Isnin, 30 Mac 2009

Berhati-hatilah tatkala membicarakan hal para shahabat رضي الله عنهم …


Catatan ini adalah peringatan khusus buat diriku dan buat saudara-saudaraku yang tercinta …


Tatkala kita berbicara atau menuturkan atau memberi komen tentang para shahabat رضي الله عنهم maka sayogianya kita berhati-hati agar tidak tergelincir lidah ketika berbicara. Janganlah diikutkan sedap mulut berbicara, kerana kata pepatah melayu ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ …

Al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani menyebut di dalam kitabnya Sair al-Saalikin tatkala membicarakan hal kebinasaan atau bencana lisan (lidah).


(Dan kata) Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى di dalam Ihya Ulumiddin:

ويدخل فيه الخوض في حكاية البدع والمذاهب الفاسدة وحكاية ما جرى من قتال الصجابة على وجه يوهم الطعن في بعضهم. فكل ذلك باطل، والخوض فيه خوض في الباطل

Artinya: Dan termasuk pula di dalam perkataan yang bathil itu, iaitu masuk di dalam berhikayat [perkara-perkara] yang bid’ah dan menghikayatkan segala madzhab yang fasid dan menghikayatkan akan perkataan yang berlaku daripada kelakuan [peristiwa] perang shahabat Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم setengahnya dengan setengahnya atas jalan yang membawa mencela akan setengah daripada mereka itu. Maka sekalian yang demikian itu bathil dan masuk berkata-kata di dalamnya itu, iaitu perkataan yang bathil lagi haram.

[Ditransliterasi dari kitab Sairus Salikin; Shaikh Abdusshamad al-Falimbani; Maktabah wa Mathba'ah Sulaiman Mar’ie, Singapore 1372H – 1953M; Juzuk ke-3; Halaman 76]

Itulah diantara peringatan ulama ahlus sunnah wal jamaah. Aqidah ahlus mengajarkan kita bahwa wajib kita meng’itiqadkan bahawa para shahabat رضي الله عنهم itu bersifat dengan sifat ‘adil dan seandainya berlaku khilaf diantara mereka maka hendaklah kita ta’wilkan kalau kita punya pengetahuan tentangnya atau kita diam tanpa komen. Mari kita perhatikan apa yang disebut oleh ulama ahlus sunnah kita di dalam kitab Syarah Matan Jauharah:

Dan wajib pula mengi’tiqadkan orang yang mukallaf itu kepada ‘adil segala shahabat رضي الله عنهم, maka kata mushannif رضي الله عنه:

وأول التشاجر الذي ورد - إن خضت فيه واجتنب داء الحسد

Yakni apabila telah yaqin hatimu bahwasanya segala shahabat رضي الله عنهم tentu ‘adilnya dan terlebih baik manusia ba’d al-nabiy (selepas Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) maka engkau ta’wilkan ikhtilaf shahabat رضي الله عنهم dengan setengahnya yang telah dikhabarkan oleh ulama ahlul Islam jikalau engkau mengenal dalam masalah ta’wil atau engkau tawaqqufkan ia kepada Allah سبحانه وتعالى, maka iaitu terlebih aslam. Dan jkalau masuk engkau di dalam membicarakan demikian itu, engkau tinggalkan lebih jahatnya hasad kepada tiap-tiap segala shahabat kerana bahwasanya orang yang keji akan salah suatu (seorang) daripada shahabat sangat sesat yang amat besar dan adakalanya menjadi kafir dengan nas hadits yang syarif kerana bahwasanya membicarakan akan perihal shahabat dalam ikhtilafnya antara segala shahabat di dalam perihal yang bangsa dunia, maka iaitu tiada masuk ia di dalam masalah i’tiqad dan adakalanya sebab menjadi sesat orang itu. (Syahdan) masuk dalam membicarakan ikhtilaf shahabat antara setengahnya dengan setengahnya itu makruh tanzih atas qaul ulama yang rajih dan kata setengah ulama iaitu haram dan inilah di dalam hak ulama iaitulah mengenal ia dalam ilmu usuluddin dan ilmu akhbar yang shahih dan isnad yang shahih atau hasan (Dan kata) Syaikh ‘Abdus Salam, tiada harus bagi ulama itu masuk dalam membicarakan dalam perihal ikhtilaf antara shahabat dengan setengahnya di dalam perihal yang bangsa dunia melainkan kerana menolak ia atas orang yang sesat atau kerana mengajarkan anak muridnya ketika membaca demikian (Dan adapun) orang awam itu maka HARAM ia halnya putus dan telah zahir fitnah dan bala’ di dalam tiap-tiap diyar (negara-negara) segala manusia itu menghikayatkan perihal ikhtilaf shahabt dengan setengahnya …..


(Syahdan) wajib atas kamu berpegang kepada ‘aqidah ahlussunnah wal jamaah dan jangan engkau mengambil ilmu ‘aqidah daripada hikayat beberapa kitab ahli tawarikh (sejarah) kerana banyak orang yang sesat itu berbuat-buat hikayat tawarikh Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan auladnya (anak-cucunya) dan shahabat رضي الله عنهم ….. [petikan dari syarah bagi Matan Jauharatut Tauhid, halaman 41 – 42]

Untuk lebih jelas silalah rujuk kepada kitab berkenaan atau Ithaf al-Murid Syarah ‘Abdussalam al-Maliki ‘ala Jauharah at-Tauhid oleh Syaikh ‘Abdussalam ibn Ibrahim al-Maliki ataupun Hasyiah Muhammad bin Muhmmad al-Amir ‘ala Syarah ‘Abdussalam ibn Ibrahim al-Maliki.

Sebagai peringatan lagi ….. tersebut di dalam sebuah:

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ: لاَ تَسُبُّوْا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَباً مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِْيفَهُ (رواه البخاري و مسلم والترمذي والنسائي و أحمد وعبد بن حميد)

Dari Abu Said al-Khudri رضي الله عنه beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bersabda: “Janganlah kalian mencaci shahabat-shahabatku kerana seandainya salah seorang dari kalian meginfaqkan emas sebesar gunung Uhud, tidak akan dapat menyamai satu atau setengah mud yang diinfaqkankan oleh salah seorang dari mereka”. (Hadits riwayat: al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan Abdu bin Humaid )

[1 mud bersamaan lebihkurang 675gram, maka setengah mud bersamaan 337.5gram]


Maka kita tidak selayaknya membicarakan pertelingkahan yang berlaku sesama mereka رضي الله عنهم. Mereka رضي الله عنهم adalah golongan yang diakui Allah sebagai umat yang terbaik. Mereka رضي الله عنهم berada dikurun yang terbaik. Mereka رضي الله عنهم yang mengutamakan Allah dan RasulNYA dari keluarga bahkan diri mereka sendiri. Mereka رضي الله عنهم yang menginfaqkan harta kekayaan mereka pada Allah dan RasulNYA. Mereka رضي الله عنهم yang menginfaqkan diri mereka untuk kemuliaan Islam. Islam dan Iman yang kita nikmati kemanisannya sekarang ini adalah hasil dari dakwah, perjuangan, pengorbanan, titik peluh dan titisan darah mereka رضي الله عنهم yang berjuang bersama-sama kekasih mereka Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.

Adapun pun kita … serba lekeh … serba dhoif ….. yang mengutamakan nafsu dari perintah Allah dan RasulNya …. yang mengutamakan dunia dari akhirat …. yang sentiasa ghaflah … [hambalah tuu! ……]. Maka tanyakan pada diri kita …. Apa yang pernah kita lakukan untuk kemuliaan Islam? Berapa banyak harta kita infaqkan? Sebanyak mana parut luka yang berbekas ditubuh kita demi kerana Islam? Berapa titisan darah kita yang tumpah demi mendaulatkan Islam? Sebanyak mana cacian kita terima demi untuk tegakkan Islam? Hitung sendiri.

Di dalam hadits yang lain pula disebut:

من سب أصحابي فقد سبني ومن سبني فقد سب الله ومن سب الله يوشك أن يأخذه

Barangsiapa mencaci-cerca para shahabatku, maka di sebenarnya telah mencaci aku. Barangsiapa mencaci aku, maka bererti dia telah mencaci Allah. Dan barangsiapa mencaci Allah, dikuatiri Allah akan menyeksanya.


Al-Habib ‘Abdullah al-Haddad رضي الله عنه menyebut beberapa buah hadits di dalam kitab beliau berjudul ad-Da’watut Tammmah, antaranya:

إحفظوني في أصحابي، لا تتخذهم غرضا من بعدي، من أحبهم فبحبي أحبهم، ومن أبغضهم وببغضي أبغضهم، ومن آذاهم فقد آذاني، ومن آذاني فقد آذى الله, ومن آذى الله فيوشك أن يأجذه

Jagalah diriku dengan menjaga para shahabatku. Jangan kalian menjadikan mereka sebagai sarana (cacian) sepeninggalanku. Banragsiapa mencintai mereka, maka ia mencintai mereka kerana mencintaiku. Dan barangsiap membenci mereka, maka ia membenci mereka kerana membenciku. Banragsiapa menyakiti mereka, maka ia menyakitiku. Dan barangsiapa menyakitiku berarti ia menyakiti Allah. Dan banragsiapa telah menyakiti Allah, maka ia menjadi dekat dengan siksaNya. (Hadits riwayat at-Tirmidhi dan Ahmad dengan matan yang berbeda)


إذا ذكر أصحابي فأمسكوا

Jika (keburukan) para shahabtku disebut, maka tahanlah diri kalain (agar tidak membicarakannya) – dikeluarkan oleh ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir daripada Ibn Mas’ud رضي الله عنه, Ibn ‘Ady di dalam al-Kamal daripada Ibn Mas’ud dan Tsauban رضي الله عنهما, juga oleh Ibn ‘Ady daripada Ibn Umar رضي الله عنهما. Asy-Sayuthi mengatakan hadits ini hasan.



