ADAB ORANG YANG BELAJAR ILMU -1
(Bermula) fasal yang kedua pada menyatakan adab orang yang belajar ilmu, dan adab orang yang mengajar akan ilmu
(Adapun) adab orang yang belajar ilmu itu maka iaitu terbahagi dua bahagi, (pertama) adab yang tertentu pada dirinya, (kedua) adab [ber]serta gurunya yang mengajar akan dia.
(Adapun) adab yang tertentu bagi dirinya itu tujuh perkara.
(Bermula adab yang pertama) itu menyucikan hati daripada sifat yang kejahatan dan segala perangai yang kecelaan di dalam hati seperti riya’ dan ‘ujub dan kibir dan hasad dan lainnya daripada segala sifat kecelaan. Dan membaiki hati dengan bersifat akan sifat yang kepujian seperti ikhlas dan benar dan zuhud dan warak dan tawadhu’ dan lainnya daripada segala sifat yang kepujian yang lagi akan datang bicaranya sekeliannya itu ان شاء الله تعالى di dalam kitab ini, kerana ilmu itu iaitu setengah daripada ‘ibadat yang bathin. Dan tiada sah ‘ibadat melainkan dengan suci daripada najis seperti sembahyang maka tiada sah ia melainkan dengan suci daripada najis yang dzahir pada tempatnya, dan badannya, dan kainnya. Dan demikian lagi ilmu itu iaitu ‘ibadat yang bathin, maka iaitu tiada sah ia melainkan dengan suci daripada najis yang di dalam bathin, yakni di dalam hati, dan segala sifat kejahatan yang di dalam hati itu najis, seperti firman Allah Ta’ala:
إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ
Artinya: “Hanya sungguhnya orang yang syirik itu najis.” [Surah at-Taubah:28] di dalam hatinya dan jikalau ada badannya dan kainnya itu suci sekalipun.
Dan kata Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى: “Menyatakan Allah Ta’ala di dalam ayat [diatas], bahwasanya najis itu tiada tertentu kain dan pada dzahir badan; maka selama tiada suci hati itu daripada sifat kejahatan itu maka iaitu [tiada] menerima ia akan ilmu yang memberi manafaat pada agama dan tiada terang hatinya itu nur ilmu itu.”
Dan dari kerana inilah kata Ibnu Mas’ud رضى الله عنه :
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ نُوْرٌ يُقْذَفُ فِي الْقَلْبِ
Artinya: “Tiada didapat ilmu itu dengan membanyakkan riwayat dan membanyakkan mengaji kitab, hanya sanya dapat ilmu itu dengan nur yang ditaruhkan Allah Ta’ala di dalam hati.”
(Dan adab yang kedua) mengkosongkan hati daripada masyghul kepada dunia, dan menjauh daripada masyghul dengan anak isterinya, dan daripada jual beli dan daripada segala yang membimbangkan akan hati supaya selesai hatinya bagi menuntut ilmu; kerana firman Allah Ta’ala [Surah Al-Ahzab, ayat 4 ]:
مَّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ
Artinya: “Tiada menjadikan Allah Ta’ala bagi laki-laki itu daripada dua hati di dalam rongganya.” [Surah al-Ahzab:4] Yakni, tiada masuk ilmu itu di dalam hati seorang Islam [yang] bimbang ia akan suatu yang lain daripadanya
(Dan adab yang ketiga) hendaklah orang yang belajar ilmu itu merendahkan dirinya dan menghinakan dirinya, dan jangan membesarkan diri atas suatu ilmu yang didatangkan oleh gurunya itu, yakni jangan mengata ia di dalam hatinya “ilmu ini kecil atau kitab ini kecil kerana aku telah banyak pengajianku, mengapa guruku itu menyuruh akan daku mengaji kitab kecil ini?”
(Dan) hanyasanya sayogianya murid itu menerima barang yang diajarkan oleh gurunya itu, dan yang disuruh oleh gurunya itu; dan jangan menyangkal akan gurunya, dan jangan memerintah gurunya itu suatu ilmu yang hendak dibacanya, atau kitab yang hendak dibacanya, dan hanya sungguhnya serahkan kehendaknya itu kepada gurunya; dan yang disuruhkan akan mengaji itu maka menerimalah ia akan dia.
(Dan sayogianya) bagi murid itu bahwa mengekali atas berkhidmat akan gurunya supaya dapat berkat daripada gurunya itu, kerana adalah Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما berkhidmat akan gurunya Sayyidina Zaid bin Tsabit رضى الله عنه. Pada tiap-tiap berjalan gurunya itu, maka Sayyidina ‘Abdullah bin Abbas رضى الله عنهما menghampirkan akan kenderaan gurunya itu supaya berkendaraan gurunya itu serta memimpin ia akan kenderaan gurunya itu. Maka berkata Sayyidina Zaid bin Tsabit رضى الله عنه: “Lepaskan olehmu hai anak mamak [anak bapa saudara] Rasulullah صلى الله عليه وسلم Maka jawab Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما: “Demikianlah disuruh akan kami perbuat dengan orang yang besar kami dan guru atau ‘ulama kami.” Maka lalu mencium Sayyidina Zaid رضى الله عنه itu akan tangan Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas رضى الله عنهما serta ia berkata: “Demikianlah disuruh akan kami bahwa kami perbuat dengan ahli bait Nabi صلى الله عليه وسلم, dan kerabat penghulu kami صلى الله عليه وسلم.”
(Dan) lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
لَيْسَ مِنْ أَخْلاَقِ الْمُؤْمِنِ التَّمَلُّقُ إِلاَّ فِيْ طَلَبِ الْعِلْمِ
Artinya: “Tiada daripada sifat [tiada patut] orang yang mu’min itu menghinakan dirinya dengan sebab menuntut akan suatu hajat kepada manusia melainkan pada menuntut ilmu.” [Hadits riwayat ibn ‘Adiy, dhoif menurut takhrij al-‘Iraqi]
(Dan adab yang keempat) bahwa memeliharakan daripada mendengarkan ilmu yang kebanyakan ‘ulama` bersalah-salahan di dalamnya(1) kerana yang demikian itu membawa kepada dahsyat(2) dan hairan. Dan yang demikian tiada menghasilkan akan faedah ilmu. Lagipun, yang demikian itu membawa susah hati, tiada dapat satu yang dipegang. Tetapi sayogianya bagi orang yang mubtadi(3) pada jalan akhirat itu menuntut ilmu yang menselesaikan hati(4) kepada ‘ibadat, dan jangan menqasadkan menuntut ilmu itu kerana berkehendak mengetahui perkataan yang bersalah-salahan ‘ulama jua.
(Dan adab yang kelima) bahwa jangan meninggalkan daripada menuntut segala fan(5) yang dipuji oleh syara’ itu. Jika berkehendak ia mahir kepada ilmu [yang lain], tetapi [hendaklah yang perkara itu dilakukan] kemudian daripada selesai ia daripada menuntut ilmu fardhu ‘ain yang memberi manfaat, dan kemudian daripada meng’amalkan dia seperti yang telah engkau ketahui ilmu yang memberi manfaat itu dahulu.(6) dan lagi jika ada lapang waktunya yang lebih daripada mengerjakan auradnya, kerana yang demikian itu daripada fardhu kifayah. Dan maklum fardhu ‘ain itu dahulu daripada [fardhu] kifayah.(7)
(Dan adab keenam) itu, hendaklah ia sungguh-sungguh ia menuntut ilmu yang memberi manfaat di dalam akhirat seperti yang telah terdahulu kenyataan itu. Bermula ilmu yang memberi manafaat itu iaitu ilmu yang tersebut di dalam kitab ini, dan yang tersebut di dalam Ihya’ Ulumiddin dan ilmu yang tersebut di dalam kitab al-Arba’in al-Ushul [al-Arbain fi Ushuliddin] dan yang tersebut di dalam kitab Lubab iaitu Mukhtasor Ihya’ Ulumiddin yang hamba terjemahkan akan dia di dalam kitab ini. Dan lagi, ilmu yang memberi manfaat itu iaitu ilmu yang tersebut di dalam Bidayah al-Hidayah, dan ilmu yang tersebut di dalam Minhaj al-‘Abidin dan lainnya daripada segala kitab ilmu tashawwuf. Dan barangsiapa masyghul(8) di dalam menuntut fan ilmu tashawwuf ini nescaya memada[i]lah baginya daripada ilmu yang lain dan tiada berkehendak kepada ilmu yang lain daripadanya kerana telah berhimpun di dalamnya ilmu ushuluddin iaitu i’tiqad dan ilmu fiqah iaitu ilmu ‘ibadat dan ilmu mu’amalah dan ilmu suluk dan thoriqat. yang membawak kepada ilmu mukasyafah dan kepada ilmu haqiqat. (Dan) dari kerana inilah kata Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى:
وَالْمُعَامَلَةُ تُؤَدِّىْ إِلى الْمُكَاشَفَةِ ؛ وَالْمُكاَشَفَةُ مَعْرِفَةُ اللهِ تَعَالى ؛ وَذَلِكَ نُوْرٌ يَقْذِفُهُ اللهُ فِي الْقَلْبِ بِالْعِبَادَةِ وَالْمُجَاهَدَةِ ؛ وَذَلِكَ الَّذِىْ يُوَصِّلُ إِلِى رُتْبَةِ إِيْمَانِ أَبِيْْ بَكْرٍ الصِّدِّيْقِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ ؛ الَّذِىْ لَوْوُزِنَ بِإِيْمَانِ أَهْلِ اْلأَرْضِ لَرَجَحَ ؛ وَذَلِكَ لِسِرٍّقَرَّفِيْ صَدْرِهِ ؛ لاَلِتَرْتِيْبِ الْبَرَا هِيْنِ وَالْحُجَجِ
Artinya: “Bermula ilmu mu’amalah, yakni ilmu dan ‘amal itu, membawa kepada ilmu al-mukasyafah dan mukasyafah itu iaitu dibuka Allah Ta’ala hati seseorang dengan ma’rifat Allah Ta’ala, yakni mengenal Allah Ta’ala. Dan demikian itu nur yang ditaruhkan Allah Ta’ala di dalam hati dengan sebab berbuat ‘ibadat dan mujahadah, yakni dengan memerangi hawa nafsunya dan melawan syaithan. Dan demikian itu yang menyampaikan kepada martabat iman Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq رضى الله عنه, yang iaitu jikalau ditimbang imannya dengan iman segala isi bumi nescaya berat imannya itu. Dan demikian itu kerana rahsia yang tetap di dalam hatinya itu, tiada dengan sebab mendirikan burhan dan dalil.”
(Dan) dari kerana inilah kata Sayyidi ash-Shaikh Abu al-Hasan ash-Shadhili رحمه الله تعالى :
إِنَّا لَنَنْظُرُ إِلى اللهِ تَعَالى بِبَصَرِ اْلإِيْمَانِ وَ اْلإِيْقَانِ فَأَغْنَانَا عَنِ الدَّلِيْلِ وَالْبُرْهَانِ
Artinya: “Bahwa sungguhnya kami melihat kepada Allah Ta’ala dengan penglihatan iman dan yaqin maka terkaya kami daripada dalil dan burhan ”
(Dan) kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى:
وَاعْلَمْ أَنَّ أَشْرَفَ الْعُلُوْمِ وَغَايَتَهَا مَعْرِفَةُ اللهِ تَعَالى، وَهُوَ بَحْرٌ لاَيُدْرَكُ مُنْتَهى غَوْرِهِ. وَأَقْصى دَرَجَاتِ الْبَشَرِ فِيْهِ اْلأَنْبِيَاءُ ثُمَّ اْلأَوْلِيَاءُ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْ نَهُمْ .
Artinya: “Dan ketahui olehmu bahwasanya yang terlebih mulia daripada segala ilmu dan kehinggaan(9) darjat segala ilmu itu iaitu ma’rifat Allah Taala, yakni mengenal akan Allah Ta’ala dengan pengelihatan nur iman yang di dalam hati. Dan iaitu seperti laut yang tiada dapat dihinggakan kehinggaan(10) dalamnya itu. Dan bermula sehingga-hingga(11) darjat manusia dalamnya itu martabat segala anbiya’, kemudian aulia’, kemudian yang mengiringi mereka itu.”
(Dan adab yang ketujuh) maka sayogianya bahwa adalah qasad orang yang belajar ilmu itu semata-mata kerana Allah Ta’ala, yakni kerana menjunjung titah Allah Ta’ala dan kerana negeri akhirat dan kerana membaikkan dzahirnya itu dengan ‘ibadat kepada Allah Ta’ala dan membaikkan bathinnya, yakni hatinya itu, dengan bersifat segala sifat yang kepujian, dan menyucikan dengan segala sifat kecelaan, serta hadhir kepada Allah Ta’ala. Dan yang demikian itu menyampaikan kepada ma’rifat Allah Ta’ala, dan kepada martabat yang tinggi serta malaikat al-Muqarrabin. Dan jangan qasadnya menuntut ilmu itu kerana [hendak] [men]jadi penghulu orang dan supaya jadi orang besar, dan dapat kemuliaan, dan dapat [h]arta, dan dapat kemegahan. Dan kerana inilah kata Imam al-Ghazaliرحمه الله تعالى di dalam Bidayatul Hidayah:
إِنْ كُنْتَ تَقْصِدُ بِطَلَبِ الْعِلْمِ اَلْمُنَافَسَةَ أَيْ الْمُغَالَبَةَ وَالْمُبَاهَاتِ أَيْ الْمُفَاخَرَةَ ، وَالتَّقَدُّمَ عَلى اْلأَقْرَانِ وَاسْتِمَالَةَ وُجُوْهِ النَّاسِ إِلَيْكَ وَجَمْعَ حُطَامِ الدُّنْيَا ، فَأَنْتَ سَاعٍ فِيْ هَدْمِ دِيْنِكَ وَإِهْلاَكَ نَفْسِكَ وَبَيْعِ آخِرَتِكَ بِدُنْيَاكَ ، فَصَفْقَتُكَ خَاسِرَةٌ ، وَتِجَارَتُكَ بَائِرَةٌ ، وَمُعَلِّمُكَ مُعِيْنٌ لَكَ عَلى عِصْيَانِكَ ، وَشَرِيْكٌ لَكَ فِيْ خُسْرَانِكَ ، وَهُوَ كَبَائِعِ سَيْفٍ مِنْ قَاطِعِ طَرِيْقٍ . وَمَنْ أَعَانَ عَلى مَعْصِيَةٍ وَلَوْ بِشِطْرِ كَلِمَةٍ كَانَ شَرِيْكاًلَهُ فِيْهَا
Artinya: “Jika ada qasadmu dengan menuntut ilmu itu iaitu munafasah, yakni hendak menang daripada berbantah-bantahan dan bermegah-megahan dan terdahulu daripada orang yang sama-sama, dan berkehendak cenderung muka manusia kepadamu, yakni berkehendak dikasihi oleh orang dan berkehendak menghimpunkan kekayaan dunia, maka adalah qasadmu akan yang demikian itu mengusahai dalam merobohkan agamamu dan membinasakan akan dirimu dan adalah engkau jual akhiratmu itu dengan duniamu. Maka perjualanmu itu sangat rugi dan perniagaanmu tiada laba [untung] dan orang yang mengajar akan dikau itu menolong atas engkau berbuat ma’siatmu dan jadilah ia sekutu bagimu di dalam kerugianmu dan iaitu seperti orang yang menjual pedang kepada orang yang merampas di jalan dan yang demikian itu jadi ma’siat. Dan barangsiapa menolong ia atas seorang yang berbuat ma’siat jika dengan setengah kalimah sekalipun nescaya adalah bersekutu baginya di dalam berbuat maksiat.”
Dan lagi kata Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى:
وَإِنْ كَانَتْ نِيَّتُكَ وَقَصْدُكَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ اللهِ تَعَالى مِنْ تَعَلُّمِ الْعِلْمِ الْهِدَايَةَ ، دُوْنَ مُجَرَّدِ الرَّوَايَةِ فَأَبْشِرْ فَإِنَّ مَلاَئِكَةَ السَّمَاءِ تَبْسُطُ لَكَ أَجْنِحَتَهَا إِذَامَشَيْتَ وَحِيْتَانُ الْبَحْرِ تَسْتَغْفِرُلَكَ إِذَا سَعَيْتَ
Artinya: “[Dan] jika ada niatmu dan qasadmu antaramu dan antara Allah Ta’ala daripada menuntut ilmu dan belajar akan dia akan berkehendak hidayah, yakni berkehendak petunjuk daripada Allah Ta’ala pada berbuat ‘ibadat pada dzahir dan ‘ibadat bathin, bukan semata-mata riwayat, yakni bukan tuntutmu [niatmu] itu mengqasad hendak berceritera [bercerita] jua maka ketika itu sukai olehmu, bahwasanya segala malaikat yang di dalam langit itu menghamparkan ia bagimu akan sayapnya apabila engkau berjalan dan adalah segala ikan di laut mengucap istighfar bagimu, yakni meminta ampun akan Allah Ta’ala bagimu, apabila engkau usahai akan belajar ilmu yang memberi manafaat itu.”
(والله النافع)
Bersambung dalam siri seterusnya, insyaallah …… (Dan adapun) adab orang yang belajar ilmu serta gurunya yang mengajar akan dia itu beberapa perkara …..
[Dipetik dari kitab Sairus Salikin, Juzuk 1, halaman 12–15; karangan Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Cetakan Sulaiman Mar’ie; 1953M – 1372H]
وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
- abu zahrah -
____________________________________
Notakaki:
(1) Ikhtilaf di kalangan para ‘ulama`; al-Masailul khilafiyyah.
(2) Bingung
(3) Permulaan atau baru belajar; maksudnya salik yang mubtadi
(4) Yakni mempelajari ilmu-ilmu asas atau fardhu ain agar dengannya dapat berpegang dengan satu pendapat yang mu’tamad supaya ia dapat beribadah dengan sempurna dan hati yang tenang tiada was-was.
(5) Jenis atau bidang ilmu
(6) Yakni mengamalkan dahulu ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang telah dipelajari itu.
(7) Maksudnya setelah mempelajari ilmu fardhu ain, maka langkah seterusnya adalah mengamalkannya ilmu tersebut. Dan bagi seorang salik dituntut juga memperbanyakkan dzikrullah yakni melakukan aurad (wirid-wirid) harian sebagaimana yang diajarkan oleh gurunya. Maka andaikata seseorang salik itu ingin mendalami sesuatu ilmu dengan lebih mendalam, untuk mendalami pelbagai perbahasan masalah dan ikhlilaf para ’ulama, maka hendaklah dipenuhi tuntutan diatas dahulu. Kerana menuntut sesuatu bidang ilmu agama secara lebih mendalam yang melebihi tahap fardhu ‘ain hanya jatuh hukumnya fardhu kifayah sahaja. Tetapi andaikata didalam masyarakat tempat tinggalnya dalam lingkungan 2 marhalah, tiada yang dapat memenuhi tuntutan fardhu kifayah itu, dan dia mempunyai kekuatan atau kebolehan untuk belajar maka fardhu ain keatasnya untuk belajar ilmu tersebut, terutamanya dalam persoalan ilmu usuluddin secara tafshil bagi menolak akan aqidah yang bid’ah dan yang sesat dan ilmu feqah dan seterusnya وألله اعلم
(8) Menyibukkan diri
(9) Kemuncak
(10) Dijangkau
(11) Setinggi-tinggi
0 komen:
Catat Ulasan