
Tatkala menghadiri majlis sambutan Maulidurrasul sebegini teringatlah kita kepada para ulama dahulu yang menyambutnya secara besar-besaran seperti yang pernah di lakukan oleh Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman bin Utsman bin Senik atau lebih dikenali sebagai Tok Selehor (wafat malam Khamis, 18 Dhulqaedah 1353H/ 20 Februari 1935M). Beliau adalah rakan rapat kepada Tok Kenali. Ustaz Ismail Awang menyebutnya di dalam buku Tokoh-tokoh ‘Ulama Semenajaung Melayu (1):
"Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid an-Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''
Semoga dengan hadirnya kita ke majlis sebegini, hati akan bercahaya, bertambah rasa kecintaan kepada junjungan mulia Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan semoga kita akan lebih komited untuk mencontohi akhlaqnya junjungan mulia Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam menegakkan syariat yang dibawa oleh junjungan mulia Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم didalam diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara kita.
0 komen:
Catat Ulasan