Khamis, 5 April 2007

Dosa Menjadi Hijab


Dalam surah al-Muthaffifin ayat 14, Allah سبحانه وتعالى berfirman:

كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَّا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya). Bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan ma’siat) yang mereka kerjakan”


Apakah itu الرين ?

Telah meriwayatkan Ibnu Jarir, at-Tirmidzi, an-Nasai dan Ibnu Majah melalui pelbagai turuq (jalan riwayat) dari Muhamad ibnu Ajlaan dari al-Qa’qa’ bin Hakiim dari Abu Soleh daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda bersabda (maksudnya):Sesungguhnya seorang hamba itu, bila melakukan dosa, maka terjadilah titk hitam dihatinya, maka bila ia bertaubat darinya, hatinya kembali berkilat, dan bila ia menambah dosanya, tambah pulalah titik hitam itu. Yang demikian itu disebut oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya, “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” [Kata at-Tirmidzi, hadits ini hasan shahih] – tafsir ibnu katsir

Dan menurut lafaz an-Nasai, maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba itu apabila membuat suatu kesalahan (dosa) maka terteralah pada hatinya dengan satu titik hitam, dan bila ia berhenti dan memohon ampun kepada Allah dan bertaubat, maka hatinya kembali berkilat. Dan sanya jika dia kembali melakukan dosa, maka titik hitam itu kembali menutupi hatinya, sehingga titik hitam itu menutupi keseluruhan hatinya (jika ia berterusan melakukan dosa). Itulah maksud ar-Ran yang telah disebut Allah Ta’ala (didalam firmannya bermaksud): “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” – tafsir ibnu katsir

Dan telah berkata Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Sofwan bin ‘Isa, telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu ‘Ajlaan daripada al-Qa’qa’ bin Hakiim dari Abu Soleh daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata, telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم (maksudnya): Sesungguhnya seorang mu’min itu apabila melakukan perbuatan dosa, terteralah titik hitam pada hatinya, dan jika ia bertaubat dan dan bila ia berhenti dan memohon ampun kepada Allah dan bertaubat, maka hatinya berkilat. Dan sanya jika dia kembali melakukan dosa, maka titik hitam itu kembali menutupi hatinya, sehingga titik hitam itu menutupi keseluruhan hatinya (jika ia berterusan melakukan dosa). Dan itulah maksud ar-Ran yang telah disebut Allah dalam al-Quran (didalam firmannya bermaksud): “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” – tafsir ibnu katsir

Hasan al-Basri رضي الله عنه mengatakan bahawa yang dimaksudkan الران adalah dosa di atas dosa sehingga hati menjadi buta tidak nampak kebenaran lagi, kerana ditutup oleh titk-titik hitam itu, sampai hati itu menjadi mati.

Menurut Imam Ghazali رحمه الله تعالى , apabila karat dan kekotoran telah menebal dihati, maka ia bertukar menjadi tabiat. Keadaan ini samalah seperti kotoran yang melekat dicermin.

az-Zujaj mengatakan bahawa ‘rana’ berarti karat. Oleh itu hatinya berkarat sebagaimana langit ditutupi oleh mendung yang tipis.

Manakala Abu Ubaidah berkata, hatinya dipenuhi dengan dosa. Al-Farra’ pula mengatakan bahawa mereka banyak melakukan ma’siat dan dosa sehingga hatinya dipenuhi dengan noda dosa yang dinyatakan oleh al-Quran dengan nama rayn


Bagaimana dosa boleh mengelapkan hati?

Imam Ibnu Athoillah telah membuat perumpamaan bagaimana dosa dan ma’siat itu boleh mengelapkan, membuta dan mematikan hati didalam kitab Tajul ‘Arus al-Hawi li Tahzibun Nufus:

وإذا وقع من العبد ذنب وقع معه ظلمة، فمثال المعصية كالنار، والظمة دخانها، كمن أوقد في بيت نارا سبعين سنة ألا تراه يسود؟ فكذلك القلب يسود بالمعصية، فلا يطهر إلا بالتوبة إلى الله، فصار الذل والظلمة والحجاب مقارنة للمعصية، فإذ تبت إلى الله زالت آثار الذنوب

Diterjemahkan ianya oleh Shaikh Utsman al-Funtiani bin Shaikh Shihabuddin al-Banjari: “Syahdan, apabila memperbuat seorang daripada hamba Allah, dosa dan ma’siat maka jatuh sertanya gelap pada hatinya maka mitsal ma’siat itu seperti api dan gelap itu seperti asapnya. Seperti seorang menyalakan api didalam rumahnya tujuh puluh (70) tahun lamanya, adakah tiada tiada hitam rumah itu oleh asapnya? Seperti demikianlah memperbuat ma’siat seorang, jadi hitam hatinya maka tiada bersih hati yang hitam itu melainkan dengan taubat kepada Allah Ta’ala, maka jadilah hina dan gelap dan hijab bersama-sama bagi memperbuat ma’siat. Apabila taubat engkau kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sempurna syaratnya nescaya hilang bekas dosa yang hitam pada hati itu.


Oleh itu jauhilah akan dosa, walaupun dosa yang kecil-kecil, apatah lagi dosa yang besar. Uwais al-Qarni رضي الله عنه telah memberi pesanan kepada Harim bin Hayyan:


ولا ينظر في صغر الخطيئة ولكن انظر إلى عظمة من عصيت

“Dan janganlah engkau memandang kepada kecilnya sesuatu dosa itu, tetapi pandanglah kepada keagungan DIA yang engkau telah durhakai”.


Ibn Mu’taz menyebut didalam bait syairnya:

لاتحقرن صغيرة - إن الجبال من الحصى

“Dan jangan sesekali kamu meremehkan sesuatu yang kecil (yakni dosa kecil) kerana sesungguhnya bukit itu tersusun dari batu-batu kerikil yang kecil-kecil”



Sekian.

وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب


- abu zahrah -

0 komen:

Related Posts with Thumbnails