Isnin, 22 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 9


Sesungguhnya di Zanbal terdapat terlalu banyak makam para auliya dan sholihin. Tak mampu nak aku ceritakan semuanya. Aku sekadar ceritakan mana yang perlu sahaja iaitu maqam yang sempat aku ziarah dan mengetahui seba sedikit manaqib mereka … Diantara maqam auliya` yang terdapat di zanbal adalah maqam al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf رضي الله عنه.

قال سفيان بن عيينة رحمه الله تعالى: عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة


Manaqib al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf

Nasabnya:
‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Ibunya adalah as-Sayyidah ‘Aisyah binti Abu Bakar al-Wara’ bin Ahmad asy-Syahid bin al-Faqih al-Muqaddam. Beliau dilahirkan pada tahun 739H di Tarim, Hadramuat.

Beliau diberi julukan al-Saqqaf yang berasal dari perkataan as-Saqfu (السقف) yang berarti atap atau langit yakni kerana keunggulannya didalam ilmu dan maqam. Maka beliau seumpama atapnya para auliya’ dan sholihin dizamannya. Maka setelah beliau, seluruh keturunannya dikenali sebagai marga al-Saqqaf, Selain itu beliau juga dikenali sebagai Syaikh Wadi al-Ahqaf. Juga dikenali dengan gelaran al-Faqih al-Muqaddam as-Tsani. Beliau mencapai darjat quthub di zamannya.

Guru-gurunya

  • Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Khatib – merupakan guru al-Quran kepada Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf. Melalui didikan Syaikh Ahmad, Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf menghafaz al-Quran. Darinya juga Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf mempelajari ilmu tajwid dan qiraat.
  • Syaikh Muhammad bin Sa’id BaSyakil
  • Syaikh Muhammad bin Abi Bakar Ba’Abbad
  • Syaikh Muhammad bin Said bin Kaban
  • Syaikh ‘Ali bin Salim al-Rakhilah
  • Syaikh Abu Bakar bin ‘Isa BaYazid
  • Syaikh Umar bin Said bin Kaban
  • Syaikh al-Imam al-Wali ‘Abdullah bin Thohir al-Dau’aani
Diantara kitab-kitab yang beliau pelajari adalah kitab at-Tanbih dan al-Muhadzdzab karangan Imam Abu Ishaq asy-Syirazi; ar-Risalah al-Qusyairiyah oleh Imam al-Qusyairi; kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali seperti al-Basith, al-Wasith, al-Wajiz, al-Khulashoh dan Ihya Ulumiddin dan kitab-kitab karangan Imam ar-Rofi’ie seperti al-‘Aziz Syarh al-Wajiz dan al-Muharror.


Al-Imam al-Habib ‘Abdurrahman as-Saqqaf mendapat khirqah shufiyyah dari ayahnya al-Habib Muhammad Maula Dawilah yang beliau terima dari ayahnya al-Habib ‘Ali Shohib al-Dark, yang mana beliau terima dari ayahnya al-Habib ‘Alwi al-Ghuyur, yang mana beliau terima dari al-Faqih al-Muqaddam Muhammad. Selain itu beliau dipakaikan khirqah oleh Sayyid Ja’far Rai’uddin Ahmad yang diterima dari Qadhi ‘Abdullah … yang mana silsilahnya terus bersambung kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melalui Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه.

Murid-muridnya
Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Syaibah Ba’Alawi, Abu Bakar Ba’Alawi, Sayyid Muhammad bin Hasan Jamlullail, Sayyid Muhammad bin ‘Ali Shohib ‘Aidid, Ahmad bin ‘Umar Shohib al-Musf, Muhammad bin ‘Abdurrahman al-Khatib, ‘Ali bin Khatib, Syuaib bin Abdullah al-Khatib, Abdullah bin Ahmad al-‘Amudi, ‘Ali bin Ahmad bin ‘Ali bin Salim, ‘Abdullah bin bin Muhammad BaSyarahil al-Mu’allim, Al-Faqih Muhammad bin Mu’afi, Abdullah bin Naafi’ BaMunzir, Al-Wali ‘Isa bin Umar Bahlul, Al-Imam Ahmad bin ‘Ali al-Habaani, Syaikh Muhammad bin Sa’id al-Maghribi, Muhammad bin Sholeh al-Umari dan ramai lagi.

Ibadahnya
Al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf seorang yang sangat kuat beribadah. Sering berkhlawat digua di Bukit Nu’air sepertimana juga datuknya al-Faqih al-Muqaddam. Dikatakan selama 33 tahun beliau tidak tidur malam untuk ber’ibadah. Mengkhatamkan al-Quran sebanyak 2 kali disiang hari dan 2 kali dimalamnya. Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai banyak karomah. Beberapa kisah daripada karamahnya:

Kisah 1: Suatu waktu al-Imam ‘Abdurrahman as-Saqqaf mengunjungi salah seorang daripada isterinya yang berada di ssebuah desa dan mengatakan pada isterinya yang sedang hamil itu: Engkau akan melahirkan seorang anak lelaki pada hari sekian dan akan mati tepat pada hari sekian dan sekian, kelak kafankan jenzahnyanya dengan kafan ini….…. seraya al-Imam ‘Abdurrahman as-Saqqaf menghulurkan sepotong kain. Dengan izin Allah isterinya melahirkan puteranya tepat pada hari yang telah dikatanya dan tidak lama bayi yang baru dilahirkan itu meninggal tepat pada hari yang dikatakan oleh beliau sebelumnya.

Kisah 2: Diriwayatkan pula pada suatu hari beliau sedang duduk di hadapan murid-muridnya. Tiba-tiba beliau melihat petir menyambar. Beliau, lantas berkata kepada murid-muridnya: Bubarlah kalian, sebentar lagi akan terjadi banjir di lembah ini. Apa yang diucapkan oleh beliau itu terjadi seperti yang beliau katakan.

Kisah 3: Salah seorang daripada pelayan al-Imam ‘Abdurrahman as-Saqqaf, suatu ketika di tengah perjalanan dihadang oleh perompak. Kenderaan dan bekalannya dirampas oleh seorang dari keluarga al-Katsiri. Pelayan yang merasa takut itu segera beristighatsah (menyeru memohon pertolongan) menyebut nama al-Imam ‘Abdurrahman as-Saqqaf untuk minta tolong dengan suara keras. Ketika perompak hendak menyentuh kenderaan dan barang bekalan pelayan tersebut tiba-tiba tangan perompak itu kaku tidak dapat digerakkan sedikitpun. Melihat keadaan yang mencemaskan itu si perompak berkata pada pelayan yang dirampas kenderaan dan bekalannya itu: “Aku berjanji akan mengembalikan barangmu ini jika kamu beristighatsah sekali lagi kepada syaikhmu yang kamu sebutkan namanya tadi,”

Si pelayan itu pun segera beristighatsah mohon agar tangan perompak itu sembuh seperti semula. Dengan izin Allah tangan si perompak itu segera sembuh dan barangnya yang dirampas segera dikembalikan kepada si pelayan. Sewaktu pelayan itu bertemu dengan al-Imam ‘Abdurrahman as-Saqqaf, beliau berkata, “Jika beristighatsah tidak perlu bersuara keras, kerana kami juga mendengar suara perlahan.”


Walaupun beliau seorang yang banyak beribadah, terkenal sebagai pemurah, mempunyai pelbagai karamah dan mempunyai kedudukan yang ditinggi dikalangan ulama` namun beliau adalah seorang yang tidak sukakan syuhrah (kemasyhuran) dan selalu merahsiakan keadaan dirinya (khumul). Sifat ini adalah merupakan pakaian para ulama` dikalangan ‘Alawiyyin. Begitu juga kekayaannya [beliau mempunyai banyak kebun kurma] tidakpun melalaikan, memberatkan atau membimbangkan hatinya didalam urusan 'ibadat. Kekayaannya digunakan untuk membantu golongan yang tidak mampu. Dan beliau juga telah membina 10 buah masjid dan seterusnya membiayai perbelanjaan masjid tersebut dengan hartanya itu.

Oleh kerana kisah diatas ada menceritakan soal tawassul, soal istighasoh, maka, ingin abu zahrah nyatakan bahwa hukum bertawassul, beristighasoh dengan para anbiya, mursalin, auliya` dan sholihin yang hidup mahupun yang telah wafat adalah HARUS. Untuk mendapatkan dalil-dalilnya maka sila rujuk kepada kitab-kitab yang berkaitan seperti Syawahidul Haq oleh Syaikh Ismail bin Yusuf an-Nabhani, Ittihaful Adzkiya` bi Jawazi at-Tawassul bi al-Anbiya` wa al-Auliya` oleh Sayyid Abdullah al-Ghumari, Haqiqah at-Tawassul wa al-Wasilah oleh Syaikh Musa Muhammad ‘Ali, Mafahim oleh as-Sayyid al-Habib Muhammad ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, al-Ajwibah al-Ghaliyah oleh al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumaith dan banyak lagi.



Kewafatannya:

Al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf wafat pada hari Khamis 23 Syaban 819H. Jenazahnya dimakamkan di Zanbal pada keesokkannya harinya yakni pagi Jum’at. Beliau meninggalkan sebanyak 13 orang putera dan 7 orang puteri.




Antara kata-kata hikmahnya:

  • Barangsiapa tidak membaca (mempelajari) kitab al-Muhazzab, maka dia tidak mengenal keadah mazhab (من لم يقرأ المهذب ما عرف قواعد المذهب)
  • Barangsiapa yang tiada baginya wirid maka ia adalah [seumpama] kera. (من لا له ورد فهو قرد)
  • Barangsiapa yang tidak mutholaah kitab ihya maka dia tidak memiliki sifat haya` (malu) (من لا يطالع الاحياء ما فيه حياء)
  • Ubat hati adalah memutuskan hubungan (dengan segala sesuatu selain ALLAH). (دواء القلب قطع العلائق)
  • Barangsiapa bertasawuf sebelum dia berfeqah maka dia zindiq. (من تصوف قبل ان يتفقه فقد تزندق)

Demikianlah serba ringkas manaqib al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وأمدنا بالأسرار التي
أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Seterusnya aku ke makam al-Habib Umar al-Muhdhor al-Akbar bin al-Imam al-Habib ‘Abdurrahman as-Saqqaf. Manaqibnya dikesempatan seterusnya … insyaAllah ….

0 komen:

Related Posts with Thumbnails