Rabu, 23 Februari 2011

Nukilan Dari Buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA: Inilah Jawapannya .... : Hukum Menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم - Bahagian 2

Pakat-pakat beli lah buku ni nooo .... baguih.
Sambungan dari entri sebelumnya.


Hukum dan Pendapat Ulama’:

Guru Imam Nawawi, Imam Abu Syamah berpendapat:
وَمِنْ أَحْسَنِ مَا ابْتَدَعَ فِي زَمَانِنَا مَا يَفْعَلُ كُلَّ عَامٍ فِي الْيَوْمِ الْمُوَافِقِ لِيَوْمِ مَوْلِدِهِ مِنَ الصَّدَقَاتِ وَالْمَعْرُوفِ وَإِظْهَارِ الزِّينَةِ وَالسُّرُورِ، فَإِنَّ ذَلِكَ مَعَ مَا فِيهِ مِنَ اْلإِحْسَانِ لِلْفُقَرَاءِ مَشْعَرٌ بِمَحَبَّتِهِ وَتَعْظِيمِهِ فِي قَلْبِ فَاعِلٍ ذَلِكَ وَشُكْرًا لِلهِ عَلَى مَا مِن بِهِ مِنْ إِيجَادِ رَسُولِهِ الَّذِي أَرْسَلَهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ.
“Termasuk perkara baru yang baik dilakukan pada zaman ini adalah apa yang dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (merujuk kepada perayaan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم) dengan memberikan sedekah dan kebaikan, menunjukkan rasa gembira dan bahagia.

Sesungguhnya semua itu termasuk bersikap lemah lembut terhadap fakir miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah dan penghormatan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dalam hati orang yang menyambutnya. Ia juga merupakan suatu tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutusnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada seluruh alam semesta.”

Sebagai umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , kita dianjurkan untuk bergembira atas rahmat dan kurniaan Allah kepada kita. Rahmat dan kurniaan yang terbesar ialah dengan kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Allah berfirman:

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

“Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira dengan kurniaan Allah dan rahmatNya itu, adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus: 58)

Allah menyuruh manusia bergembira atas rahmatNya. Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya, jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم?. Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan Kami tidak mengutusmu (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al-Anbiya: 107)

Imam As-Suyuthi memberi pendapat tentang hukum perayaan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم di dalam Al- Hawi li al-Fatawa dengan katanya:
عِندِي، أَنَّ أَصْلَ عَمَلِ الْمَوْلِدِ الَّذِي هُوَ إِجْتِمَاعُ النَّاسِ وَقِرَاءَةُ مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ. وَرِوَايَةُ اْلأَخْبَارِ الْوَارِدَةُ فِي مَبْدَءِ أَمْرِ النَّبِيِّ وَمَا وَقَعَ فِي مَوْلِدِهِ مِنَ اْلآيَاتِ ثُمَّ يَمُدُّ لَهُمْ سِمَاطٌ يَأْكُلُونَهُ وَيَنصَرِفُونَ مِنْ غَيْرِ زِيَادَةٍ عَلَى ذَلِكَ مِنَ الْبِدَعِ الْحَسَنَةِ الَّتِي يُثَابُ عَلَيْهَا صَاحِبُهَا لِمَا فِيهِ مِن تَعْظِيمِ قَدْرِ النَّبِيِّ وَإِظْهَارِ الْفَرْحِ وَاْلإِسْتِبْشَارِ بِمَوْلِدِهِ الشَّرِيفِ.
“Menurutku, asal perayaan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , iaitu manusia berkumpul, membaca Al-Qur’an dan kisah-kisah teladan Nabi sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, menampakkan kesukaan dan kegembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia.” (1/251-252. Lihat juga Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 194)

Beliau juga berkata:
وَيُسْتَحَبُّ لَنَا إِظْهَارُ الشُّكْرِ بِمَوْلِدِهِ وَاْلإِجْتِمَاعُ وَإِطْعَامُ الطَّعَامِ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِن وُجُوهِ الْقُرُبَاتِ وَإِظْهَارِ الْمُسَرَّاتِ.
“Dan disunatkan untuk kita menzahirkan rasa kesyukuran dengan kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan (disunatkan juga) berkumpul dan memberi makan dan yang seumpama itu yang termasuk dari jalan mendekatkan diri kepada Allah dan menzahirkan kesukaan.” (Al-Hawi li Al-Fatawa, 1/196)

Beliau berkata lagi:
مَا مِن بَيْتٍ أَوْ مَحَلٍّ أَوْ مَسْجِدٍ قُرِئَ فِيهِ مَوْلِدُ النَّبِيِّ إِلاَّ حَفَّتِ الْمَلاَئِكَةُ أَهْلَ ذَلِكَ الْمَكَانِ وَعَمَّهُمُ اللهُ تَعَالَى بِالرَّحْمَةِ وَالرِّضْوَان.

“Tidaklah ada dari rumah atau tempat atau masjid yang dibacakan dalamnya Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم , melainkan para malaikat akan menaungi (merahmati) penduduk tempat itu dan Allah meluaskan mereka dengan rahmat dan keredhaan.” (Al-Wasa’il fi Syarh al-Masa’il, Imam Sayuthi)

Imam Sayuthi membantah orang yang berkata: “Aku tidak mengetahui hukum perayaan Maulid ini di dalam Al-Qur’an mahupun di dalam hadith”, dengan mengatakan: “Tidak tahu terhadap sesuatu bukanlah bererti tidak adanya sesuatu itu.” (Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 198)

Imam Sayuthi juga menjelaskan bahawa Imam al-Muhaddithin, Ibn Hajar al-Asqalani telah menjelaskan yang dasar hukum menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم adalah dari sunnah. (Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 198)

Beliau seterusnya mengatakan: “Kegiatan merayakan Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak bertentangan dengan Al-Qur’an, Sunnah, Athar mahupun Ijma’. Ini bermakna ia bukanlah perbuatan tercela seperti yang diungkapkan oleh Imam Syafi’e. Oleh itu, kegiatan itu merupakan perbuatan baik yang belum dikenal pada masa awal Islam. Kegiatan memberi makan yang terlepas dari perbuatan dosa adalah perbuatan yang baik. Dengan yang demikian, kegiatan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sulthon al-Ulama’, Syaikh Izz ad-Din bin Abd as-Salam.” (Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 199 – 200)

(Di dalam kitab yang sama, Imam Sayuthi mengatakan:) “Dan berkata Al-Hafiz Syams ad-Din bin Nasiruddin ad-Dimasyqi (833H) di dalam kitabnya berjudul Maurid ash-Shadi fi Maulid al-Hadi: Telah shahih benar riwayat yang mengatakan Abu Lahab diringankan dari azab neraka pada hari Isnin kerana telah memerdekakan hambanya yang bernama Thuwaibah kerana gembira dengan perkhabaran dari hambanya itu tentang kelahiran anak saudaranya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ”,

Kemudian dia (Al-Hafiz Syams ad-Din) bersyair:
إِذَا كَانَ هَذَا كَافِرًا جَاءَ ذَمُّهُ بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِي الْحَجِيمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِي يَوْمِ اْلإِثْنَيْنِ دَائِمًا يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُورِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّنُّ بِالْعَبْدِ الَّذِي طُولَ عُمْرُهُ بِأَحْمَدَ مَسْرُورًا وَمَاتَ مُوَحِّدًا ؟
Kalaulah orang kafir ini (Abu Lahab) memang sudah ada celaan padanya
Dibinasa kedua belah tangannya dan kekal dalam neraka Jahim di dalamnya
Namun datang keistimewaan kepadanya hari Isnin sentiasa
Akan diringankan azab kerana kegembiraannya dengan kelahiran Rasul mulia
Maka apakah pendapatmu ganjaran kepada seorang yang sepanjang umurnya
Sentiasa bergembira dengan Nabi Muhammad dan mati dalam tauhidnya yang sempurna?
(Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid di dalam Rasa’il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms. 206 – 207)

Mafhumnya, jika Abu Lahab yang bukan Islam pun mendapat keistimewaan sedemikian, maka orang Islam yang sentiasa bersyukur dan bergembira dengan rahmat kedatangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , akan lebih lagi mendapat keistimewaan yang sangat besar dari Allah .( Kisah ini diriwayatkan di dalam Shahih Al-Bukhari, Bab Nikah, dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari, diriwayatkan oleh Imam Abdur Razak ash-Shan’ani di dalam kitabnya Al-Mushannaf (7/478), Al-Hafiz Al-Baihaqi di dalam kitabnya Ad-Dala’il, Ibn Kathir di dalam kitabnya, Al-Bidayah, bab As-Sirah an-Nabawiyyah (1/224), Ibn Ad-Daiba asy-Syaibani di dalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (1/134), Imam Hafiz al-Baghawi di dalam kitabnya Syarh Sunnah (9/76), Ibn Hisyam dan As-Suhaili di dalam Ar-Raudh al-Unuf (5/192), Al-Amiri di dalam kitabnya Bahjah al-Mahafil (1/41) dan lain-lain)

Imam Al-Baihaqi berkata, bahawa walaupun hadith ini hadith Mursal, tetapi ia boleh diterima kerana telah dinaqalkan oleh Imam Al-Bukhari hadith ini di dalam kitabnya. Para ulama’ yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadith ini kerana perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khasha’is (keistimewaan), Fadha’il (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadith pada bab manaqib atau ahkam.

Imam As-Sakhawi (902H) berkata:
لَمْ يَفْعَلْهُ أَحَدٌ مِنَ السَّلَفِ فِي الْقُرُونِ الثَّلاَثَةِ، وَإِنَّمَا حُدِثَ بَعْدُ، ثُمَّ لاَ زَالَ أَهْلُ اْلإِسْلاَمِ مِن سَائِرِ اْلأَقْطَارِ وَالْمُدُنِ يَعْمَلُونَ الْمَوْلِدِ وَيَتَصَدَّقُونَ فِي لَيَالِيهِ بِأَنوَاعِ الصَّدَقَاتِ وَيَعْتَنُونَ بِقِرَاءَةِ مَوْلِدِهِ الْكَرِيمِ، وَيَظْهَرُ عَلَيْهِمْ مِن بَرَكَاتِهِ كُلَّ فَضْلٍ عَمِيمٍ.
“Tidak pernah dilakukannya seorang dari golongan Salaf pada kurun ketiga. Ia hanyalah baru dibuat selepasnya. Kemudian orang Islam dari seluruh kampung dan kota sentiasa menyambut Maulid. Mereka bersedekah pada malam-malam Maulid dengan pelbagai sedekah dan mengambil berkat dengan pembacaan kisah kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia. Dan terzahirlah ke atas mereka keberkatan Junjungan Mulia صلى الله عليه وآله وسلم dengan kelebihan yang meliputi.” (As-Sirah al-Halabiyyah, Ali bin Burhan ad-Din al-Halabi, 1/83-84)

Di dalam kitab Al-Madkhal disebutkan:
فَكَانَ يَجِبُ أَن نَزْدَادَ يَوْمَ اْلإِثْنَيْنِ الثَّانِي عَشَرَ فِي رَبِيعِ اْلأَوَّلِ مِنَ الْعِبَادَاتِ وَالْخَيْرِ شُكْرًا لِلْمَوْلَى عَلَى مَا أولاَنَا مِنْ هَذِهِ النِّعَمِ الْعَظِيمَةِ وَأَعْظَمُهَا مِيلاَدُ الْمُصْطَفَى.
“Maka adalah wajiblah kita mempertingkatkan ibadah-ibadah dan kebaikan pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan nikmat yang besar kepada kita dan sebesar-besar nikmat itu ialah kelahiran Al-Musthofa صلى الله عليه وآله وسلم.” (Al-Madkhal, 1/3610

Antara cara membesarkan kedudukan Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ialah seperti yang disebutkan di dalam kitab Ad-Durar as-Saniyah:
وَمِن تَعْظِيمِهِ اَلْفَرْحُ بِلَيْلَةِ وِلاَدَتِهِ وَقِرَاءَةُ الْمَوْلِدِ.
“Dan antara cara membesarkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ialah bergembira pada malam kelahirannya صلى الله عليه وآله وسلم dan dengan membaca kisah kelahirannya صلى الله عليه وآله وسلم.” (Ad-Durar as-Saniah, ms. 190)

Imam Muhammad Abd al-Baqi az-Zarqani (Beliau ialah Al-Allamah Muhammad bin Abd al-Baqi bin Yusuf az-Zarqani al-Mishri, penutup kepada sekalian muhaddithin di Mesir. Meninggal pada tahun 1099H) menyebutkan:
إِنَّ اتِّخَاذَ الْوَلِيمَةِ وَإِطْعَامَ الطَّعَامِ مُسْتَحَبٌّ فِي كُلِّ وَقْتٍ، فَكَيْفَ إِذَا انضَمَّ إِلَى ذَلِكَ الْفَرْحِ وَالسُّرُورِ بِظُهُورِ نُورِ النَّبِي فِي هَذَا الشَّهْرِ الشَّرِيفِ، وَلاَ يَلْزَمُ مِن كَوْنِهِ بِدْعَةً كَوْنُهُ مَكْرُوهًا، فَكَمْ مِن بِدْعَةٍ مُسْتَحَبَّةٍ بَلْ قَدْ تَكُونُ وَاجِبَةً.
“Sesungguhnya mengadakan keraian dan memberi makanan adalah sunat pada setiap waktu. Alangkah eloknya jika dikaitkan kesukaan dan kegembiraan itu dengan lahirnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang bercahaya pada bulan yang mulia ini. Dan tidaklah dilazimkan dari keadaannya perkara baru yang makruh, maka berapa banyak dari bid’ah yang sunat kadang-kadang menjadi wajib?” (Syarh Al-Mawahib al-Ladunniyyah, Az-Zarqani)

