Jumaat, 13 Mac 2009

Mengenali Pengarang Kitab-kitab Maulid Secara Ringkas - 4

Maulid Habsyi - Simthud-Durar fi akhbar Mawlid Khairil Basyar min akhlaqi wa awshaafi wa siyar" atau singkatannya "Simthud-Durar" adalah karangan maulid junjungan yang disusun oleh Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi (1259H - 1333H/1839M - 1913M). Maulid yang juga terkenal dengan panggilan "Maulid Habsyi" ini telah diimla'kan oleh Habib Ali tatkala beliau berusia 68 tahun dalam beberapa majlis bermula pada hari Khamis 26 Shafar al-khair 1327H dan disempurnakan 10 Rabi`ul Awwal tahun tersebut dan dibacakan secara rasminya di rumah murid beliau Habib 'Umar bin Hamid as-Saqqaf pada malam Sabtu tanggal 12 Rabi`ul Awwal.


Berikut adalah manaqib al-Habib ‘Ali bin Muhamad al-Habsyi secara ringkas. Beliau, al-Habib ‘Ali bin Muhamamd al-Habsyi dilahirkan di Qasam pada hari Jum’at, 24 Syawwal 1259H. Namanya ‘Ali telah diberikan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir sempena mengambil berkat dari al-Habib ‘Ali Khali’ Qasam.

Nasab beliau: ‘Ali bin Muhammad bin Hussin bin ‘Abdullah bin Syaikh bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Hussin bin Ahmad Shahib asy-Syi’b bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin’Alwi bin’Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Ayahandanya adalah merupakan Mufti Syafi’iyyah di Makkah sejak tahun 1270H menggantikan Syaikh Ahmad Dimyathi yang wafat. Setelah kewafatan Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, tempatnya diganti oleh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan. [Diantara ulama Melayu yang sempat berguru kepada Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi ialah Syaikh Arsyad Thawil Banten, Jawa Barat. Beliau juga berguru kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi. Syaikh Mahfuz Termas juga belajar hadits kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad al-Habsyi, iaitu saudara kepada Habib ‘Ali al-Habsyi]

Bonda beliau yang berasal dari Syibam adalah seorang sayyidah shalihah, ‘arifahbillah dan da’iyyah ilallah ‘Alawiyyah binti Hussin bin Ahmad al-Hadi al-Jufri.

Saudara beliau: AbduLlah, Ahmad, Hussin, Syeikh dan Aminah

Pendidikan dan guru-guru beliau: Sejak beliau dididik oleh ayahanda beliau, Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi [- ayahanda beliau berangkat ke Mekah dan tinggal disana ketika usia Habib ‘Ali 7 tahun. Dan urusan pendidikan beliau seterusnya diambil oleh bonda beliau -] dan bonda beliau Hababah ‘Alawiyyah binti Hussin al-Hadi al-Jufri. Seterusnya beliau belajar kepada:
  • Habib Hasan bin Shaleh al-Bahr
  • Al-‘Allamah Habib Abdullah bin Hussin bin Thahir (syaikh fath dan tahkim kepada ayahanda beliau)
  • Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Athash (shaikh fath beliau)
  • Al-‘Allamah Habib Umar bin Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad
  • Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur
  • Habib ‘Ali bin Idrus bin Syihabuddin
  • Habib Umar bin ‘Abdurrahman Bin Syahab
  • Habib Mohsin bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Habib ‘Abdul Qadir bin Hasan bin Umar bin Saggaf
  • Habib Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar
  • Habib ‘Idrus bin Umar al-Habsyi
  • Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Muhammad
  • Syaikh Muhammad bin Ibrahim

Beliau berangkat ke Mekah pada tahun 1276H atas permintaan ayahanda beliau, dan tinggal disana selama 2 tahun. Ketika itu beliau berusia 17 tahun. Di Hijaz beliau mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama disana. Ketika di Mekah, beliau, abangnya Habib Hussin (kemudiannya menjadi mufti di Mekah – ramai ulama Tanah Melayu yang mengambil sanad hadits dari beliau) dan Habib ‘Alwi al-Seggaf sering mengulangkaji kitab Minhaj dan 12 buah syarahnya bahkan mereka menghafalnya. Allahu Allah ….

Melalui pengembaraan mencari ilmu dan menemui para ‘alim-ulama di Hadramaut dan Hijaz, maka Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi menguasai dengan baik pelbagai ilmu, samada yang dzahir maupun yang bathin. Sekembalinya dari Mekah, maka bermulalah pula kegiatan beliau berdakwah dan mengajar. Beliau menjadi imam, berdakwah, mengajar dan beribadah di Masjid Hambal. Lebih kurang 30 tahun beliau berkhidmat disana.

Setelah itu beliau membangunkan ribath beliau sendiri di kota Seiwun, untuk para penuntut ilmu. Kemudian beliau membangunkan pula masjid yang dinamakan Masjid Riyadh berhampiran dengan ribath yang beliau telah bangunkan. Masjid tersebut dibangunkan pada tahun 1303. Di Masjid inilah pengajian hadits diadakan pada setiap hari itsnin. Dibacakan kutubus sittah atau al-Ummahat as-Sit.

Ketika usia beliau menginjak 68 tahun, beliau mengarang sebuah kitab maulid yang diberi nama Simtud Durar. Sebuah kitab maulid yang masyhur dan penuh barokah, yang sehingga kini dibaca di Hadramaut, Nusantara dan Afrika. Beliau mula mengarang pada Khamis, 26 Shafar 1327 dan menyempurnakannya pada 10 Rabiulawwal 1327H.

Hasil dari perkahwinannya, Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi dikurniakan 5 orang cahayamata iaitu Habib ‘Abdullah, Habib Muhammad, Habib Ahmad, Habib ‘Alwi (beliau adalah ayahanda kepada Habib Anis al-Habsyi) dan Hababah Khadijah.

Kewafatannya: al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi wafat pada waktu Dhuhur, hari Ahad, 20 Rabi’uts Tsani 1333H dan dimakamkan di sebelah barat Masjid Riyadh.

Murid-murid beliau: Al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi meninggalkan ramai murid, antaranya: Anak-anak beliau sendiri iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad dan ‘Alwi; Al-‘Allamah al-Habib Syaikh bin Muhammad (adik beliau); Al-‘Allamah al-Habib Ja’far bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saggaf al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdul Qadir bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saggaf al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Hadi bin Hassan al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib Muhsin bin ‘Abdullah bin Muhsin al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdul Qadir bin Salim bin ‘Alwi al-‘Aidarus; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Zein al-Habsyi; Al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Muhammad bin Ibrahim Bilfaqih; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri; al-‘Arifbillah al-Habib Abu Bakar bin Muhammad al-Seggaf – Gresik; Al-‘Allamah Habib Ahmad bin Abdurrahman al-Seggaf dan ramai lagi.

4 komen:

Awanama berkata...

maaf ya saya copy

Awanama berkata...

assalam . . .
maaf ya, sebagian artikelnya saya copy. krena saya ingin tahu lebih dalam.
maaf ya.

Awanama berkata...

maaf ya saya copy

al-fagir abu zahrah berkata...

Silakan

Related Posts with Thumbnails