Selasa, 22 Mei 2007

Karunia

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan keizinana dariNYA aku dapat menghadiri majlis pengajian kitab bersama asy-Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari. Disamping itu dapat juga ketemu dengan saudara-saudara sepengajian aku. Hari Sabtu dan Ahad, mengaji kitab hadits riwayat 10 orang shahabat رضي الله عنهم himpunan tuan guru kami asy-Syaikh Muhammad Nuruddin dan juga kitab an-Nasho-ih ad-Diniah wal Washoya al-Imaniah karangan al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘alawi al-Haddad رضي الله عنهPada mula aku merancang mau mengikuti pengajian Shaikh di Ipoh, tetapi tak dapat, ada sedikit keuzuran. Ya kalau ke Ipoh boleh juga ziarah rakan taulan disana. Dah lama tak singgah rumah seorang rakan di Bukit Meru.

Setelah habis pengajian cadangnya mau mengikuti Shaikh ke Surau an-Nur, Seremban 2. Arghhh … tertidur pulak. Bangun pun dah masuk waktu ‘asar. . Keletihan! MasyaAllah, telinga ku dikencing syaitan … sampai tidak kedengaran azan dikumandangkan. Keletihan cuma satu alasan! Maka aku ambil keputusan untuk ke Masjid Baitul Aman untuk menghadiri majlis bersama al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Ramai juga yang datang. Tapi kemudian diumumkan bahwa al-Habib Umar tidak dapat bersama. Namun aku bersyukur kerana beberapa nikmat yang Allah berikan kepadaku, antaranya:

(Pertama) Dapat bersama-sama dengan para habaib. Bersholat bersama mereka. Berik’tikaf bersama mereka bahkan dapat makan setalam dengan mereka. Bagi aku itu satu nikmat. Sememangnya aku sangat menyintai ahlul bait. Menyintai ahlul bait bukan bererti kita syiah … itu satu tafsiran yang salah yang datang dari mereka yang tidak bertanggungjawab. Tuntutan menyintai ahlul bait adalah merupakan salah satu daripada pegangan ahlus sunnah. Kalau nak tau lagi tentang kelebihan ahlul bait, maka bacalah kitab Ihya-ul Mayyit bi Fadho-ili Aali al-Baiti karangan Imam as-Sayuthi رحمه الله Aku sekadar nak bawak sepotong dua hadits untuk dikongsi bersama.

Hadits 1
Dikeluarkan oleh at-Tirmidzi, ath-Thabarani dan al-Hakim daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما , beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (artinya): Cintailah Allah kerana nikmat kurniaNya memberikan kamu makan. Cintailah aku kerana cintakan Allah dan cintailah ahli baitku kerana mencintai aku. [at-Tirmidzi dan al-Hakim menshahihkan hadits ini dan dipersetujui oleh az-Zahabi di dalam al-Takhlis]

Hadits 2
Dikeluarkan oleh ath-Thabrani di dalam kitabnya al-Ausath sebuah hadits daripada al-Hasan bin ‘Ali رضي الله عنهما bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (artinya): “Lazimilah mencintai kami ahlul bait kerana barangsiapa yang menemui Allah Ta’ala dalam keadaan mencintai kami, akan dimasukkan ke dalam syurga dengan syafaat kami. Demi Allah yang jiwaku berada di dalam kekuasaanNya, tidak bermanfaat amalan seseorang hamba melainkan dengan mengetahui hak-hak kami. “ [Hadits riwayat ath-Thabrani di dalam al-Ausath. Juga diriwayatkan oleh as-Sakhawi di dalam Istijlab dan beliau berkata hadits ini dhoif]

Al-Rabi’ (murid kepada Imam asy-Syafie) berkata, ketika beliau mengerjakan haji bersama gurunya Imam asy-Syafie رضي الله عنه , kami melihat beliau tidak mendaki suatu tempat tinggi atau menuruni kawasan lembah melainkan beliau menangis dan dan melantunkan nasyid yang menujukkan kecintaannya yang mendalam kepada ahulu bait. Antara nasyidnya:
Ahlul bait Nabi رضي الله عنهما adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah. Aku berharap kelak (dengan keberkatan mereka) agar dapat diserahkan sahifahku (buku catatan amalan) dengan tangan kananku [al-Bayan fi Mazhab al-Imam asy-Syafie]


Bahkan sebelum wafatnya Imam asy-Syafie mewasiatkan agar jenazahnya disholatkan oleh Sayyidah Nafisah yang merupakan seorang ahlulbait yang tinggal di Mesir. Aku ada membaca kisah seorang ulama besar Mesir iaitu Shaikh Mutawalli Sya’rawi رحمه الله تعالى juga seorang yang sangat menyintai ahlul bait. Kalau nak cerita banyak lagi … buka kitab insyaAllah jumpa lah … Bukan itu saja hatta Sayyidina Umar al-Khattab رضي الله عنه mengahwini Ummu Kalthum binti Sayyidina ‘Ali رضي الله عنهما semata-mata kerana ingin menghubungkan dirinya dengan ahlul bait, kerana beliau pernah dengar Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya: “Semua sebab, nasab dan persemendaan akan terputus pada hari Qiamat melainkan sebabku, nasabku dan persemendaanku”. Didalam Fadidul Qadir disebutkan bahwa nasab itu anak yang lahir dari kerabat sebelah bapa manakala sebab ialah perhubungan yang terhasil melalui perkahwinan, manakala al-Dailami berkata sebab itu ialah pertalian dan kasihsayang. الله أعلم. Aku bukan nak tulih bab ni pun Cuma kebetulan.

(Kedua) Dapat mendengar tazkirah dari Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri dari Solo Indonesia. Beliau merupakan salah seorang murid awal al-Habib Umar. MasyaAllah, bagus sekali tazkirah yang diberinya. Setelah itu dapat mengikuti kuliah bulanan yang disampaikan oleh al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid dari UIA. Pengajian kitab ad-Da’wah at-Tammah oleh al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘alawi al-Haddad. Alhamdulillah, santapan rohani yang lazat! Semoga hati hidup dan segar …..

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


(Ketiga) Kebetulan sewaktu hidangan makan selepas sholat Isya’ saya dapat makan dengan seorang ustaz muda Syed Hafiz namanya kalau tidak silap. Merupakan cucu-cicit tokku paloh. Masyaallah, usianya muda, ilmunya tua. Pernah bertemu ramai ulama ketika belajar di Mesir dan juga Yaman. Allahu Allah …. Gembiranya hatiku pabila aku yang serba kerdil ini bertemu mereka. Aku bertuah kerana dapat makan sehidang dengan mereka yang berilmu, sholeh lagi bertaqwa, hafaz al-Quran dan ahli zikir. Masyaallah! MasyaAllah! Bukankah ada hadits yang mengatakan jangan kamu makan melainkan dengan orang bertaqwa. Allahu Allah besarnya karunia Allah padaku malam ini. Dan sewaktu kami menjamah makanan, dikhabarkan bahwa nanti, insyaAllah, al-Habib Zin bin Ibrahim bin Sumaith dari Madinah al-Munawwarah akan Malaysia. MasyaAllah, satu khabar gembira buat aku. Selama ini aku hanya ketemu murid beliau dan membacakan kitab-kitab beliau. Dan moga-moga dipanjangkan umurku untuk bertemu dengan ulama habaib ini. آمين

Alhamdulillah. ًWalaupun aku terlepas untuk mengikuti majlis ilmu di Surau an-Nur Seremban 2, namun dengan kasih-sayangNYA digantikan dengan satu majlis yang lain yang tersangat besar artinya padaku.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails