Khamis, 22 Januari 2009

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 43 – 45

Penyakit Keempatpuluh Tiga: Menghina orang Islam disamping bersikap meninggi diri serta takabbur terhadap mereka.

Rawatannya: Ialah menghidupkan erti ikatan hidup sesama Muslim serta beriman dengan penuh yaqin bahawa wajib memelihara maruah orang Islam. Hal ini dinyatakan oleh Allah Ta’ala kepada NabiNya, firman Allah Ta’ala:

….فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي ٱلأَمْرِ….
Maksudnya: “….. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan dan soal-soal keduniaan) …” (Surah Ali-Imran:159)

Disamping itu hendaklah sentiasa difahami bahawa sikap takabbur itu telah membinasakan iblis serta dilaknat oleh Allah Ta’ala kerana lagak sombongnya berkata: “Aku lebih mulia dari Adam”. Pernah suatu ketika Nabi صلى الله عليه وسلم melihat ke arah Ka’abah dan bersabda:

ما أعظمك وأعظم حرمتك و المؤمن أعظم حرمة عند الله منك, إن الله حرم منك واحدة ومن المؤمن ثلاثا : دمه وماله, وأن يظن به ظن السوء.

Maksudnya: “Alangkah hebatnya engkau, hebatnya kemulianmu, sedangkan orang Islam adalah lebih tinggi kemuliaannya daripadamu disisi Allah Ta’ala. Sesungguhnya Allah memberikan satu kemuliaan padamu sedangkan untuk mu’min itu dengan tiga kemulian, darah dan hartanya serta larangan bersangka buruk terhadap manusia.” (Riwayat al-Tirmizi. Tetapi tidak ada tambahan perkataan (إن الله حرم منك واحدة ) hingga akhir. At-Tirmdhi berkata, hadith ini hasan gharib, kami tidak pernah menemuinya melainkan pada hadith al-Hussin bin Waqid. Dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi 6/181-182. Ia telah dikeluarkan juga oleh Ibn Hibban dalam shohihnya. Al-Hafidz berkata dalam al-Tahzib riwayat Ahmad, Musnad 4/421 dan Abu Daud)



Penyakit Keempatpuluh Empat: Malas dan jumud.

Rawatannya: Ialah hendaklah sentiasa menyedari dan memahami ia sentiasa berada di bawah perintah kekasihnya yakni Allah Ta’ala serta bersedia menjalankan tugas yang diarahkan. Suntikan kefahaman seperti ini akan menjelmakan perasaan gembira untuk terus cergas melaksanakan amal. Aku (Sheikh Abdul Rahman al-Sulami – pengarang kitab ini) mendengar datukku Ismail bin Muhammad berkata: “Mengambil ringan akan sesuatu perintah menunjukkan bahawa seseorang itu tidak memahami perintah tersebut.”


Penyakit Keempatpuluh Lima: Menghias diri dengan pakaian orang-orang sholeh sedangkan kelakuannya seperti orang yang membuat kerosakan dan kejahatan.

Rawatannya: Ialah meninggalkan perhiasan lahiriah sehingga terlebih dahulu mampu memperbaiki dan memperelokkan hakikat batiniah. Adalah lebih baik membentuk akhlak dan perbuatan dengan mencontohi orang yang sholeh secara keseluruhan atau sebahagian daripada akhlak tersebut. Hal ini adalah lebih baik daripada meniru-niru pakaian orang-orang yang sholeh. Ada riwayat mengatakan, “Cukuplah untuk mengenal kejahatan seseorang itu apabila dia memperlihatkan kepada manusia bahawa dia seorang yang takut kepada Allah sedangkan hatinya bagaikan hati seorang penderhaka.

Abu Othman berkata: “Perhiasan lahiriah yang disertai mungkar dan dosa akan melahirkan kerosakan.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails