Ahad, 22 Mac 2009

Tokoh Maulidurrasul 1430H/2009M Peringkat Negeri Kedah

Tokoh Maulidurrasul 1430H Peringkat Negeri Kedah

Tuan Guru Haji Salleh Musa, 80 tahun telah dipilih sebagai penerima Tokoh Maulidurrasul 1430H Peringkat Negeri Kedah bagi kategori Tokoh Pendakwah di dalam Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Negeri Kedah. Majlis ini di sempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah al-Haj ibni al-Marhum Sultan Badlishah.

Beliau adalah pengasas dan pengasuh Madrasah ar-Rahmaniah, Seberang Pekan Sik, Sik, Kedah Darul Aman atau lebih di kenali dengan nama 'Pondok Tuan Guru Haji Salleh Sik'

Tuan Guru Haji Salleh atau lebih mesra dengan panggilan BabaBeliau mendapat pendidikan di Makkah al-Mukarramah. Seawal usia 13 tahun beliau telah ke Mekah untuk belajar dan menetap disana selama hampir 17 tahun. Beliau berguru dengan ramai ulama, antara nama guru beliau yang kerap disebutnya adalah Syaikh Wan Ismail bin Wan 'Abdul Qadir al-Fathani @ Pak Da Eil, Syaikh Abdul Qadir Mandili dan Syaikh Yasin al-Fadani. Selain itu beliau juga ke Madinah dan Palestin untuk menuntut ilmu. Beliau juga pernah belajar di Darul Ulum, Mekah. Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah Haji 'Abdurrahman, Lubuk Tapah adalah merupakan rakan seangkatan beliau ketika belajar di Mekah

Beliau membuka pondoknya sendiri di Sik setelah sekembalinya beliau dari Mekah. Dan ini adalah merupakan pesan guru beliau kepada beliau. Pondoknya kini, berusia lebih daripada 50 tahun. Walaupun usia Tuan Guru Haji Salleh sudah menjangkau 80 tahun, namun beliau tetap aktif mengajar di serata tempat. Beliau seorang yang mahir di dalam ilmu tauhid, selain dari ilmu feqah dan tasauf. Kitab yang sering diajar adalah Bakurah karangan guru beliau Pak Da Eil, Matan Ummu Barahin, Sirajul Huda oleh Syaikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi (beliau mengajar mengikut thoriq Pak Da Eil) dan lain-lain. Pondok yang beliau asaskan adalah diantara pondok tradisional yang masih kekal di Kedah. Setiap minggu iaitu pada hari Jum'at diadakan pengajian umum dimana yang hadiri lebih kurang 2,000 hingga 3,000 orang. Tuan Guru Haji Salleh mengajar kitab tauhid, fiqh dan tafsir. Manakala setiap kali bulan Ramadhan, beliau akan mengadakan daurah, yang disertai oleh ramai pelajar-pelajar pondok dari Kelantan, Kedah dan Fathani (Wilayah Selatan Thai). Dan kitab yang beliau diajarkan adalah kitab-kitab tauhid.

Hasil dari perkahwinannnya, Tuan Guru Haji Salleh dikurniakan 11 orang cahayamata. Dan salah seorang daripada anak beliau yang lama memondok di Fathani mewarisi beliau di dalam sistem pondok tradisional. anak beliau inilah yang membantu beliau mengajar pelajar-pelajar di pondok beliau.

Alhamdulillah, Abu Zahrah sempat bertemu dan mengambil ilmu dengan Tuan Guru Haji Salleh walaupun di dalam waktu yang singkat. Sewaktu Abu Zahrah dan Ustaz Muhadir mengunjungi beliau, kami sempat membaca dihadapannya Matan Arbain an-Nawawiyyah dan kitab Penawar Bagi Hati karangan Syaikh Abdul Qadir Mandili, dan beliau telah sudi mengijazah serta mengizinkan kami mengajarnya. Sanad kitab Penawar Bagi Hati, beliau belajar dan terima terus dari guru kesayangannya yang merupakan pengarang kitab tersebut, Syaikh 'Abdul Qadir al-Mandili. Alhamdulillah, Kitab Penawar Bagi Hati ini juga Abu Zahrah sempat belajar dari Tuan Guru Haji Hasyim Kajang, yang mana beliau belajar dan terima terus dari pengarang kitab tersebut. Alhamdulillah di atas kurniaan Allah yang tiada ternilai ini .....

Sekian, biografi ringkas mengenai Tuan Guru Haji Sallah Musa, Sik. InsyaAllah, Abu Zahrah berhasrat untuk mendapatkan biografi beliau dan guru-guru beliau dengan lebih perinci sewaktu program menziarahi beliau nanti. Doakan Abu Zahrah semoga dipermudahkan.


Tuan Guru Haji Salleh Musa - Menerima Anugerah Tokoh Maulidurrasul di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar.


Gambar kenangan sebahagian peserta Daurah Tafaqquh Fiddin 2007 bersama Tuan Guru Haji Salleh dan Syaikh Nuruddin di Pondok Tuan Guru Haji Salleh di Sik, Kedah Darul Aman. Foto ini dirakamkan pada pagi Hariraya Eidul Adha (hari berakhirnya daurah)


2 komen:

Awanama berkata...

Semoga Allah panjangkan umur tuan-tuan guru dan ulama-ulama mazhab dalam kebajikan, serta diperbanyakkan murid-murid mereka bagi mengganti mereka, demi manfaat umat ini, agar terpelihara dari fitnah dan penganiayaan.

T H E . M A L A Y . P R E S S berkata...

Amin...

Related Posts with Thumbnails