Memaparkan catatan dengan label Kisah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah. Papar semua catatan

Khamis, 5 Mei 2011

Hebatnya Kesan Dari Bertasyabbuh (Menyerupai) Orang-orang Yang Dimuliakan oleh Allah

Tasyabbuh bermaksud menyerupai. Mulla ‘Ali al-Qaari ketika menghuraikan sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam kitabnya Mirqaat al-Mafatih syarah Misykat al-Mashobih:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Ertinya: Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia (termasuk) dari kalangan mereka. (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Dan isnad hadits ini hasan sepertimana (tersebut) di dalam al-Misykat al-Mashobih, kitab al-Libaas, hadits: 4347). Beliau mengatakan:

من شبه نفسه بالكفار مثلا من اللباس وغيره ، أو بالفساق أو الفجار أو بأهل التصوف والصلحاء الأبرار  ( فهو منهم ) : أي في الإثم والخير )

Ertinya: Barangsiapa menyerupakan akan dirinya dengan orang-orang kafir misalnya, baik dalam hal pakaian atau selainnya, atau menyerupakan akan dirinya dengan orang-orang fasiq atau orang-orang jahat/berdosa atau dengan ahli-ahli tasawwuf dan orang-orang sholeh yang baik-baik, maka dia termasuk dari kalangan mereka (golongan yang ditiru) yakni dalam hal dosa dan kebaikan. (dinaqalkan oleh Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-Adzim Abadi di dalam ‘Aun al-Ma;bud, Syarah Sunan Abi Daud).

Manakala al-‘Alqami pula menyebut:

من تشبه بالصالحين يكرم كما يكرمون، ومن تشبه بالفساق لم يكرم ومن وضع عليه علامة الشرفاء أكرم وإن لم يتحقق شرفه انتهى

Ertinya: Barangsiapa bertasyabbuh dengan orang-orang sholeh, maka dia akan dimuliakan sebagaimana orang-orang sholeh itu dimuliakan, dan barangsiapa bertasyabbuh dengan orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan dan barangsiapa memiliki ciri-ciri orang-orang yang mulia, maka dia mulia meskipun belum tahqiq kemuliaannya. (‘Aun al-Ma;bud, Syarah Sunan Abi Daud)

Kitab ini adalah hadiah daripada Ustaz Abu Muhammad, Shohib Blog Bahrus Shofa kepada al-Fagir

Syeikh Abu Thalhah Yunus ibn ‘Abdul Sattar menyebut di dalam kitabnya Libasul Rasul صلى الله عليه وآله وسلم wa ash-Shohabah wa ash-Shahaabiyaat رضي الله عنهم أجمعين: 


[Terjemahan petikan] Dan telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Ertinya: Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia (termasuk) dari kalangan mereka. (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Dan isnad hadits ini hasan sepertimana (tersebut) di dalam al-Misykat al-Mashobih, kitab al-Libaas, hadits: 4347).

Mulla ‘Ali al-Qaari menyebut di dalam al-Mirqaat (Mirqaatul Mafatih syarah Misykat al-Mashobih, 8/255): Sabdaan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, “فهو منهم” (dia dari kalangan mereka), yakni, pada dosa dan kebaikan. Berkata ath-Thibi: Ini umum pada fizikal dan akhlaq dan syi’aar (pakaian). Dan adalah (maksud) pakaian itu lebih nyata dalam bertasyabbuh sebagaimana yang disebut di dalam bab ini.



[Terjemahan petikan] Aku (yakni pengarang kitab: Syeikh Abu Thalhah Yunus ibn ‘Abdus Sattar) berkata: Bahkan (maksud) pakaianlah yang dikehendaki dengan tasyabbuh, bukan selainnya. Kerana sesungguhnya bentuk fizikal tidak dapat digambarkan dengan tasyabbuh dan akhlaq yang maknawi tidak dikatakan padanya tasyabbuh bahkan ianya disebut takhalluq (berakhlaq).

Satu kisah yang menakjubkan pada menyatakan tasyabbuh (menyerupai): Kemudian dia (Syeikh Mulla ‘Ali al-Qaari) berkata (di dalam kitabnya Mirqaatul Mafaatih): Ini satu kisah yang pelik, halus dan menakjubkan: Bahwasanya tatkala Allah Ta’ala menenggelamkan Fir’aun dan tenteranya, tidak ditenggelamkan (salah seorang tentera fir’aun) tukang ejek bagi Fir’aun, iaitu orang yang adalah kerjanya menyerupai Sayyiduna Musa عليه السلام pada pakaian, perkataan dan percakapannya, lalu akan ditertawakan oleh Fir’aun dan kaumnya daripada kelakuan gerak dan diamnya lelaki ini. Lantas Nabi Musa عليه السلام bertadharru’ (merendahkan diri bertanya) kepada Tuhannya: Wahai Tuhanku! Lelaki ini lebih banyak menyakiti aku berbanding kaum Fir’aun yang lain? Maka Allah Ta’ala berfirman: Tidak Aku menenggelamkan dia, kerana sesungguhnya dia berpakaian seperti pakaianmu. Dan seorang yang menyintai itu tidak akan mengazabkan orang yang adalah ia atas rupabentuk orang yang dicintainya. (Subhanallah!)

Maka perhatikanlah orang yang bertasyabbuh dengan ahlil haq (walaupun) atas maksud yang bathil (tidak benar) terhasil baginya kelepasan yang zahir (di dunia iaitu selamat dari ditenggelamkan di dalam laut) dan mungkin membawa kepada kelepasan yang berbentuk maknawi (di akhirat iaitu selamat dari campak ke dalam api neraka). Maka betapa pula bagi orang yang bertasyabbuh dengan para AnbiyaNya dan para auliyaNya (penghulu bagi segala Anbiya dan auliya adalah Sayyiduna Muhammad al-Musthofa صلوات الله وسلامه عليهم أجمعين) atas qasad (maksud/tujuan) memuliakan dan membesarkan …. sehingga akhirnya sepertimana yang disebut oleh pengarang al-Mirqaat. Dan telah bersyair sebahagian mereka:

تشبهوا إن لم تكونوا مثلهم – إن التشبه بالكرام فلاح

Ertinya: Tasyabbuhlah kalian (dengan orang-orang dimuliakan) walaupun kalian tidak akan menjadi seperti mereka, kerana sesungguhnya tasyabbuh dengan orang-orang yang mulia adalah kejayaan. (Tamat terjemahan petikan di atas).

Berkata al-fagir abu zahrah (mengingatkan diri sendiri dan teman-temannya serta pembaca al-Fanshuri): Maka marilah kita bertasyabbuh dengan kekasih kita Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seperti berserban, memakai rida`, memakai cincin, bersugi, memakan makan yang Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  sukai seperti labu, madu …. dan sebagainya …… atas dasar rasa kecintaan, kerinduan kita yang mendalam kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Atau kita bertasyabbuhlah dengan para auliya dan sholihin, yang mana pastinya mereka ini juga bertasyabbuh dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.  Moga dengan bertasyabbuh ini akan menambahkan lagi rasa kecintaan, kerinduan kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan juga kepada auliya dan sholihin.

Walaubagaimanapun biarlah apa yang kita lakukan itu berdasarkan dengan ilmu bukannya sekadar ikut-ikutan. Bukan sekadar bertasyabbuh yang zahirnya sahaja namun yang bathinnya juga. Al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri pernah menegur orang yang bertasyabbuh dengan ulama (yakni berpakaian seperti pakaiannya ulama – berjubah, berserban) namun kosong dari ilmu dan akhlaqnya, beliau berkata (lebih kurang yang al-Fagir ingat): Bertasyabbuh dengan pakaian ulama itu sememangnya suatu yang baik, namun lebih baik lagi sekiranya dihiasi dengan ilmu dan akhlaqnya juga. Begitu juga ketika guru mulia al-Habib Umar bin Hafidz, tatkala memakaikan serban kepada teman al-Fagir beliau menasihatkannya dengan katanya sebaik-baik pakaian adalah taqwa dan beliau membacakan sepotong ayat, iaitu:
وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ
Ertinya: Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya (al-‘Araf: 26).

Dan jauhilah kita daripada bertasyabbuh kepada golongan kuffar, faasiq, faajir dan daripada perkara-perkara yang tidak diredhai Allah dan RasulNya. Kerana ianya dilarang oleh Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Selain daripada hadits yang dibicarakan di atas, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا
"Bukanlah termasuk golongan kami, orang yang bertasyabbuh dengan selain kami.” (Hadits riwayat at-Tirmidhi)

Semoga Allah Ta’ala menambahkan kecintaan kita kepada para kekasihNya terutama-utamanya kepada kekasihNYA, Penghulu Sekian Anbiya, Auliya dan Sholehin, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Wallahu ‘alam.

Sekian dari
al-fagir abu zahrah.
taman seri gombak
dhuha, khamis, 1 jumadilakhirah 1432/5 mei 2011

Rabu, 25 November 2009

Penghayatan Ibadah Korban

InsyaAllah kita akan merayakan hari raya korban hari Jum’at ini. Dan bermula dari selepas shalat id pada hari Jum’at sehinggga hari tasyriq yang ketiga (hari Itsnain) kita disunatkan melakukan ibadah korban. Korban mengingatkan kita kepada kisah dimana Nabi Ibrahim عليه السلام mengorbankan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Untuk itu, sebelum ambo berangkat balik kampung maka ambo ingin bawakan sedikit kisah pengorbanan ini untuk kita sama-sama hayati dan teladani.

Peristiwa Nabi Ibrahim عليه السلام melaksanakan perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail عليه السلام adalah bukti keta’atan, ketaqwaan dan kecintaan yang tidak berbelah-bagi keluarga tersebut kepada Allah. Kerana keta’atan, ketakwaan dan kecintaan kepada Allah yang begitu tinggi melebihi kecintaannya kepada diri sendiri, anak-isteri, dan segala yang dimiliki bahkan nyawa mereka sendirilah, membuatkan mereka menunaikan perintah Allah tanpa persoalan lagi. Dengar dan patuh! Itu saja.

Mari kita perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام, ketika mereka menerima perintah Allah sebagaimana firman Allah:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ إِنِّيۤ أَرَىٰ فِي ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يٰأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤمَرُ سَتَجِدُنِيۤ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya (Nabi Ibrahim), Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku termasuk orang-orang yang sabar". (Surah ash-Shaffat: 102).


Demikianlah tabahnya seorang ayah dalam menjalankan perintah Allah, walaupun yang perlu dikorbankan adalah anak kesayangan. Anak yang yang sering ditinggalkan dan hanya sesekali dapat bertemu kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tinggal di Palestin.

Seterusnya mari kita perhatikan pula bagaimana redhanya seorang ibu melepaskan anak kesayangan untuk dikorbankan demi perintah Allah.

Dikhabarkan, bahwa tatkala Iblis datang kepada Hajar عليها السلام untuk menggodanya dengan mengatakan: Mengapa engkau biarkan anakmu dibawa Ibrahim untuk disembelihnya?

Maka jawab Hajar: Jangan engkau berbohong. Adakah engkau fikir seorang bapa hendak menyembelih anaknya?

Iblis menggoda lagi: Itulah sebabnya Ibrahim membawa pisau dan tali bersamanya.

Hajar bertanya: Untuk apa dia menyembelih?

Jawab Iblis: Dia mendakwa telah diperintahkan oleh Tuhannya supaya berbuat demikian.

Hajar berkata: Seorang Nabi tidak diperintahkan berbuat kepada perkara yang salah. Sedangkan aku sanggup menjalankan perintah Tuhan dengan mengorbankan nyawaku, inikan pula untuk mengorbankan anakku, aku lebih sanggup.

Mendengar kata tersebut Iblis kecewa untuk menggoda Hajar.


Allahu Allah …. Alangkah ta’atnya mereka dalam menerima perintah dari Allah! Semoga kita juga diberi kekuatan keyaqinan, keta’atan dan kecintaan seperti mereka.

Manakala Nabi Ismail عليه السلام pula, setelah redha menerima perintah Allah bahwa dia akan dikorbankan oleh ayahnya, maka sebelum dirinya disembelih, beliau telah meminta dari ayahnya agar dapat menunaikan beberapa permintaannya, iaitu:
  • Ikatlah kedua tanganku supaya aku tidak meronta-ronta, yang mana menyebabkan ayah terganggu melaksanakan perintah
  • Telungkupkan mukaku ke bumi supaya tidak dapat melihat engkau yang akan menyebabkan engkau timbul kasihan kepadaku
  • Selakkan bajumu jauh daripadaku supaya tidak terpercik oleh darahku, yang menyebabkan kurang pahalaku dan jika dilihat oleh ibuku nescaya dia akan bersedih
  • Tajamkan pisaumu, dan segera hiris leherku, supaya mudah mati, kerana kematian itu sangat menakutkan
  • Bawalah pulang bajuku dan berikan kepada ibu sebagai kenang-kenangan baginya daripadaku
  • Sampaikan salam kepadanya, dan pujuklah supaya dia bersabar di atas perintah Allah
  • Jangan engkau ceritakan caranya bagaimana menyembelih dan mengikat tanganku
  • Jangan benarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya
  • Jika engkau bertemu dengan kanak-kanak yang sebaya dengan ku, jangan engkau memandang kepadanya supaya engkau tidak berkeluh-kesah dan kesedihan.
Setelah mendengar kata-kata itu, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berkata: Sesungguhnya sebaik-baik pertolongan, engkaulah wahai anakku di atas perintah Allah. Allahu Allah.

Allahu Allah, alangkah sabar dan ta’atnya seorang anak dalam menerima perintah Allah dan menenangkan hati ayahnya untuk menjalankan perintah Allah.


فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ * وَنَادَيْنَاهُ أَن يٰإِبْرَاهِيمُ * قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّؤْيَآ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلاَءُ ٱلْمُبِينُ * وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي ٱلآخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ * كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ *

Ertinya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya ketompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerukannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu [Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.]”. – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (Surah ash-Shaffat: 103 – 107)


Demikianlah secebis kisah pengorbanan tiga insan mulia iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام. Semoga kisah ini membawa keinsafan kepada kita untuk kita meneladani Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام dalam mengorbankan segala yang kita miliki dan cintai demi keta’atan dan ketaqwaan kita kepada Allah sebagai rangka untuk menggapai keredhaan dan kecintaan Allah Ta’ala. Itulah sebenarnya tujuan disyariatkanNya kita berkorban sebagaimana tersirat dalam firmanNya di dalam surat Al-Hajj, 37:

لن ينال الله لحومها و لا دماءها ولكن يناله التقوى منكم

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ‘amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa kamu [yakni keredhaan Allah Ta’ala tidak akan dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi dapat dicapai dengan niat amal yang ikhlas semata-mata keranaNya di dalam menta’ati perintahNya dan dengan rasa kecintaan yang mendalam kepadaNya]


Maka renungi dimanakah kedudukan kita di dalam menerima dan menunaikan perintah Allah. Guru ambo pernah berkata: Kalau mahu mengetahui kedududukanmu disisi Allah, maka perhatikan sejauhmana engkau membesarkan Allah dihatimu (yakni dalam menta’ati dan bersegera menunaikan segala suruhanNYA dan juga dalam menjauhi laranganNya dan keikhlasan dalam menunaikan perintah-perintah tersebut).


Sekian dan selamat menyambut hari Raya Korban dari:
Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
8 Dhulhijjah 1430

Rujukan:
Tafsir al-Quran ‘Abrul Asiir oleh Haji Ahmad Sonhadji Mohamad
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran

Selasa, 25 Ogos 2009

Kisah Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syaikh 'Abdur Rahman bin Sa'di

Ikuti kisah Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syaikh 'Abdur Rahman bin Sa'di di al-Fanshuri - Kenali Ulama Kita. Sedikit petikan ...

Kisahnya begini ......

Suatu ketika Sayyid 'Alawi al-Maliki duduk dalam halaqahnya di Masjidilharam, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syaikh 'Abdur Rahman as-Sa'di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersholat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab [pancuran emas]. Lantas ramai orang bergegas ke bawah mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya..... ikuti seterusnya....


Khamis, 23 April 2009

Kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas dan benar akan jatuh ke hati ... sambungan

Ambo sambung lagi dari entri sebelumnya Habib Umar Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله تعالى menyebut di dalam Irsyadatud Da’iyat (kumpulan pelajaran Habib Umar di Darul Zahra’). Beliau seterusnya menceritakan:

Sayyidina ’Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره dalam menyampaikan pengajiannya menggunakan bahasa yang sangat sederhana. Anak beliau yang telah banyak menuntut ilmu dan gemar menyampaikan ilmu berbisik di dalam hatinya: Jika aku diizinkan menyampaikan ilmu, tentu akan lebih banyak orang yang menangis.

Maka suatu hari Sayyidina ’Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ingin mendidik anaknya, beliau berkata kepada anaknya: Wahai anakku! Berdirilah dan sampaikan syarahanmu. Anak beliau kemudiannya bersyarah dengan isi dan gaya yang bagus sekali. Namun tiada seorang pun yang menangis dan merasa khusyu’. Para hadirin bahkan merasa bosan mendengarnya. Setelah anaknya selesai bersyarah, Sayyidina ’Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره naik keatas mimbar lalu berkata: Para hadirin sekelian, malam tadi isteriku ummul fuqaro’, menghidangkan ayam panggang yang sangat lazat, tiba-tiba seekor kucing datang dan memakannya.

Mendengar ucapan ini, para hadirin menangis dan menjerit. Anak beliau berkata: Aneh .... aku bacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka, hadits-hadits Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, syair dan pelbagai akhbar, tidak seorang pun yang menangis. Tetapi ketika ayahku menyampaikan ucapan yang tidak ada ertinya, mereka justru menangis. Sungguh aneh, apa sebabnya????

Habib Umar menyambung: Inti ceramah (syarahan, ilmu) bukan terletak pada susunan kalimat tetapi pada kesucian hati dan sifat shidq (benar) orang yang berceramah (bersyarah, berbicara .. etc). Sewaktu Sayyidina ’Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره berbicara, para hadirin menangis kerana mengertikan ’kucing’ dalam kisah beliau itu dengan syaithan yang mencuri amal anak Adam dengan cara menimbulkan rasa riya’, ujub dan kibr (sombong). Ada yang menangis kerana mengibaratkan cerita itu dengan keadaan su’ul khatimah, yakni ia membayangkan seseorang yang memiliki amal yang sangat banyak, tetapi usianya berakhir dengan su’ul khatimah. Mereka menangis dan merasa takut kepada Allah hanya kerana ucapan biasa. Sesungguhnya dari ucapan itu telah membuatkan mereka berfikir, menerbitkan cahaya di hati mereka, berkat dari cahaya yang memancar dari hati Sayyidina ’Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ...... Tamat petikan.



Rabu, 22 April 2009

Kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas dan benar akan jatuh ke hati

Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله تعالى menyebut di dalam Irsyadatud Da’iyat (kumpulan pelajaran Habib Umar di Darul Zahra’):

Mengenai kesan dari sikap ikhhlas ini, para ulama bercerita tentang al-Imam al-Habib ’Abdullah bin Thohir al-Haddad, yang tinggal di Qaidun. Beliau adalah salah seorang guru kita yang sempat ditemui oleh ulama-ulama besar yang hidup di zaman ini. Beliau pernah bertemu dengan Khidhr di Mekah.

Pada suatu acara maulid di Mekah, berkumpullah para ulama dari timur dan barat; Syam, Mesir, Suriah, Palestin, Hijaz, Maghribi dan lain-lain negara. Mereka semua berpidato. Setelah para ulama berpidato, mereka berkata kepada al-Habib ’Abdullah bin Thohir al-Haddad: Sekarang giliranmu, wahai Sayyid!

MasyaAllah, mereka yang dari Yaman, Hijaz, Mesir, Syam dan Maghribi telah berpidato, sudah memadai, jawab beliau.

Kami ingin mendengar pidatomu walaupun sedikit, desak mereka. Kata yang lain pula: Wahai Sayyid ’Abdullah, bukankah kau keluar dari rumah untuk berdakwah?

Al-Habib ’Abdullah bin Thohir al-Haddad bangkit lalu mengangkat kedua tangannya berdoa:

أللهم اهدنا فيمن هديت

Ya Allah, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Kau beri petunjuk

Mendengar doa ini, semua hadirin menangis

وعافنافيمن عافيت

Berilah kami ‘afiat sebagaimana orang yang telah Kau beri ‘afiat

Suasana majlis dipenuhi dengan suara tangisan hadirin.

وتولنا فيمن توليت

Lindungilah kami sebagaimana orang-orang yang telah Kau beri perlindungan

Seorang ulama Mesir bangun lalu berkata: Lihat Sayyid ini, ia mengucapkan kalimat yang kita semua sudah tahu. Setiap hari kita mendengar dan berdoa dengannya [doa qunut]. Namun, dek kerana ucapan itu kelaur dari hati yang shidq (benar) perhatikan kesan yang ditimbulkannya. Tadi ramai orang dari pelbagai negara telah berpidato. Mereka menceritakan keadaan umat-umat terdahulu, derita dan kesulitan yang mereka alami, tetapi tidak seorangpun menangis, dan kita tidak merasakan sedemikian khusyu’. Apa sebabnya? Perhatikanlah keikhlasan hati orang-orang sholeh. Cahaya yang terdapat di dalam hati mereka menyebabkan ucapannya meninggalkan kesan pada kita semua ...


Sumber: Manhaj Dakwah terjemahan Habib Novel Muhammad al-Aydarus, terbitan Putera Riyadi, cetakan pertama Dhulhijjah 1421/Maret 2001


Kisah Teladan - Adab Menziarahi Ulama

Hari ni ambo nak kongsi sebuah kisah yang mana padanya tersirat beberapa pengajaran, antaranya adab ketika menziarahi para ulama, terutamanya ulama ’arifbillah. Kisah ini ambo temui didalam beberapa buah kitab, antaranya:
  • Al-Fatawa al-Haditsiyah oleh Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki
  • Tuhfatul Asyraf (iaitu kalam Habib Muhammad bin Hadi bin Hasan bin Abdurrahman as-Saqqaf yang ditulis oleh muridnya Habib Ahmad bin ‘Alwi al-Jufri)
  • Al-Kawakib ad-Duriyyah ‘ala al-Hadaiq al-Wardiyyah fi Ajlaa’ as-Saadat an-Naqsyabandiah oleh Syaikh ‘Abdul Majid bin Muhammad bin Muhammad al-Khani asy-Syafie.

Kisahnya kurang-lebih lagu niii ….. Shaikh Abdul Qadir Jilani, di zaman mudanya sangat gemar menuntut ilmu. Beliau mempunyai dua orang shahabat akrab iaitu Ibnu as-Saqa dan Abu Said Abdullah Ibnu Abi Usrun (wafat - 585H). Beliau suka bershahabat dengan keduanya kerana mereka sangat cerdas. Mereka bertiga banyak melakukan perbincangan dan menyelesaikan berbagai persoalan.

Suatu hari mereka berkumpul tiga bershahabat ini dan sepakat untuk mengunjungi seorang waliAllah yang bernama Syaikh Yusuf al-Hamdani [440H – 535H: Beliau Abu Ya’qub Yusuf ibn Ayyub ibn Yusuf ibn al-Husain al-Hamdani adalah murid kepada Syaikh Abu ‘Ali al-Farmidhi dan guru kepada Shaikh Abdul Khaliq al-Ghujdawani – Masyaikh Tariqah Naqsyabandi. Kepada Syaikh Abdul Khaliq inilah dinisbahkan ‘amalan khatam khawajakhan dan yang mengatakan Syaikh Abu ‘Ali al-Farmidhi adalah guru kepada Imam al-Ghazali], yang dikenali sebagai al-Ghaus. Al-Ghaus adalah seorang ahli ibadah yang shaleh, waliAllah yang tinggal di pinggir kota. Namun beliau dikunjung ramai orang.

Sebelum berangkat, maka berdisikusilah antara Ibn as-Saqa dan Ibn Abi Usrun mengenai niat atau maksud dari ziarah mereka itu. Kata Ibn as-Saqa: Aku akan menanyakan persoalan yang susah agar ia bingung dan tidak boleh menjawabnya. Manakala Ibn Abi Usrun pula berkata: Aku akan ajukan persoalan, dan aku ingin melihat apa yang akan dia perkatakan.

Syaikh ’Abdul Qadir al-Jailani hanya diam membisu. Maka bertanyalah Ibn as-Saqa dan Ibn Abi Usrun kepada beliau: Bagaimana pula dengan engkau, wahai Abdul Qadir?

Syaikh Abdul Qadir menjawab: Aku berlindung dengan Allah dari bertanyakan persoalan yang sedemikian. Aku hanya ingin ziarah untuk mengambil barokah darinya.

Lalu berangkatlah tiga shahabat ini ke rumah Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus. Setelah dipelawa masuk oleh al-Ghaus, beliau meninggalkan mereka seberapa ketika. Setelah menunggu agak lama, barulah Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus keluar semula dengan pakaian kewaliannya untuk menemui mereka, lantas beliau berkata:

Kamu, wahai Ibn as-Saqa, berkunjung ke mari untuk mengujiku dengan persoalan demikian, jawabnya adalah demikian (Syaikh Yusuf al-Hamdani menjelaskan jawapannya beserta dengan nama kitab yang dapat dijadikan rujukan). Ia kemudian berkata kepada Ibnu as-Saqa, Keluarlah kamu! Aku melihat api kekufuran menyala-nyala di antara tulang-tulang rusuk mu.

Sedangkan kamu, ya Ibnu Abi Usrun, kamu ke mari dengan tujuan menanyakan permasaalahan ilmiah, jawabnya adalah demikian. Beliau, Syaikh Yusuf al-Hamdani lalu menjelaskan jawapannya berserta nama kitab yang membahas persoalan itu. Keluarlah kamu! Aku melihat dunia mengejar-ngejar kamu.

Kemudian Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus melihat kepada Syaikh Abdul Qadir al-Jailani, lantas berkata: Wahai anakku Abdul Qadir, Engkau diredhai Allah dan RasulNya dengan adabmu yang baik. Aku melihat engkau kelak akan mendapat kedudukan di Baghdad dan memberi petunjuk kepada manusia. Apa yang kamu ingin kan insyaallah akan tercapai. Aku melihat bahawa kamu nanti akan berkata “Kedua kakiku ini berada di atas leher setiap para wali”.


Mereka bertiga kemudian keluar dari rumah al-Ghaus.

Beberapa lama setelah itu, Ibnu as-Saqa diperintahkan raja untuk berdebat dengan pemuka agama Nashrani. Perdebatan ini atas permintaan Raja kaum Nashrani. Penduduk negeri telah sepakat bahawa mereka sebaiknya diwakili oleh Ibn Saqa. Dialah orang yang paling cerdas dan alim di antara kita, kata mereka. Maka berangkatlah Ibn Saqa untuk berdebat dengan pemuka agama Nashrani. Sesampainya Ibnu Saqa di negeri kaum Nashrani, dia terpikat dengan seorang wanita pada pandangan pertama. Lalu dia menghadap ayah si wanita untuk meminangnya. Ayah perempuan itu menolak, melainkan jika Ibn Saqa terlebih dahulu memeluk agama mereka (nashrani). Dia pun dengan serta merta menyatakan persetujuan dan memeluk agama mereka, menjadi seorang Nashrani.

Manakala mengenai Ibnu Abi Usrun, dia ditugaskan raja iaitu Sultan as-Shaleh Nuruddin asy-Syahid, untuk menangani urusan wakaf dan sedekah. Kilauan dunia selalu datang menggodanya dari berbagai penjuru hingga akhirnya ia jatuh dalam pelukannya.

Adapun Shaikh Abdul Qadir, kedudukannya terus menjulang tinggi disisi Allah juga disisi manusia sehingga sampai suatu hari beliau berkata “Kedua kakiku ini berada di atas leher setiap wali”. Suara beliau didengar dan dipatuhi oleh seluruh wali ketika itu. – Tamat kisah –


Maka, tentang pengajarannya … pakat-pakat pikiaq sendirilah no……… fikir-fikirkan. Banyak pengajaran yang tersirat didalam kisah ini, cuma ambo malaih nak suratkan. :)

Isnin, 15 September 2008

Badar al-Kubra

Alhamdulilah semalam dapat hadhir majlis haul di Kemensah. Dan pagi ni pulak dapat kesempatan membaca kitab Muwattho` dengan al-Habib Sholeh al-Aidrus, dari Ponpes Darul Hadits al-Faqihiyyah, Malang, Jawa Timur Indonesia. Untuk kenali beliau silalah kesini ... ada biografi ringkas. Beliaulah yang membaca manaqib guru beliau al-Habib as-Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki, semalam. Alhamdulillah. Begitulah dipesan oleh guru-guruku, supaya mengambil peluang untuk duduk dengan ulama’ dan mengambil ilmu mereka seandainya mereka berkunjung ke tanahair. Atau paling tidak kata mereka …. Minta mereka doakan ….. Alhamdulillah. Cuma, niii aku lari balik rumah sat … ada urusan sikit … malam ni lepas sholat tarawikh sambung dengan pengajian qawaid asasiyah fi ilm hadits pulak … dan esok pagi sambung lagi baca Muwattho` lagi sampai khatam. InsyaAllah. Sapa-sapa yang nak hadhir bolehlah. 17hb, Habib sholeh akan kembali ke Indonesia. Memang baca intensif … berhenti sholat Dzuhur, dan ‘Asar aja …. Boleh hubungi aku lah kalau nak tau … Maka kerana kesibukkan tu, maka hari ini aku nak post satu artikel mengenai peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan 2H. Mohon maaflah kalau bahasanya lintang pukang …. Tak dan nak check ….. Semoga dengan mengingati Badar al-Kubra akan menyuntik kembali semangat juang kita. InsyaALLAH.