Maka apabila ada yang mengajak kepada mazhab ahlulbait (ini adalah taktik Syiah), maka ingatlah akan pesanan al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. [Beliau adalah merupakan ahlulbait. Seorang qutub. Nasabnya: al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alawi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Abi Bakar al–Thowil bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alawi bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Untuk mengetahuinya lebih lanjut, silalah baca sedikit biografi beliau yang pernah abuzahrah tulis. Dapatkan disini]

Pesan al-Habib ‘Abdullah al-Haddad رضي الله عنه di dalam kitabnya Risalah al-Mu’awwanah:



Hendaklah engkau membentengi pegangan kepercayaanmu (yakni i'tiqadmu), memperbaikinya dan memperkukuhkannya atas jalan kumpulan yang mendapat kejayaan, iaitu kumpulan yang terkenal antara berbagai kumpulan sebagai 'Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah orang yang berpegang teguh dengan jalan Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم. Jika engkau teliti nas-nas al-Qur`an dan as-Sunnah - yang berhubung dengan keimanan - dengan pemahaman yang benar, fikiran sihat yang terbit dari hati yang bersih, serta engkau pelajari perjalanan hidup para salafus sholeh daripada kalangan sahabat dan tabi`in, nescaya engkau akan mengetahui dengan yakin bahawa kebenaran itu berada bersama kumpulan yang dikenali sebagai al-Asy`ariyyah yang dinisbahkan kepada asy-Syaikh Abul Hasan al-Asy'ari رضي الله عنه yang telah menyusun segala kaedah pegangan 'aqidah ahlul haq serta menyaring segala dalilnya. Inilah 'aqidah yang dipegangi oleh para sahabat رضي الله عنهم dan orang-orang selepas mereka daripada kalangan para tabi`in yang terpilih."

Di dalam kitab an-Nashoih al-Diniyah wal Washoya al-Imaniyah, al-Habib ‘Abdullah al-Haddad رضي الله عنه menyebut:


وأن يعتقد فضل أصحاب رسول الله (صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) وترتيبهم، وأنهم عدول خيار أمناء، لا يجوز سبهم ولا القدح في أحد منهم. وأن الخليفة الحق بعد رسول الله (صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم): أبو بكر، ثم عمر الفاروق، ثم عثمان الشهيد، ثم علي المرتضى، رضي الله تعالى عنهم وعن أصحاب رسول الله (صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) أجمعين، وعن التابعين لهم بإحسان إلى يوم الدين، وعنا معهم برحمتك اللهم يا أرحم الراحمين

Kemudian hendaklah ia beri’tikad tentang keutamaan para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan tertib susunan mereka. Dan sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang lurus perjalanannya benar perilakunya serta dipercaya. Tidak diperbolehkan memakinya atau merendahkan derajatnya dan kedudukan seorang pun diantaranya. Dan Sesungguhnya khalifah yang berhak sesudah Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم ialah Abu Bakar as-Shiddiq, sesudahnya adalah Umar Ibnul Khaththab yang bergelar al-Faruq, dan sesudahnya adalah Utsman bin Affan yang mati syahid, dan sesudahnya adalah Ali bin Abi Thalib yang diredhai, semoga Allah meredhai mereka dan juga kepada para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, dan seterusnya kepada para Tabi’in dengan baik hingga hari Qiamat. Dan juga kepada kita sekalian dengan kemurahanMu, wahai Dzat yang Maha Pemurah. Amin.

Manakala di dalam Diwannya yang bernama ad-Dur al-Mandzum li dzawi al-‘Uqul wa al-Fuhum, al-Habib ‘Abdullah al-Haddad رضي الله عنه menyebut:

Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga # Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian # Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala # Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar # Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mustofa yang suci # Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni'matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal # Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan# Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari # Dan jadikanlah Asy'ariyyah sebagai pegangan i'tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran # Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, 'aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya # Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.

Di dalam kitab yang sama juga al-Habib ‘Abdullah al-Haddad رضي الله عنه terdapat syairnya tentang kemuliaan para shahabat رضي الله عنهم. Rasanya setakat ini dululah. Insyaallah sampai ketemu lagi didalam coretan seterusnya………. Sekian ampun maaf dari abuzahrah andaikata terdapat kesilapan dan kekurangan. Semoga Allah memimpun kita ke jalan yang diredhaiNYA.



abuzahrah al-Qedahi
Dhuha, Ahad 2 Rabiulakhir 1430H/ 29 Mac 2009
Dirumahku … Gombak.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails