Rabu, 16 Mei 2007

Selimut Putih


Bila Izrail datang memanggil - Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil - Terkujur badan nan kedinginan
Tak ada lagi gunanya harta - Kawan karib sanak saudara
Jika lah ada amal di dunia - Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung - Engkau digelar manusia agung
Sadarlah diri tahu diuntung -Sebelum masa keranda diusung

Datang masanya insaflah diri -Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang dikasihi - Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Sebuah lagu yang popular disekitar tahun 70an. Dinyanyikan oleh Atiqah Rahman dari kumpulan Orkes el-Suraya dari Medan, Indonesia, yang dipimpin oleh almarhum Prof. Ahmad Baqi. Sedap lagu ni. Ianya merupakan lagu kesukaan aku sewaktu kecil dahulu. Kalau diamat-amati liriknya juga bagus. Seram dibuatnya. Lirik kat atas tu pun masih segar dalam ingatan, al-maklum saja lah dengar sedari kecil lagi …. hehehe. Dan kalau tidak silap aku lagu ini pernah diharamkan seketika. Tak tahu kenapa, mungkin Menteri Penerangan sewaktu itu seram mendengar lagu tersebut …. atau mungkin lagu ini tidak membawa pembangunan. Wallahu a’lam. Nak cerita sikit bab mati.


Mati, adalah satu perkara yang mesti dan pasti dilalui oleh manusia samada ia suka ataupun tidak. Setiap yang hidup akan menemui mati.


Firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 35:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang hidup akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”



Seseorang itu tidak dapat lari dari mati. Kalau dia tidak mahu menemui mati, maka mati tetap akan datang menemuinya.


Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:

قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاَقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:“Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”


أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

Maksudnya: Dimana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh (Surah an-Nisaa’:78)


Pelbagai persepsi manusia tentang mati. Yang pastinya sedikit sekali yang merindui kematian. Mereka yang dekat dengan Allah sahaja yang merindui atau redha dengan kematian. Kerana kematian itu adalah jambatan yang menghubungkan pertemuan dua kekasih, sebagaimana dikatakan oleh Hayyan al-Aswad.

Disebut oleh Abu Nuaim didalam Hilyatul Auliya, bahwa suatu hari malaikat maut telah datang menemui Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mencabutnya nyawanya. Maka berkata Nabi Ibrahim: Wahai Malaikat Maut, pernahkan engkau lihat seorang kekasihmencabut nyawa kekasihnya sendiri? Kemudian Izrail kembali menemui Allah [melaporkan hal tersebut]. Maka Allah berfirman kepada Izrail, katakan kepadanya: Apakah engkau engkau pernah melihat seorang kekasih tidak suka bertemu dengan kekasihnya? Maka kembalilah Izrail kepada Nabi Ibrahim menyampaikan firman Allah tersebut. Maka berkatalah Nabi Ibrahim: Cabutlah ruhku ketika ini juga.

Mati, adalah satu pengajaran yang baik. Ia adalah seumpama guru yang diam membisu tetapi kesan pengajarannya sangat besar. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat-sangat menganjurkan kita mengingati mati. Sabda baginda: Perbanyakkanlah kalian mengingati sesuatu yang melenyapkan kenikmatan-kenikmatan. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang melenyapkan kenikmatan-kenikmatan? Baginda menjawab: Kematian. (Hadits dikeluarkan oleh Abu Nuaim dengan isnadnya dari Malik bin Anas dari Yahya bin Said dari Said bin Musayyab dari Umar al-Khattab رضي الله عنه )

Diriwayatkan dari Anas رضي الله عنه , kata beliau, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Banyakkanlah olehmu daripada mengingati akan mati, kerana bahwasanya membanyakkan mengingati mati itu menghapuskan segala dosa dan menzuhudkan hidup di dalam dunia ini (Riwayat Ibn Abi ad-Dunya;az-Zuhd oleh ibn Mubarak; Kasyful Khafa oleh al-‘Ajluni)

Sabda baginda lagi: Cukuplah kematian itu sebagai nasihat. Dan cukuplah kematian itu sebagai sesuatu yang memisahkan (Hadits riwayat al-Baihaqi dan ath-Thabrani - dhoif)


Dalam sebuah hadits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus

ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة

Maksudnya : Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kafaarah dan mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kesyurga (Menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir, hadits ini dhoif)

Mengingati mati itu adalah salah satu daripada sifat-sifat yang terpuji. Anda boleh baca mengenainya didalam kitab Ihya Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali atau Sairus Salikin karangan asy-Syaikh Abdussamad al-Falimbani atau Kitab at-Tazkirah oleh al-Imam al-Qurtubi atau Persiapan Menghadapi Maut oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.


Bagaimana mahu mengingati mati?
  • Selalu-selalu menziarahi kubur. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menganjurkan kita menziarahi kubur.

Imam Muslim meriwayatkan dari Buraidah al-Aslami dimana dia mengatakan bahwa Rasullullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: “Dahulu aku melarang kalian untuk menziarahi kubur, namun (Allah) telah memberi izin kepada Muhammad untuk melakukannya sehingga dapat menziarahi kubur ibunya. Berziarah-kuburlah kalian karena hal itu akan menjadikan kalian mengingat akhirat! ”.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: (Dulu) Aku pernah melarang kalian dari menziarahi kubur. Maka (sekarang) ziarahilah dia. Kerana hal itu membuat kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat
  • Selalu-selalulah mengunjung (pi mengunjung/ziarah orang mati) jenazah, kalau dapat tunggu jenazah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan [join samalah jangan tengok saja!] dan hantar jenazah ke kubur. Perhatikan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad, kemudian ditimbuskan .... Dengarlah dengan teliti talqin yang dibacakan. Perhatikanlah itu semuanya dengan penuh keinsafan bahwa suatu masa nanti kita juga akan melaluinya.
  • Kalau ada peluang tunggulah orang yang sedang sakarat. Aku beberapa kali melalui pengalaman ini. Sungguh besar pengajarannya.
  • Ziarahi orang yang sakit.

InsyaAllah ini semua akan membuat kita mengingati mati dan bersedia untuk menghadapi saat kematian dan hal-hal yang seterusnya selepas kematian. Mati itu merupakan pintu untuk perjalanan seterusnya yang lebih panjang ........


يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! BERTAQWALAH kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu MATI melainkan dalam ISLAM

PENGUMUMAN MAJLIS ILMU


عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

PENGAJIAN KITAB HIKAM BERSIRI OLEH: PROF. DR. K.H. TEUNGKU MUHIBBUDDIN WALY - ULAMA DARI ACHEH (PENULIS SYARAH AL HIKAM-HAKIKAT HIKMAH TAUHID DAN TASAWUF) AKAN DIADAKAN SEPERTI BERIKUT :


Tarikh: 15/05/07 (Selasa)
Tempat: MASJID BANDAR. BARU SENAWANG
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke - 18

Tarikh: 16/05/07 (Rabu)
Tempat: MASJID AMPANGAN (DATO' KLANA PETRA SENDING-JALAN PANTAI)
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke - 19

Tarikh: 18/05/07 (Jumaat)
Tempat: MASJID JAMEK TAMPIN
Masa:Selepas Solat Maghrib
Tajuk Kalam Hikmah yang. ke – 20

Tarikh: 19/05/07 (Sabtu)
Tempat: MASJID JAMEK TAMPIN
Masa: Jam 8.00 pagi
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke – 21

Tarikh : 19/05/07 (Sabtu)
Tempat: MADRASAH AL-ISLAMIAH HJ. IBRAHIM KG. BONGEK ACHEH
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tajuk: SAMBUTAN MAULIDUR-RASUL

Tarikh: 20/05/07 (Ahad)
Tempat: MADRASAH AL-ISLAMIAH HJ. IBRAHIM KG. BONGEK ACHEH
Masa: Jam 9.00 pagi
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke – 22

Tarikh: 20/05/07 (Ahad)
Tempat: MASJID JAMEK AN-NUR REMBAU
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke – 23

Tarikh: 21/05/07 (Isnin)
Tempat: SURAU AN-NUR, SEREMBAN SELATAN
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tajuk: Kalam Hikmah yang. ke – 24

Selasa, 15 Mei 2007

Apa Ada Pada Bulan Mei

Sambung dari tulisan sebelum ini. Rasulullah صلى الله عله وسلم bersabda:

عن عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي قال: رضا الرب في رضا الوالدين، وسخط الرب في سخط الوالدين - رواه الترمذي وصححه إبن حبان والحاكم

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

عن عبدالله بن مسعود رضي الله عنه قال : سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أي العمل أحب إلى الله؟ قال : الصلاة على وقتها ،قال : ثم أي؟ قال: ثم بر الوالدين، قال: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله - .البخاري

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه , beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab: Shalat pada waktunya. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad pada jalan Allah (Hadits riwayat al-Bukhari)

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله من أحق الناس بحسن صحابتي ؟ قال : أمك ، قال ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : ثم أبوك " . رواه البخاري 5626 ومسلم 2548.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah selayaknya mendapat persahabatan yang lebih baik dari saya? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Kemudian ayahmu. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

أخرج السيوطي بسند صحيح عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : .... وأعظم الناس حقا على الرجل أمه".

Dikeluarkan oleh Imam as-Sayuthi dengan sanad yang shahih daripada A’isyah رضي الله عنها bahwasanya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “…. Dan orang yang mempunyai sebesar-besar hak atas seorang (anak) itu ialah ibunya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani, Rasuluullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): “Berbaktilah kamu semua kepada ibubapamu agar supaya (kelak) berbaktilah kepadamu semua anak-anakmu ……”

Ibu mithali ibu yang sejati - Kasih sayangmu kasih yang suci - Pengorbananmu disanjung tinggi - Jasamu tetap di sanubari - Ibu oh ibu fitrah ku murni - Kelembutanmu menyentuh hati - Semai kasihmu dalam jiwaku - Kau disayangi kerana menyayangi - Ibu oh ibu hatimu suci - Tulus ikhlasmu mendidik daku - Sanggup bersusah dan menderita - Demi kebahagiaan sekeluarga - Ibu oh ibu kau serikandi - Bakti amalmu tidak terperi - Beramal soleh berperibadi - Mentaati Allah juga suami


Kuakhiri dengan doa buat kedua ibu dan ayahku
رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Hari Belia (15 Mei) – hari ni lah. Hari ini juga adalah ulangtahun hari lahirku.

Aku kurang tahu mengenai hari belia. Bagi aku belia adalah tunggak negara. Mereka adalah generasi pelapis. Sayyidina Usamah bin Zaid dilantik Rasulullah menjadi panglima tentera Islam ketika umurnya masih muda belia iaitu lebihkurang 18 tahun. Dia menjadi panglima kepada para shahabat yang lebih senior. Itulah pengiktirafan yang diberi oleh Rasulullah kepada belia kerana kualiti yang ada padanya. Beliau juga menjadi panglima perang sewaktu Sayyidina Abu Bakar memerintah. Imam asy-Syafie, dibenarkan memberi fatwa oleh guru beliau, Muslim bin Khalid az-Zinji, ketika berusia 15 tahun. MasyaAllah. Kepada para belia, SELAMAT HARI BELIA. Jadilah belia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Contohilah Usamah bin Zaid, Imam asy-Syafie dan ribuan lagi para ulama Islam yang menenpa nama ketika umur belia. Berilah sumbangan kalian untuk PERJUANGAN ISLAM.

Hari ini maka umurku sudah 40+++++. Semakin dekat aku pada garisan penamat. Sudah dekat dengan ajalku. Setiap detik yang berlalu aku berlari mendekatinya. Umur 40 adalah umur penentu. Didalam kitab Ayyuhal Walad karangan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali, pada nasihatnya yang pertama, beliau membawa sepotong hadits, yang bermaksud:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Ta’ala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya telah digunakan pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahwa akan panjang penyesalannya (pada hari qiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada 40 tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.

Sesunggunya hidup didunia ini sebentar saja.
Lahirnya manusia disambut dengan azan Matinya manusia diiringi dengan sholat Antara azan dan sholat …… alangkah singkatnya hidup ini

Semoga pesanan guruku dapat kujadikan peringatan:
Jangan engkau (wahai Abu Zahrah) tunda melakukan amal kebaikan hingga esok Jangan-jangan hari esok datang dan engkau sudah ada di liang lahad


Hari Guru (16 Mei)
Aku mengenali hari guru, buat pertama kalinya ketika menjejakkan kaki kesekolah rendah. Ketika itu sungguh meriah. Semakin meniti dewasa, aku semakin mengenal erti guru. Bermula dari itu aku berterimakasih kepada semua guru yang berjasa padaku dalam arti kata sebenar. Mereka menaburkan ilmu tanpa jemu. Guru pertama dalam hidupku adalah ibu dan ayahku sendiri. Merekalah yang mengajar dan mendidik.

Ketika usiaku 5 tahun, aku dihantar mengaji al-Quran pada seorang guru al-Quran. Itulah pertama kali aku belajar pada ‘orang lain’. Aku belajar pada guruku ini sehingga usiaku 12 tahun. Ini adalah diantara guru yang paling aku sayangi. Dari beliaulah aku mengenal kalamullah dan hadits-hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Beliau menanamkan kecintaan kami pada Rasulullah صلى الله عليه وسلم walaupun ketika itu aku tidak mengerti. Kami diajarinya membaca kitab Barzanji. Pada kami ketika itu, yang penting suara siapa yang sedap. Tetapi pabila dewasa dan mengerti akan isi kandungannya maka fahamlah aku, yang mahu ditanamnya adalah kecintaan pada Rasullah صلى الله عليه وسلم. Beliau sering juga menceritakan pada kami sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, perjuangan shahabat dan cerita karamah para aulia Allah. Dengan beliau lah aku belajar secara langusng maupun tak langung tentang adab-adab dihadapan guru dan bagaimana berkhidmat pada guru. Beliau banyak mewarnai kehidupan aku, selain dari ibu dan ayah.

Guru seterusnya yang tidak dapat kulupakan adalah Tuan Guru Hj Abdul Rahman dan Tuan Guru Hj Ahmad Keplu. Mereka adalah diantara guru-guru awalku yang memberi ilmu dan didikan padaku secara tidak langsung. Ketika itu usiaku masih belasan tahun, di dalam sekolah menengah. Berdampingan dengan mereka membuat aku kepingin sekali mengikuti jejak langkah mereka. Walaupun aku beraliran Sains namun pemikiran aku dibentuk oleh guru-guru ini. Sebenar aku tidak meminati bidang Sains tetapi itu adalah kehendak ibuayah, maka kutaati. Kalau diikutkan hati aku mahu saja lari kemana-mana pondok belajar fulltime. Dek kerana terpaksa bersekolah kerajaan, aku terpaksa belajar kitab secara part-time. Dan alhamdulillah, aku bersyukur kerana berpeluang mendapat ilmu dalam kedua-dua bidang. Kalau mahu diceritakan mengenai guru, pengalaman berguru …. banyak sekali. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kerana Allah mengizinkan aku mencium keharuman ilmu bahkan merasai kemanisan ilmu daripada para ulama pewaris nabi. Buat sekalian warga guru kuucapkan SELAMAT HARI GURU. Semoga kalian mendapat balasan yang baik dan kedudukan yang tinggi disisi Allah.

Akhirkata …… alFaatihah buat guru kepada sekalian guru, penghulu kami, kekasih kami dan yang memberi syafaat kepada kami, Sayyidina Muhammad bin Abdullah dan juga kepada keluarganya dan shahabatnya, seterusnya kepada sekalian guru-guru kami. Semoga Allah tinggikan darjat mereka di dalam syurga. Dan semoga Allah manfaatkan kami dengan segala rahsia, cahaya, ilmu dan kelebihan mereka. Al-Faatihah.


Apa Ada Pada Bulan Mei


Bulan Mei …suatu bulan yang agak istimewa kerana di dalam ini terdapat beberapa hari yang telah dinobatkan sebagai hari tertentu untuk memberi pengiktirafan kepada golongan tertentu ….
• Hari Buruh,
• Hari Jururawat,
• Hari Ibu,
• Hari Belia,
• Hari Guru, dan
• Tambah satu lagi hari ulangtahun kelahiran aku ….

Hari Buruh (1Mei)
Hari pengiktirafan kepada warga pekerja. Hari ini bukan sahaja diperingati di bumi Malaysia bahkan seluruh dunia. Sewaktu aku bekerja dahulu, Hari Buruh ini tiada apa-apa artinya padaku melainkan aku dapat cuti 1 hari dan kalau overtime dibayar triple. Itu sajalah yang aku tahu. Buat warga pekerja SELAMAT HARI PEKERJA.


Hari Jururawat (12 Mei)
Hari ini merupakan hari untuk warga kejururawatan. Dulu aku tidak pernah mengenal hari ini tetapi setelah berkahwin barulah muncul hari jururawat dalam hidup aku kerana zaujahku [isteriku] adalah seorang jururawat. Dulu aku mengenali profession kejururawatan melalui matapelajaran tawarikh [sekarang dipanggil sejarah] yang dipelajari di sekolah rendah. Kami belajar sejarah mengenai Florence Nightingale (The Lady With The Lamp). Hari jururawat disambut seluruh dunia pada 12 Mei, itu merupakan hari kelahiran Florence Nightingale, kerana dia telah dikatakan sebagai pengasas profession kejururawatan.

Sering aku inginkan zaujahku bahwa Florence Nightingale bukanlah pengasas kejururawatan. Dalam sejarah Islam jururawat professional yang pertama adalah Rufaidah binti Sa'ad al-Aslami dari kaum Khazraj. Beliau adalah seorang shahabiah. Dia dilahir di Yathrib [nama awal kota Madinah] dan termasuk di dalam golongan yang pertama dari kaum Ansar yang memeluk Islam. Ayahnya seorang tabib (doktor), dan dia mempelajari ilmu kejururawatan ketika bekerja membantu ayahnya.

Ketika kota Madinah dalam proses berkembang, Rufaidah رضي الله عنها mengabdikan diri merawat kaum muslimin yang sakit, dan membina khemah di luar Masjid Nabawi ketika suasana damai. Dan ketika perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar beliau menjadi sukarelawan dan merawat tentera Islam yang terluka akibat perang. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sendiri memerintahkan prajurit yang cedera dirawat olehnya. Contohnya sewaktu perang Khandaq, Sa'ad bin Mu'adh رضي الله عنه yang cedera telah dihantar ke khemah ‘perubatan’ yang dibina di medan perang Khandaq dan dirawat oleh Rufaidah رضي الله عنها.

Sejarah Islam juga mencatat beberapa nama yang bekerja bersama Rufaidah رضي الله عنها seperti : Ummu Ammara, Aminah, Ummu Aiman, Safiyah, Ummu Sulaim dan Hind. Selain itu jururawat Islam yang terkenal adalah Ku'ayibah, Aminah binti Abi Qays al Ghifariyah, Umm 'Atiyyah al Ansariyah, and Nusaibah binti Ka'ab al Maziniyyah, Rubayyi’ bt Muawwiz dan lain-lain. Maka sejarah ini perlu diperbetulkan kembali. Buat warga kejururawatan, SELAMAT HARI JURURAWAT. Jadikanlah para shahabiah ini sebagai role model kalian. Bukannya Florence Nighingale!

Hari Ibu (13 Mei)
Sebenarnya aku TIDAK pernah mengenal apa yang dinamakan hari ibu. Kerana shifatku sedemikianlah rakan sepejabatku dahulu dan juga adik perempuan mengatakan bahwa aku berfikiran konservatif. Lantak kome lah …… bagiku setiap hari adalah hari ibu. Tidak pada hari-hari tertentu kerana ibu sentiasa segar dalam ingatanku. Dan aku tidak pernah lupa mengirimkan bingkisan doa ibu setiap kali selepas bersholat bahkan apabila saja datang perasaan rinduku padanya.

Ibu mempunyai kedudukan yang tinggi didalam Islam. Banyak ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan kita berbakti kepada ibu dan juga bapa Aku datangkan beberapa ayat mengenai keutamaannya.

Allah Ta’ala berfirman:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُوۤاْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra’:23)

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Maksudnya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (al-Isra’:24)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْناً وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَآ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-Ankabut:8)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاَثُونَ شَهْراً حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِيۤ أَنْ أَشكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِيۤ أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِيۤ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal sholeh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (al-Ahqaf:15)




Isnin, 14 Mei 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 13, 14 dan 15)

Penyakit Ketigabelas: Sibuk menghiaskan diri dengan perhiasan lahiriah, dan berpura-pura khusyuk serta beribadah tanpa menghadhirkan hati.

Rawatannya: Ialah sentiasa memelihara rahsia-rahsia ketuhanan supaya cahaya bathinnya dapat menghias perbuatana lahiriyyah. Oleh itu ia kelihatan berhias tetapi bukannya perhiasan yang bersifat lahiriyyah. Ia kelihatan hebat tetapi bukannya melalui kesan-kesan yang zahir, ia kelihatan bangga dan mulia tetapi bukan kerana ramainya anak-pinak. Oleh itu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bersabda:
من أصلح سريرته أصلح الله علانيته
Yang bermaksud: Sesiapa yang memelihara dan memperelokkan rahsia-rahsianya maka Allah akan memelihara dan memperelokkan segala lahiriyyahnya. [Menurut pentahqiq kitab ini, Dr Muhammad al-Sayyid al-Julainid: Makna hadith ini sahih tetapi saya (pentahqiq) tidak temui di dalam kitab hadith. Dan menurut tahqiq Abu Maryam Majdi Fathi al-Sayyid, beliau membawa sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ad-Dailami didalam kitabnya al-Firdaus tetapi dengan lafadz yang agak berbeza.adapun maknanya sama]

******

Penyakit Keempatbelas: Sentiasa mengharapkan balasan terhadap setiap ‘amalan yang dilakukan.

Rawatannya: Ialah sentiasa memerhatikan kecuaiannya didalam amal yang diperintahkan oleh Allah dan tipisnya sifat ikhlas ketika beramal.

******

Penyakit Kelimabelas: Tidak dapat merasakan kelazatan serta kemanisan ketika melakukan perintah Allah. Hal ini adalah kerana hati itu berpenyakit serta berlaku kecurangan terhadap rahsia Allah (al-Sirr)

Rawatannya: Ialah memakan makanan yang halal, iltizam dengan zikir, berkhidmat kepada para solihin serta mendampingi mereka, menghinakan diri dengan bergantung harap kepada Allah supaya Allah menganugerahkan kesejahteraan hati setelah terhapusnya segala penyakit. Setelah itu hati akan dapat mencapai kemanisan iman semula di dalam amal ketaatan.

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis
(Siri – 5)

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)


اجتهادك فيما ضمن لك وتقصيرك فيما يطلب منك دليل على انطماس البصيرة منك


Artinya: Bersungguh-sungguh engkau pada barang [perkara] yang telah diakui [Allah] bagimu daripada rezeki dan taqsir [lalai, tidak ambil berat] engkau pada barang yang telah dituntut [Allah – yakni perkara yang ditakhlif oleh Allah keatas hambaNYA iaitu mengenalNya dan mengabdikan diri kepadaNya] daripadamu daripada ibadat menunjukkan atas ketiadaan yaqinmu dan hapus [nur] mata hatimu daripadamu.

Kerana bahawasanya mata hati itu [ialah] nur yang dipertaruhkan Allah Ta’ala akan dia dalam hatimu yang mengetahui dengan dia iradat Allah Ta’ala daripada hamba apabila ada muka hati itu telah dibasuh dengan air muraqabah dan telah dibersihkan daripada karatan aghyar [jamak/plural bagi perkataan ghair yakni bermaksud segala sesuatu selain dari Allah Ta’ala] dan kerana inilah isytighal pula yang lain daripada Allah Ta’ala dan meninggalkan daripada yang dikehendakinya itu memadamkan bagi cahaya hati dan membutakan matahati. Maka sayugianya atasmu melazimkan muraqabah dan pohonkan olehmu kepada Allah Ta’ala daripada anugerahnya.

(Dan) kata Sheikh Jamaluddin رضي الله عنه (Bermula) suatu yang diakui bagi hamba itu iaitu rezekinya yang hasil dengan dia mendirikan wujudnya dalam dunianya. Dan arti keadaannya diakui itu bahawasanya Allah سبحانه وتعالى mengakui pada demikian itu dan selesailah segala hamba itu daripadanya dan tiada dituntut daripada mereka itu bersungguh-sungguh dalamnya. (Dan) suatu yang dituntut daripada hamba itu ‘amalnya yang sampai dengan dia hamba kepada berbahagia akhirat dan erti keadaannya yang dituntut itu bahawasanya diwakilkan kepada iktisab [usaha] hamba bagi ‘amal itu dan bersungguh-sungguh dalamnya dan memeliharakan akan segala syaratnya dan segala sebabnya dan segala waktunya

(Dan kata) Sheikh Sahal bin Abdullah رضي الله عنه bermula bagi hamba atas Allah itu tiga perkara (iaitu) taklif mereka itu [dengan kewajipan agama] dan hal(1) mereka itu dan mendirikan pada pekerjaan mereka itu dan bagi Allah atas segala hamba tiga perkara (iaitu) tawakkal atasnya dan mengikut [ittaba’] Nabinya dan sabar atas demikan itu hingga mati.

(Dan) ma’ana demikan itu bahawasanya tiga yang dahulu itu(2) masuk hamba dalam sekalian pekerjaan [Allah] itu [adalah] keberatan [diluar kemampuan] kerana tiada tasawwur [tergambar pada fikiran] wujud sekalian itu dengan sebab iqam (إقام) [berdiri] daripadaNya. Dan [melaksanakan hak itu] tiada wajib atas Allah sesuatu [pun, hanya dengan kelimpahan karuniaNya jua] (Dan) yang tiga kemudian(3) itu tak dapat tiada daripada mendirikan hamba itu padanya kerana tak dapat tiada daripada [ada] sebab [perintah Allah di]dalamnya(4). (Dan) inilah sekalian jikalau ada yang diakui itu pada bukan keadaan yang tertentu (Maka adapun) jikalau ada yang diakui itu pada keadaan yang ditentu maka mengisyaratkan muallif dengan katanya:


______________________________

Notakaki:

(1) Dalam kitab yang kami gunakan untuk transliterasi ini dicetak sebagai ‘hal’ tetapi pengajian kami, ianya dibetulkan - dibaca dengan ajal. Berkemungkinan tersalah cetak. Wallahu ‘alam. Dan kami juga telah merujuk kepada syarah hikam oleh Sheikh Zarruq ketika mensyarahkan kalam sebelumnya iaitu,

فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك

Maka kami dapati matannya adalah seperti berikut :

وقال سهل بن عبدالله :
للعبد على الله ثلاثه أشياء : تكليفهم , وآجالهم , والقيام بأمرهم .
ولله على العبد ثلاثة أشياء: اتباع نبيه, والتوكل عليه, والصبر على ذلك إلى الموت. انتهى.

Artinya (lebih-kurang): Dan berkata Sahal bin Abdullah: Ketetapan Allah Ta’ala atas hambaNya 3 perkara: Iaitu taklif (iaitu menentukan hukum-hukumnya untuk dilaksanakan oleh hamba-hambaNya); menentukan tentang ajal hamba-hambaNya dan menentukan segala sesuatu yang dihadapi oleh hamba-hambaNya, didunia dan diakhirat. Manakala kewajipan hamba yang wajib ditunaikan untuk Allah Ta’ala itu ialah ittiba’ (mengikuti) NabiNya, tawakkal dan menyerah diri kepadaNya dan sabar diatas segala ketentuan-ketentuan Allah sehingga mati (meninggalkan dunia yang fana). Wallahu a’lam.

(2) Iaitu bagi segala hamba atas Allah itu tiga perkara iaitu: taklif, ajal dan mendirikan pada pekerjaan/urusan – adalah hak Allah untuk hambaNya dan tidak ada jalan bagi hamba masuk campur tangan dalam urusan yang ditentukan oleh Tuhannya

(3) Iaitu bagi Allah atas segala hamba tiga perkara (iaitu) tawakkal atasnya dan mengikut [ittaba’] Nabinya dan sabar atas demikan itu hingga mati. Yakni kewajipan hamba ittiba’, tawakkal dan sabar sepertimana yang disebut oleh Sahal bin Abdullah.

(4) Maka barangsiapa yang tidak mengikut NabiNya, dia melakukan bid’ah, dan siapa yang tidak tawakkal maka dia mudabbir (mentadbir tanpa bergantung dengan Allah) dan siapa yang tidak sabar maka dia seorang yang bantah qadha dan qadar yang ditentukan Allah – Syarah hikam Ibn Athoillah oleh Syaikh Zarruq.

Pengumuman Majlis Ilmu



Program Diskusi Kitab Bersama al-Fadhil asy-Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki
di Masjid al-Falah USJ 9 Persiaran Kewajipan, Subang Jaya


عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Jadual Terkini

Tarikh : 2 Jumadil awwal 1428 / 19 Mei 2007
Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari
Kitab: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.

Masa: Selepas Maghrib
Program: Ceramah / Forum [akan di’update’kan]

Tarikh : 3 Jumadil awwal 1428 / 20 Mei 2007
Masa: 9.30 pagi – 12.30 tengahari
Kitab: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.

Ahad, 13 Mei 2007

Hikmah Susah Nak Tidoq

Alahai …. Semalam aku agak susah mau melelapkan mata. Mungkin cuaca panas agaknya, ahah … kesan dari pemanasan global! … agaknyalah. Hah.. daripada bergolek-golek dipembaringan, lagi baik aku pi belek kitab, kata hati kecilku. Maka akupun bangun menuju rak-rak buku untuk mencari kitab yang apa yang nak kubaca. Terlihat kitab Risalah Mustarsyidin, karangan Abu Abdullah al-Haris bin Asad al-Muhasibi (wafat 243H). Ahah … baguih kitab ni. Aku suka baca kitab ini kerana isinya yang ringkas dan padat dan ditambah dengan ta’liq padat yang dibuat oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (wafat 1997). Rujukan beliau untuk mentahqiq dan ta’liq [ulasan / komentar] kepada kitab ini saja hampir 244 buah kitab. Masyaallah …….

Aku terus mencari tajuk mana yang nak kubaca. Oh dah ada tanda di halaman163. Aku pun memulakan pembacaan ….

Ketahuilah [wahai murid-muridku, wahai para pembaca kitabku], semoga Allah meluaskan kefahaman dihatiku dan dihatimu, mencerahkan dengan ilmu dadaku dan dadamu dan menghimpunkan dengan keyakinan pada himmahku dan himmahmu. Sesungguhnya aku dapati bahwasanya asal bagi setiap bala yang menyerang hati seseorang itu adalah natijah dari sifat fudhul (berlebih-lebihan)

Allahu Allah …. Sampai takat sini pun rasanya aku dah ‘fail’. Apa tidaknya .... makan sepinggang pun sudah menghilangkan lapar …. Tapi aku tambah lagi dek kesedapan juadah tersebut. Kan fudhul tuuu ... Pakaian yang masih elok masih ada …. nak beli yang baru lagi. Kalau tegur atau marah anak-anak …. macam peluru automatik M16 ... berteraboq keluar. Tidur pun kalau dihitung-hitung mahu dalam 10 jam sehari. Allahu Allah. Kalau bersembang … masyaAllah … sampai kepagi boleh …. susah mau berhenti.

Dalam ulasannya al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah membawa kata-kata yang merupakan definasi tasauf oleh al-Imam al-Hafidz al-Muhaddits az-Zahid Abu Said Ibn al-‘Araabi (Ahmad bin Muhammad) al-Basri as-Shufi, katanya: Bermula tasauf itu keseluruhannya adalah meninggalkan fudhul (berlebih-lebihan). Kuteruskan lagi membelek lembaran kitab ….

Dan asal yang demikian itu adalah kerana memasuki atau bergelumang dengan dunia dalam keadaan jahil dan melupai hari ahkirat setelah mengetahuinya. Dan untuk selamat dari yang demikian itu adalah meninggalkan setiap apa yang tidak diketahui secara wara’ [yakni dalam pertimbangan hukum wara’] dan mengambil setiap apa yang ma’lum secara yaqin [yakni mengambil apa yang diketahui secara yaqin ianya halal]

Yang ni pun kantoi lagi … tak payah nak ceritalah. Bukan senang nak duduk pada maqam wara’ nih. Guru aku selalu dok pesan, supaya bersifat wara dalam segala urusan demi untuk menjaga kesucian dan kehormatan agama. Ok terus baca lagi …. Berkata lagi al-Muhasibi.

Dan aku dapati juga kerosakan hati itu menjadi punca rosaknya agama. Tidakkah engkau perhatikan sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم [maksudnya]: “Ketahuilah didalam jasad/tubuhbadan [anak adam] ada seketul daging, apabila baik daging itu, baiklah seluruh jasad dan apabila rosak daging tersebut, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahwa daging itu adalah hati.” Dan makna [menurut tafsiran penulis kitab – al-Muhasibi] al-jasad itu adalah agama. Kerana dengan agamalah [dinilai akan] baik dan buruknya anggota tubuh badan [segala perbuatan].

Helaian seterusnya ….

Asal atau punca kerosakan hati itu adalah kerana meninggalkan muhasabah diri dan tertipu dengan panjang angan-angan. Maka apabila engkau menghendaki akan baik hatimu, maka berhentilah ketika mana ada kehendak atau keinginan, dan juga ketika datang lintasan hati. Maka engkau ambillah apa yang untuk Allah dan tinggalkan apa yang selainnya. Dan mohonlah bantuan dari untuk mengurangkan angan-angan dengan mengingati MATI.

Al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam ulasannya, Syaikh al-Faqih as-Sholeh Ahmad bin Ruslan berkata didalam kitabnya matan Zubad [maksudnya]: Timbanglah dengan neraca syara’ setiap khotirmu[lintasan hatimu]. Andainya ia termasuk perkara yang disuruh maka tunaikan, dan andaikata termasuk dalam perkara yang dilarang, maka dia adalah dari syaitan, maka hindarilah. Imam Junaid berkata: Apabila datang atas hatiku khotir, maka tiada aku terimanya melainkan dengan disokong dua saksi yang yang adil iaitu al-kitab (al-Quran) dan as-Sunnah. Imam al-Harits al-Muhasibi berkata lagi:

Dan aku dapati asas-asas fudhul yang berlegar dihati akan terkesan pada pendengaran, penglihatan, lisan, makanan, pakaian dan tempat tinggal.
• Maka berlebihan pada pendengaran membawa kepada lupa dan lalai
• Dan berlebihan pada penglihatan membawa kepada lalai dan tercengang kebingongan
• Dan berlebihan pada lidah membawa kepada menambah-nambah dan mereka-reka
• Dan berlebihan pada makanan membawa kepada sifat pelahap dan haloba
• Dan berlebihan pada pakaian membawa kepada bermegah dan menyombong (meninggi diri)
• Dan berlebihan pada tempat tinggal membawa kepada berlebih-lebihan [membuang harta bukan pada tempatnya/boros] dan kemegahan

Tu dia baru 6 perkara, kantoi belaka. Dalam ulasan al-‘Allamah Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ada 11 jenis atau bahagian. Allahu Allah. Tak terdaya lagi nak menyambung bacaan. Nafsu yang ketegaq ini mula terasa mengantuk pula. Dah tak larat nak angkat pelupok mata untuk meneruskan pembacaan. Biasalah bila baca persoalan yang menyentuh ke’aiban diri , penyakit-penyakit hati ni … mai ngantuk pulak.…….Tapi lagu mana pun kira ok lah pasai dapat sikit manfaat dari kitab yang kubaca ... untuk memberi peringatan pada hatiku yang ketegaq. Mengantuk! mengantuk!.... Bismikallaahumma ahyaa wa amuut.

Semoga apa yang aku kongsi bersama kalian ini dapat memberi manfaat buat diriku terutamanya dan juga buat kalian.

-abu zahrah-

Sabtu, 12 Mei 2007

Ar-Rasail al-Darqawiyah
(Siri – 1)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)

Sedutan daripada surat-surat as-Syeikh al-Arabi ad-Darqawi asy-Syadzali al-Maliki رضي الله عنه:

Jikalau engkau menghendaki perjalananmu dipendekkan supaya segera engkau sampai kepada tahqiq atau mencapai kesedaran ruhaniah, maka hendaklah engkau berpegang teguh kepada faraidh yakni segala amalan yang fardhu [didalam teks asal disebut – waajibaat yakni perkara-perkara yang diwajibkan. الله أعلم] dan kepada segala nawafil yakni segala amalan yang sunat. Pelajari ilmu dzahir setakat yang tidak dapat tidak (yakni fardhu ain) untuk beribadat, tetapi jangan berlengah-lengah menghabiskan waktu padanya, kerana engkau tiada dikehendaki mempelajarinya secara mendalam(1), apa yang perlu bagimu ialah bahawa engkau memperdalami ilmu bathin (yakni ilmu selok-beluk hati atau ilmu jalan ke akhirat atau ilmu tasawwuf). Lawanlah nafsumu, nescaya engkau akan melihat pelbagai keajaiban.-الخلق الكريم - (yakni “budi pekerti yang mulia”) tiada lainnya melainkan tasawuf kaum shufi, sebagaimana ianya agama bagi orang yang berpegang kepada agama. ولعنة الله على الكاذبين (Semoga laknat Allah lah atas orang-orang yang berdusta)(2)


Demikian pula, sentiasalah jauhi daripada terikat kepada keseronokan atau kelazatan yang datang melalui saluran pancaindera, kerana ia adalah lawan daripada pengalaman ruhaniah atau kehidupan secara ruhaniah, dan dua yang berlawanan ini tak mungkin bertemu, yakni tak mungkin dihimpunkan sekali. Tiap-tiap engkau memperkuatkan pancaindera (yakni dengan menumpukan perhatian kepada keinginan-keinginan jasmani) maka engkau memperlemahkan ruh, demikanlah ‘akasnya [sebaliknya].

Dengarlah apa yang berlaku pada shaikh kami رضي الله عنه pada permulaan perjalanan ruhaniyahnya. Ia baharu sahaja memukul tiga takaran gandum lalu diberitahunya kepada shaikhnya bahawa ia telah perbuat demikan. Maulay al-‘Arabi bin ‘Abdullah berkata kepadanya: “Kian engkau tertumpu kepada pengalaman atau kelazatan-kelazatan pancaindera (yakni syahwat jasmaniah), maka kian berkuranglah engkau dalam pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau tertumpu pada kepada pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau berkuranglah engkau tertumpu atau terikat kepada pengalaman dan kelazatan pancaindera.(3)

Ini jelas kerana selagi engkau bersahabat dengan ahli dunia, masakan dapat engkau mencium keharuman ruhaniah pada mereka, kau hanya akan dapat mencium bau peluh mereka, lantaran mereka telah diper’abdikan oleh pengalaman keseronokan-keseronokan pancaindera, syahwat jamaniah menguasai hati meraka dan segala anggota mereka, mereka melihat untung laba mereka hanya pada perkara-perkara yang berkaitan dengan nafsu, maka mereka bercakap tentang itu, mereka menyibukkan diri dengan itu, mereka bersukaria dengan itu sahaja dan tidak dapat membebaskan diri mereka daripada diperbudakkan nafsu.

Namun demikian, ramai pula orang yang telah membebaskan diri daripada perbudakan nafsu untuk terjun kedalam samudera ilmu ruhani sepeninggalan umur mereka yang masih ada. (semoga Allah redha dengan mereka dan semoga kita memperoleh manfaat daripada berkat mereka, آمين, آمين, آمين.) Seolah-olah seperti Allah Ta’ala tiada mengurniakan ruh kepada ahli dunia, pada hal setiap orang daripada mereka adalah daripada ‘alim ruhani, sebagaimana segala ombak adalah sebahagian daripada lautan. Kalaulah mereka menginsafi perkara ini nescaya mereka tiada akan membiarkan diri mereka diseleweng oleh pengalaman dan kelazatan pancaindera, daripada menumpukan perhatian kepada ruh (yakni kepada pengalaman dan nikmat-nikmat ruhani), kalaulah mereka menginsafi ini, nescaya mereka akan mendapati di dalam diri mereka pelbagai lautan samudera yang tidak terbatas, -والله على ما نقول وكيل- dan Allah adalah saksi atas apa yang kami ucapkan – [surah al-Qasas:28]

____________________________________

Notakaki:-

(1) Berkata asy-Syeikh Abdullah bin Ahmad al-Maaliki: أقلل من علم فإنه يقسي القلب Artinya: Sedikitkanlah daripada ilmu dzahir (yakni ilmu usuluddin, ilmu fiqh dan seumpamanya – ambillah sekadar menyempurnakan fardhu ain) kerana bahwasanya iaitu mengeraskan hati. Disebut oleh Ibn Farhun didalam kitab: الديباج المذهب في معرفة أعيان علماءالمذهب.
***Menurut guru kami, yang dimaksudkan disini [secara ringkasnya], ianya adalah untuk para salik dari kalangan orang yang awam. Adapun bagi penuntut ilmu maka ianya hendaklah mempelajarinya sedalam yang termampu. Bahkan ianya merupakan tuntutan fadhu kifayah dan perlu dalam menyelesaikan permasalahan ummah dan menjadi benteng dari fahaman-fahaman yang terkeluar dari ahlus sunnah wal jamaah. Dan hendaklah bersihkan niatnya dari belajar untuk bermujadalah dengan ulama’ atau menunjuk-nunjuk akan kealimannya pada orang jahil atau untuk mendapat habuan-habuan keduniaan. ***

(2) Ini mengingatkan kita kepada firman Allah dalam surah ‘ali ‘Imran:61 yang berakhir dengan (فنجعل لعنة الله على الكذبين) yang bererti “ … dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

(3) الحس : Pancaindera disini sebagaimana juga didalam kitab Iqazul Himam fi Syarh al-Hikam oleh Ibn ‘Ajibah; Yang dimaksudkan ialah terikatnya seseorang itu kepada pengalaman atau kelazatan yang datang melaui indera yang lima atau dimaksudkan keinginan-keinginan jasmaniah.

-abu zahrah -

Khamis, 10 Mei 2007

Ulama' Nusantara



"Manakala amalan masyarakat Malaysia bukanlah madzhab syafi'iy sepenuhnya tapi madzhab Nusantara kerana bercampur dgn ajaran tareqat, sedangkan Imam Syafi'iy membenci ajaran tareqat ketika berada di Baghdad. Amalan fiqh solat Nusantara boleh dilihat secara praktikal di mesjid-mesjid sekitar anda dan mungkin ibubapa anda sendiri. Madzhab Nusantara adalah istilah yg lebih sesuai kerana madzhab syafi'iy telah mengalami evolusi yg pesat dalam acuan tempatan dari aliran Pathani, Kelantan (Malaysia amnya), Brunei, Indonesia dan Gugusan Nusantara seluruhnya"


Bagi kami kata-kata diatas adalah tiada beradab sama sekali. Bahkan itu adalah satu fitnah kepada ulama Nusantara. Tidak selayaknya seorang yang kononnya mengaku ahli ilmu berkata yang sedemikian. Tiada manfaat ilmu tinggi dan amal banyak kalau ianya mewariskan kesombongan dan keangkuhan. Sifat sebegini tidak ubahnya seperti Azazil.

Kenyataan yang kami bawakan diatas, ternyata menunjukkan penulisnya [kami rahsiakan nama penulisnya] mempelekeh, memperleceh, menghina malah memfitnah ulama’-ulama’ alam Melayu. Kami tidak pasti apakah penulis diatas mengetahui sejarah hidup ulama’-ulama’ alam Melayu atau sekurang-kurangnya membaca kitab-kitab tulisan mereka.

Maka bertitik tolak dari tulisan diatas, kami berazam [insyaAllah] untuk mempertahan maruah mereka seterusnya memperkenalkan ulama-ulama alam Melayu dibawah label Jejak Ulama Nusantara diblog kami yang tersangat kerdil ini. Kami bukanlah seorang yang layak untuk memperkatakan hal-hal sebegini, kerana kami bukanlah seorang ahli tarikh maupun seorang ahli ilmu. Tetapi kami adalah seorang insan kerdil yang haqir lagi faqir, yang menyintai mereka (ulama-ulama alam Melayu). Namun demi untuk meneruskan kesinambungan kerja-kerja yang pernah diusahakan oleh al-Marhum Tuan Guru asy-Syaikh Hj Wan Mohd Shaghir bin Hj Wan Abdullah bin Hj Wan Abdurrahman bin Wan Abu Bakar [wafat pada hari Khamis, 24 Rabiulawwal 1428 bersamaan 12 April 2007], yakni memperkenalkan serta memartabatkan ulama’ alam Melayu dan hasil karya mereka, maka kami gagahi jua dengan apa yang ada. Insyaallah kami akan paparkan juga penulisan al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir mengenai ulama-ulama Melayu dan kitab penulisan mereka untuk tatapan bersama. Maka dari situ antum dapat menilai martabat ulama melayu dari segi keilmuan mereka.

Janganlah terpengaruh dengan dakwah [dakyah????] golongan yang menjadi pemecah-belah perpaduan umat Melayu yang beragama Islam. Fahaman yang mereka [yang dikenali dengan nama kaum Muda atau golongan ittiba’ atau ‘salafi’ atau wahabi atau golongan tajdid dan entah apa-apa lagi nama – pada kami mereka adalah golongan tabdi’ bahkan kalau yang dah ultra tu sampai peringkat takfir - Nauzubillah] bawa tidak mendapat tempat di Tanah Melayu sejak dahulu lagi atas kegigihan ulama’-ulama’ kita memeranginya dengan lisan mahupun penulisan. Ulama-ulama kita telah menjawab segala persoalan yang mereka cuba bangkitkan semula kini. Tetapi dek kerana kejahilan kita mengenai ulama-ulama kita dan karya mereka, kita tercari-cari, teraba-raba dalam mencari jawaban, sedangkan ianya telah sedia terhidang.

Pendokong gerakan yang mendakwa ‘salafi’ kini kebanyakan terdiri dari golongan professinal yang dikenali dengan ‘protaz’.Sepanjang yang kami perhatikan, golongan ini bukanlah mendapat pendidikan formal didalam disiplin pengajian Islam, dan mereka inilah yang mengkritik pendapat-pendapat para ulama yang sudah masyhur ke’mu’tabar’annya. Seumpama anak kecil yang baru tahu membaca menyanggah seorang yang sudah lama bergelar professor (sekadar satu perumpamaan). Baru kenal alif, ba, ta … sudah mahu menyanggah ulama mujtahid. Nauzubillah.

Oleh itu tinggalkan mereka. Carilah ulama yang tawadhu dengan ilmu mereka. Yang beradab dalam menyampaikan ilmu dan pendapat.

Marilah perhati dan hayati pesanan al-Marhum Tuan Guru Hj Abdullah Fahim ini:


بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع).

Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya.

Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.

Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Sair as-Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'

[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]

Antara pesanannya lagi:

“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang kelaur dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu…….

Hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama’ ahli al-Sunnah wal Jamaah ……

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafir, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri ……

Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi:

“Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia …….”


[Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 37 - 38]

Coretan kami ini adalah untuk mengingatkan akan bahaya dan ancaman yang dibawa oleh golongan tabdi’ ini, agar kita lebih berhati-hati dengan mereka. Khilaf pendapat itu adalah lumrah tetapi menafikan pendapat orang lain sehingga membid’ah dholalahkan atau melebelkan sebagai penyembah kubur, musyrik, membuat agama baru dan sebagainya, kepada sesuatu golongan lain itu merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Semoga Allah kurniakan hidayah dan taufiqNya kepada kami dan juga kepada antum. Wassalam.

Rabu, 9 Mei 2007

Pengumuman Beberapa Program di Masjid Baitul Aman 102, Jalan Damai di Jalan Ampang, Kuala Lumpur

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Hari Sabtu 19 May 2007 mulai Solat Maghrib sehingga jam 9:30 malam huraian buku berjudul ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’

Hari Ahad 20 May 2007 mulai jam 11.15 pagi sehingga Zohor huraian buku berjudul ‘Petunjuk Thariqat ke Jalan Akhirat’

Hari Ahad 20 May 2007 selepas maghrib - Majlis Bersama Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz

CEMERLANG - GEMILANG - TERBILANG

Rahsianya adalah KEIMANAN dan KETAQWAAN

Pengumuman Majlis Ilmu

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Kuliah Ruhaniyyah - Syarahan Kitab Al-Hikam

Oleh : al-Fadhil Shaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki al-Syadhuli, Maahad Tarbiah Islamiah , Dehrang, Kedah Darul Aman

Tarikh : 23 Rabiulakhir 1428H / 11 Mei 2007


Masa : Selepas Maghrib


Tempat : Surau Anjung Rahmat, Tingkat 3,Kompleks Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.

Selasa, 8 Mei 2007


Jaga Sikit Mulut Tuuu .......


Syahdan bertiuplah khabar sepoi-sepoi bahasa ke telingaku bahwasanya ada seorang yang kononnya tersangatlah pandainya, punyai PhD pula katanya, berjawatan mufti pula adanya, berdiam ia di negeri Indera Kayangan yang ditukar kepada Darul Sunnah khabarnya …… Maka telah berkatalah Sang Mufti yang kononnya bijaklaksana, mengajakkan para ulama [mufti] mendoakan Imam Syafie adanya, semoga dimasukkan ia kedalam syurga, kerana Imam itu berbuat bid’ah katanya ….. Allahu Allah. Maka berdesing telinga aku bila mendengarnya. Berita sepoi-sepoi bahasa bagaikan taufan yang melanda, kerana ulama panutanku telah dicela dan direndah-rendahkannya. Oleh sang mufti yang pendek aqalnya.

Kepada sang mufti dan pemujanya, inginku ceriterakan sedikit mengenai Imam yang mulia, yang telah menabur jasa tidak terkiranya, namanya harum seantero dunia ….

Abu Abdullah Muhammad bin Idris nama tubuhnya
Menghafal al-Quran dikala 7 tahun usianya
Muwattho dihafalnya tatkala 10 tahun umurnya
Gurunya ramai tiada terkiranya
Telah kujumlahkannya, 48 ulama tersohor malah lebih darinya
Alim ia dalam segala ilmuNYA – al-quran, al-hadits, fiqih dan usulnya, ilmu bahasa tiada terkira mahirnya
Laksana mentari menyinar segenap penjuru dunia, itulah ibarat ilmunya
Diizinkan fatwa dikala mudanya, baru mencecah 15 tahun adanya
Amal ibadahnya tiadalah terkiranya
Takkala bulan Ramadhan dikhatam al-Quran sekali siang dan sekali malamnya
Rabi’ menyatakan bahwasanya 17 tahun tiada ia merasa akan kenyang dari makannya
Habis hartanya disedekahkannya bagaikan air yang mengalir dengan lajunya
Itulah ulama yang paling taqwa dan wara’ dizamannya
Al-Qusyairi menyebut didalam risalahnya
Bilal al-Khawas yang bertemu Khidir lantas bertanya: Apa engkau katakan tentang Imam Syafie akan martabatnya?
Lantas dijawab khidir beliau adalah dari golongan autad adanya
Cubalah rujuk didalam al-Hawi karangan as-Sayuthi, ada ceritanya
Al-Umm, ar-Risalah, al-Imla’ adalah antara karangan tinggalannya
Hanya dapat difahami mereka yang rasikh ilmunya
Itulah diantara ilmu yang dimanfaatkannya
Belum lagi murid-muridnya banyak tiada terkiranya
Bagaikan bintang berkilauan yang menghiasi bulan purnama adanya
Itulah yang dikatakan oleh Abu Hasan Ali bin Ahmad ad-Dainuri ketika menceritakan kebesarannya
Pujian para ulama padanya sangat banyaknya kerana jasanya yang tiada terhingganya
Ali al-Madani menasihatkan anaknya
Tulislah semua kata-kata Imam Syafie, jangan kau tinggalkan walaupun satu hurufnya
Kerana didalam satu huruf itu terdapat ilmu pengetahuannya
Berkata Imam Ahmad ibn Hanbal, mendoa aku akan guruku Imam Syafie didalam sembahyang selama 40 puluh tahun lamanya
Itulah yang dapat kusajikan seadanya
Buat tatapan mereka yang punya aqalnya
Untuk selanjutnya carilah didalam kitab manaqibnya

Nasihatku pada mereka yang lancang mulutnya

Berhati-hatilah dengan para ulama’NYA
Kerana mereka itu adalah pewaris nabiNYA
Hina cela mereka tanda engkau diperangiNYA
Kerana mereka itu adalah para waliNYA

Bida'ah Bahagian 2
(Sedutan Dari Al-Kuliyyah)


Bida'ah Bahagian 1
(Sedutan Dari Al-Kuliyyah)




Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah
(Siri - 3)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى عنه atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Sekian.)

(Maka bermula) jalan takhliyah [mensunyikan atau mengosongkan] bagi baitullah(1) [hati] itu [dengan] dikurangkan makan dan tidur serta diajarkan dia dengan perlahan-lahan dan membanyakkan sebut لااله إلاالله itu, hampirlah bagi kamu jernih hatimu dan hampirlah tajalli Allah atas hatimu. Dan jika menahankan [menegah] dikau oleh nafsu amarah [engkau] daripada tawajjuh kepada Allah, maka engkau mendhoifkan [melemahkan] dia dengan berjaga [malam] dan berlapar dan engkau perangkan dia [nafsu] kerana Allah hingga jadi beradab ia dan jangan ia membimbangkan kamu daripada zikrullah.

(Adapun shifat yang tiada patut bagi baitullah(2) itu sepuluh) iaitu
• bershahabat dengan yang lain daripada Allah dan
• lalai daripada Allah dan syirik dengan Allah dan
• tiada berpegang atas Allah dan
• tiada i’tibarkan bagi taqdir Allah dan
• keluh kesah pada bala [yang diturunkan oleh] Allah dan
• marah bagi qada’ Allah dan
• takabbur atas makhluk Allah dan
• tiada memelihara amanah Allah dan
• mengitsbatkan wujud haqiqi bagi yang lain daripada Allah.

(Adapun shifat yang lazim) bagi baitullah(3) itu sepuluh juga iaitu
• kasihkan Allah, dan
• mengesakan af’al Allah, dan
• tawajjuh kepada Allah, dan
• tawakkal atas Allah, dan
• serah segala pekerjaan kepadaNya dan
• shabar atas balaNya dan qadha’Nya dan
• menghinakan diri bagi kebesaranNya dan
• berkehendak sebenar-benar kepadaNya, dan
• kaya dengan Allah daripada makhluqNya dan
• fana’ di dalam baqa’ dengan Allah.

(Dan apabila engkau suci) baitullah(4) daripada cemar-cemar shifat [yang] sepuluh yang dahulu dan engkau hiaskan dia dengan sepuluh shifat ini, maka sungguhnya telah engkau menjalankan thariqat auliya’ Allah dan tetaplah hatimu dan ruhmu dengan Allah, dan jadilah engkau menerimakan bagi khithab Allah dengan firmanNya:

يٰأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٱرْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَٱدْخُلِي فِي عِبَادِي وَٱدْخُلِي جَنَّتِي
Artinya: Hai nafsu yang mutmainnah kembali olehmu kepada tuhanmu pada hal redha engkau akan Dia dan redha [D]ia akan dikau, maka masuklah olehmu di dalam hambaKu dan masuk olehmu kedalam syurgaKu.

Maka engkau pun perkenankan seruan Allah dan kembali engkau kepadaNya maka [D]ia kasihkan dikau dan jadi engkau redha daripada Allah dan redhakan kamu oleh Allah dan engkau berhubung dengan zumrah [golongan] ahlullah dan masuklah engkau akan syurga Allah.

____________________________________________________

(1), (2), (3) dan (4) – Maksudnya hati. Dimana hati yang bershifat lathifah rabbaniyyah itulah tempat tajalliNya

Related Posts with Thumbnails