Khamis, 19 November 2009

HURAIAN BERKENAAN DENGAN IBADAH KORBAN DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA - BHG.2

4. HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Hukum asal ibadah korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya. Walaubagaimanapun ianya boleh menjadi wajib apabila dinazarkan. Maka secara ringkasnya, korban itu terbahagi kepada 2:
  1. Korban sunat (muakkad – yakni tersangat dituntut mengerjakannya)
  2. Korban wajib

Bagaimana korban boleh menjadi wajib? Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada:
  • Nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun
  • Nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :
من نزر أن يطيع الله فليطعه
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar dan nazar dari segi hukum?

Nazar sebenar/hakiki itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Binatang yang dinazarkan sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan). Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.

Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.

Orang yang membuat korban bagi simati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya) wajiblah atasnya bersedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang dibawah tanggungannya (nafkah), kerana ianya merupakan orang yang menerima dan orang yang menyerah. (Matla al-Badrain)

Bapa atau datuk boleh melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya dengan diambil perbelanjaan daripada harta ayah atau datuk atau anak atau cucu itu sendiri.

5. WAKTU MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Waktu penyembelihan korban bermula sesudah matahari terbit pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji) dan sesudah kadar selesai sholat dua rakaat sholat hari raya dan dua khutbah pendek/ringan. Manakala yang afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah. Waktu penyembelihan korban berlanjutan sehingga terbenamnya matahari 13 Zulhijjah. Ringkasnya: 10 Zulhijjah – 13 Zulhijjah.

Jika binatang korban disembelih selepas berakhirnya hari Tasyriq (setelah berlalunya hari Tasyriq yang terakhir) sembelihan itu tidak dianggap sebagai korban kerana dilakukan setelah berlalu masa yang diharuskan. Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang masih belum disembelih di dalam waktunya yang diharuskan, sehingga habis masa, ia wajib menyembelih binatang itu (walaupun diluar waktu) dan sembelihan itu dikira qadha. (I’aanah at-Tholibin, Juz 2; hal: 331)

6. JENIS-JENIS BINATANG YANG BOLEH DIJADIKAN KORBAN SERTA SYARAT-SYARATNYA

Binatang yang sah disembelih untuk dibuat korban itu ialah:

Binatang korban itu hendaklah binatang ternakan (an‘am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكاً لِّيَذْكُرُواْ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيمَةِ ٱلأَنْعَامِ

Maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu".(Surah al-Hajj: 34)

Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud korban, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadits:


خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم مهلين بالحج فأمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشترك في الإبل والبقر كل سبعة منا في بدنة

Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (dari Madinah) mengucapkan لا إله إلا الله, dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah".(Hadits riwayat Muslim)

Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah korban tersebut.

Afdhalnya binatang yang dibuat korban itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

Binatang itu hendaklah cukup umur. Dari Jabir bin Abdillah رضي الله عنه, sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:


لاَ تَذْبَحُوا إِلاَّ مُسِنَّةً إِلاَّ أَنْ يَعْسُرَ عَلَيْكُمْ فَتَذْبَحُوا جَذَعَةً مِنَ الضَّأْنِ

Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri." (Hadits riwayat Muslim)


Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang korban itu ialah:
  1. Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
  2. Lembu, kerbau dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.
  3. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin 2/518)

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda bermaksud: Binatang korban yang paling bagus adalah jadza kambing (Hadith riwayat Termizi dan Ahmad)

Uqbah bin Amir رضي الله عنه telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku mempunyai jadza. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Berkorbanlah dengannya. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Syafie kalimah jadza dalam hadith-hadith diatas itu bermaksud kambing biri-biri yang berumur satu tahun. Dan menurut Imam Nawawi: Keseluruhan ulama mazhab telah mengharuskan anak biri-biri yang berumur satu tahun (untuk korban) meskipun ia mendapat binatang lain ataupun tidak.

Didalam kitab Hasyiah al-Baijuri, Juz 2, halaman 306, ada menyebut “Mengikut pendapat yang rajih, apabila biri-biri yang belum sampai umur satu tahun tetapi telah bersalin giginya selepas ia berumur enam bulan maka boleh dibuat korban.”

Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.

Yang lebih afdhal berbuat korban bagi seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor kibasy, kemudian seekor kambing, kemudian berkongsi seekor unta atau seekor lembu dan tujuh (7) ekor kambing lebih afdhal dari seekor unta dan seekor lembu atau kerbau.

Binatang terafdhal untuk dijadikan korban ialah unta, kemudian lembu kemudian biri-biri dan kemudian kambing. Ini dinisbahkan dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang.

Tujuh (7) ekor biri-biri untuk korban adalah lebih afdhal daripada tujuh (7) ekor kambing untuk korban. Manakala tujuh (7) ekor kambing adalah lebih afdhal daripada satu ekor unta untuk korban kerana bertambahnya taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.

Binatang korban itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الْأَضَاحِيِّ فَقَالَ: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا، وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا، وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ضَلْعُهَا، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى

Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah." (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan korban itu ialah:

  1. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat korban.
  2. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.
  3. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat korban.
  4. Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.
  5. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.
  6. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat korban. (Sabilal Muhtadin 2/227)
  7. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban. (Muhammad Asy-Syarbibi, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)
  8. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
  9. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Pendapat ini adalah muktamad. Mengikut Ibn al-Rif’ah memadai korban daripada binatang yang bunting. Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)

Binatang yang harus dibuat korban itu tidak kira samada jantan atau betina atau khuntha.

Binatang yang dikasi, sah dan harus dibuat korban, kerana dengan dikasi tubuhnya semakin bertambah gemuk. (Muhammad Asy-Syarbibi, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)

Tambahan: Ibnu Abbas رضي الله عنهما berpendapat bahawa adalah memadai korban itu hanya dengan “menumpahkan darah” walaupun dengan binatang seumpama ayam atau itik, sebagaimana yang dikatakan oleh Midaani. Syeikh (guru) bagi Syeikh al-Bajuri menyuruh supaya bertaqlidkan kepada pendapat Ibn Abbas ini dan beliau mengqiaskan ‘aqiqah keatas korban dan menyuruh sesiapa [yang tak mampu] yang memperolehi anak membuat aqiqah dengan ayam jantan berdasarkan kepada mazhab Ibn Abbas. (Hasyiah al-Allamah Baijuri & Matla al-Badrain) – Yang ni bagi mereka yang tersangat tak mampulah!




0 komen:

Related Posts with Thumbnails