Rabu, 11 November 2009

Berpegang kepada pendapat majoriti

Artikel ini telah dipaparkan pada 12 Feb 2008, kalau tak silap ambo. Maka ambo naikkan semula kerana ada kena-mengena dengan apa yang ambo tulih sebelum ni. Saudara-saudaraku, mai kita pakat perati tengok apa yang tersurat ini dan fahamilah apa yang tersirat.


Petikan dari Ruangan Bicara Agama – Utusan Malaysia
Bersama:MOHD. YUSOF ABAS

Berpegang kepada pendapat majoriti

SOALAN: Ada kawan saya yang mengatakan kita tidak boleh berpegang atau mengikut pendapat majoriti umat Islam hari ini kerana katanya suara ramai itu sesat dan bidaah. Adakah pendapat ini benar?
– Siti Norbaya binti Zakaria, Kuala Muda,Kedah.

JAWAPAN: Pendapat kawan anda itu kurang tepat, kerana banyak kekeliruan terdapat di dalamnya antara lain ianya bertentangan dengan al-Quran dan juga hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Siapa yang menentang (ajaran) Rasulullah صلى الله عليه وسلم sesudah nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang beriman Kami akan berikan kepadanya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya (dan pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya neraka jahanam dan itulah sejahat dan seburuk tempat kembali. (surah an-Nisa ayat 115).

Oleh itu kumpulan majoriti Islam adalah tetap kekal atas jalan petunjuk dari Tuhan mereka selaras dengan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم yang bermaksud: Sentiasa umatku berada atas jalan petunjuk keredaan Tuhan tidak menjejaskan mereka oleh mereka (kumpulan yang menyalahi mereka) sedikitpun sehingga kiamat (riwayat Muslim). Adapun yang dimaksudkan dengan pendapat ramai itu ialah majoriti dari kalangan umat manusia di dunia ini seluruhnya sesuai dengan firman-Nya bermaksud: sekiranya kamu patuh kepada kebanyakan umat manusia di muka bumi ini mereka akan menyesatkan kamu dari jalan petunjuk-Nya. Dan Allah berfirman lagi bermaksud: tidak beriman kepada Allah سبحانه وتعالى oleh kebanyakan (manusia) melainkan mereka mempersekutukan-Nya (surah Yusof ayat 106). Sedangkan majoriti umat Islam serta majoriti ulama mereka itu dinamakan ijmak yang perlu dijadikan pegangan dan ikutan kita dari kalangan orang awam hari ini. Wallahualam.


Neraca Nabawi Bagi Mengetahui Kebenaran
Untuk Orang-orang Awam – Oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin al-Razi.


Pendahuluan:

Saban waktu dan masa, umat Islam sering dilanda perselisihan dan perpecahan, dalam pelbagai bidang. Namun, isu yang lebih penting ialah, berkenaan dengan perselisihan yang melibatkan perkara-perkara pokok seperti masalah aqidah dan sebagainya, kerana perselisihan dalam masalah-masalah furu' (cabang) tidak membawa kepada kesesatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa, dalam kalangan umat Islam, sejak zaman salafus sholeh lagi, berlaku perselisihan sehingga melahirkan beberapa kelompok dan golongan yang tersesat daripada dasar aqidah Islam yang murni. Mereka terfitnah dek kecetakan ilmu mereka, dalam berinteraksi dengan nash-nash al-Qur'an dan as-Sunnah.

Sejarah menunjukkan tentang kelahiran golongan khawarij, muktazilah, syi'ah, jabbariyah, qadariyah, mujassimah dan sebagainya, yang mana kelompok tersebut sudah keluar daripada kefahaman aqidah Islam yang murni. Sebahagian daripada golongan tersebut sudah lenyap dan sebahagian golongan masih terus wujud dalam pelbagai nama dan imej yang berbeza, namun masih mewarisi kejumudan paradigma golongan-golongan yang sesat tersebut.

Walaubagaimanapun, Allah سبحانه وتعالى. menjanjikan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bahawa, Dia akan menjaga umat Islam daripada kesesatan, dengan memelihara majoriti umat Islam daripada terjerumus ke dalam kesesatan, takkala munculnya golongan-golongan yang sesat dalam umat Islam tersebut.

Bahkan, para ulama' dari kalangan majoriti umat Islam inilah yang terus mempertahankan umat Islam daripada kesesatan golongan-golongan yang sesat, dengan menolak kesesatan mereka samada dengan hujah dan sebagainya. Hal ini sentiasa berlaku sehinggalah berlakunya hari Kiamat, di mana, Allah سبحانه وتعالى akan sentiasa memelihara majoriti umat Islam daripada kesesatan, yang mana, mereka (majoriti umat Islam) ini dipelihara oleh para ulama mereka sendiri, yang merupakan majoriti ulama' Islam.


Dalil daripada as-Sunnah tentang Perpecahan Umat Islam

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya sebelum kamu, iaitu sebahagian daripada ahlul kitab telahpun berpecah kepada tujuh puluh dua golongan. Sesungguhnya, umat ini (umat Rasulullah صلى الله عليه وسلم) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan…" (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Sesungguhnya, terdapat lebih kurang sepuluh buah hadits yang menceritakan tentang perpecahan umat Rasulullah صلى الله عليه وسلم. kepada lebih tujuh puluh golongan. Peristiwa tentang perpecahan umat Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini sememangnya sudahpun diramalkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Namun, para ulama' berselisih pendapat tentang perpecahan tersebut. Kebanyakkan ulama' berpendapat bahawa, perpecahan itu berlaku dalam kalangan umat Islam itu sendiri (ummah ijabah). Sebahagian ulama' pula berpendapat bahawa, perpecahan tersebut berlaku antara umat Islam dengan orang-orang kafir yang lain, yang mana, kesemua mereka adalah umat Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari sudut ummah dakwah (iaitu umat manusia yang menjadi sasaran dakwah Rasulullah صلى الله عليه وسلم).

Pendapat yang kuat dalam kalangan para ulama' adalah, pendapat yang mengatakan bahawa, perpecahan tersebut berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri. Antara para ulama' yang berpegang dengan pendapat ini adalah: Imam Al-Asy'ari (maqalat al-Islamiyin), Imam Abu Mansur (al-Milal wa an-Nihal dan al-Farq bainal Firaq), Imam Abu al-Fath as-Syahrastani (al-Milal wa an-Nihal), Imam Ibn Hazm (al-Fashlu fi al-Milal), Imam Ibn Jauzi (Talbis Iblis), Imam asy-Sya'rani (al-Mizan al-Kubro) dan ramai lagi.

Hal ini berdasarkan hadits Nabi صلى الله عليه وسلم yang lain yang berbunyi: "…Sesungguhnya, orang yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang besar…" (Hadits Shahih). Hadits ini menceritakan perihal umat Islam yang berselisihan sesama mereka, kerana kalau yang dimaksudkan adalah perselisihan antara umat Islam dengan umat-umat dari agama yang lain, maka sejak zaman Baginda صلى الله عليه وسلم lagi, telah berlaku perselisihan antara mereka, sedangkan hadits ini mengisyaratkan tentang keadaan setelah kewafatan Baginda صلى الله عليه وسلم.

Bahkan, hadits setelah ini yang menjadi pokok perbincangan di sini, turut menjadi dalil yang menunjukkan tentang berlakunya perselisihan dalam umat Islam itu sendiri. Bahkan, realiti sendiri menunjukkan berlakunya perselisihan besar dalam masalah aqidah, dalam kalangan umat Islam, menerusi catatan sejarah sehinggalah realiti hari ini.

Umat Islam Tetap Terpelihara

Walaupun berlaku perselisihan dalam kalangan umat Islam, namun Allah سبحانه وتعالى tetap memelihara keutuhan umat Islam, dengan memberi jaminan, akan terus menjaga umat Islam daripada terjerumus ke dalam kesesatan secara menyeluruh.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadits riwayat Ibn Majah)

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda lagi:"Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (tangan: bantuan) Allah itu bersama-sama jama'ah. Maka, hendaklah kamu mengikuti sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam)" (Hadits riwayat al-Hakim daripada jalan ad-Dhiya' al-Maqdisi)

Dalam dua hadits tersebut menjelaskan beberapa nota penting iaitu:

Pertama: Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu kita bahawa, akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam. Perpecahan yang dimaksudkan ini, pasti berkaitan dengan masalah aqidah kerana perselisihan dalam masalah furu' (cabang) seperti perbezaan mazhab dalam fiqh, tidak membawa kepada perpecahan.

Kedua: Apabila berlaku perpecahan, maka setiap muslim hendaklah bersama dengan "sawadhul a'zhom" (majoriti umat Islam), yang turut dinamakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai jamaah.

Ketiga: Jelaslah bahawasanya, majoriti umat Islam inilah yang benar, kerana mereka tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Manakala, golongan yag tersesat atau tersalah dalam masalah aqidah, dari kalangan umat Islam hanyalah golongan minoriti sahaja. Kerana itulah, Rasulullah صلى الله عليه وسلم menganjurkan umat Islam mengikut majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom) ketika berlaku perselisihan dan perpecahan dalam umat Islam.

Keempat: Allah سبحانه وتعالى sentiasa membantu golongan majoriti umat Islam ini, dalam menangkis kesesatan yang cuba dibawa masuk oleh golongan-golongan yang tersesat (syaz: terasing atau terpinggir) daripada aqidah sebenar Islam.


Perintah Agar Menyertai Majoriti Umat Islam (Sawadhul A'zhom) atau Jamaah

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud: "…Hendaklah kamu menyertai jamaah (majoriti umat Islam) dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat)…Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah" (Hadits riwayat Ahmad, at-Tirmidhi, dan al-Hakim).

Telah berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bermaksud:"…Dan sesungguhnya pada jamaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab." Maka berkatalah Abu Umamah al-Bahili: "Hendaklah kamu bersama dengan sawadhul a'zhom"…(Hadits riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan ath-Thabrani).

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda lagi yang bermaksud:"…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى tidak akan menghimpun umat Muhammad dalam kesesatan" (Hadits riwayat ath-Thabrani)

Antara pengajaran-pengajarannya:

Pertama: Hendaklah setiap individu muslim, bersama-sama dengan jamaah (kumpulan orang-orang Islam). Ia merupakan suatu seruan daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri.

Kedua: Jamaah (kumpulan orang-orang Islam) ini adalah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) seperti yang dimaksudkan oleh Abu Umamah dalam hadits kedua tersebut. Maksudnya, apabila berlaku perselisihan dan perpecahan dalam umat Islam, maka sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam)-lah yang merupakan jamaah Islam (kumpulan umat Islam) yang dimaksudkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Ketiga: Sesungguhnya, dengan bersikap menyalahi majorit umat Islam khususnya berkenaan dengan kefahaman-kefahaman dalam aqidah Islam, pada hakikatnya, merupakan suatu kesesatan yang nyata.

Ancaman Bagi Mereka Yang Menyertai Kesesatan Golongan Yang Menyalahi Sawadhul A'zhom

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadits riwayat Ibn Majah)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda lagi yang bermaksud:"…Barangsiapa yang keluar daripada jamaah walaupun sejengkal, maka dia sudahpun memenggalkan agama Islam..." (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadits-hadits ini, Rasululullah صلى الله عليه وسلم melarang setiap individu muslim daripada keluar daripada kelompok umat Islam, dengan menyalahi aqidah kelompok umat Islam.

Bahkan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga menegaskan bahawa, orang yang bercanggah dengan jamaah atau menyalahi majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom) dalam masalah usul (pokok iaitu masalah aqidah), maka dia dianggap sebagai syaz, iaitu: orang yang terasing ataupun terpinggir daripada kelompok umat Islam.

Adapun orang yang terpinggir (syaz) ataupun kelompok-kelompok yang terpinggir (syawaz kata ramai bagi syaz) yang bercanggah dengan kefahaman murni aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam), akan terpinggir ke dalam neraka juga, na'uzubillah.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga memberi ancaman keras kepada mereka yang keluar daripada jamaah ataupun keluar daripada manhaj sawadhul a'zhom dalam masalah aqidah terutamanya, dengan memanggil orang yang keluar tersebut sebagai orang yang memenggal agama Islam itu sendiri. Hal ini menunjukkan, betapa beratnya fitnah yang dibawa oleh seseorang itu keluar daripada kelompok sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) kepada agama Islam itu sendiri.


Siapakah Jamaah, Sawadhul A'zhom dan Syaz itu?

Di awal zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم, jamaah atau jemaah umat Islam itu jelas, iaitu orang-orang yang memeluk Islam dan berjuang bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Namun, setelah kemuncak kecemerlangan Islam di zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم, terbit musuh-musuh Islam dari dalam, samada golongan munafiq mahupun golongan yang mendakwa sebagai nabi-nabi palsu seperti Musailamah al-Kazzab.

Walaubagaimanapun, Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan umat Islam berjaya mematahkan musuh-musuh Islam tersebut. Namun, golongan munafiq masih bersembunyi di tengah-tengah umat Islam.

Setelah kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, umat Islam semakin berkembang. Dalam perkembangan yang sama, timbul bibit-bibit awal yang membawa kepada perpecahan dalam umat Islam. Perselisihan dalam umat Islam mula terasa bahangnya pada zaman Saidina Uthman رضي الله عنه dan semakin memuncak pada zaman Saidina Ali كرم الله وجهه

Namun, pada permulaannya, perselisihan hanya berlaku di sekitar aspek politik, yang tidak melibatkan masalah aqidah. Sehinggalah kemuncak kegemilangan para tabi'in, muncul golongan-golongan yang tersalah dalam memahami nash-nash al-Qur'an dan as-Sunnah, sehingga membentuk beberapa golongan bid'ah dalam masalah aqidah iaitu golongan Muktazilah, Jabbariyah, Qadariyah, Mujassimah, Syi'ah dan sebagainya. Mereka inilah golongan-golongan yang terpinggir (syaz) daripada kelompok umat Islam (majoriti umat Islam).

Namun, Allah سبحانه وتعالى masih memelihara umat Islam dengan menyelamatkan aqidah majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom), dengan peranan yang dimainkan oleh majoriti ulama' Islam (golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah), dalam membenteras fahaman-fahaman sesat golongan-golongan tersebut.

Para ulama' majoriti umat Islam dari kalangan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah inilah yang akhirnya berjuang atas nama, ahlus sunnah wal jamaah, kerana mereka mewakili majoriti umat Islam itu sendiri, yang berdiri di atas kebenaran, sesuai dengan jaminan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. [Tersebut didalam kitab Ithaf as-Saadah al-Muttaqin bi Syarhi Ihya` ‘Ulumiddin oleh Sayyid Murthada az-Zabidi:
إذا أطلق أهل السنة فالمراد بهم الأشاعرة و الماتريدية

Maksudnya: Apabila diithlaqkan ahlus sunnah wal jamaah maka yang dimaksudkan adalah al-Asya’irah dan al-Maturidiah]


Para ulama' ahlus sunnah wal jamaah menentang fahaman muktazilah yang terlalu bebas dalam menggunakan akal sehingga mencemari kesucian wahyu, dan turut menentang fahaman mujassimah dan musyabbihah yang terlalu jumud dalam berinteraksi dengan nash-nash mutasyabihat (kesamaran maknanya) sehingga mencemarkan keagungan sifat-sifat Allah سبحانه وتعالى, takkala mereka menyamakan Allah سبحانه وتعالى dengan makhluk atau mereka menjisimkan Allah سبحانه وتعالى.

Para ulama ahlus sunnah wal jamaah turut menentang fahaman-fahaman lain seperti fahaman syi'ah, jabbariah, qadariyah dan sebagainya yang tidak jauh berbeza dengan golongan-golongan syaz yang lain.

Sebahagian daripada golongan-golongan terpinggir (syaz) tersebut berjaya dihapuskan namun sebahagian golongan yang lain, terus bersembunyi dan menyebarkan fahaman mereka secara tersembunyi, memang bagaikan kelompok yang terasing seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Sebahagian fahaman muktazilah menyelinap masuk ke dalam sebahagian ahli-ahli falsafah Islam sehingga memaksa ulama' ahlus sunnah wal jamaah membasmi fahaman mereka, seperti yang dilakukan oleh Imam Al-Ghazali رحمه الله..

Bahkan, setelah itu, fahaman golongan mujassimah dan musyabbihah mula diketengahkan semula dalam masyarakat Islam, atas nama yang berbeza yang lebih dikenali dengan golongan hasyawiyah. Ulama'-ulama' Islam ahlus sunnah wal jamaah yang mewakili golongan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) turut bertungkus-lumus membendung fahaman ini.

Kekeliruan yang Mengelirukan

Namun, setelah itu, muncul seorang pendakwah yang bernama Sheikh Ibn Taimiyah, yang secara tidak langsung, cuba mempelopori semula fahaman hasyawiyah dan mujassimah ini dalam bentuk yang lebih berhati-hati dan teliti. Beliau membuka semula kaedah-kaedah untuk menjisimkan Allah سبحانه وتعالى. melalui nash-nash mutasyabihat (kesamaran maknanya) daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Antara kaedah-kaedah tersebut adalah, beliau menetapkan makna zahir bagi nash-nash mutasyabihat yang membawa kepada makna kejisiman Allah سبحانه وتعالى, sedangkan para salafus sholeh tidak pernah menetapkan sebarang makna bagi nash-nash mutasyabihat tersebut.

