Rabu, 1 April 2009

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 46 – 48

Penyakit Keempatpuluh Enam : Membazirkan masa dengan urusan duniawi yang tidak berfaedah.

Rawatannya: Ialah hendaklah diketahui bahawa masa adalah modal yang paling berharga dalam hidup seseorang. Oleh itu kerja yang paling bernilai dalam mengisi masa itu ialah dhikrullah, serta istiqamah mentaati perintah Allah Ta’ala dan keikhlasan yang lahir dari lubuk hati. Hal ini dinyatakan oleh Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dalam hadits:

من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه

Maksudnya: Antara kebaikan untuk agama seseorang itu ialah meninggalkan pekerjaan yang tidak bermanfaat (yang sia-sia). [Hadits riwayat Imam at-Tirmidhi, Ibn Majah dan Imam Malik dalam al-Muwattho’
]


Hassan al-Basri رحمه الله تعالى berkata: “Berusahalah bersungguh-sungguh membentuk jiwamu, jika tidak ia akan melencongkan kamu.”


Penyakit Keempatpuluh Tujuh: Marah.

Rawatannya: Ialah hendaklah melazimi diri dengan sifat redha dengan taqdir Allah Ta’ala. Marah ialah lontaran daripada syaitan. Pada suatu ketika seorang lelaki datang menemui Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Nasihatilah aku!” Jawab Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم:

لا تغضب

Maksudnya: “Jangan marah.” [Hadits riwayat al-Bukhari dan at-Tirmidhi]


Hal ini adalah kerana sifat marah itu akan meletakkan seseorang hamba Allah Ta’ala pada jurang kebinasaan apabila tidak dipelihara oleh kekuatan tegahan daripada Allah Ta’ala di dalam hati.


Penyakit Keempatpuluh Lapan : Berbohong.

Rawatannya: Ialah jangan mudah mengambil kira keredhaan atau kemarahan manusia. Hal ini adalah kerana perangai suka berbohong itu biasanya lahir apabila seseorang ingin mendapatkan keredhaan manusia, mengambil hati atau hendak mendapatkan kemegahan daripada mereka. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم:

الصدق يهدي إلى البر والكذب يهدي إلى الفجور والفجور يهدي إلى النار

Maksudnya: “Sifat benar itu akan memimpin kepada kebaikan, sifat berbohong itu mambawa kepada perbuatan mendurhaka, sedangkan sifat mendurhaka itu pula akan mencampakkan manusia kedalam neraka.” [Hadits riwayat al-Bukhari dalam bab ‘kitab al-Adab”, al-Tirmidhi dalam kitab al-Bir, al-Muwattho’ dalam bab al-Khuluq, Ibn Hanbal 2/175]




0 komen:

Related Posts with Thumbnails