Khamis, 15 November 2007

Bacaan al- Quran Di Tanah Perkuburan - Menjawab Tulisan Dr Azwira

BACAAN AL QURAN DI TANAH PERKUBURAN
Oleh : Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari

Izinkan saya merujuk artikel dari UKM yang disiarkan HADIS PALSU MENYESATKAN MASYARAKAT oleh Dr Azwira Abd Aziz dari UKM yang disiarkan Utusan Malaysia, ruangan Agama-Mega, 5 November 2007. Saya pasti pandangan tersebut adalah pandangan peribadi. Ia bukannya satu pandangan rasmi Fakulti Pengajian Islam, UKM mahupun JAKIM. Sayangnya, pandangan beliau tidak cukup fakta, amat keras dan melampau. Para pembaca yang jujur diminta meneliti dahulu bait2 penghujahan Dr Azwira. Kemudian baru disusuli dengan hujjah saya. Jangan jadi penonton separuh masa kedua. Nanti tak tahu hujung pangkalnya. Terlebih dahulu, Minta ampun dan minta maaf..jika saya terikut-ikut dengan rentak Dr Azwira dalam penulisan ini.

REALITI PERMASALAHAN

Perlu disedari bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur merupakan permasalahan ranting agama. Ia bukannya permasalahan tunjang mendasari Iman dan Islam. Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan. Demikian betapa fleksibelnya hukum syarak dalam permasalahan ini.

SUSUNAN DALIL

Tinjauan permasalahan ini menemukan kita dengan beberapa dalil. Samada dari kitab Suci al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Kekadang dalil berkaitan dapat difahami dan di hayati dengan baik. Kekadang ia gagal ditemui dan difahami. Lalu memanifestasi pelbagai tafsiran sonsang. Oleh itu, kita perlu memahami dalil secara jelas dengan sebaik-baiknya.

Dr Azwira jelas didapati gagal memahami hirarki dalil perundangan Islam. Sikit-sikit hadis, hadis, hadis…Macam dia tu perawi hadis, ulamak hadis, mahaguru hadis. Kenapa anda tidak merujuk al-Qur’an sebagai sumber utama.

Apabila kita membuka lembaran suci al-Qur’an didapati banyak ayat yang boleh dijadikan panduan bagi menjustifikasikan permasalahan ini. Antaranya :
  1. Surah alThur ayat 21
  2. Surah al-najm ayat 38 dan 39
  3. Surah al-Baqarah ayat 261
  4. Surah al-Kahf ayat 82
  5. Surah al-A’raf ayat 204
  6. Surah Surah al-Hasy ayat 10 DLL.
STATUS DALIL

Dalil syarak adakala bersifat qath’ie. Dan ada kalanya bersifat dzanni. Dalil Qath’ie adalah dalil yang jelas ketetapannya. Manakala dalil yang bersifat dzanni membuka ruang kepada ulamak untuk berijtihad. Justeru, perbezaan pendapat dikalangan ulamak adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama. Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak. Bahkan lebih akrab kepada taqwa. Sekaligus mengelakkan diri dari bersikap keras kepala terhadap amalan yang telah ‘diestablish’ para ulamak dan diperakui pihak berautoriti agama.



ANALISA FAKTA


Perlu diketahui secara insaf bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai. Adakalanya berstatus sahih, hasan, dhaif dan amat dhaif. Selain itu, kita juga yakin untuk menolak dari menggunakan hadis-hadis palsu. Antaranya ialah :


  1. Imam Muslim meriwayatkan : “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperolehi melalui dua rakaat solat di waktu dhuha.” (Muslim bin Hajjaj al-Neisaburi, Sahih Muslim, ed : Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, t.th, Dar Ihya’ Thurath al-Arabi : Beirut, hlm 498 juz 1). Imam al-Qurtubi mengatakan : “Berdasarkan dalil inilah para ulamak menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Qur’an itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”(al-Qurtubi, al-Tazkirah, Maktabah al-Iman : Mansurah, Mesir, hlm 74). Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan : “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Qur’an juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.” (Abdullah bin al-Siddiq, Itqan al-Sun’ah fi Tahkik Makna al-Bid’ah, 1997, Maktabah al-Qaherah : Mesir, hlm 8)
  2. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda SAW ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda SAW bersabda : “ Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1). Al-Qurtubi mengatakan : “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat dikalangan ulamak. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Qur’an sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”
  3. Imam al-Thabrani meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah : “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19). Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id hlm 44 juz 3 mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri dari kalangan perawi yang ditsiqahi (dipercayai). Manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini di dalam kitabnya al-Mustadrak hlm 512 juz 3 (al-Hakim, al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, 1990, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah). Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir turut memperakui hadis ini. (al-Asqalani, Talkhis al-Habir, 1964, ed : Abdullah Hasyim al-Yamani, al-Madinah al-Munawwarah, hlm 130 juz 2). Juga tiada sebarang komentar dari Imam al-Zaila’ie di dalam Nusb al-Rayah hlm 302 juz 2. Senario kesaksian ini juga turut dipersetujui oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Makki di dalam kitabnya Hadaya al-Ahya’ Lil Amwaat (Hadiah Si Hidup Kepada Si Mati) hlm 57. Pemerincian sanad hadis ini dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan para pengkritik hadis. Jika para pengkritik hadis bertauliah menerimanya..kenapa tidak dengan kita? Hadis di atas secara jelas menaskan kepada kita bahawa Abu al-Lajlaj Abu Khalid (Seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Qur’an di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian. Ternyata amalan membaca ayat suci al-Qur’an di atas kubur bukanlah sesuatu bid’ah yang sesat. Bahkan ia diwarisi daripada Nabi SAW sendiri. Justeru, amalan ini merupakan satu sunnah yang terpuji.
  4. Imam al-Baihaqi, al-Thabrani dan al-Hakim meriwayatkan dari Ibn Umar r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW : “Apabila salah seorang kamu meninggal dunia, jangan kamu menahan jenazahnya dan segeralah membawanya ke kubur. Bacalah disisi kepalanya Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah)-lafaz al-Baihaqi bunyi : “..permulaan surah al-Baqarah dan di sisi kakinya penutup surah al-Baqarah di kuburnya.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir m/s 44 juz 12, al-Baihaqi, Syuab al-Iman m/s 16 juz 7). Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawaid m/s 44 juz 3 mengatakan : “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir. Padanya terdapat Yahya bin Abdullah al-Bablati. Dia merupakan seorang perawi yang lemah.” Seterusnya al-Haitsami mengintegrasikan sanad yang lemah ini dengan riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu bersumberkan Abd Rahman bin al’-‘Ala bin al-Lajlaj yang diperakui kesahihannya. Kedua-dua hadis ini secara jelas membuktikan kepada kita bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan dari Nabi SAW agar dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an di tanah perkuburan. Walaupun riwayat dari Thabrani ini bertaraf dhaif, namun ia dibantu dengan beberapa riwayat yang sahih dari Imam Muslim dan al-Baihaqi sebagaimana di atas. Tambahan pula, Imam Ibn Hajr al-Asqalani mendakwa bahawa ia berstatus hasan (baik). (al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379H, Dar al-Makrifah : Beirut, hlm 184 juz 3). Manakala Imam al-Ajlouni ketika membentangkan hadis ini menyatakan bahawa hadis yang diriwayat al-Thabrani ini adalah marfuk. (al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’, 1405H, Muassasah al-Risalah : Beirut, cet 4, hlm 192 juz 1). Al-Zurqani mengatakan : “Bahawa hadis : “Apabila seseorang kamu telah meninggal dunia jangan kamu menahannya..adalah diriwayatkan al-Thabrani dengan sanad-sanadnya yang hasan.” ( al-Zurqani, Syarh al-Zurqani, 1411H, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, hlm 127 juz 2). Kehasanan hadis ini juga turut diperakui oleh al-Syaukani di dalam Subul al-Salam. (al-Syaukani, Subul al-Salam, 1379H, Dar Ihya’ Thurats al-Arabi : Beirut, Cet 4, hlm 106 juz 2). Justeru, kedhaifan sanad pada riwayat al-Thabrani secara automatik ditampung dengan riwayat yang sahih dan dhaif yang lain. Himpunan jaluran sanad yang dhaif menjadikan ia bertaraf hasan sebagaimana diperakui ulamak. Justeru, situasi ini sedikitpun tidak mencacatkan penghujahan terhadap amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Bahkan hujahnya kekal dalam kelasnya yang tersendiri.
  5. Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasai’ie, al-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi SAW bersabda: “Hati al-Qur’an adalah Yaasin. Tidaklah dibaca surah itu oleh seseorang yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan dosanya. Bacalah Yaasin kepada orang mati kamu.”Hadis ini dipandang sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Ibn Hibban menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan orang mati di dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati.. pendapat ini ditarjih oleh Ibn Qayyim dengan beberapa alasan yang diberikannya. Akan tetapi Ibn Rif’ah berpegang kepada zahir hadis di atas. Lantaran itu, beliau mengesahkan bahawa surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang telah mati. Al-Syaukani pula berpendapat bahawa lafaz al-Mauta pada hakikatnya bermaksud orang yang telah mati. Dan maksud hakikat tidak boleh dipesongkan melainkan ada qarenahnya.Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang hampir mati supaya dia dapat mentadabbur bacaan itu. Manakala tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang telah mati supaya seseorang itu mendapat manfaat pahalanya.” (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah, hlm 87 )
  6. Imam al-Baihaqi meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz dari Abu al-Abbas bin Ya’qub dari al-Abbas bin Muhammad katanya : “Aku bertanya Yahya bin Ma’in tetang membaca al-Qur’an di atas kubur? Lalu beliau menjawab berdasarkan kepada riwayat Abd Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj daripada ayahnya dari Ibn Umar yang menggalakkan amalan sedemikian.” Imam Ibn Hajr al-Asqalani di dalam Amali al-Azkar mengesahkan bahawa hadis ini bertaraf mauquf dan hasan. Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Imam Yahya bin Ma’in (sarjana hadis yang mashyur) sendiri turut membenarkan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur.
  7. Imam Muslim meriwayatkan : “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah(Muslim, Sahih Muslim, no: 870, hlm 539 juz 1). Imam al-Tirmidzi mengatakan : “Perkara yang dimaksudkan ‘Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan’ bermaksud jangan jadikan ia (rumah) sunyi dari berzikir dan melakukan ketaatan (kebaikan) sepertimana tanah perkuburan dan orang mati..” (al-Tirmidzi, Tuhfah al-Ahwazi, t.th, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, hlm 146 juz 8). Perintah hadis ini bersifat umum. Iaitu menggalakkan kita untuk membaca al-Qur’an di rumah atau di mana-mana sahaja kita berada. Asalkan bertunjangkan kepada niat, cara, tempat yang baik dan munasabah. Kandungan hadis ini sama sekali tidak menjustifikasikan larangan membaca Al-Quran ditanah perkuburan. Ini kerana kebenaran membaca al-Qur’an di tanah perkuburan tsabit dengan pemerincian hadis-hadis di atas. Oleh yang demikian, hadis yang bersifat umum tidak boleh digunakan hujjah untuk membatalkan galakkan yang bersifat khusus. Hal ini penting bagi mengelak percanggahan hadis.Tambahan pula, galakkan Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Qur’an khususnya surah al-Baqarah ternyata ada kelebihan tersendiri. Bacaan surah ini dapat menghalau syaitan dari bermastautin kerana penghuninya telah menghidupkan suasana rumah dengan ibadat. Mafhum sebaliknya, jika kita tidak membaca al-Qur’an di tempat kediaman, maka jadilah tempat kediaman itu sunyi sepi bagaikan tanah perkuburan. Walaupun kediaman dihuni makhluk hidup tetapi suasana kediaman itu bagaikan dihuni orang mati apabila tidak diserikan dengan ibadat. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Jangan jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan.’
Berdasarkan keterangan ini bolehlah diandaikan bahawa hujjah Dr Azwira yang mendakwa ‘kekerapan mereka membaca al-Qur’an di kubur daripada rumah menyebabkan segala syaitan yang ada di kawasan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam” amat kelakar. Dan layak diketawakan sahaja kerana ucapan seperti ini tidak sepatutnya dijadikan kiasan oleh seorang yang bergelar Doktor Falsafah dari Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah contoh seni analogi yang fasid dan menyimpang dari kebenaran serta tidak diluahkan oleh orang-orang yang berakal.

