Sabtu, 13 September 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 7

Catatan perjalanan seterusnya …..

Aku bangun awal untuk menyiapkan diri untuk menunaikan sholat shubuh. Bilik mandi dan tandas selalunya tak ramai orang waktu awal-awal sebegini. Setelah tu terus ke musholla yang jaraknya hanya beberapa langkah dari bilik aku menginap. Sudah ada beberapa orang di musholla berzikir dan membaca al-Quran. Aku buat apa yang patutlah ….. Jemaah semakin lama semakin ramai memenuhi musholla. Sebelum azan, zikir dibaca secara jahar beramai-ramai. Semuanya ada dalam kitab Khulashah Madad yang dihimpun oleh al-Habib al-‘Allamah Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Aku pun mengikut sama …. Setelah itu azan dikumandangkan. Selepas azan zikir-doa lagi … kemudian baru sholat sunat … kemudian zikir-doa lagi … kemudia barulah iqamah. Kami sholat berjemaah berimamkan al-Habib Umar. Sejuk hati …….. setelah habis sholat shubuh dan berzikir dan berdoa. Ada kuliah shubuh disampaikan oleh Habib Umar.

Pagi ni kami tak tunggu lama kerana nak keluar awal menzirahi pemakaman Zanbal. Kami berjalan kaki kesana. Tak jauh mana pun. Adalah dalam lebihkurang 15 – 20 minit berjalan. Menikmati udara pagi yang segar. Sewaktu kami sampai di Pekan Tarim, kedai-kedai masih belum dibuka … maklumlah awal lagi. Orang masih duduk berdhikir diatas sejadah lagiiii …

Pertama kami melangkah masuk ke kawasan pemakaman Zanbal, hati sudah terasa semacam … bercampur baur … sebak … entahlah … tapi tenang. Allahu Allah. Seperti biasalah adab masuk kawasan qubur … bagi salam dulu. Luas kawasannya. Terdapat beberapa buah kubah dan kawasan yang berbumbung. Kawasan pemakaman ni tidak seperti di tempat kita. Pokok cempaka atau kemboja tak dak. Nisannya pun kelihatan seragam. Makam pertama yang kami ziarah adalah maqam Sayyidina al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath (574H– 653H/1178M–1255M). Akupun mengeluarkan dari saku aku kutaib yang mengandungi tertib ziarah dhorih para sholihin sebagaimana yang diajarkan oleh al-Imam al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir. Setelah baca yang tercatat dalam kitab, kami ambil tempat dibawah teduhan tersebut untuk duduk baca surah Yaasin dan kemudian berdoa.

Sebelum nak cerita lebih panjang, maka abu zahrah nak bawa sikit hal berkenaan dengan ziarah maqam ahl bait niii ….yakni hukum menziarahi dhorih ahlul bait.



Abu zahrah petik ianya daripada kitab kitabnya a
l-Bayan Lima Yasyghul al-Adzhan – Soalan 48 [atau al-Bayan al-Qawim li Tashhih Ba’dhi al-Mafahim (soalan 12)]. Kedua-duanya karangan Mufti Mesir iaitu Syaikh Dr. ‘Ali Jum’ah حفظه الله.

Soalan 48: Apa hukum ziarah ke maqam-maqam aal baitin (ahli keluarga) Nabi صلى الله عليه وآله وسلم?



Jawab: Ziarah ke maqam ahl bait Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah termasuk sedekat-dekat qurb (pendekatan diri) dan bentuk ketaatan yang paling besar harapan diterima disisi Tuhan Semesta Alam. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah berwasiat kepada umatnya untuk memperhatikan ahli keluarganya.

عن زيدبن أرقم رضي الله عنه قال: قام رسول لله صلى الله عليه وسلم يومافينا خطيبا بماء يدعى خما بين مكة والمدينة، فحمد الله وأثنى عليه ووعظ وذكر، ثم قال : أما بعد! ألا أيها الناس، فإنماأنا بشر يوشك أن يأتي رسول ربي فأجيب ، وأنا تارك فيكم ‏ ‏ثقلين ‏ ‏أولهما كتاب الله فيه الهدى والنور فخذوا بكتاب الله واستمسكوا به فحث على كتاب الله ورغب فيه ثم قال: وأهل بيتي أذكركم الله في أهل بيتي أذكركم الله في أهل بيتي أذكركم الله في أهل بيتي

Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam رضي الله عنه, beliau berkata: Pada suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berdiri di tengah-tengah kami menyampaikan khutbah, ditempat sumber air yang disebut Khum terletak antara Makkah dan Madinah. Lalu baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan pujian dan sanjungan kepada Allah Ta’ala, memberi nasihat, dan mengingatkan. Kemudian baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Amma Ba’du. Perhatikan! Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia seperti kalian yang sudah hampir didatangi oleh utusan Tuhanku, lalu aku menyambutnya. Dan, aku tinggalkan pada kalian dua perkara besar iaitu pertama adalah Kitabullah (al-Quran), di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka, berpedomanlah dengan kitabnya dan berpegang teguhlah dengannya. - Disini, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mendorong untuk berpedoman dengan Kitabullah (al-Quran) dan menyukainya. - Kemudian baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, “Dan ahli baitku (keluargaku). Aku mengingatkan kalian kepada Allah Ta’ala pada (hak) ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah Ta’ala pada (hak) ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah Ta’ala tentang (hak) ahli baitku.” (Hadits riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (4:366) dan Muslim didalam shohihnya (4:1873)

Demikian juga, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga menganjurkan untuk melakukan ziarah qubur. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
زوروا القبور فإنها تذكر الموت

Ziarahlah kalian ke qubur, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kepada kematian.” [Hadits riwayat Ahmad didalam Musnadnya (2:441), Muslim di dalam Shahihnya (2:671) dan Ibn Hibban didalam Shahihnya (7:440)]

Telah saya jelaskan hukum berziarah secara umum sewaktu menjawab pertanyaan ke 46. Maka silalah rujuk.

Dan maqam yang paling utama untuk diziarahi setelah maqam Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah qubur para keluarga Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia, kerana dalam menziarahi dan mengasihi mereka terkandung sikap berbakti dan menyambung hubungan kasih terhadap Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana firman Allah Ta’ala [maksudnya]: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku melainkan kasih sayang atas al-Qurba (ahli keluarga).” (Surah asy-Syura (42): 23)

[Sedikit tambahan dari abu zahrah berdasar kepada kitab Ihya al-Mayyit bi Fadhaail Aal al-Bait oleh Imam Sayuthi – Didalam sebuah hadits yang dikeluarkan oleh Sa’id ibn Manshur didalam Sunannya daripada Sa’id ibn Jubair رضي الله عنه mengenai firman Allah Ta’ala [yang bermaksud]: Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku melainkan kasih sayang atas al-Qurba (ahli keluarga). Berkata Sa’id ibn Jubair رضي الله عنه : al-Qurba yang dimaksudkan di dalam ayat ialah ahli keluarga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . didalam hadits yang lain yang dikeluarkan oleh Ibn Munzir, Ibn Abi Hatim dan Ibn Mardawiah didalam kitab-kitab tafsir mereka, juga oleh ath-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata: Ketika turunya ayat ini – ayat 23 surah asy-Syura – Maka para shahabat bertanya. Wahai Rasulullah! Siapakah ahli keluargamu yang wajib kami kasihi itu? Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم: ‘Ali, Fathimah dan dua anak mereka (Hasan dan Husin) رضي الله عنهم .]

Bahkan, berziarah ke qubur-qubur mereka lebih utama daripada berziarah ke qubur kaum-kerabat yang telah meninggal dunia, sebagaimana perkataan Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنه:
والذي نفسي بيده لقرابة رسول الله صلى الله عليه وسلم أحب إلى أن أصل من قرابتي

Artinya: Demi Zat yang diriku berada di dalam genggamanNya! Sungguh kaum-kerabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم lebih aku cintai untuk aku sambungkan silaturrahim daripada kaum-kerabatku.” [Hadits riwayat Ahmad didalam Musnadnya (I:9), al-Bukhari didalam Shohihnya (3:1360) dan Muslim didalam Shohihnya (3:1390)
Beliau (Sayyidina Abu Bakar) juga berkata:
ارقبوا محمد صلى الله عليه وسلم في أهل بيته

Artinya: Perhatikanlah [wasiat] Muhammad صلى الله عليه وسلم mengenai urusan ahlulbait nya (keluarganya).”

Atas dasar ini, maka ziarah ke maqam ahlulbait Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia itu adalah dianjurkan dan lebih utama daripada berziarah ke maqam kaum-kerabt kita, kerana kaum-kerabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم lebih kita cintai daripada kaum-kerabat kita. والله تعالى أعلى و أعلم - Tamat Petikan -


Lepaih tu timboi lagi satu persoalan … lagumana pulak yang pakat dok pi usap atau cium maqam tu? Syirik! Haram! ….. sembah kubuq! ???? Selalunya depa dok kata lagutu lah … Maka aku pun nak wak mai jawapan dia lah … mana tau kot satgi ada tengok gambaq … baik punya dok sapu or cium kubuq (maqam) … hehehe …. Kali ni wak mai dari kitab al-Ajwibah al-Ghaliyah karangan Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith pulak. Kitab ni dapat hadiah dari Habib Umaq waktu pi multaqo ulama bersama Habib Umar di Bogor awai tahun hari tu. Aku dalam proses mengedit terjemahan kitab ni. InsyaAllah … mudah-mudahan dapat diterbitkan segera.


Soal: Apa hukum menyapu dan mencium qubur ?

Jawab: Hukumnya menurut kebanyakan ulama adalah makruh saja, sebahagian yang lain membolehkan untuk bertabarruk, dan tidak seorang pun yang mengatakannya haram.

Soal : Apa dalil yang membolehkannya?

Jawab : Kerana tidak warid dalil yang melarangnya dari Rasul صلى الله عليه وآله وسلم, dan juga telah diriwayatkan bahawa ketika Bilal رضي الله عنه, datang (dari negeri Syam) berziarah ke maqam baginda صلى الله عليه وآله وسلم, beliau menangis, dan membalik-balikkan (menyapukan) pipinya di qubur baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dan bahawasanya Ibnu Umar رضي الله عنهما, dahulu meletakkan tangannya yang kanan keatas qubur baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Telah menyebutkan yang demikian itu oleh Khatib ibn Jumlah [Lihat Wa-ul-Wafa` oleh as-Samhudi, 4:1405, 1409)

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad yang hasan dari al-Mutallib bin Hantab, beliau berkata: “Marwan bin Hakam datang, tiba-tiba ada seorang lelaki memeluk qubur, maka beliau pegang bahunya dan bertanya: “Apakah engkau tahu apa yang sedang engkau lakukan ini? Lelaki itu menjawab: Ya! saya tahu, sesungguhnya tidak aku mendatangi kepada liang dan batu-batanya, tetapi sesungguhnya aku mendatang kepada Rasul صلى الله عليه وآله وسلم. Kemudian al-Muthallib berkata: Lelaki itu adalah Abu Ayyub al-Anshori رضي الله عنه

Juga telah tsabit daripada Imam Ahmad رضي الله عنه bahawa beliau pernah ditanya mengenai hukum mencium qubur dan mimbar baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Maka beliau menjawab: Tidak mengapa perbuatan tersebut”. Imam as-Samhudi telah menyebutkannya didalam kitab Khulashatul Wafa

Maka dapatlah diketahui, bahawa tidak ada seorang pun dari aimmatil muslimin yang mengatakan haram hukumnya mencium dan menyapu qubur baginda صلى الله عليه وآله وسلم, lebih lagi hal itu dikatakan perbuatan syirik dan kafir. Hanya saja mereka berbeza pendapat tentang kemakruhannya sahaja, maka orang yang tidak sependapat dengan pernyataan ini dan menghukumi syirik kepada orang awam dikalangan muslimin, semestinya mendatangkan dalil atas dakwaanya itu. – tamat petikan ambo dari kitab al-Ajwibah al-Ghaliyah hal. 120 – 121.

Tambah mai sikit lagi mengenai hukum mencium qubur dan sesuatu yang terdapat diatasnya …. Imam ar-Ramli pengarang kitab Nihayatul Muhtaj menyatakan: Sungguhpun begitu JIKA di niatkan mencium qubur kekasih Allah untuk mengambil berkat, TIDAKlah ianya dimakhruhkan sebagaimana yang difatwakan oleh bapaku (Syihabuddin Ramli).

Semoga pakat dapat gambaran jelaih … agar jangan mudah-mudah dok tuduh syirik… kafir dan sebagainya kat orang lain. Kalau tak tau dok diam! Itu yang lebih selamat. Al-Imam al-Baqiilani رحمه الله berkata: “Sesungguhnya memasukkan seribu orang kafir ke dalam Islam dengan satu syubhah Islamnya lebih ringan daripada menuduh kafir kepada seorang muslim dengan seribu syubhah kekafiran”.

Ziarah Turbah Ahli Basyar atau Zanbal ni ada tartibnya sebagaimana tersebut didalam kitab adab ziarah yang disusun oleh Mufti Diyat Hadramaut al-Habib Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur. Antaranya menziarahi maqam menuurut urutan berikut: Maqam Sayyidina al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin Ali Ba'alawi; Maqam Sayyidina Alwi bin al-Faqih al-Muqaddam; Maqam Sayyidina Abdullah bin Alwi Ba'alawi; Maqam Sayyidina Wadi' Ahqaf Abdurahman as-Saqqaf; Maqam Sayyidina Ali bin Alwi Khali' Qasam; Maqam Sayyidina Muhammad Jamalullail; Maqam Sayyidina as-Syaikhan (Syaikh bin Abdurrahman dan Syaikh Abdullah Idrus); Maqam Sayyidina Syaikh Umar bin Abdurrahman al-Muhdhar; Maqam Sayyidina Abdullah dan Aqil ( anak habib Abdurrahman as-Saqqaf); Ratib Fatihah menghadap makam Furaith, dihadapan kubah al-Aidrus; Makam Sayyidina al-Aidrus Akbar al-Habib Abdullah al-Aidrus bin Abu Bakar as-Sakran; Makam Sayyidina Quthub ad-Da'wah wa al-Irsyad Abdullah bin Alwi al-Haddad); …. dan seterusnya. Begitu juga dengan bacaannya, yakni ada bacaan yang dianjurkan.


Selepas itu aku berjalan ke maqam-maqam yang berhampiran yang berada dideretan maqamnya Faqih Muqaddam. Antaranya maqam Habib Abdullah bin ‘Alawi; Maqam Habib ‘Alwi al-Ghuyur ibn Faqih al-Muqaddam; Maqam Ummul Fuqara Sayyidah Zainab – isteri kepada Faqih al-Muqaddam; makam Habib Umar bin Abdurrahman al-Muhdhar ….. kemudian ustaz Azhar membawa kami ke maqam guru kepada Faqih al-Muqaddam yang tidak jauh dari situ, Imam al-‘Amudi namanya kalau tidak silap aku …..





Maqam Faqih al-Muqaddam adalah maqam yang mula-mula sekali diziarahi di Zanbal, bahkan kata orang Tarim, kalau datang Zanbal tapi tak ziarah maqam Faqih al-Muqaddam, maka tidak sempurna ziarahnya. Siapakah gerangan Sayyiduna Faqih al-Muqaddam ni? Sebenarnya sudah banyak tulisan mengenai beliau, namun aku bawakan juga secara ringkas untuk tatapan bersama. Dek kerana posting ni pun dah berjela … maka aku tangguhkan bab manaqib Faqih al-Muqaddam ke episod yang akan datang … insyaAllah.


~ salam hormat dari al-faqir-ilaLlah abu zahrah ~

0 komen:

Related Posts with Thumbnails