Khamis, 5 April 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami

(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)


Penyakit Ketujuh: Jika kamu ingin membina dan menyuburkan kehidupan akhirat kamu, terlebih dahulu hendaklah kamu mematikan keinginan terhadap (keseronokan) kehidupan duniawi. Kamu tidak akan dapat berdampingan dengan Allah sehingga kamu mematikan keinginan nafsu kamu kepada perkara-¬perkara yang keji."
Hal ini disebut oleh Yahya Bin Mu'az(1) رحمه الله تعالى , katanya:

من تقرب إلى الله بشق نفسه حفظ الله عليه نفسه, وذلك أن يمنعها عن شهواتها ويحملها على مكارهها, فإن النفس لا تألف الحق أبدا.

"Sesiapa yang menghampirkan diri kepada Allah dengan hati yang mendalam, Allah akan memelihara jiwanya daripada godaan nafsu. Cara menguasai hawa nafsu itu ialah melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya, kerana nafsu itu selama-lamanya tidak akan tunduk kepada kebenaran."



Rawatannya: Ialah berjaga malam untuk beribadat, berpuasa, melaksanakan kewajipan yang tidak disukai oleh nafsu serta menghalang daripada pengaruh syahwat yang berbagai-¬bagai.



_____________________________________________



Notakaki:-
(1) Yahya bin Mu’az (Jaafar al-Razi) رحمه الله تعالى adalah tokoh peringkat pertama dalam tasawwuf. Beliau membesar di dalam suasana keluarga yang terkenal dengan sifat zuhud. Memiliki minat mendalam di dalam usaha dakwah. Beliau telah merantau ke Balkh bersama saudaranya Ibrahim. Apabila Ibrahim meninggal dunia di dalam perjalanan, Yahya kembali semula ke Naisabur dan meninggal dunia disana pada tahun 285H. Dikatakan bahawa beliau pernah meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما Para ulama’ tasawwuf banyak mengambil pendapat Yahya bin Mu’az untuk dimuatkan ke dalam karya-karya mereka. Antara kata-kata hikmah Yahya bin Muaz ialah:
  • Tiga sifat yang perlu dimiliki oleh para aulia Allah, pertama: thiqah kepada Allah di dalam semua perkara, kedua: merasa kaya bersama Allah dari selainNya, ketiga: rujuk (kembali) kepada Allah di dalam semua perkara. Semuanya itu bergantung kepada sejauh mana kadar kasih hati kepada Allah, sekadar itulah kasih Allah kepadanya. Sejauh mana takut hati kamu kepada Allah maka sekadar itulah makhluq akan takut kepada kamu. Sejauh mana kamu menumpukan perhatian kepada Allah maka sekadar itu pulalah tumpuan hati makhluq kepada kamu.
  • Sesiapa yang merahsiakan khidmat amalnya kepada Allah sekadar itu pulalah makhluq akan merahsiakan khidmat mereka kepadanya.
  • Sesiapa yang senang hati dan bahagia bersama Allah sekadar itu pulalah makhluq akan merasa senang dan bahagia melihatnya.
Lihat al-Tabaqat oleh al-Sulami 16-27, al-Arus ala Syarhi al-Risalah al-Qusyairiyyah 1/119, Sofwat al-Sofwah 30,71-80, al-alam al-Nubala’ 90/218.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails