Selasa, 29 Januari 2008

Catatan Perjalanan Ke Jakarta - Bogor Menghadiri Program Bersama Habib Umar - 2

Oh ya aku terlupa khabarkan … sebelum kami berangkat ke Masjid al-Munawar, kami mengambil kesempatan menziarahi pusara al-Habib Novel (Naufal) bin Salim bin Ahmad bin Jindan bin Syaikh Abu Bakar bin Salim.


Sedikit Memgenai Habib Naufal (gambar bawah sebelah kanan) dan Ayahandanya Habib Salim
Habib Novel (Naufal) bin Salim bin Ahmad bin Jindan adalah ayahanda kepada Habib Jindan dan Habib Ahmad. Beliau kembali ke rahmatuLlah pada jam 5.00 petang (waktu Indonesia) pada hari Jum’at 25 Rabiulakhir 1426H bersamaan 3 Jun 2005, pada usia 64 tahun. Beliau adalah seorang ulama dan mubaligh yang tersohor di Jakarta. Beliau merupakan murid kepada al-Habib Sayyid ‘Alwi al-Maliki dan Sayyid Amin al-Kutbi semasa menuntut di Makkah.

Beliau merupakan anakanda kepada Habib Salim bin Ahmad bin Jindan. Habib Salim adalah merupakan seorang ulama habaib terkenal. Habib Salim hidup sezaman dengan Habib Ali bin Abdurrahman al-Habsyi Kwitang, Habib Ali bin Hussin al-Attas Bungur. Bahkan mereka ibarat ulama habaib 3 serangkai (gambar bawah sebelah kiri. Dari kanan Habib Salim Jindan, Habib Ali Kwitang). Boleh dikatakan majoriti ulama dan habaib di Jakarta berguru kepada mereka, terutama dengan Habib Salim.

Antara keistimewaan Habib Salim adalah, beliau mempunyai koleksi kitab sekitar 15,000 buah termasuk kitab-kitab langka (yang susah didapati). Dan beliau sendiri menulis sekitar 100 buah kitab antara lain mengenai hadits dan tarikh. Habib Salim yang dilahirkan di Surabaya pada 18 Rejab 1324 (7 September 1906M) dan wafat di Jakarta pada 16 Rabiulawal 1389 (1 Jun 1969).

Antara guru-guru kepada Habib Salim adalah Habib Abdullah bin Muhsin al-Attas (Habib Empang, Bogor), Habib Muhammad bin Ahmad al-Mihdhar (Bondowoso) [gambar sebelah], Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi (Surabaya), Habib Abubakar bin Muhammad as-Seggaf (Gresik), Habib ‘alwi bin Abdullah Syahab (Tarim) dan ramai lagi. Dan kalau diperhatikan guru-guru beliau bukan sahaja terkenal dengan kealiman bahkan mereka bertaraf wali Allah. Allahu Allah ….

Sedikit Pengalaman di Masjid al-Munawar
Sepertimana yang aku katakan didalam penulisan sebelumnya, kehadiran di majlis ini amatlah luar biasa. Bukan sekadar itu, para hadirinnya sangat menghormati para habaib dan tetamu yang datang. Walaupun terpaksa berebut-rebut untuk bersalam dengan Habib Umar tetapi mereka berdisplin. Mereka yang tidak mendapat kesempatan untuk bersalaman, tidaklah pula bersesak-sesak merempuh untuk mengambil peluang bersalaman. Selain itu mereka juga akan mendatangi para habaib dan para tetamu meminta untuk didoakan bahkan ada dari kalangan mereka membawa anak-anak kecil untuk didoakan. Tidak kurang juga yang membawa air meminta supaya didokan. Mereka ingin mengambil berkat para habaib, ulama dan tetamu mereka. Dan kami juga tidak terlepas dari didatangi mereka. Pengalaman ini sungguh mencuit hati kecilku …….

