Khamis, 25 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 11

Sambung kembali ….setelah menziarahi makam al-Habib ‘Abdullah al-Aidarus bin Abu Bakar al-Sakran رضي الله عنهما, kami terus ke makam seterusnya, iaitu makam Quthub al-Dakwah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رضي الله عنه. Seorang tokoh yang sememangnya dikenali di Malaysia. Tidak sedikit ulama’ dan penduduk tanah Melayu yang mengamalkan ratib Haddad atau Wirdul Lathif atau Hizb Nasr nya.

Ditempat kita majlis haulnya masih berjalan setiap tahun. Dan insyaAllah tahun ini seperti biasa ianya akan diadakan diseluruh Malaysia. Alhamdulillah tahun ini lebih meluas sambutannya yang mana bakal diadakan dibeberapa buah negeri seperti Kelantan,Terengganu, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Manakala acara kemuncak, majlis haul Imam al-Haddad adalah di tiga lokasi di Kuala Lumpur/Selangor iaitu di Masjid al-Falah (31 Oktober 2008), Masjid Baitul Aman (1 November 2008) dan Masjid al-Bukhary (2 November 2008). Oleh itu para pengunjung al-Fanshuri dijemput ke majlis tersebut. Janganlah lepas peluang ini, kerana selain dari kita mendengar manaqib Imam al-Haddad, membaca beberapa keratan dari kitab-kitab karangan beliau, kita juga akan dapat mendengar tausiyah daripada para ulama yang dijemput khas ke majlis tersebut. Moga-moga dengan keberkatan majlis sedemikian, hati-hati kita akan hidup dan terus subur ……..


Membaca Manaqib: Dalam sebuah hadits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus daripada Sayyidina Muadz رضي الله عنه
ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة
Maksudnya : Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kafarah (bagi dosa), mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kepada syurga (menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir dan al-Munawi didalam Faidhul Qadir, hadits ini dhoif)

Muhammad bin Yunus رحمه الله تعالى berkata: Tiada melihat aku akan seuatu yang terlebih manfaat bagi hati daripada mengingati riwayat hidup orang-orang sholeh.
قال سفيان بن عيينة رحمه الله تعالى: عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة
Sufyan bin Uyainah رحمه الله تعالى mengatakan bahawa ketika menyebut orang-orang sholeh akan bercucuran rahmat.

Imam Junaid al-Baghdadi رحمه الله تعالى pula berkata, hikayat (kisah orang-orang sholeh) itu adalah merupakan tentera dari tentera-tentera Allah Ta’ala dimana Allah menetapkan hati para auliyaNya dengan kisah-kisah tersebut. Maka ditanyai oleh orang kepada Imam Junaid: Apakah engkau mempunyai asas menyokong katamu itu? Maka beliau menjawab: Dalil atau penyokong bagi kenyataannya itu adalah firman Allah [bermaksud]: Dan semua kisah-kisah Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), yang dengannya Kami teguhkan hatimu. (Surah Hud:120). Moga-moga dengan menyebut kisah-kisah mereka, akan menambah kecintaan kita kepada mereka. آمين

Didalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Dzar رضي الله عنه, dimana beliau berkata: Wahai Rasulullah! Seorang lelaki mengasihi suatu kaum sedangkan ia tidak mampu ber’amal dengan ‘amalan mereka? Maka baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Engkau, wahai Abu Dzar bersama sesiapa yang engkau kasihi. Mudah-mudahkan kita digolongkan kedalam golongan auliyaNYA lantaran kerna cinta kita kepada mereka. آمين. [dipetik dari kitab Risalah al-Mustarsyidin oleh al-Haarits al-Muhaasibi, cetakan Dar as-Salam, tahqiq Syaikh Abdul Fattah abu Ghuddah]

Didalam kitab Jala adh-Dholaam ‘ala ‘Aqidatil Awwam disebutkan: Ketahuilah, seyogia bagi setiap muslim yang menuntut kelebihan dan kebaikan (dari Allah Ta’ala) bahwa dia mencari baraakah, nafaahat, maqbulnya doa dan turunnya rahamaat pada auliya’ didalam majlis perhimpunan mereka, samada ketika mereka masih hidup atau telah wafat, ketika berada disisi kubur mereka atau ketika berziarah atau ketika menyebut keutamaan mereka dan membaca manaqib mereka.

Duduk bersama ulama`:Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4, telah bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum –sufi) seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.

Asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى , di dalam kitabnya Nasho-ihul Ibad fi bayani al-Faadzi al-Munabbihaat 'alal Isti'daadi Li Yaumil Ma'adi pada halaman 4, beliau telah memberi penjelasan bahwa yang dimaksudkan dengan:
  • Ulama’ ialah orang-orang ‘alim yang mengamalkan ilmunya
  • Hukama’ ialah orang-orang yang mengetahui/mengenal zat Allah Ta’ala, yang betul dan tepat dalam perkataan dan perbuatan mereka.
  • Hikmah itu adalah ilmu yang memberi manfaat
Seterusnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى mengklasifikasikan ulama’ itu kepada 3 bahagian:
  • Ulama’ yang ‘alim tentang hukum-hakam, mereka adalah ashhab al-fatwa, yakni mempunyai hak untuk memberi fatwa
  • Ulama yang ‘alim [dan arif] akan dzat Allah [ulama ‘tauhid] sahaja . Mereka ini adalah golongan hukama. Bergaul, berdamping dengan mereka menjadikan akhlaq terdidik, kerana dari hati mereka bersinar cahaya ma’rifatullah dan terbit dari sirr mereka cahaya keagungan Allah.
  • Dan ulama yang memiliki kedua-dua shifat diatas, mereka itu kubara’. Maka bergaul dengan ahlullah mendatangkan ahwal yang mulia. Nadzrah (lirikan) mereka lebih mendatangkan manfaat dari daripada ucapan mereka. Dan barangsiapa yang lirikannya memberi manfaat kepadamu, maka bermanfaatlah kata-katanya, dan barangsiapa yang lirikannya tidak memberi manfaat kepadamu, maka kata-katanya tidak akan mendatangkan manfaat.
InsyaAllah kita akan memperoleh itu semua … dengan niat yang ikhlas dan mahabbah yang benar.

Kini, Abu Zahrah bawakan manaqib Imam al-Haddad. Moga-moga ziarahku ke makam beliau beroleh barokah. ……

Nasabnya: al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alawi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Abi Bakar al–Thowil bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alawi bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Al-Imam Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Ali al-Haddad رضي الله عنه diputerakan pada malam itsnin 5 Shafar 1044H (30 Julai 1634M). Ini sebagaimana disebutkan oleh Syaikh ‘Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasawi as-Sajjar didalam kitab yang bertajuk Tatsbitul Fuad bi Zikri Kalam Majalis al-Quthub al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad, beliau berkata: Beliau رضي الله عنه berkata:


Kami telah menghafaz tarikh kelahiran kami daripada ibu kami. Ibuku berkata: Aku dilahirkan pada malam itsnin, 5hb Safar, tahun 1044H. Beliau رضي الله عنه bercerita lagi: Seorang jiran wanita membungkusku dengan pakaian ayahku. Malam itu aku menangis dan menjerit-jerit sampai pagi. Lalu ibuku berkata kepada sebahagian wanita yang berada didalam rumah: Cuba engkau lihat, apa terjadi kepada nakku, kenapa dia tidak mahu diam. Wanita itu kemudian memeriksa kain yang membungkusku. Ternyata didalamnya terdapat seekor kala jengking yang sangat besar. Badanku merah-merah kerana sengatannya [dalam setengah riwayat mengatakan lebih dari 20 sengatan].

Beliau didlahirkan disebuah perkampungan bernama Subair yang berhampiran dengan kota Tarim di Wadi Hadhramaut, di Selatan Yaman. Beliau membesar didalam lingkungan keluarganya yang terkenal dengan kesholehan.

Ayahnya Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad, sejak kecil berada di bawah asuhan ibunya Hababah Salwa, yang dikenal sebagai wanita ahli ma’rifah dan wilayah. Bahkan al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad sendiri banyak meriwayatkan kekeramatannya. Datuk al-Habib Abdullah al-Haddad dari sebelah ibunya Habib Umar bin Ahmad al-Manfar Ba'Alawi yang termasuk ulama yang mencapai darjat ma’rifah yang sempurna. Imam al-Haddad meriwayatkan sekitar 45 karamah yang dimilikinya.
Imam al-Haddad mendapat didikan awal dari ayahandanya Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad dan ibundanya Hababah Salma binti Idrus bin Ahmad bin Muhammad al-Habsyi .

Ketika umurnya 4 tahun, beliau telah diserang penyakit cacar hingga menyebabkan beliau buta kedua matanya. Walaubagaimanapun matahati terang benderang. Sewaktu kecilnya beliau tidak menghabiskan masanya dengan bermain sebagaimana anak kecil sebayanya. Beliau menghabiskan waktunya dengan menghafal al-Quran, bermujahadah an-Nafs dengan mengerjakan banyak ibadah dan mencari ilmu.


Ayahnya, al-Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad wafat pada malam itsnin awal bulan Rajab 1072H. Kemudian disusuli pula oleh ibunya iaitu pada hari Rabu, tanggal 24 Rajab 1072H. Ketika itu Imam al-Haddad sudah berumar 28 tahun.


Guru-gurunya: Diantara guru-guru beliau adalah:

  • al-Habib Muhammad bin ‘Alawi bin Abu Bakar bin Ahmad bin Abu Bakar bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf (1002 – 1071H)
  • Syaikh Abu Bakar bin bin Imam ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin Abu Bakar bin Syaikh ‘Abdurrahman al-Saqqaf
  • al-Habib ‘Aqil bin ‘Abdurrahman bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Aqil bin Syaikh Ahmad bin Abu Bakar bin Syaikh bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf
  • al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas bin Aqil bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf (wafat:1072H).
  • al-Habib ‘Abdurrahman bin Syaikh Maula ‘Aidid Ba’alawi (wafat: 1068H)
  • Sayyid Syaikhan bin Imam al-Hussein bin Syaikh Abu Bakar bin Salim
  • al-Habib Syihabuddin Ahmad bin Syaikh Nashir bin Ahmad bin Syaikh Abu Bakar bin Salim
  • al-Habib Jamaluddin Muhammad bin Abdurrahman bin Muhammad bin Syaikh al-Arifbillah Ahmad bin Syaikh al-Hussein bin Syaikh al-Quthb al-Rabbani Abu Bakar bin Abdullah al-‘Aydrus (1035-1112H)
  • Sayyid al-Faqih al-Shufi Abdullah bin Ahmad Ba`alawi al-Asqa’
  • Sayyid Syaikh al-Imam Ahmad bin Muhammad al-Qusyasyi (wafat 1071H)
Khirqah Sufiyah: Imam al-Haddad banyak menerima khirqah sufiyyah, antaranya daripada:
  • al-Habib ‘Aqil bin ‘Abdurrahman bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Aqil bin Syaikh Ahmad bin Abu Bakar bin Syaikh bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf,
  • al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas bin Aqil bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf (wafat:1072H),
  • al-Habib Syihabuddin Ahmad bin Syaikh Nashir bin Ahmad bin Syaikh Abu Bakar bin Salim,
  • al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad bin ‘alawi as-Saqqaf al-Makki
Beliau adalah merupakan Quthub al-Aqtab pada zamannya.Dan ada ulama mengatakan bahwa beliau me

Murid-muridnya: Murid-murid beliau, antaranya:-

  • al-Habib Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad (anak beliau);
  • al-Habib Ahmad bin Zein al-Habsyi;
  • al-Habib ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah Balfaqih;
  • al-Habib Muhammad bin Zein bin Smith;
  • al-Habib ‘Umar bin Zein bin Smith;
  • al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-Bar;
  • al-Habib ‘Ali bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf;
  • al-Habib Muhammad bin ‘Umar bin Thoha ash-Shafi al-Saqqaf;
  • Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar
  • Al-Faqih BaJubair – beliau adalah merupakan guru kepada Imam al-Haddad dalam ilmu fiqih namun setelahnya ulama ini bellajar kitab Ihya kepada Imam al-Haddad. Imam al-Haddad berkata: Setelah kembali ke Hadramaut (dari India) dia belajar Ihya kepadaku. Aneh sekali! Dahulu aku belajar fiqih kepadanya, namun sekarang dia belajar ihya kepadaku.
  • dan ramai lagi
Penulisan: Beliau رضي الله عنه mula menulis ketika berumar 25 tahun dan karya terakhir beliau ditulis pada ketika usianya 86 tahun. Karya al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad, antaranya:-

An-Nashoih ad-Diniyah wa al-Washoya al-Imaniyah (النصائح الدينية والوصايا الإيمانية), Ad-Da’wah at-Tammah wa at-Tazkirah al-‘Ammah (الدعوة التامة و التذكرة العامة), Risalah al-Mu’aawanah wa al-Mudzaaharah wa al-Mu`aazirah li ar-Raghibin minal Mu’minin fi Suluki Thoriqil Akhirah (رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة للراغبين من المؤمنين في سلوك طريق الأخرة), Al-Fushul al-‘Ilmiyyah wa al-Ushul al-Hikamiyah (الفصول العلمية والأصول الحكمية); Sabil al-Iddikar wa al-I’tibaar bima Yamurru bi al-Insan wa Yanqadhi lahu min al-’A’maar (سبيل الإدكار والا عتبار بما يمر بالإنسان وينقضي له من الأعمار); Risalah al-Muzaakarah ma’a al-Ikhwan al-Muhibbin min Ahl al-Khair wa ad-Din (رسالة المذاكرة مع الإخوان المحبين من أهل الخير والدين); Risalah Aadab Suluk al-Murid (رسالة آداب سلوك المريد); Kitab al-Hikam (كتاب الحكم )



An-Nafais al-‘Uluwiyyah fi al-Masaail as-Shufiyyah
(النفائس العلوية في المسائل الصوفية); Ithaf as-Saail bi Jawaab al-Masaail (إتحاف السائل بجواب المسائل); Wasilah al-‘Ibaad ila Zaad al-Ma’aad (وسيلة العباد إلى زاد المعاد); Ad-Durr al-Mundzum li Zaawil ‘Uqul wa al-Fuhuum (الدر المنظوم لذوي العقول والفهوم); Tastbitul Fuad ( تثبيت الفؤاد)- dikumpul oleh murid beliau Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasawi asy-Syarjjar)


Kebanyakkan karya beliau telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan juga bahasa Indonesia dan Malaysia.






Ibadahnya:
Beliau رضي الله عنه sangat bersungguh-sungguh didalam mengerjakan ibadah dan mujahadah an-Nafs sedari usianya masih kanak-kanak. Pada bidayahnya beliau mengunjungi seluruh masjid di kota Tarim untuk beribadah. Beliau sentiasa berjaga malam untuk mengerjakan ibadah. Hampir 40 tahun beliau bersholat shubur dengan wudhu` sholat 'Isya`. Banyak berzikir dan membaca al-Quran. Biji tasbihnya berjumlah 1000 biji.




Akhlaqnya: Akhlaqnya mencontohi akhlaq datuknya, Rasulullah صلى لله عليه وآله وسلم samaada pada perkataan atau perbuatannya. Terkenal sebagai seorang yang pemurah. Sentiasa manis bibirnya dengan senyuman dan menngembirakan orang lain. Sangat memberi perhatian kepada penuntut ilmu dan majlis ilmu. Membalas kejahatan dengan kebaikan. Sangat wara’ dalam perkara-perkara syubhat. Kalau memberi upah beliau akan memberi lebih tinggi daripada yang diharapkan. Beliau juga suka mendirikan masjid, antara yang dibinanya adalah Masjid al-Awwabin, Masjid al-Abrar, Masjid al-Abdal, Masjid al-Fath, Masjid at-Tawwabin dan Masjid Ba’Alawi di Basyon.

Karamahnya: al-Habib ‘umar bin Zain bin Sumaith mengatakan bahwa seorang waliyullah yang hidup sezaman dengan al-Imam ‘Abdullah bin ‘alawi al-Haddad dan bermuqim di Mekah – sehari setelah kewafatan Imam al-Haddad - telah memberitahu kepada sejumlah orang di Mekah bahwa semalam Imam al-Haddad telah wafat. Ketika ditanya, darimana waliyullah itu tahu hal tersebut, maka beliau menjawab: Tiap hari siang dan malam, saya melihat beliau (Imam al-Haddad) selalu datang thawaf Ka’bah (padahal Imam al-Haddad berada di Tarim). Hari ini aku tidak melihatnya lagi, kerana itu aku mengetahui bahwa beliau sudah wafat.

Oleh kerana beliau seorang khumul, menghindari syuhrah (kemasyhuran), sangat tidak suka orang membicarakan karamahnya maka beliau pernah memerintahkan muridnya melupuskan (dengan menghanyutkan kesungai) 2 jilid kitab disusun yang menyebut tentang karamahnya. Dan beliau selalu mennashihati muridnya untuk tidak melakukan ibadah untuk mendapatkan karamah.


Pujian Ulama Keatasnya:
Mufti Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba 'Alawi dalam Ghaayatu Talkhish al-muraad min fatawa Ibni Ziyaad menyatakan bahawa Imam a-Haddad adalah merupakan mujaddid kurun ke-11H. Pada halaman 293 - 294 di pinggir Bughyatul Mustarsyidin, beliau menyatakan:- [Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafiz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-



  • Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
  • Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
  • Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy'ari;
  • Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
  • Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
  • Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
  • Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
  • Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
  • Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
  • Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
  • Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
  • Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar bin Sumaith Alawi. [petikan dari blog Ustaz Abu Muhammad - Bahrusshofa]

Seorang ulama menggambarkan kedudukan beliau dengan ungkapan: Didalam dunia tasawwuf Imam al-Ghazali ibarat pemintal kain, Imam ‘Abdul Wahab asy-Sya’rani ibarat tukang potong dan al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad adalah penjahitnya.

Syaikh Hussin bin Muhammad BaFadhal al-Makki (wafat 1087H) mengatakan: Bahwa ada 3 tokoh pada masanya. Pertama, yang halnya menutupi maqalnya iaitu Al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Saqqaf (mufti Mekah), kedua yang maqalnya menutupi halnya iaitu Syaikh Ahmad al-Qusyasyi (mufti Madinah, wafat 1071H), dan ketiga, yang sampai pada darjah sempurna diantara hal dan maqalnyanya itu al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. Syaikh Hussin baFadal juga mengatakan: Dia (Imam al-Haddad) adalah lautan bathin dan dzahir.


Al-Habib Abu Bakar al-Jufri (wafat 1089H) mengatakan: Aku telah berkumpul dengan lebih dari 40 orang waliyullah, tetapi aku tidak pernah mneyaksikan seperti Sayyid ‘Abdullah al-Haddad, dan tidak ada pula yang mengunggulinya. Dia ialah Nafas Rahmani.



