Khamis, 17 Mei 2007

Tasawuf - Siri 1

Insyaallah, siri ini adalah merupakan himpunan beberapa persoalan/kemusykilan yang pernah yang kami tanyakan kepada guru-guru kami dan juga beberapa persoalan/kemusykilan yang ditanyakan kepada kami dan juga persoalan yang kami bincangkan dengan saudara-saudara kami. Kami kongsikan disini untuk dimanfaatkan oleh para pengunjung blog yang kerdil ini. Semoga Allah Ta’ala mengampuni kami atas segala kesilapan dan kekurangan.
وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب


Kemusykilan: Ada segolongan dari umat Islam yang mengatakan bahwa ilmu atau ajaran tasawuf itu bukan berasal dari Islam. Benarkah dakwaan itu?

Maka aku (abu zahrah) menjawab: Tidak benar! Tasawuf adalah sebahagian dari ajaran Islam. Bahkan ianya merupa salah satu daripada tiga perkara yang menjadi rukun atau asas bagi agama Islam. Dalilnya sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadits yang dikenali dengan hadits Jibril.

عن عمر رضي الله عنه قال : بينما نحن جلوس عـند رسـول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم اذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب ، شديد سواد الشعر لا يرى عليه أثـر السفر ولا يعـرفه منا احـد. حتى جـلـس إلى النبي صلي الله عليه وسلم فـأسند ركبـتيه إلى ركبتـيه ووضع كفيه على فخذيه، وقـال: " يا محمد أخبرني عن الإسلام ".فقـال رسـول الله صـلى الله عـليه وسـلـم : (الإسـلام أن تـشـهـد أن لا إلـه إلا الله وأن محـمـد رسـول الله وتـقـيـم الصلاة وتـؤتي الـزكاة وتـصوم رمضان وتـحـج البيت إن اسـتـطـعت اليه سبيلا).قال : صدقت.فعجبنا له ، يسأله ويصدقه ‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍‌‌‌؟قال : فأخبرني عن الإيمان .قال : أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الاخر وتؤمن بالقدر خيره وشره .قال : صدقت .قال : فأخبرني عن الإحسان .قال : ان تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك .قال : فأخبرني عن الساعة .قال : "ما المسؤول عنها بأعلم من السائل "قال : فأخبرني عن أماراتها .قال : " أن تلد الأم ربتها ، وان ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان"ثم انطلق ، فلبثت مليا ،ثم قال :" يا عمر أتدري من السائل ؟"قلت : "الله ورسوله أعلم ".قال : فإنه جبريل ، اتاكم يعلمكم دينكم "رواه مسلم - رقم 8 .

Maksudnya: Daripada Umar رضي الله عنه, beliau berkata: Ketika kami sedang duduk disisi Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tiada seorangpun diantara kami yang mengenalinya sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Lalu ia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua paha Rasulullah صلى الله عليه وسلم, lantas ia berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu persuruh Allah, dan kamu mendirikan sembahyang, dan kamu mengeluarkan zakat, dan kamu berpuasa dibulan Ramadhan, dan kamu mengerjakan haji di Baitullah jika kamu berkemampuan pergi kepadanya. Lelaki itu berkata: Benarlah kamu. Maka kami pun merasa hairan terhadapnya kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Lelaki itu bertanya lagi: Maka khabarkan kepadaku tentang iman. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Bahawa kamu beriman kepada ALLAH, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari Qiamat dan kamu beriman kepada qadar baik dan burukNya. Lelaki itu berkata: Benarlah kamu.

Lelaki itu bertanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal ihsan. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Ihsan ialah bahawa kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya tetapi jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu. Lelaki itu bertanya lagi: Maka khabarkan kepadaku dari hal hari qiamat. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Tidaklah yang bertanya itu lebih tahu daripada yang ditanya.

