Khamis, 24 Mei 2007

Kitab Mawa’idz al-Badii’ah (مواعظ البديعة)

Tengahari kemarin (orang KL kata semalam … hehehe) sedang aku sibuk mengemaskini koleksi kitab-kitab aku. Maka terjumpalah sebuah kitab jawi yang nipis dan agak uzur. Belek punya belek baru perasan, kitab ini aku ambil dari rumah datuk di Kuala Kangsar, Perak setelah beliau meninggal dunia pada awal tahun 80an dulu. Bila teringatkan datuk aku ni, aku jadi sebak … apa taknya, aku hanya dapat tahu kewafatannya setelah seminggu beliau kembali kepadaNYA. Waktu tu aku dok tengah exam di universiti. Keluarga ambil keputusan tak bagi tahu pasai tak mahu ganggu pelajaran aku … Allahu Allah sedihhhhnyaaa … Sedih sungguh! Akulah satu-satu cucunya yang boleh tidoq sebelah dia bila aku balik kampung … dari kecik sampai ke besaq. Datuk aku wafat dalam usia 80an juga. Jadi kitab ini merupakan satu nostalgia buat aku. Aku sempat ambik beberapa buah kitab datuk aku. Selain dari kitab ini ada satu lagi yang dah agak uzur juga, iaitu kitab Bahrul Maadhi (بحر الماذى) karangan asy-Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi, iaitu cetakan tahun 1933M. Yang lain bapa saudara dah ambil dulu. Hah … kalau aku ada waktu tu, sah aku akan ambil semuanya. Tak mengapalah … itu kisah lama.

Kitab nipis yang dah uzur tu, cetakan tahun 1936M. Bayangkan dah hampir 71 tahun. Kitab tersebut bertajuk Mawaa’idz al-Badii’ah (مواعظ البديعة). Dalam cetakan ini tidak disertakan nama pengarang atau penterjemahnya. Berdasarkan pada isinya ada sedikit persamaan dengan al-Mawaa’idz fi al-Ahaadits al-Qudsiyyah yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali. Tapi kitab al-Imam al-Ghazali hanya setakat al-Mau’idzatus Thaminatu was Tsalatsun (Pelajaran 38) manakala kitab jawi klasik aku ni sehingga pengajaran ke-50. Tak samalah tu …. Mungkin tajuknya sahaja dan sedikit isi kandungannya sahaja. Tak mengapalah … tapi hati kecil aku nak tahu juga siapa pengarang kitab jawi nih ….

Nak dijadikan cerita, sebelum ‘asar, seorang rakan dari Kajang yang juga murid kepada Tuan Guru Hj Wan Muhmmad Saghir, talipon, maka aku mengambil kesempatan bertanya kepada beliau …. Alhamdulillah, terungkai lah tanda tanya aku. Kitab tersebut adalah karangan
asy-Syaikh Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fanshuri. Ianya juga ada dicetak bersama dengan kitab Muhimmah yang dikarang oleh Syaikh Abdur Rahim al-Fathoni. Allahu Allah … aku terlepas pandang rupanya. Apa taknya … kitab Muhimmah dah khatam pun tapi tak belek habis. Tamat baca Muhimmah, tutup kitab simpan ….

Maka aku baca Mawaa’idz al-Badii’ah ni dan mendapati ianya sarat dengan mutiara peringatan yang bermutu tinggi. Ni, aku nak kongsi sikit sebagai pengenalan. Nanti kalau ada kesempatan kita kongsi lagi, insyaAllah ………

(Aku mulai) kitab ini dengan nama Allah yang amat murah pada memberi rezki akan segala hambanya yang mu’minin dan kafir dalam negeri dunia ini lagi yang amat mengasihani akan segala hambanya yang mu’minin di dalam negeri akhirat itu. Segala pujian bagi Allah yang memiliki sekelian ‘alam. Bermula rahmat Allah dan salam Allah itu, iaitu tsabit atas penghulu kita Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu penghulu segala Nabi dan penghulu segala Nabi yang mursal [Nabi yang diangkat menjadi Rasul], dan atas segala keluarganya dan segala shahabatnya segala mereka itu. Adapun kemudian dari itu.

Maka inilah suatu kitab yang kunamai akan dia al-Mawa’idz al-Badii’ah artinya segala pengajaran yang indah-indah. Hai segala anak adam laki-laki dan perempuan percayakan oleh kamu akan segala pengajaran ini. Jangan engkau syak akan dia kerana segala pengajaran ini setengahnya aku ambil daripada perkataan Allah Ta’ala dan setengahnya aku ambil daripada perkataan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan setengahnya aku ambil daripada perkataan shahabat رضي الله عنهم dan setengahnya aku ambil daripada perkataan auliya’ رضي الله عنهم dan setengahnya aku ambil daripada perkataan hukama’ dan ulama yang ‘aamilin رحمه الله عليهم.

(Hai anak adam) taruhkan pada sisi kamu, jangan kamu beri jauh akan dia dan tilik oleh kamu kepadanya sehari sekali atau seJum’at sekali atau sebulan sekali. Jangan kamu ta’khirkan daripadanya, mudah-mudahan jadi lembut hati kamu. (Hai anak adam) jika kamu percaya akan menegah. Pengajaran ini serta kamu amalkan akan dia maka kamulah hamba yang pilihan dan jika kamu munkir akan dia dan tiada kamu amalkan akan dia maka kamulah makhluq Allah yang kerugian dan jikalau ada kamu hafaz seribu kitab sekalipun. (dan barangsiapa) berkehendak kemenangan di dalam dunia dan dalam akhirat maka hendaklah menaruh akan kitab ini serta melezimkan menilik kedalamnya kerana adalah di dalam kitab ini beberapa pengajaran.

(Maka pengajaran yang pertama) Berkata Allah سبحانه وتعالى:
  • tercengang [hairan/ ‘ajib] Aku bagi barangsiapa [yang] yaqin ia akan hisab (yakni) kira-kira pada hari qiamat, maka betapa ia menghimpunkan harta
  • (dan) tercengang Aku bagi barangsiapa yang yaqin ia akan kubur maka betapa ia tertawa-tawa
  • (dan) ajiblah Aku [yakni hairanlah Aku] bagi barangsiapa yang yaqin ia akan akhirat maka betapa bersenang-senang ia di dalam dunia
  • (dan) tercengang Aku bagi barangsiapa yang yaqin ia akan fana’ [binasa] dunia dan hilangnya betapa mengambil ketetapan ia di dalam dunia
  • (dan) tercengang Aku bagi barangsiapa yang ‘alim ia dengan lidahnya dan jahil dengan hatinya
  • (dan) tercengang Aku bagi orang yang bimbang dengan keaiban orang pada hal lupa ia akan keaiban dirinya
  • (dan) tercengang Aku bagi orang yang bersuci ia dengan air pada dzahir jua pada hal tiada ia menyuci akan hatinya
  • (dan) tercenganglah Aku bagi orang yang mengetahui ia akan bahwasanya Allah Ta’ala itu melihat Ia kepadanya maka betapa durhaka ia akan Dia
  • (dan) tercenganglah Aku bagi orang yang mengetahui ia akan bahwasanya dirinya itu akan mati, pada halnya seorang dirinya dan masuk kubur ia seorang dirinya, maka betapa berjinak-jinak ia dengan segala manusia.
  • Tiada Tuhan melainkan Allah, bahwasanya Muhammad itu hambaKu dan rasulKu sebenarnya.

[Transliterasi kami adalah berdasarkan kepada kitab Mawa’idz al-Badii’ah; diterbitkan oleh Wan Abdul Jalil bin Wan Hasan – Orang Kaya Temenggung Paduka Raja, Perak; Tarikh 10-5-1936. Adapun yang cetakan bersama kitab Muhimmah kami gunakan sebagai rujukan apabila bahagian dari kitab kami yang rosak. Kami dapati terdapat sedikit perbezaan pada susunan ayat dengan yang terdapat pada cetakan bersama kitab muhimmah – abu zahrah-]

Insyaallah, kalau ada kesempatan aku akan kongsi bersama, mutiara nasihat dan pengajaran dari kitab ini … dari pengajaran 1 sehingga pengajaran 50. InsyaAllah.

2 komen:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Sungguh bagus sekali ruang ini diwujudkan sebagai wacana maya yang perlu disebarkan demi mengembalikan budaya ilmu di kalangan masyarakat kita hari ini.

Sebenarnya saya sedang mencari sedikit latar belakang ulamak-ulamak yang memberi sumbangan kepada kitab jawi yang ditulis oleh Sheikh Nsir al Banjari.

Kalau sekiranya ada yang mengetahuinya di harap dapat membantu saya memberi sedikit maklumat mengenainya.

Di bawah ini disenaraikan nama-nama ulama tersebut untuk rujukan sahabat dan rakan taulan.

Di mana saya boleh dapat maklumat mengenai ulama-ulama ini..di harap saahabat handai dapat membantu.

1. Sheikh Ahmad b. Muhammad b. Sheikh Fadlullah al-Hindi
2. As-Syed Abdullah Abu Bakar al-Idrus
3. Sheikh ABdul Qadir bin AHmad al Kuhni Islam

Sekian, terima kasih

Abu Mohsein

Ensiklopedia Living Hadis berkata...

ِAssalamualaikum wr. wb.
Menarik sekali ketika saya membaca ulasan dalam blog ini. SAya sudah lama mencari tu kitab,al-mawa'idz al-badi'ah, tapi tak jumpa juga. Kalau boleh, bisakah kitab tersebut di-share via email, atau di copy? Terimakasih. Ubayd (Jakarta)

Related Posts with Thumbnails