Sabtu, 5 September 2009

Peristiwa Pada 17 Ramadhan

InsyaAllah pada hari Itsnain ni, 17 Ramadhan 1430. Tarikh ini penting di dalam kalendar Hijrah kerana pada tarikh tersebut berlaku beberapa peristiwa yang sentiasa dikenang. Antaranya adalah:-
  • Nuzul al-Quran
  • Badar al-Kubro
  • Hari di mana Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه telah di bunuh oleh ‘Abdur Rahman bin Muljam. Peristiwa berlaku pada shubuh 17 Ramadhan 40H. Sedikit kisah pembunuhan Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه secara ringkas: Tatkala muazzin, Ibn Nabbah, seperti kebiasaannya datang mengetuk pintu rumah Sayyiduna ‘Ali كرم الله وجهه sambil melaungkan … sholat! sholat! …. Sayyiduna ‘Ali pun keluar dari pintu rumahnya sambil melaungkan Wahai Manusia! Sholat! Sholat! Saat itulah Ibnu Muljam datang dan dengan pantas melibas pedangnya. Libasan pedangnya mengenai kening dan bahagian muka Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه sehingga sampai ke otak beliau. Namun Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه sempat bertahan selama 2 hari iaitu hari Jum’at dan Sabtu. Beliau رضي الله عنه wafat pada malam Ahad. Jenazah beliau رضي الله عنه dimandikan oleh Sayyidina Hasan, Sayyidina Hussin dan Sayyidina ‘Abdullah bin Ja’far رضي الله عنهم dan disolatkan dengan diimamkan oleh Sayyidina Hasan رضي الله عنهما

Entri ini bukanlah untuk memperkatakan tentang Nuzul Quran kerana ramai yang menulis tentangnya atau kisah pembunuhan Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه , tetapi mengenai Peristiwa Badar. Tulisan mengenai Badar al-Kubro ini adalah merupakan posting ambo pada tanggal 15 September 2008 iaitu bersempena menyambut peristiwa Badar al-Kubro pada tahun tersebut. Maka untuk entri kali ini ambo mengemaskinikan apa yang pernah ambo tulis dulu ……



Memperingati Badar al-Kubra



17 Ramadhan …… suatu tarikh dimana sering diadakan sambutan bagi memperingati dua peristiwa penting didalam sejarah Islam. Pertama adalah Nuzul al-Quran dan kedua adalah Peperangan Badar al-Kubra. Adapun yang aku akan sentuh dalam penulisan ku ini adalah mengenai peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Ini adalah kerana peperangan Badar amat signifikan dalam sejarah Islam dimana inilah hari yang menentukan kesinambungan dakwah Islam. Hari penentuan sama ada Islam terus berkembang atau berkubur. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika berlakunya peperangan tersebut bermunajat kepada Allah:-



اللهم أنشدك عهدك و وعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد في الأرض

Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di mukabumi ini.



Angkatan perang pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat meninggalkan kota Madinah pada tanggal 8 Ramadhan. Sewaktu ketiadaan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di kota Madinah, Amru bin Ummi Maktum dilantik menjadi iman sholat. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat bersama-sama lebih kurang 313 (ada riwayat lain mengatakan 315) orang shahabat. Panji-panji perang di serahkan kepada Sayyidina Mush’ab bin ‘Umair bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin ‘Abdud Dar رضي الله عنه manakala panji-panji kaum Muhajirin dipegang oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan panji-panji kaum Anshar di pegang oleh Sayyidina Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه .


Didalam kitab kisah-kisah para shahabat yang ditulis oleh al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi رحمه الله dinyatakan bahwa perbekalan angkatan perang kaum Muslimin sangat sedikit iaitu 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 baju besi dan 8 bilah pedang. Oleh kerana terhadnya kenderaan untuk ditunggangi maka para shahabat terpaksa menunggang secara bergilir. Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم, Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan Martsad bin Abu Martsad al-Ghanawi secara bergiliran menaiki satu unta. Hamzah bin Abdullah Mutthalib, Zaid bin Haritsah, Abu Kabsyah dan Anasah رضي الله عنهم, satu unta. Abu Bakar, Umar dan Abdurrahman bin Auf رضي الله عنهم , satu unta …. Allahu Allah …. Dek kerana dhaifnya perbekalan tentera Muslimin berbanding dengan ketumbokan kaum Muhajirin … maka dengan penuh belas kasihan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berdoa:


اللهم إنهم حفاة فاحملهم اللهم إنهم عراة فاكسهم وإنهم جياع فاشبعهم

Ya Allah, mereka ini (kaum Muahjirin berjalan tanpa alas kaki (berkaki ayam) maka, ringankanlah langkah mereka. Mereka tidak berpakaian, berilah mereka pakaian. Mereka lapar, maka kenyangkanlah mereka.

Namun perlu diingat bahwasanya walaupun tentera Muslimin walaupun dhoif dari segi kelengkapan persenjataan lahiriah, tetapi mereka mempunyai kekuatan dari sudut kerohanian, iaitu keyaqinan, keimanan dan ketaqwaan.



Badar yang letaknya lebih kurang 145km arah barat laut dari kota Madinah al-Munawwarah menjadi saksi diatas keimanan dan ketaqwaan para shahabat رضي الله عنهم sehingga dengannya Allah mendatangkan bantuanNya kepada mereka. Badar menyaksikan pertembungan diantara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang mempunyai kekuatan lebih dari 3 kali ganda, siap dengan kudanya berjumlah 600 ekor dan 700 ekor unta.


Firman Allah Ta’ala:


وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Aali Imran: 123)

Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada tentera Muslimin dimana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi tentera musyrikin. Diringkaskan kisah, akhirnya tentera Muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan besar. Tentera musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk panglima perang iaitu Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) dan lain-lain pembesar Quraisy terbunuh, manakala 70 lagi ditawan oleh tentera Muslimin.



Adapun dipihak tentera Muslimin hanya 14, iaitu 6 orang dari kalangan Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Anshar, yang gugur sebagai syuhada`. Antara yang gugur sebagai syahid adalah:

Dari kalangan Muhajirin
  1. Ubaidah bin al-Harits – beliau tercedera sewaktu pertempuran satu sama satu, dicederakan oleh Utbah bin Rabi’ah. Kakinya putus di dalam pertempuran tersebut dan kemudiannya wafat di as-Safra’.
  2. ‘Umair bin Abu Waqqash - beliau dibunuh oleh ‘Amru bin Abdul Al-Amiri. Umair adalah seorang remaja yang turut serta berjihad. Kisahnya diriwayatkan oleh al-Bazzar, juga disebut didalam Majma Zawaaid. Kisahnya …. ketika kaum Muslimin menuju ke Badar, ikutlah seorang remaja bernama ‘Umair bin Abi Waqqash yang berusia 16 tahun. Beliau mengikut secara terendap-endap agar pemergiannya ini tidak diketahui oleh kaum Muslimin. Beliau kuatir penyertaannya tidak dibenarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Tatkala melihat keadaan itu, abangnya, Sa’ad bin Abi Waqqash bertanya kepadanya mengapa. Beliau menjawab: “Aku takut ditolak oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم , padahal aku sangat ingin turut serta, barangkali Allah memberikan kesyahidan kepadaku”. Hal itupun terjadi dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم menolaknya kerana ‘Umair masih muda. Maka ‘Umair pun menangis. Hal tersebut membuatkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم terharu lalu akhirnya mengizinkan beliau turut serta. Dan akhirnya harapan ‘Umair untuk mendapat syahid diperkenankan Allah.
  3. Dzu Syimalain Umair bin ‘Abd Amr,
  4. ‘Aqil bin al-Bukhair,
  5. Mihja bin Sholeh bekas hamba Sayyidina Umar,
  6. Shafwan bin Baidha’ dari Bani al-Harits bin Fihr. Beliau dibunuh oleh Thuaimah bin ‘Ady.
Dari kalangan Anshar
  1. Sa’ad bin Khaitsamah,
  2. Mubasysyir bin ‘Abdul Mundzir,
  3. Yazid bin al-Harits,
  4. 'Umair bin al-Humam – beliau di bunuh oleh Khalid bin al-A’lam al-Alqami. Beliau adalah merupakan perajurit Islam pertama yang gugur syahid di medan Badar. Ketika pertembungan antara tentara Muslimin dengan tentera Musyrikin kian hampir. Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bersabda: Majulah menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Mendengar seruan itu Umair bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم apa benar syurga itu seluas langit dan bumi? Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم menjawab: Ya! Seluas, langit dan bumi. ‘Umair berkata Bakh! Bakh! (Bagus! Bagus!). Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bertanya, apa maksudmu dengan mengatakan Bakh! Bakh!. ‘Umair menjawab: Demi Allah! Ya Rasulullah, aku tidak mengatakannya melainkan aku sangat berharap menjadi penghuninya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم berkata: Sesungguhnya engkau termasuk penghuni syurga.
  5. Rafi bin al-Mu’alla,
  6. Haritsah bin Suraqah bin al-Harits,
  7. Auf bin al-Harits bin Rif’ah bin Sawad,
  8. Mu’awwidz bin al-Harits bin Rif’ah bin Sawad

Sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi bahwa peperangan Badar berlaku pada hari Jummat 17 Ramadhan tahun ke-2 dari Hijrah. Maka sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah merupakan hari yang menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Badar juga menyaksikan kecintaan perajurit Islam kepada syahid.

Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz رضي الله عنه berkata …..Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi, nescaya kami akan menyeberanginya bersamamu ………..

Sayyiduna Saad bin Ubadah رضي الله عنه pula berkata …..Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.

Sayyiduna Miqdad رضي الله عنه pula berkata: Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….

Allahu Allah. Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahli Badar: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian(Shahih Bukhari).

Oleh kerana ketinggian kedudukan ahli Badar disisi Allah, maka para ulama telah menyusun doa yang mengandungi tawasul dengan mereka. Seperti Shalawat Badar, Jaaliyatul Kadar – nazam tawassul oleh 'al-‘Allamah as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji, Saifun Nashar bis Saadatil Kiram Ahlil Badr oleh al-'Allaamah as-Sayyid Ibrahim bin Idris as-Sanusi al-Hasani al-Fasi, Hidayah lis Saalik wa Najaah lil Haalik fit Tawassul bi Ahli Badr wa Shuhadaa’ Uhud oleh Syaikh Muhammad bin Naasir bin ‘Abdullah al-Qadiri asy-Shafi‘ie dan banyak lagi. Ulama di Nusantara iaitu Kiyai ‘Ali Masyhur ada mengarang sholawat yang dikenali dengan Sholawat Badar. Sholawat ini mengandungi tawassul dengan nama Allah, dengan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم serta para mujahidin teristimewanya para mujahidin Badar.


Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa dan ahli Badar ini, akan mengalirkan kecintaaan, keberkatan serta semangat juang untuk kita terus istiqamah mengamalkan seterusnya memperjuangkan Islam yang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan kepada kita. أللهم آمين


الفاتحة إلى حضرة النبي و إلى ارواح اصحاب البدر الكرام




Sekian dari

Al-Faqir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Selesai dikemaskini pada waktu Ashar, 12 Ramadhan 1430


Rujukan:
As-Sirah an-Nabawiyyah oleh Sayyid Abul Hasan ‘Ali al-Hasani an-Nadwi
As-Sirah an-Nabawiyyah oleh Ibnu Hisyam
Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, jilid 4 oleh H.Zainal Ariffin ‘Abbas.

Kisah Para Shahabat oleh Maulana Muhaammad Zakariyya Kandahlawi
Tarikh al-Khulafa oleh Imam as-Sayuthi


0 komen:

Related Posts with Thumbnails