Lelaki itu berkata lagi: Maka khabarkan kepadaku mengenai tanda-tandanya. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab:Tanda-tandanya itu adalah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan kamu melihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing menegakkan dan mendirikan binaan. Kemudian dia pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bertanya: Wahai Umar, tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu? Aku menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian. [Hadith ini dirawayatkan oleh Imam Muslim]

Menurut asy-Syaikh Muhammad Zakaria Kandahlawi رحمه الله didalam kitabnya ash-shariah wa ath-thoriqah, maksudnya:

“Thoriqah itu yang sebenarnya merupakan nama kedua bagi al-ihsan yang disebut dalam hadits itu[hadits diatas], atau ianya [thoriqah] itu jalan yang dengannya membolehkan [seseorang itu] mencapai sifat al-ihsan. Ihsan itulah juga disebut dengan tasawuf atau suluk atau namakanlah ihsan itu dengan apa nama sekalipun, maka sesungguhnya, nama-nama itu merupakan tafsiran dan perkataan yang berlainan namun maksudnya satu sahaja”. (ash-shariah wat-thoriqah, Syaikh Muhammad Zakariya Kandahlawi; cetakan dar ar-Rashid, Kaherah, 1980; halaman 99)

Dalam lembaran sebelumnya (kitab ash-shariah wa ath-thoriqah) asy-Syaikh Muhammad Zakaria Kandahlawi رحمه الله berkata:

Dan kemudian daripada itu, setiap-kali aku kaji dan aku kaji lagi dalam kitab-kitab hadits yang mulia (berkaitan thariqat/tasawuf) itu, maka bertambah kuat dan teguh (keyaqinanku) dalam hati tentang adanya hubungan erat dan tetap antara syariat dengan tharikat/tasawuf, sehingga jika ada pendapat seseorang yang khilaf (bersalahan) dengan yang demikian itu, maka aku yaqin kerana kejahilannya atau kerana sengaja berbuat jahil. (ash-shariah wat-thoriqah, Syaikh Muhammad Zakariya Kandahlawi; cetakan dar ar-Rashid, Kaherah, 1980; halaman 34-35)


Didalam kitab Hidayatut Tholibin fi Bayani Muhimmatiddin (sharh hadits Jibril) oleh al-Habib Zin bin Ibrahim bin Sumaith رحمه الله, katanya (bermaksud):

Dan al-Ihsan itu, ianya adalah ilmu yang difardhukan keatas seseorang hamba berkaitan dengan soal bathinnya daripada akhlak hati (sifat-sifat hati) dan ianya dinamakan dengan ilmu tasawuf. (Hidayatut Tholibin fi Bayani Muhimmatiddin, al-Habib Zin bin Ibrahim bin Sumaith; Dar al-Ilm wa ad-Da’wah, 2006; halaman 142)


Al-Hafidz Abdullah bin Muhammad al-Ghumari رحمه الله, didalam kitabnya bertajuk Husnut Thalattufi fi Bayani Wujubi Suluki at-Tasawuf, berkata:

“ Menjalani jalan tasawuf adalah wajib kerana tidak sempurna agama seseorang itu melainkan dengannya. Ketentuan ini berdasarkan kepada beberapa perkara: (Pertama) ilmu ini menduduki tempat ihsan yang menjadi salah satu daripada rukun agama yang tiga sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits Sayyidina Jibril عليه السلام. [sebagaimana hadits yang dibentangkan diatas] Justeru, tanpa ragu-ragu lagi bahawa agama itu perlu diikuti merangkumi segala aspek rukun-rukunnya iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Perkara ini disebut di dalam salah satu daripada fatwa ayah saya (Syaikh Sayyid Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani). Soalan yang pertama: Siapakah yang mengasaskan thoriqat dan adakah ianya diasaskan oleh wahyu? Maka beliau jawab: Ketahuilah, bahwa thariqat diasaskan oleh wahyu samawi yang menjadi asas-asas agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . Tidak syak lagi, thoriqat menduduki maqam ihsan dan menjadi salah satu daripada rukun agama yang tiga sebagaimana yang disebut oleh Nabi صلى الله عليه وسلم :
فإنه جبريل ، اتاكم يعلمكم دينكم

“Maka sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan kalian agama kalian.”

