Jumaat, 20 April 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Kesepuluh)





Penyakit Kesepuluh: Sibuk melihat kelemahan orang lain sedangkan dia melupai sifat-sifat yang tercela pada diri sendiri.

Rawatannya: Ialah meluaskan perjalanan dengan bermusafir, menumpukan sepenuh hati di dalam ibadah, mengasihi ulama yang soleh dengan patuh pada pimpinan mereka. Sekurang-kurangnya apabila seseorang itu tidak berusaha untuk mengubati kelemahan dan aib dirinya maka hendaklah ia mendiamkan diri apabila melihat aib orang lain serta berusaha menutup keaiban tersebut dengan harapan Allah akan memperbaiki keaiban dirinya. Sabda Nabi صلي الله عليه وسلم:

من ستر على أخيه المسلم ستر الله عورته, ومن تتبع عورة أخيه المسلم, تتبع الله عورته حتى يفضحه في جوف بيته

Yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim, Allah akan menutup auratnya. Sesiapa yang mengintai-intai aurat saudaranya maka Allah akan memerhatikan auratnya dan mendedahkan sehingga melibatkan rahsia-rahsia di dalam rumahnya”.(1)


Zaid al-Madaini berkata: “ Aku melihat berbagai golongan di kalangan manusia yang mempunyai keaiban tetapi mereka tidak pula membicarakan aib orang lain sehingga Allah menutup keaiban mereka sedangkan keaiban itu masih kekal bersama mereka. Disudut yang lain pula, aku melihat golongan manusia yang tidak memiliki sifat-sifat cela yang mengaibkan tetapi mereka sibuk membicarakan aib orang lain, akhirnya Allah menimpakan keaiban itu kepada mereka.

___________________________________

Notakaki:

(1) Hadith ini dikeluarkan dalam berbagai lafadz. Di dalam riwayat al-Bukhari (Kitab al-Malazim), Muslim (Kitab al-Bir), Abu Daud (Kitab al-Adab), at-Tirmizi (Kitab al-Hudud), Ibn Majah (al-Muqaddimah), Ibn Hanbal 5/276 yang berbunyi:
من طلب عورة أخيه طلب الله عورته حتى يفضحه في رحله
Didalam riwayat al-tirmizi (kitab al-Bir) berbunyi:

فإن من يتتبع عورة أخيه السلم تتبع الله عورته ومن تتبع الله عورته يفضحه ولو في جوف رحله

al-Tirmizi mengatakan hadith ini Hasan Gharib, lihat Tuhfah al-Ahwazi 6/181.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails