Selasa, 2 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 1

Segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian ‘alam. Shalawat dan salam keatas junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang telah bersabda - [maksudnya]: “… telah datang ahli Yaman. Mereka memiliki hati yang lunak, hati yang lembut. Imam ada pada orang Yaman. Fiqih ada pada orang Yaman. Hikmah ada pada orang Yaman. Sedangkan pangkal kekufuran ada disebelah timur….” – seterusnya keatas ahli keluarga baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan sekalian para ulama yang meneruskan perjuangan baginda صلى الله عليه وآله وسلم sehingga hari qiamat.

Alhamdulillah, kupanjatkan jutaan kesyukuran kepadaNYA yang telah merezqikan aku untuk sampai ke bumi Yaman. Sesungguhnya hati ini telah lama menyimpan keinginan untuk menziarahi bumi Yaman dan Syria. Keinginan yang datang apabila membaca sabda-sabdaan baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :

اللهم بارك لنا في شامنا، اللهم بارك لنا في يمننا. قالوايارسول الله، وفي نجدنا. قال : اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا. قالوا يارسول الله، وفي نجدنا. قال : هناك الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”

Siapalah yang tidak ingin untuk menjejakkan kaki kebumi yang pernah didoakan oleh penghulu segala anbiya dan mursalin, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Sementelahan pula didalam hadits yang lain baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

إني لأجد نفس الرحمن من هاهنا- و أشار إلى اليمن / إني اجد نفس الرحمن من قبل اليمن

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mendapati ‘nafas ar-Rahman’ dari sebelah sana – dan baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengisyaratkan ke arah Yaman. Dan dalam riwayat lain baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Sesungguhnya aku menemukan ‘Nafas ar-Rahman’ dari arah Yaman.”


Disamping itu, keinginanku itu dikuatkan lagi dengan kunjungan para habaib dari Hadramaut ke bumi Malaysia, seperti al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syatiri, al-Habib ‘Ali bin Abdullah bin Salim al-Attas, al-Habib Kadzim al-Saqqaf, Habib Zid dan ramai lagi. Sering juga aku [al-faqir abu zahrah] bertanya kepada mereka yang pernah tinggal dan belajar di Yaman, Tarim khususnya, akan bagaimana hal keadaan disana. Dari cerita merekalah membuat keinginanku bertambah semarak untuk kesana …., menziarahi bumi yang didiami oleh para ahli bait, bumi para auliya. Dan dek kerana itu maka aku sering berdoa mudah-mudahan aku dapat sampai ke bumi Yaman [Tarim, Hadramat, khususnya] untuk mengikuti majlis pengajian atau daurah yang diadakan disana. Alhamdulillah, Allah سبحانه وتعالى memaqbulkan hajatku. Walaupun aku tidak dapat mengikuti daurah soifiyyah di Dar al-Musthafa sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapatlah menghadiri sekuliah dua dan seterusnya masjis penutupnya. Abu Zahrah mengucapkan jutaan terimakasih kepada individu yang menaja dan menguruskan perjalanan abu zahrah ke Tarim. جزكم الله خيرا الجزاء

Berangkat ke Tarim, Hadramaut.
Pada 1 Sya’ban 1429 bersamaan 3 Ogos 2008 maka berangkatlah hamba yang faqir lagi haqir, abu zahrah ke Yaman meninggalkan tanahair yang tercinta dengan menaiki pesawat Yemenia Air. Bersama-sama dengan abu zahrah adalah al-Fadhil Ustaz Azhar bin Hasyim at-Tarimi [beliau adalah bekas pelajar di Dar al-Musthafa dan merupakan amir dalam rombongan kami], Tuan Haji Muhammad Khir, Tuan Haji Zamil dan Saudara Hafidz [beliau ini telah diamanahkan oleh guru kami al-Fadhil Baba Aziz untuk diuruskan pengajiannya di Tarim, samada di Dar al-Musthafa atau di Ribath Tarim. Sewaktu kami berangkat pulang, beliau katanya ingin belajar di ribath Tarim buat permulaan]. Selain itu yang bersama kami juga adalah Habib Abdullah al-Juneid, adindanya dan juga sepupunya. Jadual penerbangan kami dari KLIA – Jakarta – Dubai – San’a’, Yaman. Dan kami perlu bermalam di San’a’ selama 1 malam dan keesokkan paginya kami berlepas dengan menaiki pesawat dari San’aa ke Seiwun. Dan seterusnya dari Seiwun ke Tarim.

Sampai di Jakarta, kami transit untuk beberapa jam untuk penyelenggaraan dan mengambil penumpang. Kami mengambil peluang ini untuk mengerjakan sholat dzuhur dan ‘asar secara jama’ taqdim. Ramai juga warga Indonesia yang menaiki pesawat. Majoritinya ke Dubai untuk bekerja. Terdapat juga yang sama tujuannya dengan kami. Seterusnya pesawat berangkat dari lapangan terbang Soekarno-Hatta menuju ke Dubai. Sewaktu dalam penerbangan menuju Dubai, ada sedikit pengalaman yang mendebarkan hati di mana cuaca sangat kurang baik ketika melewati lautan Hindi. Bergegar pesawat di buatnya. Yang paling suspen bila berlaku ‘air pocket’. Fuh rasa macam nak terlucut jantung! Allahu Allah. Penumpang wanita dan anak-anak kecil mula menjerit ketakutan. Ada yang termuntah. Bahkan aku sendiri pun hampir-hampir nak termuntah, maklumlah baru lepas makan, mujur juga dapat ‘control macho’. Kalau tak tahu tahulah ....... AlhamduliLlah, beberapa minit kemudian, pesawat kembali stabil. Penumpang menarik nafas lega.

Seterusnya, kami transit di Dubai lebih-kurang 1 jam dan setelahnya terus terbang ke San’a’ [صنعاء], Yaman. Ketika di sini kelihatan al-Habib ‘Ali al-Jufri menaiki pesawat. Menuju destinasi yang sama. Beliau duduk dibahagian ‘business class’, maka tak ada kesempatanlah untuk menemuinya. Setelah beberapa jam penerbangan maka sampailah kami ke lapangan terbang San’a’. San’a’ adalah merupakan ibukota Yaman. Cuaca di San’a’ agak sejuk, sekitar 20 darjah celsius. Kami terpaksa bermalam di San’a’ 1 malam. Ketika bermalam di tempat transit yang disediakan di bahagian atas bangunan lapangan terbang, sempat berkenalan dengan seorang habib yang sudah berumur, bernama Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Kaf. Beliau berasal dari Tarim tetapi kini menetap di Ceribon, Indonesia. Dalam pertemuan tersebut beliau sempat memberi beberapa nasihat kepada kami, antaranya:
  • Mengingatkan kami supaya bertaqwa kepada Allah
  • Mengingatkan kami supaya istiqamah dalam mengerjakan sholat witir
  • Menjadikan dunia ini sebagai ladang untuk akhirat
Sebagai penutup perbualan, beliau mendoakan kami agar ziarah kami ini beroleh keberkatan. Amiin. Seterusnya kami mengambil tempat masing-masing untuk tidur. باسمك اللهم أحيا وأموت

….. bersambung kebahagian ke-2 insyaAllah .

0 komen:

Related Posts with Thumbnails