Pembongkaran ilmiah ini juga menemukan hakikat bahawa Dr Azwira sendiri sebenarnya yang cuba memandai-mandai melarang umat Islam dari membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Secara tak langsung, Beliau memanifestasikan rekaan hadisnya: “Jangan membaca al-Qur’an di atas kubur, nanti Syaitan yang ada disitu akan datang ke kawasan perumahan kamu.” Renunglah wahai mereka yang mempunyai akal fikiran!

Sebenarnya, hadis-hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur masih banyak, tetapi sengaja didatangkan beberapa hadis untuk disesuaikan dengan fokus perbincangan. Jika seseorang itu benar-benar celik hatinya dia pasti akan menerima hujjah dan kebenaran ini. Jika hatinya buta dan keras..hanya Allah sahaja yang mampu memberi hidayah.

PENDAPAT PARA ULAMAK

Sebenarnya isu klasik ini telah diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :

  1. Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”
  2. Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut, 1996, hlm 142 )
  3. Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”
  4. Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya : “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”
  5. Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”
  6. Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi SAW. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)

Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.

  1. Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159)
  2. Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”
  3. Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)
  4. Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)
KESIMPULAN

  1. Amalan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an di atas kubur merupakan salah satu dari permasalahan ranting agama. Galakkan ini bersumberkan dalil-dalil yang sahih, hasan dan dhaif.
  2. Al-Qur’an al-Karim sepatutnya dijadikan dalil utama. Manakala sumber hadis dijadikan dalil sekunder dalam apa jua permasalahan umat Islam.
  3. Himpunan dalil yang ada menjustifikasikan amalan ini sebagai amalan sunat. Ia dilihat sebagai amalan aksesori sahaja.
  4. Kita perlu memahami permasalahan usul dan furu’ secara menyeluruh beserta dalil-dalil dan kaedah syariah yang jelas. Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak. Di samping boleh mengelakkan diri dari bersikap fanatik dan melampau.
  5. Dr Azwira gagal membuktikan bahawa amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan sebagi bidah yang sesat. Pendapat seperti ini sebenarnya tidak diperkatakan oleh ahli ilmu. Amat malang bagi seseorang yang mempunyai Doktor Falsafah menduduki kerusi pensyarah Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah tetapi jahil tentang kedua-dua. Bahkan terus keras kepala bila hujjah ini dilihat menandasi pandangannya. Beliau hanya bijak memanjangkan ketaksuban terhadap al-Albaani semata-mata. Sehinggakan membutakan mata hati beliau bahawa dari menilai kebenaran jumhur ulamak. Justeru, pandangan kontroversi ala Wahhabi ini perlu di tolak.

SYOR DAN CADANGAN

  1. Fakulti Pengajian Islam, sepatutnya tidak membenarkan pensyarahnya mempergunakan jenama UKM untuk melariskan idea individu tertentu. Terutama dalam mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan arus perdana.
  2. JAKIM perlu membuat penyelarasan dengan pihak media agar isu-isu kontroversi agama tidak dibincangkan secara meluas dan emosional. Situasi ini dikhuatiri menyemarakkan perpecahan dikalangan umat Islam di Malaysia.
  3. Perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan generasi Salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.
  4. Para cendikiawan, profesional, pendakwah, pelajar Universiti sewajarnya sedar tentang aliran-aliran pemikiran yang tumbuh dalam persekitaran mereka. Jika anda mempunyai kekuatan, buatlah analisa secara sedar. Jika tidak, awasi dan jauhi diri anda dari pelbagai makhluk perosak zaman kini. Wallahu’lam.



1 komen:

Tanpa Nama berkata...

Saya simpan / copy paste di http://aburedza.wordpress.com/
Terimakasih

Related Posts with Thumbnails