna untuk transliterasi ini tersalah cetak.

Selasa, 24 April 2007

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.

Kebinasaan Kedua:

الآفة الثانية فضول الكلام
Kebinasaan yang kedua iaitu berlebih-lebih perkataan, iaitu mengarang perkataan yang lebih daripada sekira-kira hajat yang terkaya daripadanya.

Mengambil tahu tentang hal orang lain merupakan perkara yang tercela juga, iaitu mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan diri kita, ataupun jika perkara itu memang ada berkaitan dengan diri kita, tetapi kita telah berlebih-lebihan dari kadar yang perlu. Perkara yang mengenai diri kita itu dapat dibicarakan dengan kata-kata yang ringkas, dan dapat juga dihuraikan secara meleret atau berulang-ulang. Maka apa yang dapat dihuraikan dengan satu perkataan, jika ditambah menjadi dua perkataan, maka perkataan yang kedua itu adalah fudhul, yakni berlebihan-lebihan dari kadar yang perlu, dan ini ini juga adalah tercela sebagaimana yang telah diterangkan di atas, meskipun ia bukanlah dosa atau bahaya.

Ketahuilah bahwa fudhul atau kata-kata yang berlebihan-lebihan itu tidak ada batasan yang tertentu, tetapi yang penting untuk kita mengetahui ialah apa yang tertera di dalam kitab Allah Ta’ala dalam firmanNya:


لاَّ خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاَحٍ بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْراً عَظِيماً

“Tidak ada gunanya pada kebanyakkan dari bisikan-bisikan mereka, melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat baik ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia.” (an-Nisa’: 114)

Bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

طوبى لمن أمسك الفضل من لسانه وأنفق الفضل من ماله – رواه البيهقي والبزار، ضعيف ,العراقي

“Berbahagialah sesiapa yang menahan fudhul (berlebih-lebihan) dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”

Cuba anda perhatikan bagaimana manusia menterbalikkan perkara ini. Mereka lebih suka menahan kelebihan harta kekayaan mereka [daripada diinfaqkan] dan melepaskan secara berwenang-wenang kata yang berlebihan-lebihan dari lisannya.

Berkata Atha’: Orang-orang yang mulia sebelum kamu sangat membenci berlebihan-lebihan dalam tutur kata. Mereka menganggap semua kata-kata itu adalah fudhul, selain kata-kata dari kitab Allah, sunnah Rasulullah, ataupun suruhan berbuat kebajikan, cegahan dari berbuat kemungkaran, ataupun berkata sesuatu yang perlu dalam kehidupanmu yang tidak boleh tidak mesti kamu lakukan. Apakah kamu mahu mengingkari adanya Malaikat penjaga kiraman katibin (malaikat-malaikat yang mulia sebagai pencatit) yang berada di kanan dan di kiri. Apa yang disebutkan dari kata-kata melainkan ada di sisinya Raqib dan Atid. Tidakkah seseorang kamu merasa malu bila diserahkan buku catatannya kelak, telah terpenuhi di dalamnya bahwa segala perbuatannya di siang hari kebanyakkannya bukan daripada urusan-urusan agamanya ataupun dunianya.

Berkata Ibnul Umar: Perkara yang paling patut disucikan oleh seseorang ialah lidahnya.

Dalam sebuah atsar pula: Tiada seseorang pun yang diberikan sesuatu yang paling jelek daripada sifat berlebihan-lebihan dari lidahnya.


Isnin, 12 Jun 2006

Kebinasaan Lidah atau Bencana Lisan - 1

Segala kebinasaan lidah itu iaitu duapuluh (20) perkara.

Kebinasaan Pertama:
الآفة الأولى الكلام فيما لا يعني
Kebinasaan yang pertama itu iaitu berkata-kata di dalam barang yang tiada memberi faedah di dalam akhirat.

Ketahui olehmu bahawasanya apabila engkau berkata-kata akan sesuatu yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat maka sesungguhnya telah engkau sia-siakan akan waktumu itu dan engkau datangkan dengan dia akan beberapa hisab di dalam hari akhirat.

Penawarnya: Dan jikalau engkau gantikan akan perkataan yang sia-sia itu dengan dhikrullah ta’ala dan dengan membaca al-Quran atau dengan mengucapkan tasbih atau dengan mengucapkan istighfar atau dengan mengucapkan solawat keatas Nabi صلى عليه وسلم atau dengan engkau diam jua, nescaya engkau dapat dengan yang demikan itu akan beberapa pahala di dalam akhirat dan dapat beberapa darjat yang tinggi disisi Allah Ta’ala di dalam dunia dan di dalam akhirat.

Sabda Nabi صلى عليه وسلم
من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه - رواه أحمد و الترمذي و ابن ماجه
Ertinya: Setengah daripada sebaik-baik Islam seseorang manusia itu iaitu meninggalakan ia akan barang yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

Dan kata Sayyidina Anas رضى الله عنه : Mati syahid seorang yang muda daripada kami pada hari perang di Bukit uhud, maka didapat di atas perutnya itu batu yang terikat daripada menahan lapar. Maka menyapu oleh ibunya kepada mukanya akan debu dan berkata ia: Dapatlah kesenangan bagimu di dalam syurga hai anakku! Maka sabda Nabi صلى عليه وسلم : Dan apakah engkau ketahui, barangkali ada ia berkata di dalam barang yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat dan barangkali ia menahan akan barang yang tiada memberi mudharat akan dia. (Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dari Anas)

Dan kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعلى
واعلم أن حد الكلام فيما لا يعنيه أن تجلس فتحكي من أحوالك في أسفارك من الجبال والبراري والبحار التي رأيتها مالا كذب فيه
Ertinya: Dan ketahui olehmu bahawa had perkataan pada barang yang tiada memberi faedah di dalam akhirat itu iaitu bahawa engkau duduk dengan seseorang maka engkau berhikayat daripada kelakuanmu di dalam pelayaranmu daripada bukit dan daripada daratan dan lautan dan barang sebagainya yang engkau lihat akan dia di dalamnya.

Dan kata lagi Imam al-Ghazali رحمه الله تعلى di dalam kitab Usuluddin: “Dan setengah daripada perhimpunan perkataan yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat itu iaitu berhikayat kelakuan pelayaran dan kelakuan makan yang di dalam negeri itu dan menghikayatkan akan adat mereka itu dan menghikayatkan segala kelakuan manusia dan menghikayatkan segala kepandaian manusia dan menghikayatkan segala perniagaan manusai iaitu segala perkara yang engkau lihat akan kebanyakkan manusia masuk membicarakan di dalamnya.

Rujukan hadith:
حدثنا ‏ ‏هشام بن عمار ‏ ‏حدثنا ‏ ‏محمد بن شعيب بن شابور ‏ ‏حدثنا ‏ ‏الأوزاعي ‏ ‏عن ‏ ‏قرة بن عبد الرحمن بن حيوئيل ‏ ‏عن ‏ ‏الزهري ‏ ‏عن ‏ ‏أبي سلمة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه - سنن ابن ماجه

حدثنا ‏ ‏قتيبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏مالك بن أنس ‏ ‏عن ‏ ‏الزهري ‏ ‏عن ‏ ‏علي بن حسين ‏ ‏قال ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إن من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه ‏‏قال ‏ ‏أبو عيسى ‏ ‏وهكذا روى غير واحد من أصحاب ‏ ‏الزهري ‏ ‏عن ‏ ‏الزهري ‏ ‏عن ‏ ‏علي بن حسين ‏ ‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏نحو حديث ‏ ‏مالك ‏ ‏مرسلا ‏ ‏وهذا عندنا أصح من حديث ‏ ‏أبي سلمة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏وعلي بن حسين ‏ ‏لم يدرك ‏ ‏علي بن أبي طالب - سنن الترمذي

و حدثني ‏ ‏عن ‏ ‏مالك ‏ ‏عن ‏ ‏ابن شهاب ‏ ‏عن ‏ ‏علي بن حسين بن علي بن أبي طالب ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه - موطأ مالك

Related Posts with Thumbnails