Rabu, 12 September 2007

Selamat Berpuasa

InsyaAllah sebentar lagi Ramadhan akan tiba. Bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Dan blog ini juga berkemungkinan akan bercuti sepanjang Ramadhan. Maka sukalah kami yang teramat faqir lagi haqir ini mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT BERPUASA kepada pengunjung blog kami yang kerdil ini. Sebagai ole-ole kepada para pengunjung maka kami paparkan disini sedikit petikan daripada terjemahan kitab an-Nashoih ad-Diniah wal Washoya al-Imaniah yang ditulis oleh Quthubul Irsyad al-Habib Abdullah bin 'Alawi al-Haddad yang telah diringkaskan oleh guru kami asy-Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari.

Kedudukan Bulan Ramadhan

Ketahuilah, wahai saudara-saudaraku kaum Muslimin, semoga Allah Ta’ala melapangkan jalan yang mudah bagi kita dan menjauhkan kita dari jalan yang sukar, serta memberikan ampunan kepada kita di dunia dan akhirat; bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang tinggi darjatnya dan besar martabatnya di sisi Allah Ta’ala dan RasulNya. Ia juga menjadi penghulu bagi segala bulan. Pada bulan ini Allah memfardhukan puasa atas kaum Muslimin, dan dicatit sebagai kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah: al-Baqarah : 183)

Pada bulan Ramadhan pula Allah Ta’ala menurunkan kitab suciNya (al-Qur’an), dan dipilih di antara malam-malamnya suatu malam yang disebut Lailatul Qadr, dimana ia lebih utama dari seribu bulan, atau lebih dari 83 tahun.


Maka renungkanlah kadar ini, dan sematkan di dalam fikiran anda, malam apakah itu yang dipandang oleh Allah Ta’ala lebih baik dan lebih utama dari masa yang begitu panjang sekali. Firman Allah Ta’ala:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِىْ أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).” (Surah. al-Baqarah : 185)

Dari firman Allah Ta’ala ini kita tahu bahwa al-Qur’an itu telah diturunkan pada bulan Ramadhan, kemudian ia diturunkan sekali lagi pada malam Lailatul Qadar sebagai tanda keistimewaannya.
Al-Qur’an diturunkan dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Ia diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah, sesudah itu diturunkan pula oleh Jibril عليه السلام kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan perintah Allah Ta’ala satu persatu dalam jangkamasa 23 tahun.

Kelebihan Bulan Ramadhan

Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

رمضان إلى رمضان، والجمعة إلى الجمعة، والصلاة إلى الصلاة، مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر - حديث صحيح. رواه مسلم، وأحمد، والبيهقي عن أبي هريرة رضي الله عنه
“Bulan Ramadhan satu ke bulan ke bulan Ramadhan berikutnya, Jum’at satu ke Jum’at berikutnya, dan satu shalat ke shalat berikutnya menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, Muslim dan al-Baihaqi)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda mengenai bulan Ramadhan: “

قال صلى الله عليه السلام في شهر رمضان: هو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة - رواه ابن خزيمة ، والبيهقي عن سلمان الفرسي رضي الله عنه
Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan balasan kesabaran adalah syurga.” (Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Sabda baginda lagi:
أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، وأن الله تعالى ينظر في أول ليلة منه إلى المسلمين، ومن نظر إليه لم يعذبه، ويغفر لهم في آخر ليلة منه رواه ابن خزيمة، والبيهقي -
“Awalnya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, tengahnya adalah ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan. Sesungguhnya Allah Ta’ala memperhatikan kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan tersebut, dan siapa yang mendapat perhatian Allah Ta’ala nescaya ia tidak akan disiksaNya. Selanjutnya Dia mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan. (Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

قال جبريل لرسول الله – عليهما السلام -: " من أدرك رمضان فلم يغفر له أبعده الله ، قل : آمين ، قال رسو الله صلى الله عليه وسلم : آمين - الحديث رواه ابن حبان، والبيهقي، والحاكم، والطبراني

Jibril عليه السلام berkata kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tidak diampuni Allah Ta’ala nescaya ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Katakanlah amin!’ Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: ‘Amin.” (Hadits riwayat: Ibnu Hibban, Tabrani, Hakim dan Baihaqi)


Hal itu disebabkan pada bulan Ramadhan begitu mudahnya mendapatkan sebab-sebab maghfirah dibandingkan bulan-bulan lainnya. Kerana itu tiada seorangpun yang diharamkan memperoleh ampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak berpaling dari Allah Ta’ala dan sangat berat penentangannya. Oleh kerananya ia jauhkan dan diusir dari pintu Allah. Kita memohon perlindungan dan keselamatan dari kemurkaan Allah Ta’ala dan siksaNya serta segala bencanaNya.


Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

من صام رمضان وقامه إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه - حديث صحيح رواه الشيخان، وأبو داود ، والنسائي، وابن ماجه عن أبي هريرة رضي الله عنه
“Siapa berpuasa Ramadahan dan berjaga malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah dari Abu Hurairah رضي الله عنه )

Adab-adab Berpuasa

Setiap orang yang berpuasa mempunyai adab, tidaklah sempurna puasa itu tanpa adab.
Di antara adabnya yang terpenting adalah, memelihara lidah daripada berdusta, mencaci, mencampuri urusan orang lain mengekang mata dan telinga dari melihat atau mendengar sesuatu yang tidak halal, yang tiada sangkut paut dengan dirinya.

Selanjutnya hendaklah ia menahan perut dari makanan yang haram atau syubhat, terutama sekali ketika waktu berbuka puasa. Ia wajib berusaha mencari yang halal untuk berbuka puasa.
Sebahagian kaum salaf berkata: Jika anda berpuasa, perhatikanlah makanan yang anda makan untuk berbuka dan dimana anda berbuka. Hal ini merupakan anjuran kepada kita supaya berhati-hati dan mengambil berat terhadap makanan yang kita makan untuk berbuka. Meninggalkan maksiat hukumnya wajib untuk selama-lamanya bagi orang yang berpuasa dan tidak berpuasa. Hanya saja terhadap orang yang berpuasa lebih wajib memelihara diri, kerana ianya sangat dituntut dan dikuatkan.

Di antara adab puasa yang lain adalah hendaklah orang yang berpuasa itu tidak terlalu banyak tidur di waktu siang dan tidak terlalu banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia sederhana dalam kedua perkara tersebut, agar ia dapat merasakan pedihnya lapar dan dahaga, hingga dengan begitu jiwanya boleh terdidik, syahwatnya boleh berkurang dan hatinya akan bercahaya. Di situlah letak rahsia dan tujuan berpuasa yang sebenarnya. Selanjutnya hendaklah ia meninggalkan segala kemewahan dalam segala hal, memperbanyak makanan dan minuman yang memancing selera dan yang lazat-lazat, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini.


Di antara adabnya lagi, ialah hendaklah pada bulan Ramadhan tidak terlalu banyak melibatkan diri dalam urusan dunia, tetapi hendaklah ia menumpukan dirinya untuk beribadat kepada Allah sebanyak-banyaknya dan berzikir semampunya. Tidak mengusahakan sesuatu dari urusan dunia, melainkan yang perlu untuk dirinya dan orang-orang yang ada dalam tanggungannya, seperti anak-isteri dan sebagainya. Sebab bulan Ramadhan itu bila dibandingkan dengan bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan hari Jumaat atas hari-hari lainnya. Maka adalah wajar bagi setiap Mu’min mengkhususkan hari Jumaat dan bulan Ramadhan untuk mengumpulkan bekal akhiratnya.


Diantara yang sunat bagi orang yang berpuasa ialah menyegerakan berbuka puasa. Yang paling baik adalah dimulai dengan buah kurma. Jika tidak ada maka dengan air tawar. Nabi صلى الله عليه وسلم berbuka dahulu sebelum menunaikan shalat Maghrib. Baginda bersabda:
لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الفطر وأخروا السحور - متفق عليه
“Umatku tetap akan berada dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur.” (Hadits riwayat: Bukhari dan Muslim)

Dari hadits [diatas] maka jelas bahawa mengakhirkan makan sahur untuk orang berpuasa merupakan amalan yang sunat.

Orang yang berpuasa hendaklah membiasakan diri makan sedikit, tidak terlalu banyak makan, sehingga kesan puasa itu dapat ia rasakan, ia akan memperoleh rahsia dan tujuan berpuasa; iaitu mendidik nafsu dan melemahkan keinginannya. Kerana bahawasanya dengan berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota tubuh untuk beribadah.

Manakala perut yang kenyang merupakan punca segala kekerasan dan kelalaian hati, dan menimbulkan perasaan malas untuk beribadah. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

ما ملأ ابن آدم وعاء شرا من بطنه ، حسب ابن آدم لقيمات يقمن صلبه ، فإن كان لا محالة فثلث لطعامه ، وثلث لشرابه ، وثلث لنفسه - رواه الإمام أحمد، والترمذي، وابن ماجه، وابن سعد، والدارمي عن المقدم بن معدى كرب رضي الله عنه
Tidak ada suatu wadah yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya. Jika ini tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, at-Tirmidzi, dan yang lainnya)

Sebahagian ahli hikmah berkata: Jika perut kenyang, laparlah seluruh anggota tubuh. Dan jika perut lapar, kenyanglah seluruh anggota tubuh.
Diantara yang sangat dianjurkan adalah mengundang orang-orang yang berpuasa untuk berbuka berpuasa, sekalipun dengan beberapa butir kurma, ataupun dengan sedikit air minum.

Nabi صلى الله عليه وسلم telah bersabda :

من فطر صائما كان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء - رواه البيهقي، وابن خزيمة عن سلمان الفارسي رضي الله عنه
Siapa yang mengundang orang yang berpuasa untuk berbuka maka baginya pahala orang yang berpuasa itu, tidak dikurangi dari pahala itu sedikitpun.” (Hadits riwayat: al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

1 komen:

nurmuadz_umar berkata...

salam ya abu zahrah,

selamat berpuasa, semoga kita layak untuk mendapat rahmah dan kasih sayang Allah...

mohon izin copy article

yang haqir

Related Posts with Thumbnails