Khamis, 10 Mei 2007

Ulama' Nusantara



"Manakala amalan masyarakat Malaysia bukanlah madzhab syafi'iy sepenuhnya tapi madzhab Nusantara kerana bercampur dgn ajaran tareqat, sedangkan Imam Syafi'iy membenci ajaran tareqat ketika berada di Baghdad. Amalan fiqh solat Nusantara boleh dilihat secara praktikal di mesjid-mesjid sekitar anda dan mungkin ibubapa anda sendiri. Madzhab Nusantara adalah istilah yg lebih sesuai kerana madzhab syafi'iy telah mengalami evolusi yg pesat dalam acuan tempatan dari aliran Pathani, Kelantan (Malaysia amnya), Brunei, Indonesia dan Gugusan Nusantara seluruhnya"


Bagi kami kata-kata diatas adalah tiada beradab sama sekali. Bahkan itu adalah satu fitnah kepada ulama Nusantara. Tidak selayaknya seorang yang kononnya mengaku ahli ilmu berkata yang sedemikian. Tiada manfaat ilmu tinggi dan amal banyak kalau ianya mewariskan kesombongan dan keangkuhan. Sifat sebegini tidak ubahnya seperti Azazil.

Kenyataan yang kami bawakan diatas, ternyata menunjukkan penulisnya [kami rahsiakan nama penulisnya] mempelekeh, memperleceh, menghina malah memfitnah ulama’-ulama’ alam Melayu. Kami tidak pasti apakah penulis diatas mengetahui sejarah hidup ulama’-ulama’ alam Melayu atau sekurang-kurangnya membaca kitab-kitab tulisan mereka.

Maka bertitik tolak dari tulisan diatas, kami berazam [insyaAllah] untuk mempertahan maruah mereka seterusnya memperkenalkan ulama-ulama alam Melayu dibawah label Jejak Ulama Nusantara diblog kami yang tersangat kerdil ini. Kami bukanlah seorang yang layak untuk memperkatakan hal-hal sebegini, kerana kami bukanlah seorang ahli tarikh maupun seorang ahli ilmu. Tetapi kami adalah seorang insan kerdil yang haqir lagi faqir, yang menyintai mereka (ulama-ulama alam Melayu). Namun demi untuk meneruskan kesinambungan kerja-kerja yang pernah diusahakan oleh al-Marhum Tuan Guru asy-Syaikh Hj Wan Mohd Shaghir bin Hj Wan Abdullah bin Hj Wan Abdurrahman bin Wan Abu Bakar [wafat pada hari Khamis, 24 Rabiulawwal 1428 bersamaan 12 April 2007], yakni memperkenalkan serta memartabatkan ulama’ alam Melayu dan hasil karya mereka, maka kami gagahi jua dengan apa yang ada. Insyaallah kami akan paparkan juga penulisan al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir mengenai ulama-ulama Melayu dan kitab penulisan mereka untuk tatapan bersama. Maka dari situ antum dapat menilai martabat ulama melayu dari segi keilmuan mereka.

Janganlah terpengaruh dengan dakwah [dakyah????] golongan yang menjadi pemecah-belah perpaduan umat Melayu yang beragama Islam. Fahaman yang mereka [yang dikenali dengan nama kaum Muda atau golongan ittiba’ atau ‘salafi’ atau wahabi atau golongan tajdid dan entah apa-apa lagi nama – pada kami mereka adalah golongan tabdi’ bahkan kalau yang dah ultra tu sampai peringkat takfir - Nauzubillah] bawa tidak mendapat tempat di Tanah Melayu sejak dahulu lagi atas kegigihan ulama’-ulama’ kita memeranginya dengan lisan mahupun penulisan. Ulama-ulama kita telah menjawab segala persoalan yang mereka cuba bangkitkan semula kini. Tetapi dek kerana kejahilan kita mengenai ulama-ulama kita dan karya mereka, kita tercari-cari, teraba-raba dalam mencari jawaban, sedangkan ianya telah sedia terhidang.

Pendokong gerakan yang mendakwa ‘salafi’ kini kebanyakan terdiri dari golongan professinal yang dikenali dengan ‘protaz’.Sepanjang yang kami perhatikan, golongan ini bukanlah mendapat pendidikan formal didalam disiplin pengajian Islam, dan mereka inilah yang mengkritik pendapat-pendapat para ulama yang sudah masyhur ke’mu’tabar’annya. Seumpama anak kecil yang baru tahu membaca menyanggah seorang yang sudah lama bergelar professor (sekadar satu perumpamaan). Baru kenal alif, ba, ta … sudah mahu menyanggah ulama mujtahid. Nauzubillah.

Oleh itu tinggalkan mereka. Carilah ulama yang tawadhu dengan ilmu mereka. Yang beradab dalam menyampaikan ilmu dan pendapat.

Marilah perhati dan hayati pesanan al-Marhum Tuan Guru Hj Abdullah Fahim ini:


بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع).

Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya.

Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.

Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Sair as-Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'

[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]

Antara pesanannya lagi:

“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang kelaur dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu…….

Hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama’ ahli al-Sunnah wal Jamaah ……

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafir, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri ……

Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi:

“Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia …….”


[Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 37 - 38]

Coretan kami ini adalah untuk mengingatkan akan bahaya dan ancaman yang dibawa oleh golongan tabdi’ ini, agar kita lebih berhati-hati dengan mereka. Khilaf pendapat itu adalah lumrah tetapi menafikan pendapat orang lain sehingga membid’ah dholalahkan atau melebelkan sebagai penyembah kubur, musyrik, membuat agama baru dan sebagainya, kepada sesuatu golongan lain itu merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Semoga Allah kurniakan hidayah dan taufiqNya kepada kami dan juga kepada antum. Wassalam.

1 komen:

Awanama berkata...

Alhamdulillah. Teruskan usaha anta. Semoga anta diberikan madad oleh Allah 'Azza Wa Jall.

Related Posts with Thumbnails