Selasa, 12 Julai 2011

Kalam Salaf: Kelebihan Membaca Wirdul Lathiif dan Ratib al-Haddad


Tersebut di dalam al-Maslakul Qariib li Kulli Saalikin Muniib karya al-'Arifbillah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir رحمه الله تعالى


(Faedah) Jalan-jalan yang menyampaikan kepada Allah Ta`ala adalah sebanyak bilangan nafas segala makhluk. Semuanya dibina atas dasar al-istiqamah dan menuruti Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, mendidik jiwa dengan mensucikan dan membersihkannya daripada segala akhlak yang keji serta menghiasinya dengan akhlak - akhlak mulia, sehingga terpancar kepadanya segala anwar dan tersingkap segala asrar, sehingga mencapai setinggi-tinggi martabat ketaqwaan kepada Allah.


Di antara sebaik-baik jalan yang berterusan diamalkan sejak berzaman oleh para pengamal dengan istiqamah adalah thoriqah para Saadah 'Alawiyyin (jalan para pemuka Bani 'Alawi iaitu anak cucu Imam 'Alawi bin 'Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajirرحمهم الله تعالى) yang diasaskan atas dasar ilmu dan amal menurut apa yang diterangkan oleh al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali رحمه الله تعالى dalam kitab Ihya' Ulumiddin, khasnya pada pertengahan yang kedua daripada kitab tersebut, kerana beliau telah menerangkan padanya perkara-perkara yang memusnahkan (al-muhlikaat) dan yang menyelamatkan (al-munjiyyat). Dengan mengetahui perkara tersebut, dapatlah disucikan diri daripada sifat-sifat yang keji dan dihiaskannya dengan sifat-sifat yang mulia.



Di antara zikir-zikir yang paling elok bagi ahli thoriqah ini (yakni Thoriqah Saadah 'Alawiyyin/Thoriqah Saadah Baa 'Alawi) adalah segala zikir yang telah dikumpul oleh Quthubul Haqiqah wal Irsyad al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad رحمه الله تعالى. Antaranya apa yang beliau himpunkan dalam kitab Miftaahus Sa`aadah, di dalamnya beliau telah menghimpun kebanyakan zikir-zikir yang sahih yang warid daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, di antaranya al-Wirdul Lathiif yang dibaca pagi dan petang, jika tidak berkelapangan maka memadai diamalkan pada waktu pagi sahaja. Faedah-faedah al-Wirdul Lathiif ini sangat banyak dan tidak terhingga, sesiapa yang membaca syarahnya dia akan melihat kelebihan faedah-faedahnya dan akan melaziminya dengan bersungguh-sungguh. Dan di antaranya juga adalah ratibnya yang masyhur dengan nama Ratibul Haddad yang dibaca orang selepas sholat 'Isya'. Ianya ringkas sahaja dengan bacaan-bacaan yang pendek tetapi mempunyai manfaat besar dan tidak terkira kelebihan dan keajaibannya. Dengan sebab keberkatannya, pengamal-pengamalnya akan menerima berbagai bantuan (madad) dan anugerah daripada Allah Ta’ala yang tidak putus-putus. Ratib ini bermanfaat bagi orang dewasa, kanak-kanak, golongan atasan, golongan bawahan, peringkat muntahi (peringkat kesudahan), peringkat mutawassith (peringkat pertengahan) dan juga peringkat mubtadi (peringkat permulaan). Sesiapa yang istiqamah mengamalkan ratib ini akan dikayakan Allah (yakni segala keperluannya akan dipenuhi Allah Ta’ala). Demikianlah penjelasan al-'Arifbillah al-Mannan, asy-Syaikh 'Abdullah BaSaudan رحمه الله تعالى, yang mensyarahkan ratib tersebut.


Dan daripada zikir-zikir yang terbaik juga untuk diamalkan waktu petang dan pagi, yang mengandungi zikir-zikir yang warid daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, adalah apa yang terkandung dalam kitab al-Maslakul Qariib li kulli Saalikin Muniib susunan al-'Arifbillah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir Baa 'Alawi . Kitab al-Maslak ini mempunyai banyak manfaat dan faedah-faedah yang masyhur. Sesiapa yang berterusan mengamalkannya, dia akan terpelihara daripada gangguan jin dan manusia dan daripada segala yang di langit dan di bumi. Pendeknya segala-galanya itu terletak atas dasar keikhlasan dan niat yang baik, maka apabila baik niat akan terhasillah natijahnya.


Sekian dari,
al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Selasa, 10 Sya'ban 1432H/12 Julai 2011

Sumber: Bahrusshofa

0 komen:

Related Posts with Thumbnails