Sabtu, 20 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 8

Sebagaimana yang dijanjikan pada catatan yang lalu … maka untuk siri ini akan aku bawakan sedikit manaqib al-Ustaz al-Adzam al-Faqih al-Muqaddam Sayyiduna Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohibul Mirbath رضي الله عنه.

Nasab al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه
Al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Beliau, al-Faqih al-Muqaddam dilahirkan di kota Tarim pada tahun 574H.


Guru-gurunya
Beliau رضي الله عنه adalah seorang yang sangat ‘alim, faqih dan dan merupakan seorang ulama terulung atau terunggul dizamannya. Dan beliau memperoleh ini semua didalam usianya yang masih muda. Dek kerana kefaqihannya maka beliau diberi julukan al-Faqih al-Muqaddam. Padanya terhimpun ilmu syariat dan haqiqat maka menjadikannya seorang yang faqih lagi shufi. Bahkan beliau merupakan seorang quthub pada zamannya. Antara barisan guru-gurunya adalah:
  • Imam Abdullah bin Abdurrahman Ba’Ubaid, pengarang kitab ikmal. Dikatakan gurunya ini sangat sayang dan menghormati beliau sehingga pengajian tidak akan dimulakan melainkan setelah Faqih Muqaddam berada dihadapan beliau. Imam Abdullah disebut telah mencapai darjat mujtahid dan digelar sebagai Imam Syafie pada zamannya. Terkemuka didalam ilmu ushul, fiqih, tafsir, hadits dan bahasa.
  • Qadhi Ahmad bin Muhammad Ba’Isa.
  • Syaikh ‘Ali bin Ahmad BaMarwan. Seorang ulama yang terkemuka dan dihormati di Tarim kerana kefaqihannya. Menulis sejumlah kitab dan mempunyai ramai murid. Beliau lah yang mengakui bahwa al-Faqih al-Muqaddam telah mencapai darjat Imam Mujtahid Mutlaq sebagaimana yang tercatat didalam kitab Masyra ar-Rawi.
  • Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Abi al-Hubb.
  • Imam ‘Ali bin Muhammad bin Jadid bin ‘Ubaidillah bin Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir – dalam ilmu tafsir dan hadits
  • Imam ‘Alwi bin Muhammad Shohibul Mirbath (bapa saudaranya – wafat 613H)
  • Syaikh Salim bin Bashri bin’Abdullah bin Bashri bin ‘Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa (wafat 604H). Seorang yang sangat ‘alim dan taqwa. Pada zamannya terdapat sekitar 300 orang ulama yang bertaraf mufti.
  • Syaikh al-Kabir Sufyan al-Yaman (wafat 602H). Beliau pernah ke Maghribi belajar kepada Syaikh Abu Madyan.
  • Syaikh Muhammad bin ‘Ali al-Khatib
  • Syaikh Sa’ad bin ‘Ali bin Rasyid adh-Dhafariy (wafat 607H). Beliau merupakan murid dari Shahibul Mirbath. Faqih Muqaddam menulis surat menceritakan pengalaman ruhaniyahnya kepada Syaikh Sa’ad. Dan beliau mengakui ketinggian pencapaian dan maqam keruhanian Faqih Muqaddam. Ketika membalas surat Faqih Muqaddam beliau menulis: Dan engkau duhai Faqih (al-Muqaddam), telah banyak memperoleh petunjuk dan tidak perlu diberi petunjuk. Engkau lebih mengetahui dengan ilmu syariat dan haqiqat

Khirqah Shufi
Selain mewarisi khirqah shufi dan leluhurnya, al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه juga telah dikurniakan khirqah as-Sufiyyah oleh Abu Madyan al-Ghauts al-Maghribi [Kitab Syaikh Abi Madyan yang terkenal dibaca hingga kini ialah Hikam Abi Madyan dan Qasidah al-Raaiyah yang disyarahkan oleh Sidi Ahmad ibn Athoillah yang berjudul at-Taufiq fi Adabi Thoriq. Khirqah ini dikirim oleh Abi Madyan melalui Syaikh Abdullah bin ‘Ali al-Maghribi dan Syaikh Abdurrahman al-Muq’ad bin Muhammad al-Hadhrami]. Ketika menerima khirqah tersebut Faqih Muqaddam baru berusia 20 tahun.

Didalam Masyra’ al-Rawi, asy-Syili menceritakan:

Syaikh Abu Madyan berkata kepada Syaikh Abdurrahman al-Muq’ad: Di Hadramaut ada beberapa muridku (murid ruhani). Pergilah temui mereka kemudian lantiklah mereka menjadi muridku (tahkim) dan berilah mereka khirqah.

Syaikh Abu Madyan memberikan sebuah khirqah kepada Abdurahman al-Muq’ad dan memerintahkannya untuk memberikan khirqah tersebut kepada al-Faqih al-Muqaddam. Saat itu Syaikh Abu Madyan berkata kepada Syaikh Abdurrahman al-Muq’ad: Dalam perjalananmu menuju Hadramaut, kulihat engkau akan meninggal dunia sebelum sampai kesana. Jika kau sedari hal itu (tanda-tanda ajalmu sudah dekat), maka tunjuklah seseorang yang menurutmu layak untuk melanjutkan tugasmu.


Syaikh Abdurrahman al-Muq’ad lantas bertolak meniggalkan Tilimsan menuju Hadramaut. Ketika sampai di Mekah beliau wafat. Sebelum kewafatannya beliau mewasiatkan muridnya iaitu Abdullah ash-Sholih al-Maghribi dan menyerahkan khirqah tersebut dan berkata: Kamu akan memasuki kota Tarim dan disana akan kau dapati asy-Syarif Muhamad bin ‘Ali (al-Faqih al-Muqaddam) berguru kepada al-Faqih ‘Ali bin Ahmad BaMarwan. Ikatlah perjanjian dengannya dan berikan khirqah ini kepadanya. Setelah itu pergilah ke kota Qaidun, temuilah Syaikh Sa’id bin ‘Isa al-‘Amudi, ikatlah perjanjian dengannya.




Kalau ingin dapatkan kisah yang lebih detail mengenai Sayyiduna Faqih Muqaddam, bacalah buku bertajuk Jalan Nan Lurus – Sekilas Pandang Tarekat Bani ‘Alawi oleh Habib Novel [Naufal] bin Muhammad al-Aydrus., atau kalau bisa baca ‘arab maka boleh dapatkan al-Masyra’ al-Rawi fi Manaqib as-Saadah al-Kiram al-Ba’Alawi oleh al-‘Allamah Muhammad bin Abu Bakar as-Syili.


Al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه menerima khirqah melalui dua jalur iaitu melalui para leluhurnya dari kalangan ahlul bait dan juga melalui Abu Madyan al-Ghauts. Faqih Muqaddam adalah orang pertama yang mempopularkan ilmu tasawuf di Hadramaut. Asy-Syili berkata didalam Masyra’ ar-Rawi:

Warga Hadramaut dahulu sibuk mempelajari ilmu fiqih dan hadits. Diantara mereka tidak ada yang mengetahui tareqat para shufi dan tidak ada pula yang menjelaskan berbagai istilah indah yang biasa digunakan oleh mereka (kaum shufi). Maka Faqih Muqaddam mempopularkan dan menyebarluaskan ilmu-ilmu tasawuf itu di berbagai daerah di Hadramaut. Ramai orang berguru ilmu tasawuf kepada Faqih Muqaddam dan lulus dari pendidikan beliau ….

Murid-muridnya
Beliau, al-Faqih al-Muqaddam mendidik ramai murid dengan ilmu syariat dan haqiqat. Murid-murid al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه, antaranya:
  • Syaikh Abdullah bin Muhammad ‘Ibad – merupakan murid utama al-Faqih al-Muqaddam.
  • Syaikh Sa’id bin Umar Balhaf – merupakan murid utama al-Faqih al-Muqaddam.
  • Syaikh al-Kabir Abdullah Baqushair,
  • Syaikh Abdurrahman bin Muhammad ‘Ibad,
  • Syaikh Ali bin Muhammad Al-Khatib dan saudaranya
  • Syaikh Ahmad bin Muhammad,
  • Syaikh Sa’ad bin Abdullah Akdar ….. dan masih ramai lagi.