Di dalam Al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibn Hajar al-Haitami menulis:
أَصْلُ عَمَلِ الْمَوْلِدِ بِدْعَةٌ لَمْ تُنقَلْ عَنْ أَحَدٍ مِنَ السَّلَفِ الصَّالِحِ مِنَ الْقُرُونِ الثَّلاَثَةِ، وَلَكِنَّهَا مَعَ ذَلِكَ قَدِ اشْتَمَلَتْ عَلَى مَحَاسِنَ وَضِدِّهَا فَمَن تَحَرَّى فِي عَمَلِهَا الْمَحَاسِنَ وَجَنَّبَ ضِدَّهَا كَانَ بِدْعَةً حَسَنَةً، وَإِلاَّ فَلاَ، وَقَدْ ظَهَرَ لِي تَخْرِيجُهَا عَلىَ ثَابِتٍ فِي الصَّحِيحَيْنِ مِنْ أَنَّ النَّبيَّ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ يَصُومُونَ يَوْمَ عَاشُورَاءِ، فَسَأَلَهُمْ فَقَالُوا: هُوَ يَوْمٌ أَغْرَقَ اللهُ فِيهِ فِرْعَوْنَ وَنَجَى مُوسَى فَنَحْنُ نَصُومُهُ شُكْرًا لِلّهِ تَعَالَى، فَيُسْتَفَادُ مِنْهُ الشُّكْرُ لِلّهِ عَلَى مَا مِن بِهِ فِي يَوْمٍ مُعَيَّنٍ مِنْ إِسْدَاءِ نِعْمَةٍ أَوْ دَفْعِ نِقْمَةٍ، وَيُعَادُ ذَلِكَ فِي نَظِيرِ ذَلِكَ الْيَوْمِ مِن كُلِّ سَنَةٍ، وَالشُّكْرُ لِلّهِ يَحْصُلُ بِأَنوَاعِ الْعِبَادَةِ كَالسُّجُودِ وَالصِّيَامِ وَالصَّدَقَةِ وَالتِّلاَوَةِ، وَأَيُّ نِعْمَةٍ أَعْظَمُ مِنَ النِّعْمَةِ بِبُرُوزِ هَذَا النَّبِيِّ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، وَعَلَى هَذَا فَيَنبَغِي أَن يَقْتَصِرَ فِيهِ عَلَى مَا يُفْهَمُ الشُّكْرُ لِلّهِ تَعَالَى مِنَ التِّلاَوَةِ وَاْلإِطْعَامِ وَإِنشَادِ الشَّيْءِ مِنَ الْمَدَائِحَ النَّبَوِيَّةِ الْمُحَرَّكَةِ لِلْقُلُوبِ إِلَى فِعْلِ الْخَيْرِ وَالْعَمَلِ لِلآخِرَةِ، وَأَمَّا مَا يَتَّبعُ ذَلِكَ مِنَ السِّمَاعِ وَاللَّهْوِ وَغَيْرِ ذَلِكَ فَيَنبَغِي أَن يُقَالَ: مَا كَانَ مِن ذَلِكَ مُبَاحًا بِحَيْثُ يَقْتَضِي السُّرُورُ بِذَلِكَ الْيَوْمِ لاَ بَأْسَ بِإلْحَاقِهِ بِهِ، وَمَا كَانَ حَرَامًا أَوْ مَكْرُوهًا فَيُمْنَعُ، وَكَذَا مَا كَانَ خِلاَفَ اْلأَوْلَى.
“Asal amalan menyambut Maulid adalah perkara baru yang tidak diambil dari seorang pun di kalangan Salafus Soleh dari kurun yang ketiga. Akan tetapi, ia mengandungi kebaikan dan tidak menyalahinya. Maka sesiapa yang meluaskan dirinya beramal segala kebaikan dan menjauhi yang dilarang, adalah ia Bid’ah Hasanah. Jika tidak, bukanlah ia Bid’ah Hasanah. Dan sesungguhnya telah zahir kepadaku dalam mentakhrij hadith tentangnya atas apa yang thabit di dalam Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim dari sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم datang ke Madinah, lalu mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharram). Nabi صلى الله عليه وآله وسلم lalu bertanya kepada mereka tentang perkara tersebut. Mereka menjawab: Ia adalah hari di mana Allah menenggelamkan padanya Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Lalu kami berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Maka apa yang boleh diambil faedah daripada perkara ini ialah kesyukuran kepada Allah dilakukan pada hari tertentu kerana mensyukuri nikmat atau tertolaknya bala. Dan diulangi perkara tersebut kerana perkara itu pada setiap tahun. Dan berterima kasih kepada Allah boleh juga dengan mempelbagaikan ibadah seperti sujud, puasa, sedekah, membaca Al-Qur’an. Dan apakah nikmat yang paling besar pada hari itu dari nikmat-nikmat lain selain dari lahirnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ini, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang membawa rahmat? Atas dasar inilah sewajarnyalah untuk memfokuskan pada hari itu dengan kefahaman kesyukuran kepada Allah dengan membaca Al-Qur’an, memberi makan, melantunkan sesuatu dari puji-pujian ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang boleh menggerakkan hati untuk berbuat kebaikan dan beramal untuk akhirat. Dan adapun yang dibuat ketika itu dengan pendengaran dan perkara sia-sia dan selain itu, maka sewajarnya dikatakan: Apa-apa yang ada dalamnya perkara Mubah (harus) di mana kegembiraan pada hari itu tidak mengapa kerana keterikatannya dengan hari Maulid. Dan apa-apa yang haram atau makruh, maka dilarang dan demikian juga apa-apa yang menyalahi khilaf yang utama.” (Al-Fatawa al-Kubra, 1/196)

Di dalam Fatawa Syar’iyyah disebutkan:
إِنَّ إِحْيَاءَ لَيْلَةِ الْمَوْلِدِ الشَّرِيفِ، وَلَيَالِي هَذَا الشَّهْرِ الْكَرِيمِ الَّذِي أَشْرَقَ فِيهِ النُّورُ الْمُحَمَّدِيُّ إِنَّمَا يَكُونُ بِذِكْرِ اللهِ تعالى وَشُكْرِهِ لِمَا أَنْعَمَ بِهِ عَلَى هَذِهِ اْلأُمَّةِ مِن ظُهُورِ خَيْرِ الْخَلْقِ إِلَى عَالَمِ الْوُجُودِ، وَلاَ يَكُونُ ذَلِكَ إِلاَّ فِي أَدَبٍ وَخُشُوعٍ وَبُعْدٍ عَنِ الْمُحَرَّمَاتِ وَالْبِدَعِ الْمُنكَرَاتِ، وَمِن مَظَاهِرِ الشُّكْرِ عَلَى حُبِّهِ مُوَاسَاةُ الْمُحْتَاجِينَ بِمَا يُخَفِّفُ ضَائِقَتِهِمْ وَصِلَةُ اْلأَرْحَامِ، وَاْلإِحْيَاءُ بِهَذِهِ الطَّرِيقَةِ وَإِن لَّم يَكُن مَأْثُورًا فِي عَهْدِهِ وَلاَ فِي عَهْدِ السَّلَفِ الصَّالِحِ إِلاَّ أَنَّهُ لاَ بَأْسَ بِهِ وَسُنَّةٌ حَسَنَةٌ.
“Sesungguhnya menghidupkan malam Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia, dan malam-malam pada bulan yang mulia yang telah terbit padanya cahaya Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم hanyalah dengan tujuan mengingati Allah dan bersyukur kepadaNya kerana Dia telah memberi nikmat ke atas umat ini dengan kelahiran sebaik-baik makhluk ke alam wujud ini. Tidaklah akan dapat kelebihan padanya melainkan menyambut dengan adab dan khusyu’ serta menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang diharamkan dan bid’ah yang mungkar. Dan termasuk dalam tanda kesyukuran atas kecintaan padanya ialah membantu orang yang memerlukan dengan meringankan kesempitan mereka dan menyambung silaturrahim. Dan menghidupkannya dengan cara sebegini, walaupun tidak ada pada zaman Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , dan tidak pula pada masa Salafus Soleh, akan tetapi ia sesungguhnya tidak mengapa dan ia adalah sunah yang baik.” (Fatawa Syar’iyyah, 1/131)

وَإِكْرَامًا لِهَذَا الْمَوْلِدِ الْكَرِيم ِ ، فَإِنَّهُ يَحِقُّ لَنَا أَن نَظْهَرَ مَعَالِمَ الْفَرْحِ وَاْلإِبْتِهَاجِ بِهَذِهِ الذِّكْرَى الْحَبِيبَةِ لِقُلُوبِنَا كُلَّ عَامٍ، وَذَلِكَ بِاْلإِحْتِفَالِ بِهَا مِن وَقْتِهَا...
“Dan memuliakan kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia ini, maka sesungguhnya menjadi hak (tanggungjawab) kepada kita untuk menzahirkan tanda-tanda kegembiraan dan kesukaan dengan ingatan yang disukai ini ke dalam hati-hati kita pada setiap tahun dengan cara menyambutnya ketika sampai waktunya.” (Ala Ma’idah al-Fikr al-Islami, ms. 295)


0 komen:

Related Posts with Thumbnails