Isnin, 23 April 2007

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
(Siri - 4)




Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Sekian.)


ارح نفسك من التدبير

Artinya: Senangkan(1) olehmu akan dirimu daripada tadbir.(2)

(Yakni) daripada berfikir dalam pekerjaan, qut(3) dan rezeki dan barang yang lainnya daripada barang yang ditakuti dan barang yang diharap dan kembalikan olehmu kepada tuhanmu yang memerintah akan dikau dengan tadbirNya dan duduk engkau serta Allah atas [kelakuan yang tunduk patuh] dibawah qadam(4) (قدم) Tuhan yang [maha] suci, dengan ikhlas. (Dan) tinggalkan(5) olehmu akan tadbir bagi Allah Ta’ala jua yang mendirikan bagimu pada barang yang telah diakui sebelum wujudmu.


_________________________________

Notakaki:-

(1) Istirehatkan/rehatkan.

(2) Didalam kitab Jalaul Qulub bi Zikrillah oleh Shaikh Abdusshamad bin Muhammad Shalih al-Kalantani, Tuan Tabal beliau berkata:
“ …. Hai saudaraku! Sucikan olehmu daripada cemar-cemar i’tibar dan tadbir bagi taqdir Allah dan hiasi olehmu akan baitullah [yang dimaksudkan baitullah di sini ialah HATI] dengan tinggal tadbir bagi taqdir Allah. Dan dengan serahkan sekalian pekerjaan kepada Allah. Maka jangan engkau pilihkan sesuatu pekerjaan hingga memilih bagi engkau oleh Allah. Maka senang olehmu akan hatimu dengan tinggal olehmu akan tadbir dan ikhtiar itu Allah. Adapun tadbir hatimu tiada memberi faedah suatu hanya menyusahkan hatimu dan melalaikan dia daripada isytighal dengan Allah yang matlub daripada engkau tiap-tiap ketika kerana kebanyakkan pekerjaan yang kamu tadbir di dalam hatimu itu tiada hasil dan kebanyakkan pekerjaan yang kamu tiada tadbir dan tiada suka itu jatuh atas engkau. Maka apabila terlintas atas hatimu hendak mentadbirkan suatu pekerjaan maka buangkan olehmu akan dia dengan fikir seperti yang tersebut itu. Dan hadapkanlah hatimu dengan tawajuh kepada Allah dan lidah kamu dengan zikrullah dan serahkan pekerjaan itu kepada tuhannya iaitu Allah……”

(3) Soal makan-minum

(4) Telapak kaki maksudnya dibawah ketentuan qadha’ dan qadar Allah.

(5) Serahkan (maksudnya serahkan urusan tadbir itu kepada Allah)

0 komen:

Related Posts with Thumbnails