Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Kesembilan)
(Keaiban Nafsu Yang Kesembilan)
Penyakit Kesembilan : Nafsu itu akan mencetuskan lintasan atau bisikan yang jahat supaya dapat mempengaruhi jiwa untuk melakukan dosa.
Rawatannya : Ialah menolak bisikan itu daripada permulaan lagi supaya ia tidak dapat menguasai jiwa dengan cara senriasa berzikir, mengekalkan sifat khauf dalam diri berdasarkan kepada ilmu bahawa Allah mengetahui rahsiamu sepertimana manusia mengetahui segala yang nyata ada pada dirimu.
Oleh itu kamu merasa malu kepada Allah sekiranya keutamaan lebih kamu berikan untuk mendapat perhatian makhluk daripada perhatian dan tilikan Allah. Hal ini dinyatakan oleh hadits:
إن الله لا ينظرإلى صوركم ولا إلى أعمالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk tubuh kamu dan tidak juga amalan kamu tetapi Dia melihat hati-hati kamu.”(1)
Ibrahim al-Khawwas(2) رحمه الله تعالى berkata: “Dosa yang pertama ialah lintasan hati, sekiranya empunya diri tidak menolakkannya, ia akan menjadi was-was, apabila ia tidak disingkirkan dengan mujahadah nescaya syahwat dan hawa nafsu akan mengkucar-kacirkan jiwa lalu syahwat dan hawa nafsu akan menguasai dan menutupi pandangan akal, ilmu dan keterangan.
___________________________________________
Notakaki:
(1) Muttafaqun ‘alaih, Abu Daud (Kitab Thalaq), al-Nasai (Kitab al-Thaharah), Ibn Majah (Kitab al-Zuhd).
(2) Ibrahim al-Khawwas ialah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad bin Ismail bin Ahmad bin Ismail al-Khawwas, tokoh sufi peringkat ketiga. Beliau ialah tokoh yang terbilang dizamannya dan sezaman dengan al-Junaid dan al-Nuri. Beliau termasuk dalam golongan yang memiliki maqam yang tinggi di dalam kesufian. Meninggal dunia pada tahun 291H. Pernah dikatakan bahawa beliau pada satu hari masuk ke dalam sungai seperti kebiasaannya untuk mandi sebelum solat, tiba-tiba dia meninggal dunia disitu. Al-Sulami menulis tentangnya didalam Tabaqat, al-Sya’rani didalam al-Yawaqit wa al-Jawahir. As-Sulami juga banyak meriwayatkan kata-kata hikmah al-Khawwas, antaranya beliau berkata, “Sesiapa yang tidak sabar, dia tidak akan mencapai cita-citanya”. Katanya lagi, “Penawar hati itu lima (5) perkara iaitu membaca al-Quran dengan tadabbur, kosongkan perut, qiyamullail, memperbanyakkan doa diwaktu sahur dan bergaul dengan para sholihin.” Katanya lagi, “ Apabila seseorang mukmin itu mengiktiraf kebesaran hukum Allah, maka Allah akan memakaikan kepada mukmin itu akan kebesaranNYA lalu seluruh hati orang yang beriman akan memuliakannya. – Lihat Tabaqat – 38.
0 komen:
Catat Ulasan