Isnin, 31 Disember 2007

Kenali Ulama' Kita - Siri 3 (Ulama Kedah)

Muhammad Sa'id Umar Kedah - Pengarang Tafsir Nur al-Ihsan
[Untuk makluman sebahagian besar daripada tulisan ini adalah diambil dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Abdullah di dalam Utusan Malaysia pada tarikh 13 Disember 2004 dan juga daripada laman web keluarga Tuan Guru Haji Muhammad Sa'id. Sekian. – abu zahrah - ]

Tafsir Nur al-Ihsan adalah merupakan sebuah kitab tafsir berbahasa melayu yang tidak asing di Malaysia. Terjemahan dan tafsir al-Quran klasik yang lengkap tiga puluh juzuk yang tersebar menggunakan media cetak hanya dua buah saja, iaitu Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri (abad ke 16-17 M), dan yang sebuah lagi ialah Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Umar yang berasal dari Kedah. Kedua-duanya tidak asing lagi di Malaysia namun Tafsir Nur al-Ihsan adalah merupakan kitab yang sering digunakan sebagai teks pengajian tafsir di masjid-masjid berbanding dengan Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf Fanshuri. Bahkan bahkan Tafsir Nurul Ihsan ini juga digunakan sebagai teks pengajian yang di Fathani dan Singapura. Maka adalah tidak wajar kalau kita membaca atau mengaji kitab tersebut tanpa mengenali diri peribadi pengarangnya.

Lahir

Pengarang kitab tafsir Nur al-Ihsan ini adalah Haji Muhammad Sa’id bin Umar bin Aminuddin bin Abdul Karim. Tuan Guru Haji Muhammad di lahirkan pada tahun 1270H bersamaan dengan 1854M di kampung Kuar, Jerlun, Kedah Darul Aman . Beliau adalah anak pertama dari dua orang adik-beradik. Ayahnya di gelar sebagai Umar Khatib kerana ketokohan beliau dalam memberi ucapan dan menyampaikan khutbah dikhalayak ramai.

Pendidikan

Mengenai pendidikannya pula ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Fathani, dan berkesempat belajar kepada pengasasnya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama), tetapi yang lebih banyak beliau belajar ialah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2). Beliau juga dikatakan pernah belajar kepada Tok Wan Din atau nama sebenarnya Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja.

Memperhatikan riwayat ini berertilah Haji Muhammad Sa'id bin Umar adalah seangkatan dengan Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih terkenal sebutan di Kedah dengan Cik Doi @ Cik Dol [Pengasas pondok Gajah Mati Pendang. Ayah kepada Tuan Guru Haji Husein Cik Doi, Pondok Gur Cempedak dan merupakan mertua kepada Tuan Guru Wan Ibrahim atau Pak Chu Him Gajah Mati], Tok Kelaba atau Tuan Guru Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani [1280H/1863M - l367H/1948M), Dato’ Abdullah Musa [1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi. Datuk Abdullah bin Musa pernah menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor dari tahun 1889-1907 M], dan ramai lagi. Selain dari Fathani, Tuan Guru Haji Muhammad Sa'id bin Umar juga melanjutkan pendidikannya di Mekah seperti ulama-ulama lainnya.

Perjalanan Hidupnya

Walaupun berasal dari Kedah, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id telah menjelajah beberapa tempat semasa hayatnya. Beliau berpindah ke Changkat, Krian, Perak dan kemudiannya ke Sungai Acheh sehingga tahun 1312H.

Semasa di Changkat beliau telah membuka pondok dan mengajar di sana. Ketika di Changkat, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id berkahwin dengan isteri pertama beliau bernama Fatimah dan hasil perkongsian itu menghasilkan tiga orang anak iaitu: Haji Mahmud, Haji Muhammad dan Haji Ahmad. Isterinya meninggal dunia dalam usia yang muda.

Kemudian Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id berkahwin pula dengan isteri keduanya Hajjah Rahmah dari Pulau Mertajam dan mendapat empat orang anak iaitu Abdul Hamid, Haji Umar, Sofiah dan Fatimah.
Kemudian, beliau berhijrah ke Kampung Kedah disebab serangan Siam keatas negeri Kedah. Ketika di Kampung Kedah beliau mengajar dipondok dan mengerjakan sawah. Disini juga beliau berkahwin pula dengan isteri yang ketiganya Hajjah Hamidah dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak iaitu Haji Mustaffa, Haji Kassim, Cik Hassan, Haji Muhammad Akib, Haji Hussain, Hajjah Asma, Hajjah Mariam, Siti Hajar, Haji Mansor dan Haji Nasir.

Pada suatu hari ketika beliau mengerjakan sawah, perwakilan dari Tengku Mahmud [gambar sebelah] meminta supaya beliau pulang semula ke Kedah. Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id kemudiannya beliau pulang ke Kedah dan diberi sebidang tanah di Kanchut. Beliau diberi jawatan Guru di Raja – mengajar anak anak raja. Selepas itu beliau diberi jawatan sebagai Qadhi di Jitra. Beliau giat menyebarkan risalah Islam dan mengajar di surau dan masjid masjid.

Penulisan

Hanya dua judul karangan Haji Muhammad Sa'id bin Umar Kedah yang telah diketahui.

Judul yang pertama ialah Fatawal Qad-hi fi Ahkam an-Nikah. Judul ini bermaksud Fatwa-Fatwa Kerajaan Kedah Tentang Hukum-Hukum Nikah Kahwin, diselesaikan di Negeri Kedah Darul Aman, hari Khamis, 25 Syaaban 1320 H (bersamaan 27 November 1902M), Kandungannya membicarakan pelbagai aspek tentang nikah kahwin.

Dinyatakan pada muqaddimahnya,
“Ada pun kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun dua puluh, kemudian daripada seribu dan tiga ratus daripada Hijrah (1320 H) telah bertitah akan hamba oleh Sultan yang mu'azzam dan haqqan, yang mukarram, yang me[ng]hamburkan panji-panji keadilan atas segala rakyatnya, iaitu Maulana Sultan Abdul Hamid Halim Syah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Yang Maha Mulia, yang khalifah ia pada melakukan hukum Tuhannya Yang Mannan pada Negeri Kedah Darul Aman.

Qahirah

Telah dikekal oleh Allah Subhanahuwa Ta’ala kiranya akan daulatnya yang qahirah. Dan [di]tinggikan kiranya akan martabatnya di dalam dunia dan akhirat. Dan dipeliharakan kiranya daripada segala seterunya zahir dan batin. Dan dipalingkan kiranya daripadanya kejahatan tiap-tiap yang mempunyai hasad pada sekarang dan ke hadapan ...

Pada akhir karangan dinyatakan,
“Maka telah selesailah barang yang dikashad oleh faqir ilallahil qarib Muhammad Sa'id bin Umar Khatib daripada mentaswidkan Fatawa Kedah pada menyatakan masalah nikah, dan talaq, dan raj'ah, dan diyat, dan hudud, dan qadha, atas jalan ikhtishar pada hari Khamis, dua puluh lima Syaaban di dalam negeri Kedah Darul Aman tahun seribu tiga ratus dua puluh. Serta faqir hantar kepada Tuan Haji Ahmad Hakim bin Tuan Haji Muhammad Zain, dan Tuan Haji Idris bin Tuan Jamal [Tok Syeikh Jarum, Derga], dan Tuan Haji Muhammad Amin bin Tuan Ismail, Anak Bukit, pintak ipa tashhihkan. Maka sudahlah ipa tashhih ... `` Dicetak oleh Mathba' tempat cetak Kerajaan Kedah, Alor Setar, pada 7 Syaban 1348 H.

Judul kedua adalah Tafsir Nur al-Ihsan merupakan terjemah dan tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang lengkap tiga puluh juzuk, ia merupakan yang kedua sesudah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi. Penulisan dilakukan mulai tahun 1344H/1925/6M dan selesai pada 1 Rabiulakhir 1346H/27 September 1927M. Terdiri daripada empat juzuk.

Juzuk yang pertama, mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah. Tebal 296 halaman. Juzuk yang kedua, mulai surah al-An'am hingga surah al-Isra'. Tebal 429 halaman. Juzuk yang ketiga, mulai surah al-Kahfi hingga surah az-Zumar. Tebalnya 432 halaman.

Pada juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345H. Juzuk yang keempat, mulai surah al-Mu'min hingga surah an-Nas. Diselesaikan 1 Rabiulakhir 1346H. Tebal 387 halaman.

Pada akhir Tafsir Nur al-Ihsan, Haji Muhammad Sa'id bin Umar menyatakan, “Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan(1), pada pagi hari Arba', sehari bulan Rabi'uts Tsani, tahun seribu tiga ratus empat puluh enam, zaman Hadhrat Maulana Al-Mu'azzam Sultan `Abdul Hamid Halim Syah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Negeri Kedah Darul Aman, dan hadhra najal (anak laki-laki, pen:)nya Maulana Al-Mu'azzam Tunku Ibrahim Raihin Banghasa, dan hadhrat syaqiq (saudara laki-laki, pen:) nya Maulana Tunku Mahmud Wais Presiden. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.

Maka barang yang didapati berbetulan itu, maka itu daripada Allah kurnia-Nya. Dan yang khatha' (salah, pen:) atau silap qalam itu daripada hamba taqshirnya, diharap tolong perbetul kemudian daripada im'an an-nazhar. Mudah-mudahan dapat manfaat dan dapat ketahui kehendak Allah dalam al-Quran oleh ahli membaca daripada perempuan, dan kanak-kanak sekolah yang membawa jadi tauhid Allah yang melepas daripada kaum asyqiya' (orang-orang yang celaka, pen:) masuk kepada kaum su'ada' (orang-orang yang bahagia, pen:) yang dapat bahagia selama-lamanya ... ``

Dari kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa penterjemahan dan pentafsiran al-Quran yang dilakukan oleh Haji Muhammad Sa'id bin Umar ada kaitannya dengan pihak istana kerajaan Kedah Darul Aman ketika itu. Semua juzuk cetakan pertama Tafsir Nur al-Ihsan dicetak Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir 1349 H. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, guru agama Alor Setar, Kedah. Cetakan pertama dengan nafqah Haji Muhammad bin Muhammad Ali Rawa.

Kembali ke rahmatuLlah

Pada penghujung usianya, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id masih lagi berkhidmat sebagai qadhi. Ketika itu beliau mengidap penyakit lenguh sebelah badan dan untuk berubat beliau telah dibedah. Selepas itu beliau dibawa pulang kepangkuan isterinya Hajjah Rahmah [isteri kedua] di Jitra. Setelah beberapa hari berada di sana, beliau kembali ke Kanchut, bersama isterinya Hajjah Hamidah [isteri ketiga]. Pada hari Rabu, selepas Asar, 22 Zulkaedah 1350 bersamaan 9 Mac 1932 Haji Muhammad Sa’id kembali ke rahmatuLlah dan jenazahnya disemadikan di kawasan perkuburan di Masjid Alor Merah, Alor Setar. Mudah-mudahan Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id ...... al-Fatihah.

__________________________________________

Nota kaki:-

Yang dimaksudkan dengan al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan , al-Qadhi Syar'iyan ialah

al-Qad-hi Baladan, ialah negeri asalnya ialah Kedah.

asy-Syafi'ie Mazhaban, maksudnya bermazhabkan Mazhab Syafi'ie

an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, iaitu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah. Thariqat Naqsyabandiyah aliran ini dinamakan Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhhariyah. Mungkin juga beliau mengambil baiah thoriqat ini kepada Syeikh Wan Sulaiman, Syeikhul Islam Kedah berdasarkannya …. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.

al-Qadhi Syar'iyan, maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra.


0 komen:

Related Posts with Thumbnails