Selasa, 15 Mei 2007

Apa Ada Pada Bulan Mei

Sambung dari tulisan sebelum ini. Rasulullah صلى الله عله وسلم bersabda:

عن عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي قال: رضا الرب في رضا الوالدين، وسخط الرب في سخط الوالدين - رواه الترمذي وصححه إبن حبان والحاكم

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

عن عبدالله بن مسعود رضي الله عنه قال : سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أي العمل أحب إلى الله؟ قال : الصلاة على وقتها ،قال : ثم أي؟ قال: ثم بر الوالدين، قال: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله - .البخاري

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه , beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab: Shalat pada waktunya. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad pada jalan Allah (Hadits riwayat al-Bukhari)

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله من أحق الناس بحسن صحابتي ؟ قال : أمك ، قال ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : ثم أبوك " . رواه البخاري 5626 ومسلم 2548.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah selayaknya mendapat persahabatan yang lebih baik dari saya? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Kemudian ayahmu. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

أخرج السيوطي بسند صحيح عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : .... وأعظم الناس حقا على الرجل أمه".

Dikeluarkan oleh Imam as-Sayuthi dengan sanad yang shahih daripada A’isyah رضي الله عنها bahwasanya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “…. Dan orang yang mempunyai sebesar-besar hak atas seorang (anak) itu ialah ibunya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani, Rasuluullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): “Berbaktilah kamu semua kepada ibubapamu agar supaya (kelak) berbaktilah kepadamu semua anak-anakmu ……”

Ibu mithali ibu yang sejati - Kasih sayangmu kasih yang suci - Pengorbananmu disanjung tinggi - Jasamu tetap di sanubari - Ibu oh ibu fitrah ku murni - Kelembutanmu menyentuh hati - Semai kasihmu dalam jiwaku - Kau disayangi kerana menyayangi - Ibu oh ibu hatimu suci - Tulus ikhlasmu mendidik daku - Sanggup bersusah dan menderita - Demi kebahagiaan sekeluarga - Ibu oh ibu kau serikandi - Bakti amalmu tidak terperi - Beramal soleh berperibadi - Mentaati Allah juga suami


Kuakhiri dengan doa buat kedua ibu dan ayahku
رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Hari Belia (15 Mei) – hari ni lah. Hari ini juga adalah ulangtahun hari lahirku.

Aku kurang tahu mengenai hari belia. Bagi aku belia adalah tunggak negara. Mereka adalah generasi pelapis. Sayyidina Usamah bin Zaid dilantik Rasulullah menjadi panglima tentera Islam ketika umurnya masih muda belia iaitu lebihkurang 18 tahun. Dia menjadi panglima kepada para shahabat yang lebih senior. Itulah pengiktirafan yang diberi oleh Rasulullah kepada belia kerana kualiti yang ada padanya. Beliau juga menjadi panglima perang sewaktu Sayyidina Abu Bakar memerintah. Imam asy-Syafie, dibenarkan memberi fatwa oleh guru beliau, Muslim bin Khalid az-Zinji, ketika berusia 15 tahun. MasyaAllah. Kepada para belia, SELAMAT HARI BELIA. Jadilah belia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Contohilah Usamah bin Zaid, Imam asy-Syafie dan ribuan lagi para ulama Islam yang menenpa nama ketika umur belia. Berilah sumbangan kalian untuk PERJUANGAN ISLAM.

Hari ini maka umurku sudah 40+++++. Semakin dekat aku pada garisan penamat. Sudah dekat dengan ajalku. Setiap detik yang berlalu aku berlari mendekatinya. Umur 40 adalah umur penentu. Didalam kitab Ayyuhal Walad karangan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali, pada nasihatnya yang pertama, beliau membawa sepotong hadits, yang bermaksud:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Ta’ala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya telah digunakan pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahwa akan panjang penyesalannya (pada hari qiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada 40 tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.