Sifat-sifatnya
Antara sifat-sifat al-Faqih Muqaddam رضي الله عنه ialah sering berkhalwah di sebuah gua yang terdapat di Bukit Nu’air. Beliau tidak menyukai kemasyhuran dan menghindarinya. Beliau seorang yang tawadhu’. Jika beliau makan bersama-sama temannya, beliau tidak segera berdiri malah tetap duduk meraikan teman-temanya agar teman-temannya tidak berasa malu dan tergesa-gesa makan. Beliau seorang yang pemurah, dermawan. Dirumah beliau terdapat 360 buah guci (bekas menyimpan) kurma yang mana beliau setiap hari menyedekahkan satu bekas kurma kepada faqir miskin.

Keturunan
Hasil pernikahan al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه dan Sayyidah Zainab Ummul Fuqara’رضي الله عنها, mereka dikurniakan lima orang cahayamata lelaki, yang mana tiga daripadanya telah menurunkan keturunan (marga) leluhur ‘Alawiyyin yang terbanyak iaitu lebih kurang sebanyak 75 leluhur ‘Alawiyyin. Mereka adalah:-
  1. ‘Alwi al-Ghuyur – kepada beliaulah bersambung nasab Aal Maula ad-Dawilah, Aal Bin Yahya, Aal as-Saqqaf, Aal al-Aydrus, Aal Syihabuddin, Aal Syaikh Abi Bakar bin Salim, Aal al-Atthas, Aal Abdullah Ba’Alawi, Aal Ba’Bud. Aal al-Baiti dll
  2. Ali - kepada beliaulah bersambung nasab Aal asy-Syathiri, Aal al-Habsyi, Aal Jamalullail, Aal al-Baidh, Aal As-Sirri dll
  3. Ahmad – kepada beliaulah bersambung nasab Aal al-Jufri, Aal al-Kaff, Aal Balfaqih, Aal al-Bar dll
  4. ‘Abdullah
  5. ‘Abdurrahman

Kewafatannya
Al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه wafat pada malam Jum’at bulan Dzulhijjah tahun 653H. Beliau dimakamkan di pemakaman Zanbal di kota Tarim. Makamnya sentiasa diziarahi bahkan yang pertama-tama yang akan diziarahi apabila ziarah ke Zanbal. Dan dikatakan, tidak sempurna ziarah ke Zanbal seandainya tidak menziarahi makam beliau. Dan menurut riwayat, para auliya kota Tarim sepakat mengatakan bahwa barangsiapa menziarahi makam seseorang sebelum menziarahi al-Faqih al-Muqaddam maka tiada diterima ziarahnya.

Pada nisan al-Faqih al-Muqaddam tertulis kata ‘أب تريم’ yang menunjukkan tahun kewafatan beliau menurut hitungan al-Jummal iaitu alif = 1; ba’= 2; ta’ = 400; ra’ = 200; ya’ = 10 dan mim = 40. Apabila dijumlahkan maka menjadi 653. Iaitu tahun kewafatan beliau, 653H.

Begitulah serba ringkas manaqib al-Faqih al-Muqaddam رضي الله عنه. Sekiranya nak mengetahui lebih lanjut mengenai al-Faqih al-Muqaddam, dapatkanlah buku yang aku cadangkan. Insyaallah menarik dan banyak manfaatnya.

Sebagaimana yang diberitahu sebelum ini …. Setelah aku menziarahi makam al-Faqih al-Muqaddam, maka aku beralih untuk berziarah ke makam yang bersebelahan seperti makam Habib Abdullah bin ‘Alwi Ba’Alawi, termasuk makam zaujah al-Faqih al-Muqaddam iaitu Zainab Ummul Fuqara’. Begitu makam Habib bdurrahman as-Saqqaf bin Muhammad Maula Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alwi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin Ali, makam Habib Umar al-Muhdhor …. Insyaallah akan aku bawakan manaqib mereka ini nanti …. Dibawah adalah beberapa peninggalan al-Faqih al-Muqaddam.



Tinggalan al-Faqih al-Muqaddam. Guci tempat menyimpan buah kurma. al-Faqih al-Muqaddam mempunyai 360 buah guci yang tersimpan didalamnya buah kurma. Setiap guci memuatkan lebihkurang 1800 rithil (kati) kurma. Dan setiap hari beliau mensedeqahkannya kepada golongan faqir dan miskin.


Tinggalan al-Faqih al-Muqaddam. Tongkat dan penutup kepalanya yang kini disimpan oleh Aal al-'Amudi


Rumah al-Faqih al-Muqaddam - Dahulu


Baitul Faqih - Rumahnya al-Faqih al-Muqaddam di Kota Tarim. Kini rumah ini adalah merupakan tempatnya para ulama' Tarim berkumpul dan berbincang mengeluarkan fatwa


Bahagian dalam gua di Bukit Nu'air - tempat al-Faqih al-Muqaddam berkhlawat


Pintu masuk gua di Bukit Nu'air tempat al-Faqih al-Muqaddam berkhalwat

3 komen:

Tanpa Nama berkata...

Asslmkm wr wb
Alhmdlh syukur sy kpd Allah swt kerna mengatahui jalan cerita Al Faqih Muqaddam.Sblm Sy teruskn sy ingin mengenalkn diri sy:Mohd Azmi & tggl d s'pore,sebenarnya sy ingin pertolongan saudara utk dpt Manaqib al faqih muqaddam kalau bole dlm tulis Rumi(melayu)tentang salasila terutama nya di tanah Indonesia.Sy telah d beritahu ada salasila ktutunan Al faqih muqaddam di tanah Ambon(Maluku)& satu jalur dr keturunan al faqih muqaddam.Alhamdl syukur sy kpd Allah swt kerna saya yakin insya allah saudara dpt membantu sy mncari sejarahnya Al faqih Muqaddam,paling jg kirqah perninggal dr Al Faqih.Mohon bantuan & terimakaseh.Bs lewat email sy utk keterangan.
m_azmishah@yahoo.com.sg
zackzdl@hotmail.com
Terima kaseh
Wasslm,

Tanpa Nama berkata...

Asslmkm wr wb
Alhmdlh syukur sy kpd Allah swt kerna mengatahui jalan cerita Al Faqih Muqaddam.Sblm Sy teruskn sy ingin mengenalkn diri sy:Mohd Azmi & tggl d s'pore,sebenarnya sy ingin pertolongan saudara utk dpt Manaqib al faqih muqaddam kalau bole dlm tulis Rumi(melayu)tentang salasila terutama nya di tanah Indonesia.Sy telah d beritahu ada salasila ktutunan Al faqih muqaddam di tanah Ambon(Maluku)& satu jalur dr keturunan al faqih muqaddam.Alhamdl syukur sy kpd Allah swt kerna saya yakin insya allah saudara dpt membantu sy mncari sejarahnya Al faqih Muqaddam,paling jg kirqah perninggal dr Al Faqih.Mohon bantuan & terimakaseh.Bs lewat email sy utk keterangan.
m_azmishah@yahoo.com.sg
zackzdl@hotmail.com
Terima kaseh
Wasslm,
Mohd Azmi

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa'alikumussalam WarahmatuLlahi Wabarakatuh.

Saudara boleh mendapat keterangan lanjut mengenai Sayyiduna al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin 'Ali Ba'alawi radhiyaLlahu anhu dan keturunan atau pecahan qabilah yang turun dari beliau dari laman web ini
http://www.asyraaf.net/v2/ atau suadara boleh layari web rasmi Rabithah 'Alawiyyah Indonesia.

Untuk mengetahu lebih mendalam lagi lagi saudara bolehlah ke Tarim, Hadramaut untuk melihat dengan lebih dekat sejarah dan peninggalan Sayyiduna al-Faqih al-Muqaddam radhiyaLlahu anhu.

Sekian.Wassalam.

Related Posts with Thumbnails