Sabtu, 14 November 2009

Kata Ulama Kita ....

Kali ni ambo nak bawa sedikit petikan dari kitab karangan ulama terkenal, Syaikh 'Utsman Jalaluddin Penanti. Lagu mana biasa, ambo nak pekenai dulu ulama tersebut. Maklum sajalah, orang laani kurang kenal akan ulama -ulama mereka yang terdahulu ...

Beliau adalah Syaikh 'Utsman Jalaluddin bin Muhammad bin 'Abdus Shamad al-Kelantani
atau lebih dikenali sebagai Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti. Merupakan murid al-Marhum Tok Kenali. Pengasas pondok yang terbilang. Beliau dilahirkan di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1297H / 1880M atau 1300H/1880M dan kembali ke rahmatUllah di Makkah al-Mukarramah pada tanggal 30 Dhulhijjah 1371H / 19 September 1952 M.

Antara guru-guru beliau:
  • Haji Jamaluddin, Perupok
  • Mufti Haji Muhammad bin Haji Abdus Shamad (Tuan Tabal)
  • Tuan Guru Haji 'Abdul Malik Sungai Pinang
  • Tok Kenali
Pada tahun 1319H/1901, beliau melanjutkan pelajarannya ke Makkah. Di sana beliau berguru dengan ramai ulama di sana, antaranya:
  • Syaikh Wan Ahmad al-Fathani (beliau mendampingi Syaikh Wan Ahmad sehinggalah guru beliau ini meninggal dunia pada tahun 1325H/1908M);
  • Syaikh Mukhtar bin 'Athorid Bogor (dengan gurunya ini beliau belajar kitab Tuhfah);
  • Syaikh Umar Hamdan al-Mahrasi (wafat 9 Syawwal 1368H/1949M di Madinah)
  • Syaikh 'Ali al-Maliki
  • Syaikh Sa'id al-Yamani
Beliau bermukim di Mekah sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1319H, selama 4 tahun. Kemudian pada 1341H sehingga 1351H.

Di antara kitab karangan beliau ialah:

  1. Syarh al-Kabir;
  2. Mathali' al-Anwar wa Majami' al-Azhar;
  3. Qiladah al-'Iqyan fi Sya'bi al-Iman;
  4. Mir-ah al-Iman wa Mirqat al-Ghilman;
  5. Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan;
  6. Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam;
  7. Fathul Mu'in;
  8. Hadis Nur Nabi;
  9. Nujum al-Muhtadin Perbahasan Kaum Muda;
  10. Ta'rif al-'Urfi fi `Ilmi at-Tashrif;
  11. Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada (terjemahan kitab Jalalain); dan
  12. Ad-Durratun Naafi`ah fi Asyraathis Saa`ah.

Seteruihnya, mai kita perati tengok apa kata beliau mengenai Wahabi. Ambo petik dari kitab beliau yang bertajuk Ad-Duuratun Naafi'ah fi Asyraathis Saa'ah, bab Kenyataan Alamat Kiamat Yang Telah Jatuh, halaman 15 - 16.


....... Puak Mariqin (yang mencarikkan dan yang merosakkan agama) dan telah menyuruh oleh Nabi صلى الله عليه وسلم akan bahawa kami berperang bersama - sama dengan 'Ali akan puak Mariqin itu, maka tiada kami lihat akan mereka itu kemudian daripada itu. Maka difaham daripada hadits ini bahawasanya zaman segala sahabat Nabi ada puak yang merosakkan agama, maka istimewa pula pada masa kita ini.

Dan diriwayat daripada Abi Sa'id akan hadis yang marfu' (yang berhubung sanadnya dengan Nabi) bahawasanya lagi akan dikeluarkan daripada ahli puak Mariqin ini oleh satu kaum yang membaca ia akan kitab Allah (al-Quran) pada hal otaknya masih basah, maka tiada melampaui ia akan halqum mereka itu (di dalam hati) bahkan pada mulut jua, lagi mencarik oleh mereka itu akan agama sebagaimana mencarik oleh anak panah akan tempat lontar, lagi membunuh mereka itu akan ahli Islam dan meninggalkan oleh mereka itu akan segala kafir yang menyembah akan berhala daripada bunuh. Bersabda Nabi: "Demi Allah, jikalau aku dapat akan mereka itu di dalam masa aku, nescaya aku bunuh akan mereka itu sebagai bunuh kaum 'Aad dan kaum Tsamud." Dan dikehendakkan dengan suatu kaum itu ialah kaum yang keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama'ah seperti kaum Wahhabi dan kaum Rafidhi (Syi'ah) dan yang lain daripada mereka itu, kerana diriwayat hadis Ibnu 'Umar daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda ia akan keluar oleh manusia daripada pihak masyriq Madinah, hal keadaan mereka itu membaca oleh mereka itu akan Quran padahal tiada melampaui ia akan segala halqum mereka itu. Tiap-tiap diputuskan suatu kurun, nescaya digantikan oleh kurun yang lain pula hingga akhir mereka itu berhubung dengan keluar dajjal bersama-sama dengan Nabi 'Isa a.s. Kerana puak Wahhabi dan Rafidhi itu diam mereka itu pada pihak masyriq Makkah Madinah dan mereka itulah membaca akan Quran tiada melampaui ia akan halqum mereka itu. Bahkan pada mulut jua, tiada mesra ia pada memberi faedah ia akan mengikut mereka itu akan barang yang menyuruh ia akan mereka itu.


Manakala di dalam kitab beliau berjudul Mathali' al-Anwar wa Majaami' al-Azhar, halaman 170:

"Sesungguhnya kami mulai belajar furu' syariat dan lain-lainnya pada tahun 1311H. Maka dalam masa yang tersebut itu tiada satu perubahan perkara agama daripada kaum kami bahkan bertaqlid mereka itu bagi salah suatu daripada mazhab yang 4 dan banyak ulama'-ulama' yang besar padanya. Dan tatkala adalah pada tahun 1319H kami mula bermukim dalam Mekah 4 tahun. Maka tidaklah kami mendapatkan padanya suatu perubahan perkara agama daripada kaum kami, maka menimbang oleh kami dengan belajar furu' syari'at dan alatnya 11 tahun. Kemudian pada tahun 1341H kami kembali bermukim dalam Mekah pula. Maka tiada juga padanya suatu perubahan perkara agama. Kemudian tatkala adalah pada tahun 1343H mengambil oleh kaum Wahabi akan Mekah dan Madinah, maka tatkala adalah pada tahun 1351H maka kami turun ke Jawi pula. Maka kami mendapat padanya berpecah-pecah kaum kami beberapa puak dan beberapa perselisihan di antara mereka itu."


Sekian dari
al-Fagir Abu Zahrah al-Qedah
Seri Gombak, Selangor Darul Ehsan

0 komen:

Related Posts with Thumbnails