Beliau juga menolak konsep ta'wil dan kiasan bagi nash-nash mutasyabihat lalu menuduh golongan majoriti ulama' Islam sebagai golongan yang menafikan sifat Allah سبحانه وتعالى, padahal tidak sedemikian.

Bahkan, bukan setakat itu sahaja, beliau malah, menyandarkan fahamannya kepada salafus sholeh, dek kerana salah mentafsirkan sebahagian daripada kata-kata para ulama' salaf, padahal para ulama' salafus sholeh berlepas tangan darpada fahaman neo-mujassimah beliau.

Beliau turut menolak para ulama' ahlus sunnah wal jamaah seperti Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang diterima oleh majoriti ulama' Islam dan majoriti umat Islam, dan Imam Ar-Razi kerana mereka menolak tajsim bagi Allah سبحانه وتعالى. Ibn Taimiyah dalam banyak karangan beliau seperti dalam buku-buku At-Ta'sis, Risalah Tadmuriyah, Al-Arasy' dan Fatawa beliau, di mana beliau cuba menetapkan kejisiman bagi Allah سبحانه وتعالى secara tidak langsung. Bahkan, beliau turut mengkritik para ulama' Al-Asya'irah yang mewakili majoriti ulama Islam dan majoriti umat Islam, sejak 400 tahun sebelum kemunculan beliau, (yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri, berdasarkan hadits "tidak berhimpun umat atas kesesatan…").

Namun, beliau ditentang hebat oleh para ulama' ahlus sunnah wal jamaah, dari kalangan al-Asya'irah khususnya, kerana cuba menghidupkan fahaman mujassimah semula, secara tidak langsung.

Setelah itu, sepertimana kebiasaan bagi golongan syaz (terpinggir), fahaman Ibn Taimiyah dan beberapa anak muridnya lenyap seketika ditelan zaman. Golongan al-Hasyawiyah kembali bersembunyi di sebalik golongan athariyah atau para ahli hadits. Namun, golongan athariyah (ahli hadits) ini berbeza dengan muhaddithiin (ulama' hadits) dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah.

Sehinggalah, setelah kemunculah seorang pemuda yang ghairah menghukum, iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, beliau cuba menghidupkan semula fahaman Ibn Taimiyah dan turut mengkritik sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) dan menuduh majoriti ulama' Islam iaitu al-Asya'irah sebagai golongan yang tidak mengikut aqidah salafus sholeh. Beliau cuba memutarbelitkan fakta bagi menipu masyarakat awam Islam, terhadap aqidah salafus sholeh.

Sekali lagi, golongan ahlus sunnah wal jamaah bangkit untuk menangkis fahaman neo-mujassimah yang cuba diketengahkan oleh kebanyakan para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab [atau lebih dikenali dengan golongan Wahabi].

Para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab mula menyusun dan mengetengahkan semula kaedah-kaedah yang membawa kepada kejisiman Allah سبحانه وتعالى ketika berinteraksi dengan nash-nash mutasyabihat, yang pernah diketengahkan oleh Sheikh Ibn Taimiyah suatu ketika dahulu.

Antara kaedah-kaedah tersebut adalah, menetapkan makna zahir bagi nash-nash mutasyabihat, menolak ta'wil bagi nash-nash mutasyabihat, menetapkan tempat bagi Allah سبحانه وتعالى dan sebagainya, yang mana mereka membuka pintu kesesatan yang lebih besar, daripada pintu yang dibuka oleh Sheikh Ibn Taimiyah.

Malangnya, mereka berdusta ke atas para salafus sholeh, dengan menisbahkan fahaman tajsim (menjisimkan Allah سبحانه وتعالى) mereka kepada para salafus sholeh, sedangkan para salafus sholeh tidak sedemikian kefahaman mereka.

Lebih malang lagi, sebahagian orang-orang awam yang tidak pandai dalam kaedah bahasa Arab, mula terpengaruh dengan fahaman golongan mujassimah moden ini, sehingga sanggup menetapkan kejisiman bagi Allah سبحانه وتعالى, sanggup menetapkan tempat bagi Allah سبحانه وتعالى, sedangkan aqidah sawadhul a'zhom yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم itu sendiri, menafikan jisim dan tempat bagi Allah سبحانه وتعالى. Bahkan, aqidah sawadhul a'zhom tidak menetapkan makna-makna zahir nash-nash mutasyabihat tersebut.

Kembalilah Kepada Salafus Sholeh, Neracanya Adalah Sawadhul A'zhom.

Wahai orang-orang awam. Janganlah tertipu dengan sesetengah golongan yang menyeru kepada manhaj salafi, padahal mereka bercanggah dengan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam). Janganlah tertipu dengan olahan dan kefahaman salah mereka terhadap perkataan-perkataan salafus sholeh dan janganlah turut mengikut bid'ah mereka dalam masalah aqidah takkala mereka tersalah dalam memahami nash-nash al-Qur'an terutamanya nash-nash mutasyabihat.

Jauhilah golongan yang terpinggir daripada majoriti umat Islam ini, yang berfahaman tajsim, atas nama salafi padahal salafus sholeh berlepas tangan daripada fahaman mereka. Ukurannya adalah majoriti umat Islam itu sendiri. Sejak sebelum kemunculan Sheikh Ibn Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab, sehingga hari ini, sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) adalah golongan ahlus sunnah wal jamaah yang terdiri daripada golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah dalam masalah aqidah, dan terdiri daripada golongan yang bermazhab Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam asy-Syafi'e dan Imam Ahmad bin Hanbal dalam masalah fiqh.

Sesungguhnya, aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) iaitu golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah yang menolak kejisiman Allah سبحانه وتعالى, yang menolak tempat bagi Allah سبحانه وتعالى dan sebagainya, merupakan aqidah yang dijamin oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Ini janji Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Mustahil golongan al-Asya'irah tersesat sedangkan merekalah golongan majoriti umat Islam, sejak sebelum kelahiran Ibn Taimiyah dan Ibn Abdul Wahab lagi.

Nashihat Kepada Golongan Yang Terpinggir (Keluar dari Sawadhul A'zhom)

Janganlah ingkar dengan saranan Rasulullah صلى الله عليه وسلم agar kembali kepada sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam). Kembalilah kepada aqidah sawadhul a'zhom dari kalangan salafus sholeh, al-Asya'irah dan al-Maturidiyah. Janganlah kalian keluar daripada kelompok ini, kerana sesiapa yang terpinggir, maka dia akan terpinggir ke dalam neraka, na'uzubillah.

Janganlah bersikap sombong dengan terus membid'ahkan amalan-amalan yang diamalkan oleh sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) seperti amalan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, amalan berzikir secara berjemaah, bertawassul kepada orang mati dan sebagainya, apatah lagi, ianya masalah yang khilafiyah bahkan diamalkan oleh kebanyakkan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Orang yang perasan bahawa majoriti umat Islam telah tersesat ataupun telah melakukan bid'ah, sebenarnya dialah yang telahpun sesat kerana tidak meyakini hadits-hadits Nabi صلى الله عليه وسلم dalam bab ini.

Bertaubatlah kepada Allah سبحانه وتعالى, kerana sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى itu Maha Pengampun. Kembalilah ke pangkal jalan, kerana sesungguhnya jalan kebenaran masih terbentang luas, selagi nafas masih di rongga. Rasulullah صلى الله عليه وسلم seorang yang amanah lagi jujur. Jaminan kebenaran bersama dengan sawadhul a'zhom, sesuai dengan janji Baginda صلى الله عليه وسلم. Sesungguhnya, mati dalam bersama dengan sawadhul a'zhom itu suatu ketenangan kerana bersama dengan janji kebenaran daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Adapun hidup walau dengan bergunung emas sekalipun, tidak akan memberi ketenangan jika memusuhi dan keluar daripada sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam).

Wallahu a'lam…

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin ar-Razi
14 Disember 2007


2 komen:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa ramai? pelajar dr Asia Barat yg saya temui di M'sia ini cenderung kpd Wahabi.Baik dr Sudan,Somali,Kenya,Yaman,Libya,Oman...sebilangan besar kalaupun tidak semuanya cenderung kpd Wahabi.Apakah sememangnya Wahabi telahpun menjadi arus majoriti perdana di sana?

Tanpa Nama berkata...

salam..saya cadangkan hadis2 ini ditulis ke dalam bahasa arab kemudian diterjemah.. mudah nak diambil untuk buat assignment.. terima kasih.

Related Posts with Thumbnails