Badar al-Kubra

17 Ramadhan …… suatu tarikh dimana sering diadakan sambutan bagi memperingati dua peristiwa penting didalam sejarah Islam. Pertama adalah Nuzul al-Quran dan kedua adalah Peperangan Badar al-Kubra. Adapun yang aku akan sentuh dalam penulisan ku ini adalah mengenai peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Ini adalah kerana peperangan Badar amat signifikan dalam sejarah Islam dimana inilah hari yang menentukan kesinambungan dakwah Islam. Hari penentuan sama ada Islam terus berkembang atau berkubur. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika berlakunya peperangan tersebut bermunajat kepada Allah:-

اللهم أنشدك عهدك و وعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد في الأرض

Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di mukabumi ini.

Angkatan perang pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat meninggalkan kota Madinah pada tanggal 8 Ramadhan. Sewaktu ketiadaan baginda di kota Madinah, Amru bin Ummi Maktum dilantik menjadi iman sholat. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat bersama-sama 313 orang shahabat baginda. Panji-panji perang di serahkan ke Sayyidina Mush’ab bin ‘Umair bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin ‘Abduddar رضي الله عنه manakala panji-panji kaum Muhajirin dipegang oleh Sayyiduna ‘Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan panji-panji kaum Anshar di pegang oleh Sayyiduna Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه . Didalam kitab kisah-kisah para shahabat yang ditulis oleh al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi رحمه الله dinyatakan bahwa perbekalan angkatan perang kaum Muslimin sangat sedikit iaitu 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 baju besi dan 8 bilah pedang. Oleh kerana terhadnya kenderaan untuk ditunggangi maka para shahabat terpaksa menunggang secara bergilir. Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم, Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan Martsad bin Abu Martsad al-Ghanawi secara bergiliran menaiki satu unta. Hamzah bin Abdullah Mutthalib, Zaid bin Haritsah, Abu Kabsyah dan Anasah رضي الله عنهم, satu unta. Abu Bakar, Umar dan Abdurrahman bin Auf رضي الله عنهم , satu unta …. Allahu Allah …. Dek kerana dhaifnya perbekalan tentera muslimin terutamannya dari ketumbukan kaum Muhajirin … maka dengan penuh belas kasihan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berdoa:

اللهم إنهم حفاة فاحملهم اللهم إنهم عراة فاكسهم وإنهم جياع فاشبعهم

Ya Allah, mereka ini (kaum Muahjirin berjalan tanpa alas kaki (berkaki ayam) maka, ringankanlah langkah mereka. Mereka tidak berpakaian, berilah mereka pakaian dan mereka lapar, berilah mereka makanan.


Badar yang letaknya lebih kurang 145km arah barat laut dari kota Madinah al-Munawwarah menjadi saksi diatas keimanan dan ketaqwaan para shahabat رضي الله عنهم sehingga dengannya Allah mendatangkan bantuanNya kepada mereka. Badar menyaksikan pertembungan diantara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang mempunyai kekuatan lebih dari 3 kali ganda, siap dengan kudanya berjumlah 600 ekor dan 700 ekor unta.

Firman Allah [maksudnya]: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Aali Imran: 123)

Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada kaum muslimin dimana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi kaum musyrikin. Dan akhirnya kaum muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan. Kaum musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) sebagai panglima perang terbunuh, 70 lagi ditawan kaum muslimin. Adapun dipihak kaum muslimin hanya 14 orang telah syahid.



Sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah, hari yg menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.


Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz رضي الله عنه berkata …..
Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi lnescaya kami akan menyeberanginya bersamamu ………..

Sayyiduna Saad bin Ubadah رضي الله عنه pula berkata …..
Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.
Sayyiduna Miqdad رضي الله عنه pula berkata:
Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….

Allahu Allah. Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahlu Badr: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian” (Shahih Bukhari).


Tersebut didalam matan Zubad :-

وبعده فالأفضل الصديـق – والأفضل التالي له الفاروق
عثمان بعـده كـذا علـي – فالستة الباقون فالبـدري

Dan kemudian daripadanya maka yang terlebih afdhal adalah Abu Bakar as-Siddiq - Dan yang terlebih afdhal yang mengiringi baginya adalah al-Faruq [Umar al-Khattab] ***
Utsman kemudiannya, demikian lagi ‘Ali - Maka yang enam yang tinggal [daripada 10 orang yang dijanjikan dengan syurga iaitu selain 4 shahabat diatas, Thalhah, Zubair al-Awwam, Sa’ad ibn Abi Waqqas, Sa’id ibn Zaid, Abdurrahman bin ‘Auf dan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah ] maka ahlul Badar


Oleh kerana ketinggian kedudukan ahli Badar disisi Allah, maka para ulama telah menyusun doa yang mengandungi tawasul dengan mereka. Seperti Shalawat Badar, Jaaliyatul Kadar – nazam tawassul oleh 'al-‘Allamah as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji, Saifun Nashar bis Saadatil Kiram Ahlil Badr oleh al-'Allaamah as-Sayyid Ibrahim bin Idris as-Sanusi al-Hasani al-Fasi, Hidayah lis Saalik wa Najaah lil Haalik fit Tawassul bi Ahli Badr wa Shuhadaa’ Uhud oleh Syaikh Muhammad bin Naasir bin ‘Abdullah al-Qadiri asy-Shafi‘ie dan banyak lagi.

Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa dan ahli Badar ini, akan mengalirkan kecintaaan, keberkatan serta semangat juang untuk kita terus istiqamah mengamalkan seterusnya memperjuangkan Islam yang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan kepada kita. أللهم آمين

الفاتحة إلى حضرة النبي و الى ارواح اصحاب البدر الكرام

Isnin, 30 April 2007

Kebenaran Sebagai Kayu Pengukur



Dalam sebuah riwayat diceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan mengenderai seekor himar, manakala anaknya mengikuti dari belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, sebahagian orang pun berkata: “Lihat! Itu ayah yang tidak bertimbang rasa, masakan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan desas-desus dari orangramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula: “Lihat! Ayahnya berjalan kaki sedangkan anaknya mengenderai himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orangramai pula berkata lagi: “Lihat! Dua orang mengenderai seekor himar, tentu perbuatan itu sungguh menyeksakan himar itu.”

Kemudian Luqman dan anaknya turun dari himar itu. Terdengar pula suara orang berkata: “Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka. Katanya: “Wahai anakku! Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah Ta’ala sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam apa jua keadaan.”

Isnin, 2 April 2007

WASIAT UWAIS AL-QARNI KEPADA
HARIM BIN HAYYAN


قال هرم بن حيان لأويس القرني: أوصيني
قال: توسد الموت إذا نمت، واجعله نصب عينيك، وإذا قمت فادع الله أن يصلح لك قلبك ونيتك ، فلن تعالج شيئا أشد عليك منهما، بينا قلبك معك ونيتك إذا هو مدبر، وبيناهو مدبر إذ هو مقبل، ولا ينظر في صغر الخطيئة ولكن انظر إلى عظمة من عصيت.



Maksudnya: Telah berkata Harim bin Hayyan رحمه الله تعالى kepada Sayyidina Uwais al-Qarni رضي الله تعالى عنه : Wasiatkanlah akan daku! Lalu kata Uwais رضي الله تعالى عنه:
  • Berbantalkanlah akan maut bilamana engkau tidur;
  • Jadikanlah maut itu sentiasa berada di depan kedua matamu;
  • Dan bilamana engkau bangun (daripada tidur)mu, maka berdo'alah kepada Allah Ta’ala agar DIA mengislahkan (memperbaiki) bagimu akan hatimu dan niatmu! Maka engkau tidak akan merawat akan sesuatu yang lebih bersangatan berat ke atasmu dari keduanya itu (iaitu hatimu dan niatmu). (Apa yang sering terjadi) di antara hatimu dan niatmu ialah bilamana hatimu bersamamu (yakni hatimu maju/kedepan), niatmu pula mundur ke belakang, dan bilamana hatimu mundur kebelakang niatmu pula maju/kedepan;
  • Dan janganlah engkau memandang kepada kecilnya sesuatu dosa itu, tetapi pandanglah kepada keagungan DIA yang engkau telah durhakai.

[Shifah as-Sofwah oleh al-Imam al-'Alim Jamaluddin Abi al-Faroj ibnu al-Jauziy رحمه الله تعالى, jilid ke-2, juzuk ke-3 halaman 34. Daarul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut-Lubnan.]

Jumaat, 23 Jun 2006

وتشبهوا إن لم تكونوا مثلهم إن التشبه بالكرام فلاح


ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة
Maksudnya : Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kafaarah dan mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kesyurga (Hadith riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus. Menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir, hadith ini dhoif)

وقال سفيان بن عيينة رحمه الله تعالى – عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة

Sayyiduna Uwais al Qarni

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الله عزوجل يحب من خلقه الأصفياء الأخفياء الأبرياء الشعثة رؤسهم المغبرة وجوههم الخمصة بطونهم الذين إذاستأذنوا على الأمراء لم يؤذن لهم وإن خطبوا المتنعمات لم ينكحوا وأن غابوا لم يفتقدوا وإن طلعوا لم يفرح بطلعتهم وإن مرضوا لم يعادوا وإن ماتوا يشهدوا
قالوا: يا رسول الله كيف لنا برجل منهم؟ قال: ذاك أويس القرني
قالوا: وما أويس القرني؟
قال: أشهل ذوصهوبة,بعيد ما بين المنكبين معتدل القامه آدم شديد الأدمة ضارب بذقنه إلى صدره رام ببصره إلى موضع سجوده, واضع يمينه على شماله, يتلو القرآن, يبكى على نفسه, ذوطمرين لا يؤبه له متزربإزار صوف ورداء صوف, مجهول في أهل الأرض, معروف في السماء, لوأقسم على الله لأبرقسمه ألا وإن تحت منكبه الأيسر لمعة بيضاء, ألا وإنه إذكان يوم القيامة قيل للعباد: ادخلوا الجنة, ويقال لإويس: قف فاشفع, فيشفعه الله عزوجل في مثل ربيعة ومضر. ياعمر, ياعلي إذ أنتمالقيتماه فاطلباإليه أن يستغفرلكما يغفرالله لكما.

Maksudnya (dengan terjemahan secara lebih kurang)
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya : Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:“Sesungguhnya Allah عزوجل menyintai akan makhluqNya yang bersifat al-asfiya’ (iaitu orang-orang yang mempunyai hati dan rohani yang bersih, suci, jernih dan tulus dan benar-benar mendampingi Allah ) lagi bersifat al-akhfiya’ (iaitu orang-orang yang mengasingkan diri mereka daripada orang ramai atau orang-orang yang ber’uzlah, yang diam-diam, yang sembunyi-sembunyi, kerana Allah ( lagi bersifat al-abriya’ (iaitu orang-orang yang terkena debu/berdebu, iaitu orang-orang yang kehidupannya adalah tersangat miskin, penuh pengorbanan dan kesabaran di atas kesusahan dan keperitan hidup yang mereka lalui kerana Allah) lagi bersifat asy-sya’itsah ruusuhum (iaitu orang-orang yang mana adalah rambut mereka kusut masai, tidak teratur, mungkin kerana sibuk dengan urusan-urusan ukhrowi dan juga menghadapi liku-liku kemiskinan hidup dan juga pengorbanan atas agama Allah swt) lagi bersifat al-mughobbaroh wujuuhuhum (iaitu orang-orang yang mana wajah-wajah mereka penuh berlumuran debu, lantaran liku-liku kesusahan yang dihadapi dalam hidup mereka yang serba sederhana dan kekurangan dan kerana Allah Ta’ala) lagi bersifat al-khomishotu butuunuhum (iaitu orang-orang yang tersangat kempis perut-perut mereka kerana kelaparan dan kurang makan, sama ada kerana sememangnya tiada makanan/miskin, atau pun kerana banyak berpuasa), dan lagi bersifat yang mana tatkala mereka memohon keizinan (kebenaran/perkenan) daripada pemimpin-pemimpin maka tidak diizinkan atau tidak diperkenankan bagi mereka, dan lagi bersifat bahawa kiranya mereka meminang wanita-wanita yang berharta atau berkedudukan duniawi sedikit maka pinangan mereka ditolak (iaitu mereka tidak akan dinikahkan dengan wanita-wanita tersebut) dan lagi bersifat kiranya mereka ghoib atau menghilangkan diri (daripada sesuatu majlis atau sesuatu tempat mithalnya), maka mereka tidak akan dicari oleh orang lain (iaitu orang ramai tidak ambil kisah dengan kehilangan atau pemergian mereka) dan lagi bersifat kiranya mereka muncul atau hadhir (dalam sesuatu majlis atau sesuatu tempat mitsalnya), maka orang ramai tidak gembira dengan kemunculan atau kehadhiran mereka itu, dan lagi bersifat kiranya mereka jatuh sakit, maka mereka tidak diziarahi (iaitu orang ramai tidak melawat/mengunjungi mereka), dan lagi bersifat kiranya mereka mati, maka mereka tidak didatangi atau dikunjungi (iaitu orang ramai tidak menziarahi jenazah mereka).