Kewafatannya:
Khamis 27 Ramadhan 1132H, beliau mula sakit dan sakitnya berlanjutan selama 40 hari sampai akhirnya pada malam Selasa 7 Dzulqaedah 1132H (bersamaan 10 September 1720M), al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Ali al-Haddad رضي الله عنه dijemput Allah kehadratNya ketika berusia 89 tahun. Makam beliau رضي الله عنه terletak di kawasan pemakaman Zanbal, di kota Tarim. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada ruhnya dan memberi manfaat kepada kita dengan ilmu-ilmunya




اَلَّلهُمَّ انْشُرْنَفَحَاتِ الِّرضْوَانِ عَلَيْهِ، وَأَمِدَّنَا بِالأَسْرَارِ الَّتِي أَوْدَعْتَهَالَدَيْهِ. اَلَّلهُمَّ صَلِّ عَلىَ جَدِّهِ النَّبِيِّ الأَمِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعْيْنَ


Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu ke atasnya dan limpahkanlah ya Allah, kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian

الفاتحة إلى حضرة النبي محمد صلى الله عليه وآله وسلم وإلى روح سيدنا قطب الإرشاد وغوث العباد والبلاد الحبيب عبد الله بن عاوي بن محمد الحداد وأصوله وفروعهم أن الله يعلي درجاتهم في الجنة ويكثر من مثوباتهم ويضاعف حسناتهم ويحفظنا بجاههم وينفعنابهم ويعيد علينا من بركاتهم وأسرارهم وأنوارهم وعلومهم ونفحاتهم في الدين والدنيا والآخرة - الفاتحة

InsyaAllah, nanti ambo sertakan jadual majlis haul Imam al-Haddad sebagaimana yang dinyatakan diatas. Rasanya lepas Eidul Fitrilah … bagi awai kot satgi hilang bersama kuih raya, rendang, lemang dan ketupat …. Hehehe. Oh ya … sebagai mengakhiri manaqib ringkas Imam al-Haddad, ambo bawakan sepotong nashihat beliau yang sangat berharga untuk panduan kita ….. dari himpunan syair beliau berjudul ad-Durrul Mandzum yang ambo petik dari blog Ustaz Abu Muhammad (Bahrusshofa)


Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;
Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;

Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;

Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;

Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mustofa yang suci;

Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni'matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;

Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;

Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;

Dan jadikanlah Asy'ariyyah sebagai pegangan i'tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;

Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, 'aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;

Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali رحمه الله ), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.

Posting kali ni agak panjang … sebenarnya banyak lagi tentang Imam al-Haddad yang nak ambo bawakan disini tapi dek kerana takut panjang sangat, maka ambo tangguhkan dulu. Lain kali ambo crita lagi ketika menceritakan pengalaman kami ketika menziarahi Masjid al-Fath, antaranya dapat memegang tasbih Imam al-Haddad.

Setelah selesai ziarah kami di Zanbal, maka kami bergerak pulak ke Inat untuk menziarahi makam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim. Perjalanannya agak jauh, sempat juga aku lelapkan mata seketika untuk melepaskan penat. Perjalanan kami kesana dengan kereta Ustaz Ibrahim al-Fathoni. Beliau sudah hampir 5 tahun tinggal di Tarim. Seorang yang baik, ringan tangan dan mudah berurusan dengannya. Memang perjalanan kami ‘all-out’ dari Inat kami menziarahi makam Imam al-Muhajir ketika perjalanan ke Seiwun. Kemudian menziarahi makam al-Habib ‘Ali al-Habsyi di Seiwun. Aha …. Nampak gaya panjang lagi lah catatan perjalanan ke Tarim ni …. Maybe sambung selepas Eidul Fitri. Nak balik Kedah dulu ……….


Insyaallah panjang umur kita ketemu lagi. Ambo mengucapkan selamat balik kampung dan selamat menyambul Eidul Fitri. Semoga segala amalan yang dilakukan disepanjang Ramadhan diterimaNYA dan semoga ketaqwaan kita bertambah. Akhirkalam, ambo memohon ampun maaf dzahir dan bathin diatas segala salah-silap ambo kepada pengunjung al-Fanshuri. Jemputlah kerumah ambo di Sri Gombak selepas raya posa 6.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails