Khamis, 4 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 3

Sebagaimana disebut didalam sebelum ini, abu zahrah akan menceritakan secara ringkas manaqib para auliya dan ulama yang disebut didalam catatan perjalanan ini. Ini adalah kerana menyebut atau mengingati riwayat hidup mereka adalah merupakan suatu kebaikan. Tersebut didalam sebuah hadits:

ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة

Maksudnya : Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kafaarah dan mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kepada syurga (Hadits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus. Menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir, hadits ini dhoif)


Muhammad bin Yunus رحمه الله تعالى berkata: Tiada melihat aku akan seuatu yang terlebih manfaat bagi hati daripada mengingati riwayat hidup orang-orang sholeh. Sufyan bin Uyainah رحمه الله تعالى mengatakan bahawa ketika menyebut orang-orang sholeh akan bercucuran rahmat.

Imam Junaid al-Baghdadi رحمه الله تعالى pula berkata, hikayat (kisah orang-orang sholeh) itu adalah merupakan tentera dari tentera-tentera Allah Ta’ala dimana Allah menetapkan hati para auliyaNya dengan kisah-kisah tersebut. Maka ditanyai oleh orang kepada Imam Junaid: Apakah engkau mempunyai asas menyokong katamu itu? Maka beliau menjawab: Dalil atau penyokong bagi kenyataannya itu adalah firman Allah [bermaksud]: Dan semua kisah-kisah Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), yang dengannya Kami teguhkan hatimu. (Surah Hud:120). Moga-moga dengan menyebut kisah-kisah mereka, akan menambah kecintaan kita kepada mereka. آمين

Didalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Dzar رضي الله عنه, dimana beliau berkata: Wahai Rasulullah! Seorang lelaki mengasihi suatu kaum sedangkan ia tidak mampu ber’amal dengan ‘amalan mereka? Maka baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Engkau, wahai Abu Dzar bersama sesiapa yang engkau kasihi. Mudah-mudahkan kita digolongkan kedalam golongan auliyaNYA lantaran kerna cinta kita kepada mereka. آمين.

Maka untuk itu maka marilah kita hayati manaqib ringkas Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz. [ayahanda Habib Umar]

Beliau adalah al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz bin ‘Abdullah bin Abi Bakar bin Aydrus bin Umar bin Aydrus bin Umar bin Abi Bakar bin Aydrus bin al-Hussin ibn al-Syaikh Abi Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Beliau dilahirkan di Misthoh, sebuah kampung kecil di pinggir kota Tarim pada tahun 1332H.

Mendapat didikian awal dari ayahandanya Habib Salim bin Hafidz. Kesan pendidikan ayahnya, ketika usianya meningkat dewasa, peribadinya dihiasi dengan budipekerti yang mulia. Selain berguru dengan ayahandanya yang terkenal alim, beliau juga turut berguru dengan Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri, Habib 'Alwi bin Syihab, Sayyid Hamid al-Sirri, Sayyid ‘Ali bin Zein al-Hadi, Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri, Habib Abdullah bin ‘Aydrus, Habib Hasan bin Muhammad balfaqih, Habib Muhammad bin Hasan ‘Aidid, Habib Hasan bin Ismail, Syeikh Abu Bakar al-Khatib, Syaikh Muhammad bin ‘Iwadh BaFadhal, Habib Abdurrahman al-Saqqf, Habib Muhammad bin Hadi al-Saqqaf dan ramai lagi ulama Hadhramaut. Beliau juga telah mengembara ke Haramain, India, Pakistan dan lain-lain untuk menuntut ilmu dan berda’wah. Akhirnya beliau kembali ke Tarim dan mendirikan majlis-majlis ta'lim di sana selain menjalankan usaha dakwah ke daerah-daerah luar.

Disamping berdakwah, beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab antaranya ada yang telah dicetak dan sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara kitab karangan beliau: Takmilah Zubdatul Hadits fil Faraidh, al-Miftah li Babin Nikah, al-Tazkirah al-Hadhromiyah, al-Fawaid al-Tsaminah, Durus al-Tauhid,, al-Wasilah lil Wiqawah, Qurratul ‘Ain li Jawabi As`ilati Waadi al-‘Ain, al-Nafhah al-Wardiyah, Nazam Maulid al-Haafidz ‘Imaad al-Diin ibn Katsir, Dalil al-Muslim, al-Fawaid al-Nahwiyyah li Qaari` al-Ajrumiyah. Manakala yang masih dalam bentuk manuskrip, antaranya Majmu’ Kalam wa Mawa’idz al-Habib ‘alwi bin Abdullah bin Syihab, Manaqib al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, Rehlah al-Habib Musthafa al-Muhdhar, Diwan Syairnya dan Himpunan Fatwanya. Oleh kerana ketinggian ilmu dan akhlak serta kewarakannya, maka Habib Muhammad bin Salim dipilih menjadi Mufti Kota Tarim al-Ghanna. Habib Muhammad mempunyai 11 orang cahaymata, antara anak-beliau adalah al-‘Allamah al-Faqih Habib ‘Ali al-Masyhur, Habib Ahmad Attos, al-Da’i ilaLlah Habib Umar, Habib Salim dan Habib ‘Abdullah

Sekalipun dilantik menjadi Mufti, beliau tetap bersikap tawadhu dan amat menghormati para gurunya dan para ulama lainnya. Hari-harinya dihabisi dengan berbagai amal ibadah dan menyampaikan ilmu, sehingga pernah dalam satu hari beliau mengendali dan hadir 16 majlis ilmu. Diantara tradisi beliau adalah mengkhatam kitab shohih al-Bukhari setiap tahun didalam bulan Rajab.




Dalam menyampaikan dakwah pula, Habib Muhammad terkenal lantang dalam menyeru umat kepada jalan Allah dan syariatNya. Suaranya dalam menyampaikan kebenaran tidak dapat dihalang sehingga dengan kepala diacukan pistol beliau telah menyatakan kebenaran tanpa takut dan gentar. Hal ini membuat gusar pemerintah pemberontak komunis pada waktu itu, sehingga pada tanggal 29 Dzul Hijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya Habib Umar yang ketika itu baru berusia 9 tahun beri'tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu sholat Jumaat, Habib Muhammad telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Sebelum pergi beliau meninggalkan rida’nya [shalnya] ditempat duduknya. Sehingga selesai sholat Jumaat, Habib Muhammad tidak kembali lagi. Akhirnya pulanglah Habib Umar yang masih kecil itu sendirian dengan membawa syal milik ayahnya. Sejak saat itu tidak ada khabar berita mengenai beliau dan tidak diketahui samada beliau telah wafat atau masih hidup. Usia Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz ketika itu adalah 60 tahun.

Ramai yang percaya bahawa beliau telah dibunuh syahid oleh pemberontak komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Kini perjuangan dakwahnya diteruskan oleh murid-murid dan zuriat beliau, antaranya yang masyhur ialah Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Seolah-olah, shal yang ditinggalkan seumpama bendera da’wah yang diwariskan kepada anaknya, Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz untuk terus diperjuangkan. Dan kini Habib Umar meneruskan menyebaran ilmu dan da’wah ke seluruh pelusuk dunia. Mudah-mudahan Allah melimpahkan keredhaanNya ke atas Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz dan memberikan kepada kita sekalian keberkatan dan manfaat ilmunya....al-Fatihah.

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas datuknya, Nabi al-Amin, penghulu kami Sayyidina Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian. – Sekian.
InsyaAllah siri seterusnya, abu zahrah akan bawakan pula manaqib al-Habib Salim bin Hafidz bin Abdullah, iaitu datuk kepada Habib Umar.

Catatan perjalanan seterusnya …….

AlhamduliLlah. Setelah mengemas apa yang patut, aku kemudiannya terus kebahgian luar Dar al-Musthafa, ke deretan kedai dihadapannya. Apa lagi ….. ke kedai kitab lah aku …. Fuh banyak kitab yang bagus-bagus. Fulus aja yang kurang. Ada dua buah kedai kitab disini. Tapi puas hati …. Banyak kitab yang jarang jumpa di Malaysia, boleh didapati disini. Kitab karangan ulama Melayu pun ada dijual. Kitab yang bertajuk al-Mauhibah syarah Ba Fadhal, sebanyak 4 jilid karangan Syaikh Mahfuz al-Termasi. Masyaallah! Kat Malaysia pun susah bahkan setahu abu zahrah kitab ini sudah tidak diterbitkan lagi. Bahkan menurut rakan yang pernah ke pesantren Termas, memang kitab ini sudah tidak di terbitkan.

Dan sekarang pihak pesantren sedang mengambil inisiatif untuk menerbitkan semula khazanah yang berharga ini. AlhamdulilLah aku dah ada kitab ni….. membaca kitab ini, maka tahulah kita akan kehebatan dan ketinggian ilmu para ulama dunia melayu kita. Rasanya, perlu abu zahrah memperkenalkan ulama kita yang kitabnya ada di jual di Tarim ni. Kalau sampai Tarim pun mereka mengenalinya atau paling tidak membaca kitab karangannya. Maka kita seharusnya kena lebih kenallah ulama alam melayu kita. Lagipun kalau kita tidak mengangkat nama ulama kita maka siapa lagi …… Jasa mereka kepada generasi kita teramatlah besarnya. Maka itu, disamping abu zahrah menceritakan pengalaman berkunjung ke Tarim, ada baiknya diselitkan pengenalan kepada ulama yang berkaitan.


Muhaddits Dunia Melayu - Syaikh Mahfuz al-Termasi
Muhaddits dunia melayu ini bernama Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi. lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rajab 1338 H/20 Mac 1920 M.

Pendidikan
Mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syaikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi. Antara kitab yang dipelajari dari ayahandanya adalah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Minhaj al-Qawim, Fath al-Mu'in, Fath al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain sehingga Surah Yunus. Seterusnya Syaikh Mahfuz melanjutkan pengajiannya ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab, mengenai ilmu falak.

Setelah tamat pengajian di Semarang berkelana pula ke Mekah untuk menuntut ilmu. Dan ini adalah merupakan tradisi penuntut ilmu agama di Nusantara iaitu menamatkan pengajian mereka di Mekah. Antara guru-guru beliau di Mekah ialah:-
  • Syaikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam).
  • Syaikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya.
  • Syaikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib.
  • Sayyid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Shahih al-Bukhari.
  • Syaikh Muhammad Sa'id BaBashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abu Daud. Sunan Tirmidhi dan Sunan Nasai.
  • Sayyid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh. Syaikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi
  • Sayyid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik.
  • Sayyid Abu Bakr bin Sayyid Muhammad asy-Syatha
  • Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki,
  • Syaikh Nawawi al-Bantani,
  • Syaikh Ahmad al-Fathani

Antara shahabat-shahabatnya di Mekah
  • Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M).
  • Haji Abdullah Fahim (lahir 1286 H/ 1869 M), [gambar sebelah]
  • Tok Kenali (lahir 1287 H/ 1871 M) dan ramai lagi ….

Penulisannya

Penulisannya, sekitar 20 judul atau lebih. Dan semua kitab yang ditulisnya adalah didalam bahasa ‘Arab. [Hebatkan ulama Melayu dulu! Maka tidak sewajarnyalah ada golongan hingusan sekarang yang berfahaman Wahabi yang melekehkan mereka. Bahkan ada yang menyarankan kitab-kitab mereka (kitab kuning) dibuang aja …. Begitulah biadabnya ilmuan sekarang …]
  • As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H,
  • Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H. [Kitab inilah yang dijual di kedai kitab berhadapan dengan Dar al-Musthafa]
  • Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.
  • Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi.
  • Al-Minhatul Khairiyyah fi Arba’ina Hadiitsan min Ahaditsi Khair al-Bariyah. [alhamduliLlah kitab ini dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada Abu Zahrah. Dan kitab ini sempat kami baca kepada beberapa orang syaikh ketika menziarahi mereka]
  • Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. [alhamduliLlah kitab ini dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada Abu Zahrah]
  • Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.
  • Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.
  • Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.
  • Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.
  • Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah,
  • Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'.

Ulama melayu yang mahir di dalam pelbagai ini ilmu wafat di Mekah menjelang waktu Maghrib pada 1 Rajab 1338 H/20 Mac 1920 M. Semoga Allah merahmati ulama kita yang berjasa ini. [Tulisan ini adalah diambil dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir di dalam Utusan Malaysia]

Catatan perjalanan seterusnya ……

Aku membeli beberapa buah kitab untuk kegunaan sendiri dan kitab yang dipesan oleh kawan-kawan di Malaysia. Beberapa buah kitab yang aku cari selama ini ternyata terdapat disini. Selepas shoping kitab aku kembali ke kamar untuk berehat sementara menanti waktu dzuhur. Selepas sholat kami mendapat jemputan makan tengahari di rumah Habib Muhammad bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf [gambar sebelah - no dua dari kanan]. Rumahnya tidak jauh dari Dar al-Musthafa, lebih kurang 5 – 10 minit berjalan. MasyaAllah, panasnya cuaca, angin yang bertiup pun panas membahang. Peluh bercucuran. Sesampai disana kami dijemput masuk, sudah sedia ada jemputan yang lain. Sudah menjadi tradisi orang arab agaknya, para tetamu akan dihiburkan dengan bacaan qasidah … sungguh merdu. Menyejukkan hati. Kemudian kami di hidangkan santapan tengahari. Hah part ni yang seronok … terutama bagi orang macam aku yang pantang jumpa daging kambing. Menunya seba ada … ayam ada, ikan ada …. buah-buahan .. manisan .. Lepas tu dihidangkan pulak syai … Qasidah lagi …. MasyaAllah! MasyaAllah! Maaf gambaq menu kami tu tak dak didalam simpanan abu zahrah. Belum sempat dapatkan dari Tuan Haji Khair. Tak boh pun tak pa …. kot pakat telioq satgi …. hehehe …… Kami dirumah Habib Muhammad al-Saqqaf yang besar dan cantik ni sehingga hampir waktu asar, kemudian beredar bila azan ‘asar hampir dikumandangkan.

Sewaktu berjalan balik ke Dar al-Musthafa, terserempak Habib Ali Masyhur yang baru keluar dari rumah Habib Umar. Aku hanya sempat memberi salam dan bermusofahah dengan beliau kerana ketika itu sholat 'asar akan didirikan. Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafidz adalah merupakan kekanda kepada Habib Umar. Beliau merupakan imam masjid jamek Tarim dan juga mufti Tarim.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails