Sabtu, 27 Oktober 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 30 – 33

Penyakit Ketigapuluh Satu : Banyak melakukan kesalahan dan dosa sehingga menyebabkan hati menjadi keras membatu.

Rawatannya : Ialah dengan memperbanyakan istighfar, bertaubat mengikut nafas, memperbanyakkan puasa, sholat tahajjud, berkhidmat kepada ulama’ sholihin, bergaul dengan para sholihin serta menghadiri majlis-majlis zikir. Pada suatu masa ketika seorang lelaki datang menemui Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengadu tentang hatinya yang keras lagi kesat, lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

أدنه من مجالس الذكر وقال إني لأستغفرالله في اليوم سبعين مرة

Maksudnya: Dekatkanlah hati kamu dengan majlis-majlis zikir, lalu Rasulullah bersabda lagi, sesungguhnya akau beristighfar kepada Allah sebanyak 70 kali sehari.” [Hadits riwayat Al-Darimi (Kitab al-Raqaiq); Ibn Hanbal 4/211]

Kemudian Rasulluh صلى الله عليه وسلم membaca ayat al-Quran [Hadits riwayat: Muslim (kitab al-Iman), al-Tirmizi (kitab al-Tafsir), Ibn Majah (kitab al-Zuhd), Ibn Hanbal 2/297, Surah al-Muthaffifin]:

كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَّا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya (ayat-ayat kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan ma’siat) yang mereka kerjakan”. (Surah al-Muthaffifin:14)


Penyakit Ketigapuluh Dua : Suka seronok berbual-bual dengan manusia tanpa sebab yang berfaedah di samping suka mengkaji ilmu yang pelik-pelik dengan sangat mendalam bertujuan untuk mempengaruhi hati orang awam serta untuk menarik perhatian manusia kepadanya.

Rawatannya : Ialah beramal dengan ilmu yang telah dipelajarinya, menasihatkan manusia dengan perilaku bukannya dengan perkataan. Hal ini dinyatakan Allah di dalam wahyunya kepada Isa as didalam wahyunya:

إذا أردت تعظ الناس عظ نفسك فإن اتعظت وإلا فاستح مني

Maksudnya: Jika kamu ingin menasihati manusia, nasihatilahlah dirimu terlebih dahulu. Jika kamu ingin menasihati juga maka hendaklah kamu merasa malu kepadaKu.


Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda bermaksud: “Semasa melalui perjalanan malam Isra’ ,aku telah menyaksikan satu golongan manusia menggunting mulutnya dengan gunting daripada api neraka, aku bertanya kepada Jibril, siapakah mereka itu? Jawab Jibril: Mereka itu ialah para ulama’ dikalangan umatmu. Mereka menyuruh orang lain berbuat baik tetapi mereka melupakan diri sendiri, sedangkan mereka itu membaca al-Quran. Apakah mereka tidak berfikir?” [Hadith didalam peristiwa Isra’ dan Mikraj masyhur disebut didalam kitab hadith yang diriwayatkan melalui berbagai jalan riwayat. as-Sulami mengambil riwayat daripada Ibn Abbas. Imam Ahmad ibn Hanbal telah meriwayatkannya dengan riwayat yang panjang didalam Musnadnya, 3/120,231,239, al-Bukhari (kitab al-Tauhid, Bad’u al-Khalqi), Muslim (kitab iman bil qadar), al-Tirmidhi (al-Qiyamah), Ibn Majah (al-Fitan), al-Muwattho’, Ibn Hanbal, 1/32,327. Lihat tafsir surah al-Isra’ dalam riwayat al-Bukhari.]


Penyakit Ketigapuluh Tiga : Seronok bergembira, merasa terpuji dan sentiasa berkeinginan untuk beristirehat, sedangkan itu semua adalah keburukan yang lahir dari kecuaian.

Rawatannya : Ialah sentiasa menyedari segala perbuatan yang dilakukan oleh diri yang berupa leka daripada melaksanakan perintah Allah serta melanggar laranganNya. Disamping itu, hendaklah beranggapan bahawa dunia ini adalah penjara baginya yang tidak ada istilah kegembiraan, kerehatan apabila berada di dalam suasana penjara.

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر

Maksudnya: “Dunia adalah neraka bagi seorang mu’min dan syurga bagi orang kafir.” [Hadits riwayat: Muslim (kitab al-Zuhd), al-Tirmizi (kitab al-Zuhd), Ibn Majah (al-Zuhd)]


Oleh itu, adalah sayugia bagi seseorang mu’min itu menjalani kehidupan ini seperti kehidupan dalam penjara bukannya kehidupan mereka yang sentiasa diselubungi kegembiraan.

Diceritakan daripada Daud al-Tae’i رحمه الله تعالى , bahawa beliau berkata, “Seolah-olah terputus urat jantung para arifin apabila melihat seseorang yang sentiasa merasa seronok dan istirehat.” Seorang lelaki berkata kepada Bisyr al-Hafi(1) رحمه الله تعالى, “Aku melihat wajah kamu sentiasa dalam keadaan muram! Jawab Bisyr, “Kerana tertanggung diatas bahuku tuntutan Allah”.

__________________

Notakaki

(1) Bisyr al-Hafi ialah Abu Nasr Bisyr bin Haris bin Abdul Rahman bin ‘Ata. Beliau dilahirkan pada tahun 150H. Beliau berasal dari bandar Marwa disebuah kampung bernama Bukrud. Seorang tokoh sufi peringkat pertama menurut susunan di dalam tabaqat as-Sulami. Beliau tinggal di Baghdad dan meninggal dunia disana dan seorang daripada pengikut Fudhail bin ‘Iyad. Al-Hafi terkenal dengan sifat sebagai seorang ulama dan wara’. Beliau meninggal dunia pada hari Rabu bersamaan 10 Muharram 227H. Khalifah al-Ma’mum pernah berkata, “Hanya Sheikh Bisyhr al-Hafi sahaja yang kekal pada masa ini sebagai seorang yang takut kepada Allah”. Ulama’ tasawwuf banyak meriwayatkan khazanah kesufian daripada beliau dalam bab redha dan menerima secara mutlak ketentuan Allah. Antara kata-katanya; “Akan tiba suatu zaman dimana orang-orang yang dungu akan menguasai golongan cerdik pandai”, katanya lagi: “Tidak akan sampai seseorang itu pada maqam kamil selagi dia boleh merasa aman dan senang terhadap musuh-musuhnya”, “Keindahan itu sabar itu ialah apabila seseorang itu tidak mengadukan masalahnya kepada sesama manusia”. Lihat Tabaqat as-Sufiah cetakan Maktabah Dar al-Sya’bi, 3-141, Raudatul Jannah 1/123, Wafayat al-A’yan 1/90, Tarikh Baghdad 7/67-80, Tarikh Ibn ‘Asakir 3/228, Safwah al-Safwah 2/183, Hilyatul Auliya’ 8/337, Tabaqat asy-Sya’rani 1/62, al-A’lam 2/27.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails