Ahad, 13 Mei 2007

Hikmah Susah Nak Tidoq

Alahai …. Semalam aku agak susah mau melelapkan mata. Mungkin cuaca panas agaknya, ahah … kesan dari pemanasan global! … agaknyalah. Hah.. daripada bergolek-golek dipembaringan, lagi baik aku pi belek kitab, kata hati kecilku. Maka akupun bangun menuju rak-rak buku untuk mencari kitab yang apa yang nak kubaca. Terlihat kitab Risalah Mustarsyidin, karangan Abu Abdullah al-Haris bin Asad al-Muhasibi (wafat 243H). Ahah … baguih kitab ni. Aku suka baca kitab ini kerana isinya yang ringkas dan padat dan ditambah dengan ta’liq padat yang dibuat oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (wafat 1997). Rujukan beliau untuk mentahqiq dan ta’liq [ulasan / komentar] kepada kitab ini saja hampir 244 buah kitab. Masyaallah …….

Aku terus mencari tajuk mana yang nak kubaca. Oh dah ada tanda di halaman163. Aku pun memulakan pembacaan ….

Ketahuilah [wahai murid-muridku, wahai para pembaca kitabku], semoga Allah meluaskan kefahaman dihatiku dan dihatimu, mencerahkan dengan ilmu dadaku dan dadamu dan menghimpunkan dengan keyakinan pada himmahku dan himmahmu. Sesungguhnya aku dapati bahwasanya asal bagi setiap bala yang menyerang hati seseorang itu adalah natijah dari sifat fudhul (berlebih-lebihan)

Allahu Allah …. Sampai takat sini pun rasanya aku dah ‘fail’. Apa tidaknya .... makan sepinggang pun sudah menghilangkan lapar …. Tapi aku tambah lagi dek kesedapan juadah tersebut. Kan fudhul tuuu ... Pakaian yang masih elok masih ada …. nak beli yang baru lagi. Kalau tegur atau marah anak-anak …. macam peluru automatik M16 ... berteraboq keluar. Tidur pun kalau dihitung-hitung mahu dalam 10 jam sehari. Allahu Allah. Kalau bersembang … masyaAllah … sampai kepagi boleh …. susah mau berhenti.

Dalam ulasannya al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah membawa kata-kata yang merupakan definasi tasauf oleh al-Imam al-Hafidz al-Muhaddits az-Zahid Abu Said Ibn al-‘Araabi (Ahmad bin Muhammad) al-Basri as-Shufi, katanya: Bermula tasauf itu keseluruhannya adalah meninggalkan fudhul (berlebih-lebihan). Kuteruskan lagi membelek lembaran kitab ….

Dan asal yang demikian itu adalah kerana memasuki atau bergelumang dengan dunia dalam keadaan jahil dan melupai hari ahkirat setelah mengetahuinya. Dan untuk selamat dari yang demikian itu adalah meninggalkan setiap apa yang tidak diketahui secara wara’ [yakni dalam pertimbangan hukum wara’] dan mengambil setiap apa yang ma’lum secara yaqin [yakni mengambil apa yang diketahui secara yaqin ianya halal]

Yang ni pun kantoi lagi … tak payah nak ceritalah. Bukan senang nak duduk pada maqam wara’ nih. Guru aku selalu dok pesan, supaya bersifat wara dalam segala urusan demi untuk menjaga kesucian dan kehormatan agama. Ok terus baca lagi …. Berkata lagi al-Muhasibi.

Dan aku dapati juga kerosakan hati itu menjadi punca rosaknya agama. Tidakkah engkau perhatikan sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم [maksudnya]: “Ketahuilah didalam jasad/tubuhbadan [anak adam] ada seketul daging, apabila baik daging itu, baiklah seluruh jasad dan apabila rosak daging tersebut, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahwa daging itu adalah hati.” Dan makna [menurut tafsiran penulis kitab – al-Muhasibi] al-jasad itu adalah agama. Kerana dengan agamalah [dinilai akan] baik dan buruknya anggota tubuh badan [segala perbuatan].

Helaian seterusnya ….

Asal atau punca kerosakan hati itu adalah kerana meninggalkan muhasabah diri dan tertipu dengan panjang angan-angan. Maka apabila engkau menghendaki akan baik hatimu, maka berhentilah ketika mana ada kehendak atau keinginan, dan juga ketika datang lintasan hati. Maka engkau ambillah apa yang untuk Allah dan tinggalkan apa yang selainnya. Dan mohonlah bantuan dari untuk mengurangkan angan-angan dengan mengingati MATI.

Al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam ulasannya, Syaikh al-Faqih as-Sholeh Ahmad bin Ruslan berkata didalam kitabnya matan Zubad [maksudnya]: Timbanglah dengan neraca syara’ setiap khotirmu[lintasan hatimu]. Andainya ia termasuk perkara yang disuruh maka tunaikan, dan andaikata termasuk dalam perkara yang dilarang, maka dia adalah dari syaitan, maka hindarilah. Imam Junaid berkata: Apabila datang atas hatiku khotir, maka tiada aku terimanya melainkan dengan disokong dua saksi yang yang adil iaitu al-kitab (al-Quran) dan as-Sunnah. Imam al-Harits al-Muhasibi berkata lagi:

Dan aku dapati asas-asas fudhul yang berlegar dihati akan terkesan pada pendengaran, penglihatan, lisan, makanan, pakaian dan tempat tinggal.
• Maka berlebihan pada pendengaran membawa kepada lupa dan lalai
• Dan berlebihan pada penglihatan membawa kepada lalai dan tercengang kebingongan
• Dan berlebihan pada lidah membawa kepada menambah-nambah dan mereka-reka
• Dan berlebihan pada makanan membawa kepada sifat pelahap dan haloba
• Dan berlebihan pada pakaian membawa kepada bermegah dan menyombong (meninggi diri)
• Dan berlebihan pada tempat tinggal membawa kepada berlebih-lebihan [membuang harta bukan pada tempatnya/boros] dan kemegahan

Tu dia baru 6 perkara, kantoi belaka. Dalam ulasan al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ada 11 jenis atau bahagian. Allahu Allah. Tak terdaya lagi nak menyambung bacaan. Nafsu yang ketegaq ini mula terasa mengantuk pula. Dah tak larat nak angkat pelupok mata untuk meneruskan pembacaan. Biasalah bila baca persoalan yang menyentuh ke’aiban diri , penyakit-penyakit hati ni … mai ngantuk pulak.…….Tapi lagu mana pun kira ok lah pasai dapat sikit manfaat dari kitab yang kubaca ... untuk memberi peringatan pada hatiku yang ketegaq. Mengantuk! mengantuk!.... Bismikallaahumma ahyaa wa amuut.

Semoga apa yang aku kongsi bersama kalian ini dapat memberi manfaat buat diriku terutamanya dan juga buat kalian.

-abu zahrah-

0 komen:

Related Posts with Thumbnails