Rabu, 23 Februari 2011

Nukilan Dari Buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA: Inilah Jawapannya .... : Hukum Menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم - Bahagian 3

Sambungan dari entri sebelumnya ....


Di dalam kitab Ala Ma’idah al-Fikr al-Islami ditulis:
إِنَّ اْلإِحْتِفَالَ بِذِكْرَى الْمَوْلِدِ النَّبَوِيِّ الشَّرِيفِ أَصْبَحَ وَاجِبًا أَسَاسِيًّا لِمُوَاجِهَةِ مَا اسْتَجَدَّ مِنَ اْلإِحْتِفَالاَتِ الضَّارَّةِ فِي هَذِهِ اْلأَيَّامِ.
“Sesungguhnya menyambut peringatan Maulid Nabi yang mulia menjadi wajib yang asas sebagai menghadapi dengan apa yang dibuat-buat dari perayaan-perayaan yang memudaratkan pada hari ini.” (Al-Mausu’ah al-Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash-Shufiyyah, ms. 141)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berpendapat:
وَالْحَاصِلُ أَنَّ الْبِدْعَةَ الْحَسَنَةَ مُتَّفَقٌ عَلَى نَدْبِهَا، وَعَمَلُ الْمَوْلِدِ وَاجْتِمَاعُ النَّاسِ لَهُ كَذَلِكَ، أَيْ بِدْعَةٌ حَسَنَةٌ.
“Dan kesimpulannya, sesungguhnya Bid’ah Hasanah (yang baik) diittifaqkan atas sunat melakukannya. Dan perbuatan Maulid dan berkumpulnya orang ramai untuk menyambutnya begitu juga, iaitu ia adalah Bid’ah Hasanah.” (Al-Mausu’ah al-Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash-Shufiyyah, ms. 139)

Dalam Madarij ash-Shu’ud Syarh al-Barzanji disebutkan, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Siapa menghormati hari lahirku, tentu aku berikan syafaat kepadanya di Hari Kiamat." (Kitab Maulid al-Barzanji adalah antara kitab yang sangat masyhur nama dan keberkatannya. Di Malaysia dan alam Melayu khususnya, kitab ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama asal kitab ini ialah 'Iqd al-Jawahir (ertinya kalung permata). Nama Barzanji diambil dari nama pengarangnya iaitu Syaikh Jaafar al-Barzanji bin Husin bin Abd al-Karim, berasal dari sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Kitab ini disusun untuk menceritakan tentang kehidupan Nabi Mulia, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , silsilah keturunannya, masa kehidupan dari kanak-kanak, remaja, pemuda, sehingga diangkat menjadi Rasul. Ia juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk dijadikan teladan umat manusia)

Sayyiduna Umar Ibn Khattab رضي الله عنه secara bersemangat mengatakan: “Siapa yang menghormati hari lahir Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sama ertinya dengan menghidupkan Islam!”

Syaikh Mutawalli Sya’rawi berkata: “Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran Baginda dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jin Islam bergembira di atas kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ?.” (Lihat kitab beliau Maidah al-Fikr al-Islamiyyah, ms. 295)

Ketika menjawab persoalan tentang sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم , Syaikh Ali Jum’ah, Mufti Besar Mesir menjawab: "Kita merayakan kelahiran Nabi Muhammad  صلى الله عليه وآله وسلم kerana kita mencintai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Dan bagaimana kita tidak mencintai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, sedangkan seluruh alam semesta mengenali dan mencintai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Ingatlah hadith tentang sebatang pohon kurma yang tak bernyawa, betapa ia menyayangi dan mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم serta rindu untuk selalu dekat dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia, malah menangis sebanyak-banyaknya kerana rindu kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .”  (Lihat Al-Bayan al-Qawim li Tashhih Ba'dh al-Mafahim, ms. 33. Hadith tentang diriwayatkan oleh ramai para ulama’ dan Huffaz umpama diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bukhari, At-Tirmizi, Ibn Majah, Ad-Darimi, Ibn Hibban, Ibn Abi Syaibah, Ath-Thobrani dan Abu Ya’la)

Beliau mengatakan lagi dalam kitabnya Al-Bayan lima Yasyghal al-Azhan: “Dan mengadakan sambutan peringatan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم termasuk daripada amalan yang paling afdhal dan qurbah yang paling besar, kerana sesungguhnya sambutan itu adalah manifestasi atas kegembiraan dan kecintaan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Dan mahabbah (cinta) kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah satu dasar daripada dasar-dasar iman. Dan sesungguhnya telah shahih yang sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda: "Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, tidaklah (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah Aku lebih dicintainya dari ayah dan anaknya.” Dan sesungguhnya, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Tidaklah (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah Aku lebih dicintainya dari anak, ayah dan manusia seluruhnya." (Al-Qahirah: Al-Maqthum li An-Nasyr wa at-Tauzi’, Cetakan Pertama, 1425H/ 2005M, ms. 164)

(Syaikh Ali Jum’ah juga menyebutkan:) “Dan sejumlah para ulama’ dan fuqaha’ telah menulis tentang bolehnya menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia dengan dalil-dalil yang shahih tentang sunatnya perkara ini. Oleh itu, orang yang berakal, mempunyai kefahaman dan pemikiran yang benar tidak akan mengingkari apa yang telah dibuat oleh para Salafus Soleh yang menyambut majlis peringatan kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Di dalam kitab Al-Madkhal, Ibn Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang keutamaan-keutamaan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم dan mengemukakan huraian yang penuh manfaat yang membuat hati orang-orang yang beriman menjadi lapang dan tenang. Perlulah diketahui bahawa beliau sendiri menulis kitab tersebut dengan tema mencela perkara-perkara bid’ah yang diada-adakan yang terkeluar dari dalil Syariat.”  (Rujuk Al-Bayan lima Yasyghalu al-Azhan, ms. 165)

Oleh kerana beliau memuji dan memuliakan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم dalam buku yang sama, ia tidaklah termasuk dalam perkara bid’ah (Dhalalah) mengikut Ibn Hajj.

Syaikh Yusuf al-Qardhawi menyebutkan di dalam ceramahnya:
تُذَكُّرُ النَّاسِ لِلْمَعَانِي الطَّّّيِّبَةِ وَلِلسِّيَرِ الْفَاضِلَةِ هَذَا أَمْرٌ مَحْمُودٌ، وَلاَ يَنبَغِي أَن يُذَمَّ، وَلِذَلِكَ لاَ مَعْنىَ لأَن يَقُولَ بَعْضُ النَّاسِ: إِنَّكُمْ تَبْتَدِعُونَ حِينَمَا تُحْيُونَ ذِكْرَ مَوْلِدِ رَسُولِ اللهِ ، فَنَحْنُ نُذَكِّرُ النَّاسَ بِنِعْمَةِ رِسَالَةِ رَسُولِ اللهِ ، بِهَذِهِ الرِّسَالَةِ الَّتِي وَصَفَهَا اللهُ بِقَوْلِهِ.(( وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ))
“Mengingatkan manusia kepada makna-makna yang baik dan perjalanan sirah yang terpuji, ini adalah suatu perkara yang dipuji, dan tidak sepatutnya dicela. Oleh itu, tidak ada faedah sesetengah orang yang berkata: “Sesungguhnya kamu melakukan bid’ah ketika kamu menghidupkan (menyambut) majlis memperingati Maulidur Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .”

Kita mengingatkan manusia dengan suatu nikmat risalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, yang dengan risalah inilah, yang disifatkan oleh Allah dalam firmanNya: (Mafhumnya): ““Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107).” (Ucapan ini boleh dilihat dan didengar melalui Youtube)

Syaikh Yusuf Khator menyebutkan:
اِعْلَمْ أَنَّ مِنَ الْبِدَعِ الْمَحْمُودَةِ عَمَلُ الْمَوْلِدِ الشَّرِيفِ مِنَ الشَّهْرِ الَّذِي وُلِدَ فِيهِ.
“Ketahuilah bahawasanya di antara Bid’ah yang dipuji ialah amalan menyambut Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia dari bulan yang dilahirkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم padanya.” (Al-Mausu’ah al-Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash-Shufiyyah, ms. 141)

(Beliau menyebutkan lagi:)
فَاْلإِجْتِمَاعُ لِسِمَاعِ قِصَّةِ صَاحِبِ الْمُعْجِزَاتِ عَلَيْهِ أَفْضَلُ الصَّلَوَاتِ وَأَكْمَلُ التَّحِيَّاتِ مِنْ أَعْظَمِ الْقُرُبَاتِ لِمَا يَشْمَلُ عَلَيْهِ مِنَ الْمُعْجِزَاتِ وَكَثْرَةِ الصَّلَوَاتِ.
“Maka perkumpulan untuk mendengar kisah yang empunya mukjizat (Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ), ke atasnya seafdhal-afdhal selawat dan sesempurna tahiyyat adalah termasuk dalam perkara taqarrub (mendekat diri kepada Allah) yang terbesar kerana ia mencakupi mukjizat-mukjizat dan banyaknya selawat.” (Al-Mausu’ah al-Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash-Shufiyyah, ms. 141)

Di dalam kitab I’anah ath-Tholibin disebutkan:
وَمِنْ أَحْسَنِ مَا ابْتَدَعَ فِي زَمَانِنَا مَا يَفْعَلُ كُلَّ عَامٍ فِي الْيَوْمِ الْمُوَافِقِ لِيَوْمِ مَوْلِدِهِ مِنَ الصَّدَقََاتِ وَالمَعْرُوفِ وَإِظْهَارِ الزِّينَةِ وَالسُّرُورِ.
“Dan termasuk yang terbaik dari apa yang dibuat pada zaman kita ialah apa yang disambut setiap tahun yang bertepatan dengan hari kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan bersedekah dan berbuat kebaikan serta menzahirkan perhiasan dan kesukaan.” (3/264)

Guru dan sahabat Al-Faqir, Al-Fadhil Ustaz Abu Muhammad (Beliau adalah pemilik blog bahrusshofa.blogspot yang terkenal itu) menulis:  “Maulid Barzanji telah masyhur di rantau sebelah kita. Amalan membacanya telah menjadi tradisi masyarakat kita di alam Melayu ini. Ketibaan bulan kelahiran Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم memeriahkan lagi majlis-majlis pembacaan kitab Maulid Barzanji dan alhamdulillah ianya masih berkekalan sehingga ke saat ini, walaupun dikecam dan disesatkan oleh puak kaum mudah. Sungguh menghairankan bila membaca kitab sirah yang sarat dengan mahabbatur Rasul (cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم), tiba-tiba hendak diharamkan sebab kononnya bid’ah, kononnya ada unsur pengagungan yang berlebihan, kononnya ada syirik, sedangkan apa yang didakwa syirik dan berlebihan itu hanyalah kesalahan mereka dalam memahami kata-kata Imam Ja’far al-Barzanji akibat kail mereka yang hanya sejengkal untuk menduga lautan dalam …Allahu … Allah. Syukurlah, amalan bermaulid, bermarhaban dan membaca Barzanji telah mendapat sokongan dan dokongan para ulama’ kita antaranya seperti di Sarawak ini oleh almarhum Shohibus Samahah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Datuk Kadir Hassan dalam fatwanya menyatakan:-

Soalan: Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini?

Jawapan: Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dilahirkan lalu membawa “Marhaban Jaddal Husaini”, “Ashraqal Badru ‘Alaina” dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam Syara’, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.

Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafi’e di Makkah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dengan membaca kisah-kisah Baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama’-ulama’ yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).

Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama’ yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.

Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam Syara’ malah ianya adalah termasuk dalam pekerjaan yang baik.

Selain Al-Marhum Mufti Sarawak tersebut, Sohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Yunus bin Mohd Yatim, Mufti ke-3 Negeri Melaka, turut mendokong amalan Barzanji. Beliau menyatakan:

Soalan: Apakah hukumnya membaca barzanji yang diamalkan di negeri ini? Ada yang mengatakan baik kerana mengingati sejarah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, juga memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Jawapan: Adalah dimaklumkan bahawa bacaan barzanji telah menjadi satu tradisi keagamaan bagi masyarakat Islam di sebelah sini dan ia adalah dianggap salah satu cabang kebudayaan Islam. Kitab barzanji yang dibaca itu mengandungi sejarah hidup Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (Sirah Nabawiyyah) selain daripada puji-pujian bagi Rasul صلى الله عليه وآله وسلم junjungan alam. Membacanya dapat pahala dengan niat hendak mengetahui sejarah hidup Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang mana percaya kepada Rasul salah satu Rukun Iman. Orang Islam hendaklah mengetahui Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, ayahanda dan bonda juga anak-anaknya walaupun kebanyakan umat Islam di negeri ini yang membaca barzanji tidak faham ertinya tetapi bacaan-bacaan mereka betul dan tidak lari dari ayat-ayat yang berkenaan. Oleh itu, membaca barzanji diberi pahala kepada yang membacanya kerana ada kaitan dengan sejarah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan memuliakan Rasul utusan Allah itu, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para mala’ikat-Nya mengucap salawat atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah salawat dan salam ke atasnya.” (Lihat tulisan Al-Fadhil Ustaz Abu Muhammad di http://bahrusshofa.blogspot.com/)

Orang yang selalu mengharamkan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم ini dalam banyak perkara merujuk kepada pendapat Syaikh Ibn Taimiyyah, sedangkan beliau sendiri mengatakan di dalam kitabnya Al-Iqtida’ ash-Shirath al-Mustaqim:
فَتَعْظِيمُ الْمَوْلِدِ وَاِتِّخَاذُهُ مَوْسِمًا قَدْ يَفْعَلُهُ بَعْضُ النَّاسِ وَيَكُونُ لَهُمْ فِيهِ أَجْرٌ عَظِيمٌ لِحُسْنِ قَصْدِهِمْ وَتَعْظِيمِهِمْ لِرَسُولِ اللهِ
“Maka membesarkan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan menjadikannya sebagai waktu atau musim yang dirayakan telah dilakukan oleh sebahagian manusia dan bagi mereka padanya (iaitu pada menyambut maulid tersebut) ganjaran pahala yang besar kerana baiknya niat mereka dan kerana mereka membesarkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .” (Lihat Iqtida’ ash-Shirath al-Mustaqim, Kairo: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1369, ms. 297 dan Fatawa, 23/134)

Di dalam kitab Manhaj as-Salaf disebutkan:
يَقُولُ ابْنُ تَيْمِيَّةَ: قَدْ يُثَابُ بَعْضُ النَّاسِ عَلَى فِعْلِ الْمَوْلِدِ وَكَذَلِكَ مَا يُحْدِثُهُ بَعْضُ النَّاسِ إِمَّا مُضَاهَاةً لِلنَّصَارَى فِي مِيلاَدِ عِيسَى عليه السلام. وَأَمَّا مَحَبَّةً لِلنَّبِي وَتَعْظِيمًا لَهُ، وَاللهُ قَدْ يُثِيبُهُمْ عَلَى هَذِهِ الْمَحَبَّةِ وَاْلإِجْتِهَادِ لاَ عَلَى الْبِدَعِ.
“Ibn Taimiyyah berkata: Boleh jadi diberi pahala sebahagian orang atas perbuatan mereka menyambut Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Begitu juga sesuatu yang baru yang diusahakan sebahagian orang sama ada menyerupai Nashrani dalam menyambut kelahiran Nabi Isa. Dan adapun kecintaan terhadap Nabi dan membesarkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, semoga Allah menganjari mereka atas perasaan cinta dan ijtihad ini, bukan (didasarkan) di atas sesuatu yang bid’ah.” (Manhaj as-Salaf, Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, ms. 399. ms. 224-226)

Al-Muhaddith, Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki di dalam kitabnya Mafahim menyebutkan:
وَالْحَاصلُ أَنَّ الإِجْتمَاعَ لأَجْلِ الْمَوْلِدِ النَّبَوِيِّ أَمْرٌ عَادِيٌّ وَلَكِنَّهُ مِنَ الْعَادَاتِ الْخَيْرَةِ الصَّالِحَاتِ الَّتِي تَشْمَلُ عَلَى مَنَافِعَ كَثِيرَةٍ وَفَوَائِدٍ تَعُودُ عَلَى النَّاسِ بِفَضْلٍ وَفِيرٍ لأَنَّهَا مَطْلُوبَةٌ شَرْعًا بِأَفْرَادِهَا.
“Dan kesimpulan yang boleh diambil, sesungguhnya berkumpul untuk menyambut Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah perkara biasa akan tetapi ia termasuk dalam adat yang baik dan bagus yang mencakupi (membawa) manfaat yang banyak dan faedah yang kembali kepada orang ramai dengan fadhilat yang banyak kerana ia dituntut secara Syara’ kepada penganutnya.” (Lihat juga Fiqh ‘Adah, ms. 60)

Al-Fadhil Ustaz Ghouse Khan dalam tulisannya Sambutan Maulid Nabi & Ulama’ (Lihat tulisan beliau di www.ghousekhan.blogspot.com. Lihat juga pendapat-pendapat para ulama’ mu’tabar ini di dalam risalah Mustika Ajaib Pada Menyatakan Hukum dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi Kita karangan Syaikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Muar Johor, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyyah, 1425H/ 2004M. Di dalam risalah ini Syaikh Haji Abu Bakar menyebutkan 3 kisah tentang kelebihan menyambut Maulidur Rasul iaitu kisah seorang pemuda yang agak tidak terurus penampilannya pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid di Bashrah yang dihina orang tetapi apabila datang bulan Rabiul Awwal, dia akan membasuh bajunya, menggunakan haruman, mengemaskan diri, membuat jamuan dan membaca Maulid Nabi . Perbuatan ini dilakukannya sejak lama sehinggalah dia meninggal dunia. Ketika dia meninggal dunia, orang Bashrah mendengar suara seolah-olah berkata pemuda tadi adalah seorang pilihan Allah (wali). Ada sebahagian yang bermimpi melihat pemuda tadi memakai pakaian Sundus (sutera tebal) dan Istabraq (sutera nipis dan halus). Ketika ditanya, dia mengatakan kerana perbuatannya membesar dan menghormati hari kelahiran Nabi . Kisah kedua ialah tentang pemuda pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan di Syam, yang kacak dan suka menunggang kuda. Pernah terjadi kudanya tidak dapat dikawal sehinggalah melanggar seorang anak khalifah. Khalifah menjadi marah dan akan menghukumnya dengan qishash (hukum bunuh). Dia ketakutan dan berniat jika dia dilepaskan Allah dari hukuman khalifah, dia akan membuat satu jamuan yang besar dan membaca Maulid Nabi dalam jamuan tersebut. Apabila tiba di hadapan khalifah, khalifah tidak jadi menghukumnya dan memaafkannya. Khalifah bertanya apakah yang dilakukannya sebelum mengadap khalifah. Dia memberitahu apa yang diniatkannya. Khalifah memberikannya 1000 dirham untuk mengadakan majlis Maulid Nabi . Kisah yang terakhir tersebut di dalam Maulid Syarh al-Anam riwayat Abdul Wahid bin Ismail. Seorang lelaki di Mesir membuat majlis jamuan Maulid Nabi sepanjang tahun dan dia mempunyai jiran lelaki beragama Yahudi yang akhirnya masuk Islam. (Lihat kisah-kisah ini dalam risalah tersebut dari muka surat 9-13) Kita menukilkan pendapat-pendapat ulama’ tentang hukum menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم antaranya:

a) Di dalam kitab I’anah ath-Tholibin karangan Syaikh Abu Bakar Syatha, beliau telah menukilkan pendapat-pendapat ulama’ tentang sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم antaranya:
i- Imam Abu Sa’id Al-Hasan Al-Basri (110H) berkata:
وَدِدْتُ لَوْ كَانَ لِي مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ ذَهَبًا لأَنفَقَهُ عَلَى قِرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُولِ
“Aku bercita-cita jika aku mempunyai harta emas sebesar bukit Uhud akan aku nafkahkan untuk membaca Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم .”

ii- Syaikh Abu Mahfuz Ma’ruf bin Fairuz al-Karkhi (Beliau ialah Abu Mahfuzh Ma’ruf bin Fairuz al-Kurkhi (al-Karkhi). Al-Kurkhi (atau Al-Karkhi) adalah: (1) nama sebuah kawasan di timur Iraq, (2) nama sebuah tempat di Kota Baghdad. Beliau menetap di sini sehingga meninggal. Seorang tokoh sufi yang selalu menekankan tentang cinta kepada Allah dan menjadikanNya sebagai teman, sahabat dan guru di dalam mencari ilmu. Kecintaan dan kedekatannya itu menyebabkan kerinduan yang sangat kepada kekasih, dan menjadikan kematian sebagai teman duduk kerana dengan kematianlah dia boleh bertemu dengan kekasih. Beliau juga mengajarkan supaya menyerahkan segala urusan dan perbuatan kepada Allah swt. Beliau meninggal pada tahun 200H (815M). Abu Bakar aj-Juzzaz berkata: Dikatakan kepada Ma’ruf al-Kurkhi: Apakah wasiatmu ketika datang ajalmu? Ma’ruf al-Kurkhi berkata :
إِذَا مِتُّ فَتَصَدَّقُوا بِقَمِيصِي هَذَا، فَإِنِّى أُحِبُّ أَنْ أَخْرُجَ مِنَ الدُّنْيَا عِرْيَانًا كَمَا دَخَلْتُ إِلَيْهَا عِرْيَانًا
“Apabila aku meninggal dunia, maka sedekahkanlah pakaianku ini. Maka sesungguhnya aku lebih menyukai keluar dari dunia (meninggal dunia ) dalam keadaan tidak berpakaian seperti mana dulu aku masuk ke dunia ini dalam keadaan tidak berpakaian.”) , seorang ulama’ Tasawwuf ( 200H) berkata:
مَنْ هَيَّأَ لأَجْلِ قِرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُولِ طَعَامًا وَجَمَّعَ إِخْوَانًا وَأَوْقَدَ سِرَاجًا وَلَبِسَ جَدِيدًا وَتَعَطَّرَ وَتَجَمَّلَ تَعْظِيمًا لِمَوْلِدِهِ ، حَشَّرَهُ اللهُ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ الْفِرَقِ اْلأُولَى مِنَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ فِي أَعْلَى عِلِّيِّينَ . وَمَن قَرَأَ مَوْلِدَ الرَّسُولِ عَلَى دَرَاهِمَ مَسْكُوكَةِ فِضَّةٍ كَانَتْ أَوْ ذَهَبًا وَخَلَّطَ تِلْكَ الدَّرَاهِمَ مَعَ دَرَاهِمَ أَخَرَ وَقَعَتْ فِيهَا الْبَرَكَةُ وَلاَ يَفْتَقرُ صَاحِبُهَا وَلاَ تَفْرُغُ يَدُهُ بِبَرَكَةِ مَوْلِدِ الرَّسُولِ
“Sesiapa menyiapkan bagi majlis maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم jamuan, mengumpulkan saudara-saudaranya, memasang pelita, memakai pakaian baru ( kemas & bersih ), berwangian, bercantik-cantik kerana mengagungkan kelahirannya, Allah akan bangkitkannya pada hari qiyamat bersama-sama barisan pertama dari golongan para nabi dan dia akan berada di puncak syurga Illiyiin. Dan sesiapa membaca maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ke atas dirham ( siling ) emas atau perak dan dicampurkan dirham tersebut dengan dirham yang lain, tercipta satu keberkahan dari dirham tersebut sehingga pemilik wang tersebut tidak akan sekali-kali papa dan tidak akan kosong simpanannya oleh kerana berkah maulid Nabi .”

iii- Syaikh Abu Hasan Sirri bin Mughallis as-Saqhoti , seorang ulama’ Tasawwuf yang masyhur (253H) berkata:
مَن قَصَدَ مَوْضِعًا يُقْرَأُ فِيهِ مَوْلِدُ النَّبِي فَقَدْ قَصَدَ رَوْضَةً مِن رِيَاضِ الْجَنَّةِ لأَنَّهُ مَا قَصَدَ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ إلاَّ لِمَحَبَّةِ الرَّسُولِ وَقَدْ قَالَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ : مَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِي الْجَنَّةِ
“Sesiapa menuju ke suatu tempat yang ada disana bacaan maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Maka sesungguhnya dia menuju sebuah taman dari taman-taman syurga kerana dia tidak menuju ke tempat demikian melainkan kerana cinta kepada Rasullulah صلى الله عليه وآله وسلم . Dan telah bersabda: Sesiapa mencintaiku dia akan bersamaku disyurga.”

iv- Sa’idut Taifah, Syaikh Abu Al-Qasim Aljunaid bin Muhamad Az-Zujaaji Al-Baghdadi (297H) berkata:
مَنْ حَضَرَ مَوْلِدَ الرَّسُولِ وَعَظَّمَ قَدْرَهُ فَقَدْ فَازَ بِاْلإِيمَانِ.
“Sesiapa menghadiri majlis maulid Rasul صلى الله عليه وآله وسلم dan mengagungkan martabatnya (disisi Allah), maka sebenarnya dia telah berjaya (sempurna) dengan imannya.”

v- Imam Abu Muhamad Abdullah bin As’ad al-Yafie al-Yamani (768H) berkata:
مَن جَمَعَ لِمَوْلِدِ النَّبِي إِخْوَانًا وَهَيَّأَ طَعَامًا وَأَخْلَى مَكَانًا وَعَمَلَ إِحْسَانًا وَصَارَ سَبَبًا لِقِرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُولِ ، بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ الصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَيَكُونُ فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ .
“Sesiapa mengumpulkan saudara-saudaranya bagi menghadiri majlis maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, menyiapkan makanan, memenuhkan ruang-ruang kosong, berbuat baik dan menjadi sebab bagi bacaan Maulid Rasul صلى الله عليه وآله وسلم, akan Allah bangkitkannya pada hari qiyamat bersama-sama para shiddiqin , syuhada’ dan para solihin dan ia akan berada di dalam Syurga An-Naim.”

vi- Imam Sayuthi berkata:
مَا مِن مُسْلِمٍ قَرَأَ فِي بَيْتِهِ مَوْلِدَ النَّبِي إِلاَّ رَفَعَ اللهُ تَعَالَى اَلْقَحْطَ وَالْوَبَاءَ وَالْحَرَقَ وَاْلآفَاتِ وَالْبَلِيَّاتِ وَالنَّكَبَاتِ وَالْبُغْضَ وَالْحَسَدَ وَعَيْنَ السُّوءِ وَاللُّصُوصَ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْبَيْتِ فَإِذَا مَاتَ هَوَّنَ اللهُ تَعَالَى عَلَيْهِ جَوَابَ مُنكَرٍ وَنَكِيرٍ وَكَانَ فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُقْتَدِرٍ .
“Tidak ada seorang Muslim yang membaca Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم melainkan diangkat Allah SWT dari penghuni rumah tersebut kemarau, waba’, kebakaran, kemalangan, bencana, kesusahan, kebencian, hasad, sihir dan kecurian. Dan apabila beliau meninggal dunia, Allah akan mudahkan baginya jawab Munkar dan Nakir dan beliau akan ditempatkan di suatu tempat yang baik di samping Raja yang Maha Berkuasa (Allah SWT ).” 

Untuk mengetahui hujjah-hujjah seterusnya, sila dapatkan buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA: Inilah Jawapannya ..... Hanya RM150.00 senaskah. Pelaburan yang berbaloi!

0 komen:

Related Posts with Thumbnails