Sesunggunya hidup didunia ini sebentar saja.
Lahirnya manusia disambut dengan azan Matinya manusia diiringi dengan sholat Antara azan dan sholat …… alangkah singkatnya hidup ini

Semoga pesanan guruku dapat kujadikan peringatan:
Jangan engkau (wahai Abu Zahrah) tunda melakukan amal kebaikan hingga esok Jangan-jangan hari esok datang dan engkau sudah ada di liang lahad


Hari Guru (16 Mei)
Aku mengenali hari guru, buat pertama kalinya ketika menjejakkan kaki kesekolah rendah. Ketika itu sungguh meriah. Semakin meniti dewasa, aku semakin mengenal erti guru. Bermula dari itu aku berterimakasih kepada semua guru yang berjasa padaku dalam arti kata sebenar. Mereka menaburkan ilmu tanpa jemu. Guru pertama dalam hidupku adalah ibu dan ayahku sendiri. Merekalah yang mengajar dan mendidik.

Ketika usiaku 5 tahun, aku dihantar mengaji al-Quran pada seorang guru al-Quran. Itulah pertama kali aku belajar pada ‘orang lain’. Aku belajar pada guruku ini sehingga usiaku 12 tahun. Ini adalah diantara guru yang paling aku sayangi. Dari beliaulah aku mengenal kalamullah dan hadits-hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Beliau menanamkan kecintaan kami pada Rasulullah صلى الله عليه وسلم walaupun ketika itu aku tidak mengerti. Kami diajarinya membaca kitab Barzanji. Pada kami ketika itu, yang penting suara siapa yang sedap. Tetapi pabila dewasa dan mengerti akan isi kandungannya maka fahamlah aku, yang mahu ditanamnya adalah kecintaan pada Rasullah صلى الله عليه وسلم. Beliau sering juga menceritakan pada kami sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, perjuangan shahabat dan cerita karamah para aulia Allah. Dengan beliau lah aku belajar secara langusng maupun tak langung tentang adab-adab dihadapan guru dan bagaimana berkhidmat pada guru. Beliau banyak mewarnai kehidupan aku, selain dari ibu dan ayah.

Guru seterusnya yang tidak dapat kulupakan adalah Tuan Guru Hj Abdul Rahman dan Tuan Guru Hj Ahmad Keplu. Mereka adalah diantara guru-guru awalku yang memberi ilmu dan didikan padaku secara tidak langsung. Ketika itu usiaku masih belasan tahun, di dalam sekolah menengah. Berdampingan dengan mereka membuat aku kepingin sekali mengikuti jejak langkah mereka. Walaupun aku beraliran Sains namun pemikiran aku dibentuk oleh guru-guru ini. Sebenar aku tidak meminati bidang Sains tetapi itu adalah kehendak ibuayah, maka kutaati. Kalau diikutkan hati aku mahu saja lari kemana-mana pondok belajar fulltime. Dek kerana terpaksa bersekolah kerajaan, aku terpaksa belajar kitab secara part-time. Dan alhamdulillah, aku bersyukur kerana berpeluang mendapat ilmu dalam kedua-dua bidang. Kalau mahu diceritakan mengenai guru, pengalaman berguru …. banyak sekali. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kerana Allah mengizinkan aku mencium keharuman ilmu bahkan merasai kemanisan ilmu daripada para ulama pewaris nabi. Buat sekalian warga guru kuucapkan SELAMAT HARI GURU. Semoga kalian mendapat balasan yang baik dan kedudukan yang tinggi disisi Allah.

Akhirkata …… alFaatihah buat guru kepada sekalian guru, penghulu kami, kekasih kami dan yang memberi syafaat kepada kami, Sayyidina Muhammad bin Abdullah dan juga kepada keluarganya dan shahabatnya, seterusnya kepada sekalian guru-guru kami. Semoga Allah tinggikan darjat mereka di dalam syurga. Dan semoga Allah manfaatkan kami dengan segala rahsia, cahaya, ilmu dan kelebihan mereka. Al-Faatihah.


1 komen:

Tanpa Nama berkata...

salam ya abuzahrah,

selamat hari lahir, semoga sentiasa diberkati, selamat hari guru, walau secara 'informal' banyak parkara yang saya dapat melalui posting ini.

jazakallahu khairan.

Related Posts with Thumbnails