(Setelah mendengar sabdaan Baginda صلى الله عليه وسلم itu), maka mereka (yakni para sahabat رضي الله عنهم) telah bertanya : Wahai Rasulullah, bagaimanakah bagi kami (untuk mendapatkan) seorang lelaki daripada mereka itu (iaitu orang-orang yang dicintai Allah yang mempunyai sifat-sifat di atas)?

Sabda Baginda صلى الله عليه وسلم : Itulah Uwais al-Qoroniy.

Mereka (iaitu para sahabat رضي الله عنهم) bertanya lagi: Dan bagaimanakah (sifat-sifat) Uwais Al-Qoroniy itu?

Sabda Baginda صلى الله عليه وسلم : (Dia) mempunyai mata yang agak kebiru-biruan dan juga berwarna kemerah-merahan/perang, di antara kedua bahunya agak jauh (yakni bidang dadanya), badannya lurus tegak seimbang bila berdiri, mempunyai warna kulit sawo matang (atau hitam manis), sentiasa cenderung dengan dagunya/janggutnya ke dadanya (ya'nii menundukkan kepalanya kerana tawadhu' dan banyak berzikrullah), pandangan matanya sentiasa berada ditempat sujudnya, sentiasa meletakkan yang kanan di atas yang kirinya, sentiasa mentilawahkan Al-Quraan, sentiasa menangis atas dirinya, mempunyai dua helai kain usang/lusuh, tidak diendahkan oleh orang ramai (iaitu tidak diperhatikan dan tidak dipedulikan oleh orang ramai), sentiasa memakai kain izaar/sarung yang diperbuat daripada suuf (bulu) dan sentiasa memakai selendang yang juga diperbuat daripada suuf (bulu), tidak dikenali (majhuul) pada kalangan penduduk bumi, dikenali (ma'ruuf) pada kalangan penghuni langit (para malaikat), seandainya dia bersungguh-sungguh memohon kepada Allah Ta’ala pastilah Allah Ta’ala akan memberikan bahagian-bahagiannya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya di bawah bahunya yang kiri terdapat bintik putih, ketahuilah bahawa bila datang hari qiyamat nanti dikatakan kepada hamba-hamba: Masuklah kalian ke dalam syurga!, dan dikatakan kepada Uwais: Berhenti, dan mintalah syafaa'at! Maka Allah 'Azza wa Jalla pun menerima syafaa'atnya seperti mana Robii'ah dan Mudhor. Wahai 'Umar! Wahai 'Ali, apabila kalian berdua telah berjumpa dengannya maka mohonlah kalian berdua kepadanya supaya dia memohon istighfaar (kepada Allah Ta’ala) untuk kalian berdua, nescaya Allah akan mengampun kalian berdua (menerusi istighfarnya itu).



Terjemahan kasar daripada kitab Shifah as-Sofwah oleh al-Imaam al-'Aalim Jamaaluddiin Abil Faroj ibnu al-Jauziy رحمه الله تعالى, jilid ke-2, juzuk ke-3 halaman 28. Daarul Kutub al-Ilmiyyah, Beiruut-Lubnaan. Mohon ampun maaf diatas segala kesilapan dan segala kekurangan.

Rabu, 14 Jun 2006

Kisah Teladan
Hati-hati dalam berfatwa

Imam Malik رحمه الله تعالى adalah seorang ulama besar dan pemimpin mazhab (Iman mazhab Maliki), dan beliau dijuluki "Imam Dar al Hijrah". Akan tetapi sekalipun beliau seorang muhaddith dan faqih, beliau sangat berhati-hati di dalam berfatwa. Sehingga suatu ketika seseorang datang dari Baghdad ke Madinah khusus untuk bertanya kepada Imam Malik رحمه الله تعالى akan beberapa masalah (lihatlah betapa bersemangatnya orang dulu, jalan jauh-jauh dari Baghdad hanya untuk beberapa masalah. Orang sekarang majlis ilmu didepan rumahnya pun tidak hadir). Maka orang tersebut mengajukan lebih kurang 18 masalah. Tiga di antaranya dijawab oleh Imam Malik رحمه الله تعالى, sedangkan yang lain beliau hanya mengucapkan, "Aku tidak tahu. Aku tidak tahu." (perhatikan bagaimana beliau berhati-hati di dalam berfatwa, dan tidak malu untuk mengucapkan sesuatu yang belum pasti dengan kalimat, "Aku tidak tahu").

Maka orang tersebut berkata, "Wahai Imam Malik, aku datang jauh-jauh hanya untuk menanyakan kepadamu masalah ini, sedangkan engkau hanya mengucapkan tidak tahu?"

Berkata Imam Malik رحمه الله تعالى , "Dari mana engkau datang?"

Jawabnya, "Aku datang dari Baghdad."

Imam Malik berkata lagi, "Masjid mana yang menaranya paling tinggi di Baghdad?"

Lalu lelaki itu menjawabnya seraya menyebutkan nama suatu masjid yang paling tinggi menaranya di Baghdad.

Lantas berkata Imam Malik berkata, "Bila engkau pulang ke Baghdad, pergilah ke masjid tersebut dan naiklah kepuncak menaranya, lalu berteriaklah dengan sekuat suaramu agar semua orang mendengar bahwa Malik bin Anas adalah orang yang paling bodoh."

والله أعلم ونسأله التوفيق والهدايه

Related Posts with Thumbnails