Jumaat, 17 Oktober 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 13

Sambung dari siri terdahulu … masih mengenai al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.

Sambungan Manaqib al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه

Sifat beliau: Beliau رضي الله عنه banyak beruzlah dan berkhlawat, mengerjakan sholat sunat, puasa sunat, infaq, bersholawat, berdhikrullah, menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah dan berkhidmat kepada orang lain. Beliau رضي الله عنه seorang yang wara`, pemurah, tawadhu dan sangat penyantun kepada golongan faqir dan miskin. Pendek kata beliau seorang yang banyak dan kuat mengerjakan ‘ibadah, riyadhah dan memiliki akhlaq mulia. Walaupun terkenal dengan hal-hal yang tersebut namun, beliau رضي الله عنه, sebagaimana leluhur beliau yang terdahulu yang merupakan pakaian para ulama habaib iaitu bersifat khumul.

Beliau رضي الله عنه sangat memuliakan tetamu. Beliau akan menjamu para tetamu dan beliau sendiri akan memenuhi hajat para tetamunya. Andaikata tetamu yang hadhir itu ramai, maka beliau akan menyembelih seekor atau dua ekor unta untuk menjamu tetamunya.

Beliau رضي الله عنه, suatu ketika tidak henti-henti berpuasa selama beberapa waktu dan hanya berbuka dengan kurma yang masih hijau. Selama 90 hari lamanya beliau رضي الله عنه berpuasa dan mengerjakan sholat dimalam harinya di lembah Yanbur.

Selama 40 tahun lamanya, beliau رضي الله عنه mengerjakan sholat shubuh di Masjid Ba’Isa, dikota Lisk, dengan wudhu ‘Isya`nya. Pada setiap malam beliau berziarah ke tanah perkuburan di Tarim dan seterusnya mendatangi masjid-masjid di kota Tarim untuk mengerjakan sholat dan seterusnya beliau رضي الله عنه mengakhiri perjalanannya dengan mengerjakan sholat Shubuh berjemaah di Masjid Ba’Isa di Lisk. Ini bermakna selama 40 tahun al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه berjalan kaki berulang alik setiap malam dari Lisk ke Tarim untuk melakukan sholat pada setiap masjid di kota Tarim. Bahkan bukan itu sahaja, beliau رضي الله عنه juga mengangkat air dari sumber air (telaga) dengan menggunakan geriba (bekas mengisi air yang diperbuat daripada kulit binatang seperti unta) untuk diisi atau dipenuhkan pada tempat minum para penziarah dan juga ditempat minum haiwan. Apa yang beliau lakukan ini tidak diketahui ramai sehinggalah mereka mendapati kesan darah yang mengalir dari kakinya akibat banyak berjalan. Maka orang bertanya, kesan darah siapakah ini? Maka diberitahui bahwa ianya adalah kesan darah anak Salim bin Abdullah. Sehingga kewafatannnya, beliau tidak pernah meninggalkan sholat Dhuha dan Witr. Semasa hayatnya, beliau رضي الله عنه menziarahi makam Nabi Hud sebanyak 40 kali.

Al-Faqih Syaikh Abdurrahman bin Ahmad Bawazir pernah berkata: "Syaikh Abu Bakar bin Salim selama 15 tahun dari akhir umurnya tidak pernah kelihatan duduk-duduk bersama orang-orang dekatnya dan orang-orang awam lainnya kecuali hanya untuk menanti didirikannya sholat lima waktu". Ini bermakna dipenghujung umurnya beliau رضي الله عنه lebih banyak berkhlawat.

Karya-karya beliau: Beliau رضي الله عنه mengarang beberapa buah kitab dalam ilmu thoreqat dan haqiqat, antaranya:
  • Miftah as-Sarair wa Kanz adz-Dzakhair (مفتاح السرائر وكنز الذخائر). Kitab ini beliau karang diusianya yang muda iaitu belum melampaui usia 17 tahun.
  • Mi’raj al-Arwah yang membahaskan ilmu hakikat. Kitab ini beliau tulis pada tahun 987H dan diselesaikan pada tahun 989H.
  • Mawahib yang juga membincangkankan masalah-masalah ilmu hakikat. Beliau mulai menulisnya di bulan Syawwal tahun 991H dan diselesaikankan dalam tahun yang sama tanggal 9 haribulan Dhulhijjah. [Mungkin inilah kitab terakhir beliau kerana beliau رضي الله عنه wafat di penghujung bulan Dhulhijjah]
  • Ma'arij at-Tauhid
  • Bughyah Mathlab at-Tholib dan sebuah diwan yang berisi pengalaman awal suluk beliau.
Murid-murid beliau:
  • Antara murid-murid beliau adalah, anakanda beliau sendiri antaranya al-Habib Muhdhor bin Syaikh Abu Bakar, al-Habib Hussein bin Syaikh Abu Bakar dan al-Habib Hamid bin Syaikh Abu Bakar
  • al-Habib Ahmad bin Muhammad bin Alwi bin Abi Bakar al-Habsyi
  • al-Habib ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Jufri
  • as-Sayyid Yusuf bin ‘Abid al-Faasi al-Maghribi - al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat didalam pangkuan Yusuf bin ‘Abid iaitu salah seorang murid kesayangan beliau. Menjelang ajalnya Yusuf bin ‘Abid mengulang-ulangkan ayat berikut: فلما قضى زيد منها وطرا dengan harapan gurunya akan menyambut ucapannya itu dengan sambungan dari ayat tersebut iaitu وزجناكها, yang maksudnya gurunya bersedia menurunkan seluruh ilmu yang beliau miliki kepadanya (as-Sayyid Yusuf). Namun gurunya, al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim berkata: “Wahai Yusuf! Semua ilmu yang kuajarkan kepadamu penuh dengan keberkatan, adapun mengenai sirr ku, andaikata aku tidak dapat menemukan seseorang yang layak untuk menerimanya dari kalangan anak cucuku, akan aku tanam di padang pasir ‘Inaat”.
  • as-Sayyid ‘Abdurrahman al-Baith
  • al-Faqih al-‘Allamah Muhammad bin Sirajuddin Ba’Jammal
  • al-‘Arifbillah al-Faqih Muhammad bin ‘Abdurrahman BaWazir
  • dan lain-lain.

Keluarga beliau: Melalui beberapa perkahwinan, beliau dikuniakan ramai zuriat antaranya : Ahmad, al-Hamid, Umar al-Muhdhar, al-Hussin, ‘Ali, ‘Abdullah al-Akhbar, al-Hasan, ‘Abdurrahman, Salim, Syaikhan, Sholeh, ‘Abdullah al-Ashghar, Ja’far.

Seterusnya keluarga ini menurunkan marga antaranya: Aal Hamid; Aal Mudhor; Aal Haddar; Bin Jindan

Karamah beliau: Beliau seorang yang mempunyai banyak karamah. Namun disebut seuah dua sahaja disini.

Rubath Tarim adalah merupakan rubath yang tertua di Hadramaut dan ianya terletak di kota Tarim. Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim yang masa hidupnya jauh sebelum masa al-Habib Abdullah asy-Syathiri (pengasas rubath Tarim) setiap kali pergi ke kota Tarim, beliau selalu berhenti di suatu tanah sambil berkata, “Tanah ini kelak akan menjadi sebuah rubath…”. Benarlah sebagaimana apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه, diatas tanah itu akhirnya terbangunlah Rubath Tarim yang sangat masyhur itu. [Rubath Tarim secara rasminya dibuka pada 14 Muharram 1305H, manakala Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat pada 992H.]


Suatu ketika al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim pernah berkata: “Dimataku, dunia ini tidak lebih dari sebuah piring. Semua yang ada diatasnya dapat kulihat.” Ucapan beliau ini dapat didengari oleh salah seorang pelayan (khadam) beliau. pada suatu hari, pelayan tersebut mendengar alunan syair yang merupakan keluhan seorang badui yang kehilangan untanya. Maka berkatalah pelayan tersebut kepada badui yang kehilangan unta itu: “Engkau temuilah Syaikh Abu Bakar. Beliau akan menunjukkan di mana untamu berada kerana baginya dunia ini hanya seluas sebuah piring sahaja.” Pergilah badui tersebut menemui al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.

Apabila menemui al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim, dia berkata: Beritahu padaku dimana unta-untaku berada? al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim menjawab: Bagaimana aku dapat mengetahui keberadaan untamu?

Badui membalas: “Pelayanmu berkata bahwa dunia ini bagimu seumpama sebuah piring. Akhirnya al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim berkata; Pergilah ke tempah fulan, untamu berada disana. Badui itupun bersegera ketempat yang diberitahu dan menemui untanya disana.

Seterusnya al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim menegur pelayannya: Awas! Jangan kau ulangi perbuatanmu ini.


Kewafatan beliau: Pada malam minggu, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Dzulhijjah 992H, Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim – Shohib ‘Inaat; Syaikhul Islam dan teladan bagi manusia; pemimpin para ulama; hiasan para auliya; seorang yang amat jarang ditemukan di zamannya; da'i yang menunjukkan jalan Illahi dengan wataknya; pembimbing kepada kebenaran dengan perkataannya; para ulama di zamannya mengakui keunggulannya; dia telah menyegarkan berbagai warisan pendahulu-pendahulunya yang sholeh; titisan dari hadrat Nabawi; cabang dari pohon besar ‘Alawi; ‘alim Rabbani; imam kebanggaan agama – رضي الله عنه kembali kerahmatuLlah di kota ‘Inaat dan dimakamkan disana – رضي الله عنه وأعاد علينا من بركاته وانواره وأسراره وعلومه وأخلاقه – اللهم آمين


Setelah kewafatan al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim, tempatnya telah digantikan oleh anakanda beliau iaitu al-Habib Hussin bin al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.


الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم و الى روح سيدناالإمام الحبيب شيخ أبو بكر بن سالم بن عبدالله بن عبدالرحمن بن عبدالله بن عبدالرحمن السقاف


InsyaALLAH bersambung lagi … dengan beberapa sedutan dari kitab Miftah as-Sarair dan beberapa untaian nasihat-nasihat beliau رضي الله عنه

0 komen:

Related Posts with Thumbnails