(Inilah tempat penginapan kami sewaktu berlansungnya multaqo)



(Pemandangan ditempat penginapan kami. Kelihatan al-Fadhil Shaikh Azhar Hashim at-Tarimi dan Tuan Haji Ya'akub sedang berbual dengan salah seorang santri dari Ma'had az-Zein yang ditugaskan untuk berkhidmat pada kami)

Antara intisari ceramah Habib Umar adalah:-
Menceritakan mengenai hijrah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, menceritakan kelebihan Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه, menyampaikan nasihat mengenai dengan bersuhbah dengan orang-orang yang baik yang berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم , pengertian al-Hurriyah, menasihatkan umat untuk melakukan beberapa perkara yang mana perkara tersebut dapat mengangkat atau menghindarkan dari bala bencana, antaranya memakmurkan masjid dengan mengerjakan sholat berjemaah dimasjid, berdhikir, menghubungkan silaturrahmi dan lain-lain, mengajak para hadirin melihat dan mensyukuri pelbagai ni’mat yang telah Allah kurniakan, menceritakan bagaimana kasihnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada umatnya walaupun baginda disakiti, dilontar dengan batu, ditaburkan duri, diletakkan dibelakang baginda dengan kotoran dari binatang, namun baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah mendoakan kebinasaan kepada umatnya, dan banyak lagi isi ceramah yang disampaikan. Seterusnya beliau mendoakan semoga Allah mengangkat bala’ daripada diturunkan kepada umat Islam Indonesia. Dengarlah disini ceramah dari Habib Umar [Multimedia Terbaru: Ceramah Habib. Umar bin Hafidz di al-Munawar, 21-01-2008. ……] Sungguh mengharukan apabila Habib Umar menceritakan kisah da’wah Rasulullah صلى الله عليه وسلم ke Thaif … sewaktu mendengarnya aku tidak dapat menahan airmataku. Sesungguhnya ni’mat Islam dan Iman yang kita kecapi sekarang adalah dari hasil pengorbanan, titisan darah dan titik peluh baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersama para shahabat baginda. Maka marilah kita mensyukurinya …… Ikutilah ajarannya, banyakkanlah shalawat kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Allahu Allah.

(Suasana bahagian dalam tempat penginapan kami. Dari kiri, al-Habib Sayyid Abdullah al-Junaidi [sedang bersandar], al-Fadhil Shaikh Fahmi Zamzam, Tuan Haji Ya'akub, al-Habib Sayyid Hussin al-Junaid, Tuan Haji Rashid dan Abu Zahrah [aku lah tuuu])

Berangkat Ke Puncak Bogor
Disebabkan kesesakan lalu-lintas, kami agak lewat bergerak ke Puncak, Bogor. Kami sampai disana sudah lewat malam. Alhamdulillah disambut oleh santri dari Ma’had az-Zein (pengasasnya guruku, Syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari) yang menguruskan urusan penginapan. Resort yang kami diami eksklusif sekali. MasyaAllah. Puncak memang terkenal sebagai tempat peranginan untuk bersantai-santai. Cuaca dan suasananya seperti di Genting atau Cameron Highland. Dingin sekali. Hinggakan rumah yang kami menginap tidak diperlukan kipas angin ataupun air-cond. Sungguh nyaman. Di Puncak, Bogor, kami semua ditempatkan didalam satu rumah. Alhamdulillah.

Program bermula selepas shubuh dengan kuliah oleh Habib Umar. Rombongan kami ramai yang tidak hadir kecuali Habib Abdullah al-Junaid. Mungkin keletihan dan kami juga tidak dimaklumkan dengan program berkenaan. Lagi pula masjidnya agak jauh dari tempat penginapan. Sungguh kerdil sekali aku disini kerana semua peserta yang menghadiri multaqo ini adalah daripada kalangan para habaib dan ulama’ dari seluruh pelusok Indonesia. InsyaAllah akan aku sambung lagi mengenai multaqo yang diadakan … insyaAllah ….

0 komen:

Related Posts with Thumbnails