Sabtu, 28 April 2007

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
(Siri – 4a)

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)

فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك
Artinya: Maka barang yang berdiri dengan dia, lainmu daripada segala pekerjaan dunia dan akhirat, maka jangan engkau dirikan padanya bagi dirimu.

(Yakni) jangan engkau jadikan bagi dirimu sezarrah daripada tadbir maka adalah meninggalkan tadbir itu adalah engkau ubudiyyah. (Kata) Sahal bin Abdullah رضي الله عنه: Tinggalkan olehmu tadbir [dan] ikhtiar maka bahawasanya keduanya itu mengeruhkan keduanya atas manusia kehidupan mereka itu.[maksudnya keduanya itu – tadbir dan ikhtiar – boleh mengeruhkan kehidupan manusia - pent](1) (Dan kata) Sheikh Abu Hasan ash-Shadhili رضي الله عنه jikalau ada tak dapat tiada daripada tadbir maka tadbirkan oleh kamu bahawa tiada tadbir kamu(2). (Dan) katanya pula رضي الله عنه jangan engkau ikhtiar akan sesuatu pada pekerjaanmu dan ikhtiar olehmu bahawa tiada ikhtiarmu.

(Dan) kata Imam ar-Razi رضي الله عنه selama lagi ada hamba itu tasarruf(3) dikata baginya: jangan engkau ikhtiar dan jangan engkau jadikan serta ikhtiarmu hingga arif ia. Maka apabila [men]jadi ia [oleh] Allah [seorang yang] arif, maka dikatakan baginya: jikalau engkau kehendak maka ikhtiar engkau, dan jikalau engkau [tiada] kehendaki maka tiada ikhtiar engkau, kerana bahwasanya engkau itu jikalau engkau ikhtiar maka dengan ikhtiar Kami engkau ikhtiar dan jikalau engkau tinggalkan maka dengan ikhtiar Kami engkau tinggalkan. Maka bahawasanya engkau itu dengan Kami dalam ikhtiar dan dalam meninggalkan. Dan inilah maqam yang terlebih mulia.

(Dan kata) Ibrahim al-Khawwas رضي الله عنه bermula sekalian ilmu itu dalam dua kalimat. (Pertama) jangan engkau memberat barang yang telah dikafakan(4) engkau, iaitu rezekimu dalam dunia dan dalam akhirat. (Kedua) jangan engkau sia-siakan ‘amalmu bagi Allah pada barang yang disuruhkan engkau dan berjabat engkau padaNya pada barang yang telah diakui bagimu. (Maka) jikalau engkau mendirikan pada tiap-tiap daripada keduanya itu maka adalah engkau sejahtera bashirah(5) dan bercahaya sarirah(6).


______________________________________________

Notakaki:-

(1) Kata Tuan Tabal,Shaikh Abdus Shamad bin Muhammad Salleh al-Kalantani di dalam Jala’ul Qulub bi Zikrillah: “….. Hai saudaraku! Sucikan olehmu daripada cemar-cemar i’tibar dan tadbir bagi taqdir Allah dan hiasi olehmu akan baitullah [yang dimaksudkan disini ialah hati, – pent] dengan tinggal tadbir bagi taqdir Allah. Dan dengan serahkan sekalian pekerjaan kepada Allah. Maka jangan engkau pilihkan sesuatu pekerjaan hingga memilih bagi engkau oleh Allah. Maka senang olehmu akan hatimu dengan tinggal olehmu akan tadbir dan ikhtiar itu Allah. Adapun tadbir hatimu tiada memberi faedah suatu hanya menyusahkan hatimu dan melalaikan dia daripada isytighal dengan Allah yang matlub daripada engkau tiap-tiap ketika kerana kebanyakkan pekerjaan yang kamu tadbir di dalam hatimu itu tiada hasil dan kebanyakkan pekerjaan yang kamu tiada tadbir dan tiada suka itu jatuh atas engkau. Maka apabila terlintas atas hatimu hendak mentadbirkan suatu pekerjaan maka buangkan olehmu akan dia dengan fikir seperti yang tersebut itu. Dan hadapkanlah hatimu dengan tawajuh kepada Allah dan lidah kamu dengan zikrullah dan serahkan pekerjaan itu kepada tuhannya iaitu Allah. Berlazat-lazat olehmu di dalam ka’batullah [yang dimaksudkan disini ialah hati – pent] dengan berkhalwat dengan Allah dan muraqabah kan Dia dan dengan zikrullah ….”

Menurut Shaikh Muhammad bin Musthafa bin Abi al-‘Ula dan juga Shaikh Abdul Majid asy-Syarnubi al-Azhari dalam syarah atas hikam, bahwa yang dimaksudkan dengan larangan atau merehatkan diri dari tadbir itu ialah daripada tadbir yang menafikan ubudiyyah seperti berkata seseorang itu ‘andainya aku tidak berbuat begian, maka tidak berlaku begian; dan andaikata aku berbuat begian nescaya berlaku begian’ Maka sesungguhnya Allah Ta’ala mentadbir segala sesuatu dalam ilmuNya sejak azali.

(2) إن كان ولا بد من التدبير فدبر أن لا تدبر
Jikalau kamu tiada dapat tiada daripada melakukan tadbir, maka tadbirkan lah olehmu [tetapi hendaklah engkau sedar] bahwa [pada haqiqatnya] tiada tadbir kamu [hanya tadbir Allah jua]

(3) Kemampuan melakukan sesuatu atau membuat tindakan

(4) Dicukupkan atau dijamin pemberian dengan cukup oleh Allah

(5) Pandangan matahati. Yakni sesuatu yang disebut dengan mata didalam hati yang dapat menangkap segala sesuatu yang bersifat maknawiah (sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera yang lima ) sebagaimana bahawasanya al-Bashar, mata jasmaniah yang dapat menangkap segala sesuatu yang bersifat hissiah. Demikian ta’rifan bashirah oleh Shaikh Syarqawi.

Menurut Shaikh Ibn ‘Ajibah, al-Bashirah adalah pandangan hati seumpama al-Bashir merupakan pandangan jasmani. Al-Bashirah melihat menembusi makna-makna yang bershifat lathifah dan nuraniyyah, manakala al-Bashir melihat perkara-perkara bershifat jasmani yang penuh kegelapan dan waham.

Menurut al-Qasyani pula didalam kitabnya al-Isthilahat al-Sufiyyah, al-Bashirah ialah kekuatan hati yang dilimpahi cahaya Ilahi yang dengannya hati dapat melihat hakikat bathin sesuatu perkara sepertimana mata dapat melihat lahiriah sesuatu benda. Para ahli hikmah menamakannya pandangan mata lahiriah sebagai kekuatan akal lahiriah. Adapun hati yang dilimpahi oleh cahaya Ilahi itu pula dapat menyingkap tirai-tirai hijab dengan hidayah Allah dinamakan kekuatan qudsiyyah.

(6) Sirr yakni rahsia. Bahagian hati yang paling dalam. Bathin daripada hati.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails