Rabu, 26 Disember 2007

al-Fanshuri kembali ……. (1)

Alhamdulillah … setelah sebulan lebih al-Fanshuri berehat, kini ia kembali untuk terus berkongsi maklumat dan pengalaman sekadar diizinkanNya. Ketiadaan al-Fanshuri selama 1 bulan adalah untuk menyertai Program Daurah Tafaqquh Fiddin bersama syaikhuna al-Fadhil Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafidzohullah. Insyaallah, al-Fanshuri akan berkongsi serba sedikit pengalaman semasa menyertai daurah tersebut.

Program daurah bermula pada 20hb November 2007 di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh, Perak dan berakhir pada 20hb Disember 2007 di Pondok Tuan Guru Hj Salleh Hj Musa, Sik, Kedah. Program ini dirasmikan oleh Shohibul Samahah Dato’ Seri Hj. Harunsani Hj. Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak pada 21hb November 2007. Disertai oleh penuntut ilmu dari Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Bogor, Indonesia (seramai 23 orang – mereka merupakan murid-murid Syaikh Nur di Ma’ahad az-Zein, Bogor)

Program daurah ini berlangsung dalam 3 fasa. Fasa pertama bertempat di INTIM, Ipoh, Perak, selama 2 minggu. Fasa kedua di Ma’ahad Tahfiz, Repek, Pasir Mas, Kelantan selama 1 minggu. Sepatutnya ianya diadakan di Madrasah ar-Rahmaniah @ Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, tetapi diubah pada saat akhir kerana al-Fadhil Tuan Guru gering dan dimasukkan ke hospital. Semoga Allah mengurniakan ke'afiatan kepada Tuan Guru. آمين Dan fasa ketiga di Madrasah ar-Rahmaniah @ Pondok Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa, Sik, Kedah.

Sepanjang daurah tersebut kami mengaji 7 buah kitab iaitu
  1. Makanatul Ilmi wal Ulama’ oleh Syaikh Muhammad Nuruddin. Sebuah kitab yang menghuraikan tentang kedudukan ilmu dan ulama serta adab-adab bagi penuntut ilmu. Sebuah kitab yang sangat baik untuk dipelajari terutamanya oleh para penuntut ilmu. Kitab ini dikhatamkan di INTIM. Alhamdulillah.
  2. Zubdatul Qawaidil Fiqhiyyah oleh Syaikh Muhammad Nuruddin. Sebuah kitab kecil yang membicarakan 40 qaedah-qaedah fiqh yang terpilih. Kitab ini juga dikhatamkan di INTIM. Alhamdulillah.
  3. Al-Yaaquutun Nafiis oleh as-Sayyid al-Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri Sebuah kitab fiqh yang terkenal yang ditulis oleh al-‘Allamah al-Faqih as-Sayyid Ahmad bin Umar bin Iwadh bin Umar bin Ahmad bin Umar bin Ahmad bin ‘ali bin Hussin bin Muhammad bin Ahmad bin Umar bin ‘Alawi asy-Syaathiri, seorang ulama ahlul bait dari Tarim, Hadralmaut, Yaman. Al-Fanshuri sebelum ini berpeluang mengaji dengan seorang ustaz kitab karangan Habib Ahmad bin Umar asy-Syathiri yang bertajuk Nailur-Raja’ bisyarhi Safiinah an-Najaati. Menurut Syaikhuna Muhammad Nuruddin beliau menerima sanad kitab al-Yaaqutun Nafis dari al-Habib Salim asy-Syathiri, dan Habib Salim menerima dari pengarang kitab tersebut, al-Habib Ahmad bin Umar asy-Syaathiri. Kitab al-Yaaquut tidak sempat tamat, sampai bab al-hawalah sahaja. InsyaAllah, semoga disambung dalam daurah yang akan datang.
  4. Risalah al-Mu’aawanah oleh al-‘Arifbillah Qutb ad-Da’wah wal Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. Sebuah kitab tasawuf yang sederhana tetapi padat dengan ilmu dan pengajaran. Kitab ini hampir habis dipelajari.
  5. Hasyiah asy-Syaikh Muhammad Syinwani ‘ala Mukhtasor Ibn Abi Jamrah Sebuah kitab hadits. Merupakan hadits-hadits pilihan dari Shahih al-Bukhari. Mengandungi 293 buah hadits. Alhamdulillah, habis dibaca.
  6. Bustanul ‘Ariffin oleh Imam Nawawi. Yang ni sedikit sahaja.
  7. Rasail Haamah wa Mabahits Qayyimah, yang dihimpun oleh Syaikh Muhamad Nuruddin. Kitab ini sangat menarik kerana didalamnya terhimpun risalah-risalah yang berkaitan masalah yang menjadi perbahasan/pertikaikan dengan golongan Wahabi. Kitab ini mempunyai 2 bab. Bab pertama terdapat 15 risalah yang ditulis oleh al-Hafidz al-Imam Jalaluddin as-Sayuthi dan al-‘allamah al-Faqih Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani. Manakala bab kedua pula mengumpulkan 25 risalah tulisan al-‘Allamah al-Hafidz al-Imam Jalaluddin as-Sayuthi, Syaikh Yusuf ad-Dijwi, al-Muhaddits asy-Syaikh al-Habib Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, asy-Syaikh al-‘Allamah Zahid al-Kautsari, asy-Syaikh al-‘Allamah Sirajuddin Ibn Mulaqqin dengan ta’liq oleh Syaikh Zakaria Bila. Sempat dibahaskan sekitar kuranglebih 10 risalah disepanjang daurah. Terdapat beberapa risalah yang telahpun diterjemahkan oleh pelajar-pelajar al-Azhar dan diterbitkan oleh Pustaka Darussalam berserta dengan vcd syarahannya oleh Shaikh Muhammad Nuruddin. Antara tajuk risalah yang diterjemahkan adalah:-
  • Zikir menggunakan tasbih bukan bid’ah oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi
  • Zikir nyaring dan beramai-ramai merupakan sunnah terpuji oleh Syaikh al-‘Allamah al-Faqih Ismail Utsman Zain al-Yamani
  • Misi ulama tasauf kearah beramal dengan syariat dan hakikat asya’irah oleh Sayyid Muhammad alawi al-Maliki al-Makki al-Hasani
  • Benarkan wali Allah wujud? Oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi
  • Sholat tarawikh, bilangan rakaat di sisi salafus sholeh oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi.
Alhamdulilah, Syaikh Nuruddin telah membimbing kami disepanjang perjalanan daurah ini dengan penuh semangat. Beliau dibantu oleh 2 orang murid beliau iaitu al-Fadhil Ustaz Aminuddin dari Kedah dan al-Fadhil Ustaz Ahmad Busyairi dari Jakarta. Mereka berdua adalah merupakan murid Syaikh Nuruddin semasa di Mesir.
Syaikh Nur sangat menekankan mengenai adab bagi penuntut ilmu. Boleh dikatakan didalam setiap kuliah beliau akan menegaskannya menegurnya terutamanya apabila terdapat peserta yang tidak mengikuti atau terlupa dalam mengamalkan adab-adab tersebut. Menurut beliau, walaupun kini puluhan ribu yang berpendidikan agama dilahirkan tetapi ternyata mereka tidak dapat menjadi qudwah kepada umat. Salah satu puncanya menurut beliau ialah mereka meninggalkan adab-adab ilmu dan adab-adab sebagai seorang penuntut ilmu.

Sessi pengajian kami bermula seawal selepas sholat shubuh. Dimulai dengan berzikir dan seterusnya pengajian kitab sehingga jam 7.30 pagi. Kemudian berhenti untuk sarapan. Kuliah seterusnya bermula jam 8.45 atau 9.00 pagi sehingga jam 12 atau 12.30 tengahari. Tidur qailullah seketika, kemudian sholat dhuhur, makan tengahari dan berehat sehingga waktu asar. Cuma dipenghujung daurah, diadakan juga kuliah selepas dhuhur sehingga lebih-kurang jam 3.00 petang. Selepas sholat asar, kami membaca hizb bahr dan diikuti pengajian. Jam 6.30 makan malam. Selepas maghrib, mengaji lagi sehingga jam 9.30 atau 10.00 malam. Ya … agak memenatkan, tetapi kemanisan ilmu membuat aku melupai kepenatan tersebut. Tambah-tambah lagi melihat Syaikh Nur yang begitu bersemangat dan bertenaga dalam menyampaikan ilmu. Tentu beliau lebih penat … membacakan isi kandungan kitab yang berbahasa ‘arab kemudian menterjemahkannya dan seterusnya mensyarahkannya …. sedangkan kami hanya mendengar dan membuat catatan …… Tu pun ada juga yang mengantuk sewaktu pengajian.

Sayangnya aku ngakk punya kamera untuk merakamkan suasana sepanjang daurah berlangsung … tapi takpa lah cerita mana yang patut. Bersambung …..

2 komen:

Tanpa Nama berkata...

salam ya pakcik,

yang di tunggu telah kembali...selamat kembali..semoga penulisan dan pengisian kali ini lebih bercahaya...

-alida-

al-fagir abu zahrah berkata...

Wa'alaikumussalam Warahmatullah

:)

Alida: Penulisan dan pengisian yang bercahaya datangnya dari mereka yang telah bercahaya hati dan sir mereka. Adapun pakcik ni masih berkarat, masih kabur ..... pakcik hanya sekadar menukilkan pendapat, tulisan, kata-kata mereka yang bercahaya hati dan sirr mereka. Semoga kitab semua dapat menumpang keberkatan dari cahaya ilmu, amal dan sirr mereka. Doakan pakcik nooo .... Bila nak kenduri tuuu? :)

Related Posts with Thumbnails