Jumaat, 13 Julai 2007

Rejab Nak Mai Dah ...

Kelip pok kelip pok ….dok tak dok, itsnin ni masuklah 1 Rejab 1428, maknakata dua bulan lagi Ramadhan mai. Semoga kehadiran bulan Rejab ni membawa keberkatan kepada aku dan kalian semua. Dikhabarkan juga bahwa Rasululah صلى الله عليه وسلم berdoa semasa melihat anak bulan Rejab dengan doanya:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغناشهررمضان

Artinya: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan

Allahu Allah, dan aku dapati dalam bulan ni ramai pakat posa. Alhamdulillah. Tapi yang aku pelik bin heran bin ajaib bila ada golongan dok pi kata macam-macam pada orang yang rajin posa bulan Rejab ni. Bid’ah lah, sia-sia lah, Nabi tak buat lah …. dan pelbagai tohmahan lagi. Ish..ish ….tak paham aku.

Jadi kadang-kadang dok jadi tandatanya, boleh ka posa bulan Rejab ni? Mau kalau boleh, pasai apa ada yang dok lempaq kata macam-macam? Bahkan kawan-kawan pun ada dok tanya. Dan aku jawab mudah saja. BOLEH. Pasai tok guru-tok guru aku kata boleh bila aku tanya depa. Jadi mai kita tengok boleh ka tak boleh.

Dalam didalam kitab Syarh Shahih Muslim oleh Imam Nawawi رحمه الله,

`Uthman ibn Hakim al-Ansari berkata: "Aku bertanya Said ibn Jubair berkenaan dengan berpuasa di bulan Rejab, dan kami sedang berada di bulan Rejab. Maka Said berkata: “Aku telah mendengar Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa berterusan sehingga kami mengatakan (menyangka) bahawa baginda tidak akan berbuka samasekali, dan baginda juga [ada ketikanya] berbuka [tidak berpuasa] berterusan sehingga kami mengatakan [menyangka] bahawa baginda tidak berpuasa samasekali

Imam an-Nawawi tatkala dalam memberi keterangan mengenai hadits diatas, maksud jawaban Sa’id bin Jubair dalam hadits di atas adalah seseorang tidak dilarang untuk menunaikan puasa pada bulan Rejab dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak menggalakkan seseorang untuk berpuasa pada bulan tersebut. Bahkan seseorang diperbolehkan untuk berpuasa sunnah di bulan apa saja. Atau dengan kata lain, tidak ada aturan hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang menyatakan bahwa puasa di bulan Rejab hukumnya sunnah atau dilarang.

Didalam kitab Sunan Abi Daud disebutkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menggalakkan seseorang untuk berpuasa pada asy-hurul hurum (bulan-bulan yang dihormati dimana diharam berperang). Dan bulan Rejab adalah salah satu bulan daripada bulan-bulan tersebut.

Jadi tang mana salahnya depa yang rajin dok posa dalam bulan Rejab. Bukan ka, kalau tengok hadits diatas menunjukkan Nabi صلى الله عليه وسلم juga pernah berposa pada bulan Rejab? Maka sapa kata Nabi صلى الله عليه وسلم tak pernah posa dalam bulan Rejab maka dia pembohong. Mau kalau hampa tak mampu buat, maka janganlah dok pi tuduh macam-macam pada orang yang buat.

Didalam sebuah kitab fiqh bertajuk Raudhotut Tholibin yang di karang oleh al-Imam an-Nawawi jugak, beliau ada menyatakan bahwa:

Bulan-bulan yang paling utama untuk puasa setelah bulan Ramadhan ialah bulan-bulan haram [yakni]; Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab.

Dalam Fathul Mu’in sebut:

Bulan-bulan yang afdhal untuk berpuasa setelah bukan Ramadhan adalah asyhurul hurum [bulan-bulan haram iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rejab] Dan yang paling afdhal daripadanya adalah Muharram kemudian Rejab, kemudian Dzul Hijjah kemudian Dzul Qaedah, kemudian Sya’ban [bulan Sya’ban tidak termasuk didalam asyhurul hurum]

Manakala dalam sebuah hadits yang menceritakan tentang berpuasa pada asy-hurul hurum
Diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya, dia berkata (maksudnya): "Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia menghadap baginda sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mengenaliku?" Baginda bersabda: "Siapa engkau?" Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap engkau pada tahun lalu” Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: "Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah denganmu”. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Kenapa engkau menyiksa dirimu?” Selanjutnya baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan sabar (Ramadan) dan sehari setiap bulan” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku” Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Sambil baginda bersabda itu baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya." (Hadits riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Ulama’ memberi komentar bahwa sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم memerintahkan al-Bahili meninggalkan berpuasa beberapa ketika kerana mendapati kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa keseluruhannya adalah satu fadhilat [kelebihan] (Rujuk: al-Majmu‘ dan I‘anah ath-Tholibin)

Pernah satu ketika dulu seorang ustaz berceramah di sebuah surau kat tempat aku dok mengatakan bahwa sapa-sapa yang dok posa Rejab, Sya’ban sambung sampai Ramadhan maka yang 2 bulan pertama tu, dia tak boleh apa, sia-sia, penat saja bahkan silap haribulan boleh membawa ke neraka. MasyaAllah mudahnya hukum, serupa dosa pahala syurga neraka, pak dia punya pulak!

Ittaqullah! Ittaqullah! Allahu Allah ….. kalau lah mereka yang posa berterusan dalam bulan Rejab, Sya’ban dan seterusnya Ramadhan, itu sia-sia dan boleh membawa ke neraka, maka bagaimana kedudukan para shahabat dan tabi’in yang posa sepanjang tahun (kecuali pada 5 hari yang diharamkan posa)? Fikir-fikirkan! Dalam kitab Bahrul Madhi karangan Syaikh Idris al-Marbawi, ada sebut tentang posa sepanjang tahun.

289 – Masalah: Puasa sepanjang tahun itu siapakah daripada slaf memperbuatnya? (Kata Nawawi) di dalam syarah al-Muhazzab – Bermula nama setengah daripada ulama-ulama daripada salaf dan khalaf daripada mereka yang puasa sepanjang-panjang tahun dan setiap hari lain daripada hari yang lima yang ditegahnya, maka setengah daripada mereka itu Umar bin al-Khattab dan anaknya Abdullah dan Abu Tholhah ak-Anshori dan Abu Umamah dan isterinya dan siti ‘Aisyah رضي الله عنهم . Dan telah menyebut oleh Baihaqi akan yang demikian itu daripada mereka itu dengan asanidnya dan hadits Abi Tholhah di dalam shohih al-Bukhari. Dan setengah daripada mereka itu lagi ialah Sa’id bin al-Musayyab dan Abu Amr bin Hamas dan Sa’id bin Ibrahim bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf at-Tabi’iy - menurut-nurut akan puasanya empat pulah tahun, dan al-Aswad bin Yazid, dan setengah daripada mereka itu al-Buwaithi dan guru kami Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maqdisi al-Faqih al-Imam az-Zahid. Intaha.

Ish…ish…ish, kalau begitu, maka apa masalahnya bagi mereka yang dok posa straight 3 bulan tuuu??????????? Pada mereka yang rajin dok membid’ahkan orang dok wat posa Rejab, Sya’ban ni maka berhati-hati lah!

Ampun maaf kalau kasaq bahasa. Bahasa tunggang langgang. Aku seorang penuntut dan pencinta ilmuuuuu tapi bukannya alimmmm ...

Maka mai lah kita pakat buat persedian awal untuk menyambut Ramadhan dengan melatih diri memperbanyakkan amal pada bulan Rejab dan Sya’ban dan seterusnya Ramadhan dan semoga dengan berkat Ramadhan, segala perbuatan itu akan berterusan sehingga kedatangan Ramadhan yang satu lagi …. Ameen.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغناشهررمضان

0 komen:

Related Posts with Thumbnails