Al-Hafidz Abdullah bin Muhammad al-Ghumari رحمه الله, didalam kitabnya bertajuk al-Intisar li Tariq as-Sufiyyah, berkata:

Sesunggunya sebagaimana yang terdapat dalam hadits (hadits Jibril diatas) itu, agama Islam terdiri dari 3 rukun tersebut (Islam, Iman dan Ihsan). Maka sesiapa yang membuang bahagian Ihsan iaitu tariqah/tasawuf, agamanya menjadi kurang tanpa keraguan lagi, kerana ia telah meninggalkan satu rukun dari rukun-rukunnya. Maka tujuan thariqat/tasawuf ialah Ihsan itu, setelah seseorang itu dapat menghayati dengan sebenarnya Islam dan Iman. (al-Intisar li Thariq as-Sufiyyah; Dar al-Ta’lif’;halaman:6)

Kata Imam Malik bin Anas رضي الله عنه (Imam mazhab Maliki):

من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق ، ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق ، ومن جمع بينهما فقد تحقق
“Barangsiapa bertasawuf tanpa feqah maka dia zindiq dan barangsiapa berfeqah tanpa tasawuf maka dia fasiq dan barangsiapa menghimpunkan keduanya maka dia tahqiq.” (Kitab Sharh ‘Ain al-‘Ilm wa Zain al-Hilm; Mulla Ali Qari)

Maka dari perkataan Imam Malik ini, dapat difahami bahwa dizamannya telah ada apa yang dikatakan ilmu tasawuf.

Abu al-Abbas Ahmad bin bin Ahmad bin Muhammad Zarruq رحمه الله berkata dalam kitabnya Qawaid at-Tasawuf, pada qaidah no.5:

Dan asas tasawuf adalah maqam Ihsan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Rasullah صلى الله عليه وسلم:
بأن تعبد الله كأنك تره، فإن لم تكن تراه فإنه يراك

“Bahwa kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-NYA, maka jika kamu tidak melihatNYA, maka DIA melihatmu”, kerana sungguhnya seluruh makna sidqut tawajuh kembali kepada asas ini, serta berkisar padanya. Sebab kata ‘sidqut tawajuh’ melambangkan makna penuntutan muraqabah yang lazim, maka anjuran kepada kandungan sidqut tawajuh adalah intipati Ihsan itu sendiri, sebagaimana fiqh itu berkisar pada maqam Islam, dan ushul agama (tauhid) pada maqam Iman. Maka tasawuf adalah merupakan satu bahagian agama yang diajarkan oleh Jibril عليه السلام kepada para sahabat رضي الله عنهم. (Kitab Qawaid at-Tasawuf; Abu al-Abbas Ahmad bin Ahmad bin Muhammad Zarruq; hlm 4-5)

Syaikh Husnain Muhammad Makhluf (wafat 1410H) dalam kata pengantarnya terhadap kitab Risalah Mustarsyidin menyatakan:

Maka tasawuf sebagaimana yang kamu lihat adalah lubb (intipati), ruh serta buahnya syariah. Dan telah berkata Saiyudul Thoifah (ketuan kaum ahli tasawuf atau kaum shufi) al-Junaid (al-Baghdadi): Ilmu kami ini diikat dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah. Dan barangsiap yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak menulis al-Hadits tidak boleh diikuti dalam urusan tasawuf ini. Semua jalan (menuju kepada Allah) tertutup bagi makhluq melainkan bagi mereka yang mengikuti kesan-kesan Rasulullah صلى الله عليه وسلم (Risalah al-Mustarsyidin; al-Haarits al-Muhaasibi; Dar as-Salam; halaman 25)

Oleh itu kami katakan bahwa dakwaan yang mengatakan ilmu tasawuf bukan dari ajaran Islam adalah tertolak. والله أعلم

اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ


وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
- abu zahrah -

0 komen:

Related Posts with Thumbnails