Khamis, 20 September 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 28 – 30

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 28, 29 dan 30)


Penyakit Keduapuluh Lapan : Meraikan kehendak nafsu yang cenderung kepada sifat dendam kesumat, permusuhan serta benci-membenci.

Rawatannya : Ialah memusuhi dan membenci sifat tersebut, disertai dengan sifat mengasihi dan menurut tuntutan agama dan merasa marah kepada sebarang perlakuan yang bercanggah dengan Islam.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:
أنه ما انتقم لنفسه قط إلاأن تنتهك محارم الله
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak akan berdendam kepada seseorang kerana menurut keinginan nafsunya. Perbuatan seperti ini bererti melanggar pengharaman Allah.


Penyakit Keduapuluh Sembilan : Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki lahiriyyah diri, supaya menarik perhatian manusia sedangkan ia lupa untuk memperbaiki bathinnya. Padahal tilikan Allah hanya pada yang bathin.

Rawatannya : Ialah dengan menyaqini sepenuhnya bahawa seorang hamba itu tidak akan dapat kemulian daripada orang lain melainkan sekadar sejauh mana ia meletakkan Allah didalam hatinya. Disamping itu ia juga hendaklah sentiasa sedar bahawa unsur yang bathin itu adalah asas penilaian Allah. Oleh itu ia lebih utama diperbaiki daripada yang zahir kerana lahiriah itu hanya tempat penilaian makhluq semata-mata.

Firman Allah Ta’ala:
….وَالاٌّرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً
ً
Maksudnya: “…… serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas)”. (Surah an-Nisa:1)

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

إن الله لا ينظرإلى صوركم ولا إلى أعمالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk tubuh kamu dan tidak juga amalan kamu tetapi Dia melihat hati-hati kamu.” [Muttafaqun ‘alaih, Abu Daud (Kitab Thalaq), al-Nasai (Kitab al-Thaharah), Ibn Majah (Kitab al-Zuhd)]



Penyakit Ketigapuluh: Memberi tumpuan yang keterlaluan kepada usaha mencari rezeki(1) walhal Allah telah menjamin terhadap masalah itu. Disamping itu ia sangat sedikit memberikan perhatian terhadap amal yang diwajibkan oleh Allah keatasnya yang mana amal tersebut tidak boleh dilakukan oleh orang lain untuknya.

Rawatannya : Ialah sentiasa memahami bahawa Allah lah yang menjadikannya serta Allah jualah yang menjamin rezekinya di dunia ini.

Firman Allah Ta’ala:

اللَّهُ الَّذِى خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ

Maksudnya: “ Allah jualah yang mencipta kamu, kemudian Dia yang memberikan rezeki kepada kamu …..”. (Surah ar-Rum:40)


Kita menyaqini bahawa Allah lah yang menjadikan kita tanpa ragu-ragu. Begitu jualah sepatutnya keyaqinan kita terhadap jaminan rezeki yang telah diberikan oleh Allah. Kata as-Sulami, bahawa Hatim al-Aasham(2) رحمه الله تعالى berkata, “Setiap pagi syaitan bertanya kepadaku tentang makanan, pakaian dan tempat tinggal. Lantas aku berkata, makananku ialah kematian, pakaianku pula ialah kain kapan dan tempat tinggalku ialah kubur”.

___________________________________

Notakaki

(1) Yakni keterlaluan mencari rezeki sehingga melalaikan seseorang daripada menunaikan perintah Allah. Didalam hikam Ibn ‘Athoillah ada disebutkan bahwa: Bersungguh-sungguh engkau pada barang yang telah diakui bagimu daripada rezeki dan taqsir (kurang atau cuai) engkau pada barang yang telah dituntut daripadamu daripada ibadat menunjukkan atas ketiadaan yaqinmu dan hapus mata hatimu daripadamu.


(2) Hatim bin al-Aasham ialah Abu Abdul Rahman Hatim bin ‘Unwan bin Yusuf. Terkenal dengan panggilan al-Aasham, tokoh sufi peringkat pertama. Beliau adalah diantara masyaikh Khurasan yang terawal. Beliau berasal dari Balakh, Afghanistan, bersahabat dengan Syaqiq al-Balkhi. Asalnya adalah bekas seorang hamba kepada Muthanna bin Yahya al-Muharibi. Hatim meninggal dunia disebuah kampung bernama ‘Wasyjard, berhampiran bandar Tirmiz pada tahun 237H. Dikatakan bahawa beliau mengambil sanad hadith daripada Anas bin Malik bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
صل صلاة الضحى فإنها صلاة الأبرار, وسلم إذا دخلت بيتك يكثر خير بيتك
Maksudnya: Dirikanlah solat dhuha kerana ia adalah solat orang-orang yang dikasihi Allah dan berilah salam sebelum kamu masuk ke dalam rumah kerana salam itu akan menambah kebaikan rumahmu.
Kita tidak pernah mengetahui tentang al-Aasham mempunyai mazhab tertentu dalam tasawwuf, banyak meriwayatkan daripada beliau ma’thurat di dalam kitab tobaqat dan kitab tasawwuf. Antara kata-kata beliau, “Sesiapa yang kehidupan hariannya bermula teguh dengan 4 perkara nescaya ia akan berada di dalam keredhaan Allah. Pertama thiqah dengan Allah, kedua tawakkal, ketiga ikhlas keempat ma’rifah. Ikhlas itu diketahui wujud apabila lahirnya istiqamah. Istiqamah itu dapat dikenali dengan sifat roja’. Sifat roja’ pula dikenali dengan iradah. Sediakan dirimu dengan empat perkara, amal sholeh tanpa riya’, mengambil sesuatu tanpa tamak, memberi tanpa mengharap balasan dan menyimpan harta tanpa sifat bakhil. Lihat al-Tabaqat oleh al-Sulami 2-23, Tarikh Baghdad 241/8 al-Bab 57/1 dan al-A’lam 151/2.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails