Selasa, 21 Julai 2009

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 49 – 51

Penyakit Keempatpuluh Sembilan : Kikir dan bakhil adalah duanya adalah natijah lahir daripada sifat kasih kepada dunia (hubbud dunya).


Rawatannya : Ialah hendaklah diketahui bahawa nilai dunia ini terlalu sedikit serta akan rosak binasa. Segala sumber yang halal daripadanya akan dihitung oleh Allah Ta’ala. Begitu juga sebaliknya, yang haram akan mendapat azab daripada Allah Ta’ala. Hadits Nabi صلى الله عليه وسلم:

قال النبي صلى عليه وسلم : حب الدنيا رأس خطيئة

Maksudnya: “Kasih kepada dunia adalah punca kepada segala dosa.” (Hadith ini sebahagian daripada hadith yang panjang, riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab, Muslim dalam kitab al-Bir wa al-Adab, Abu Daud dalam kitab al-Adab, at-Tirmizi dalam kitab al-Bir dan Ibn Majah dalam al-Muqaddimah)


Allah Ta’ala pula menyebutkan bahawa segala nikmat dan nilai dunia itu adalah keseronokan yang menipu daya. Oleh itu buanglah sifat kikir dan bakhil itu dengan bersungguh-sungguh. Ambillah sesuatu keperluan hidup sekadar sesuai dengan baki umur yang masih ada. Hal ini disebut oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadits:

قال النبي صلى عليه وسلم لبلال : أنفق يا بلال ولا تخش من ذى العرش إقلالا

Maksudnya: “Belanjakanlah hartamu wahai Bilal! Janganlah kamu merasa takut akan hartamu itu berkurangan kerana kamu menyaqinkan Allah Ta’ala yang memiliki ‘arasy.” (Dalam kitab Faidul Qadir oleh al-Munawi bahawa al-Baihaqi menriwayatkannya dalam bab Syu’bu al-Iman katanya: “Hadits ini tidak wujud.” Ia adalah Murasil al-Hasan. Hafiz al-Iraaqi berkata ia adalah perkataan Malik bin Dinar. Malah hal tersebut juga disebut oleh Ibn Abi Dunya serta di sebut Abu Nuaim dalam kitab al-Hilyah al-Aulia. Tetapi Ibn Jauzi pula menyebutkan hadits ini adalah maudhu’. Kata al-Iraaqi, ia adalah murasil (kata-kata) Hasan al-Basri)



Penyakit Kelimapuluh : Panjang angan-angan.[1]

Rawatannya : Ialah hendaklah sentiasa mengingati bahawa ajal semakin hampir. Oleh itu para salaf berkata: “Perkara yang paling disukai oleh Allah Ta’ala ialah apabila seseorang merasa tidak selamat daripada ancaman kematian. Hal ini adalah kerana Allah Ta’ala akan mencabut nyawa mereka pada bila-bila masa.”


Penyakit Kelimapuluh Satu : Merasa bangga dengan pujian yang bathil.

Rawatannya : Ialah jangan terpedaya dengan kata-kata pujian daripada manusia sedangkan empunya diri lebih mengetahui hakikat dirinya yang sebenar.[2] Sesuatu kebenaran itu tidak perlu kepada kepujian. Oleh itu setiap pujian yang tidak bertunjangkan kepada meletakkan hakikat pujian itu bagi Allah Ta’ala bahkan disandarkan pula kepada manusia maka ia tidak akan berupaya untuk mendapat janji keselamatan daripada Allah Ta’ala.


[1] Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

نجا أول هذه الأمة باليقين والزهد، ويهلك آخر هذه الأمة بالبخل والأمل

Ertinya: Lepas (selamat) permulaan umat ini daripada daripada segala kejahatan dengan yaqin dan zuhud. Dan akan binasa kemudian umat ini dengan kikir dan dengan menlanjutkan cita-cita (panjang angan-angan) – riwayat Ibn Abi Dunya (al-Iraqi)

Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lagi:

إن أشد ما أخاف عليكم خصلتان: اتباع الهوى وطول الأمل. فأما اتباع الهوى فإنه يعدل قلوبكم عن الحق وأما طول الأمل فإنه أحب للدنيا

Ertinya: Sesungguhnya yang terlebih sangat barang yang aku takuti atas kamu itu 2 perkara. Pertama mengikut hawa nafsu itu, maka iaitu bahawa ia memalingkan hati kamu daripada yang kebenaran, dan adapun lanjut cita-cita (panjang angan-angan) itu maka iaitu bahwa jadi kasih ia bagi dunia. – petikan dari kitab Sairus Salikin oleh Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani.

[2] Di dalam Hikam Ibn ‘Atholillah as-Sakandari ada disebut: Bermula segala manusia itu memuji mereka itu akan dikau dengan sebab barang yang sangka mereka itu padamu daripada kebajikan dan daripada pekerjaan yang baik dengan ‘iktibar pada yang dzohir daripada tutup Allah atasmu. Maka jadikan olehmu mencela bagi dirimu bagi barang yang engkau ketahui akan dia daripada dirimu kejahatan dan kecelaan [keaiban] yang lazim bagi sifat dirimu yakni daripada segala sifat lemah, taqsir dan kurang, demikian segala ahwal yang mazmumah yang layak pada halmu …. (syarah hikam Tok Pulau Manis)

Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiqرضي الله عنه , apabila dipuji, beliau berdoa:

اللهم أنت أعلم بي من نفسي وأنا أعلم بنفسي منهم. اللهم اجعلني خيرا مما يظنون واغفرلي مالا يعلمون ولا تؤاخذني بما يقولون

Ertinya: Ya Allah, Engkau lebih mengetahui hal keadaanku daripada diriku, dan aku lebih mengetahui hal keadaan diriku daripada mereka. Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah aku apa-apa yang mereka tidak ketahui, dan jangan dituntut dengan apa yang mereka katakan.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails