Khamis, 5 Januari 2012

Indahnya Bersama Ulama - 1


Bersama Syeikh Nuruddin bin Marbu bin ‘Abdullah Thayyib al-Banjari di Bogor


Alhamdulillah, dengan rahmat dan belaian kasih-sayangNya, al-fagir telah berkesempatan untuk menyertai daurah bersama pengasuh Ma’had az-Zein al-Makki al-‘Aliy di Bogor, Guru Mulia al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Muhammad Nuruddin bin Marbu bin ‘Abdullah Thoyyib al-Banjari al-Makki. Dan al-fagir ingin merakamkan ucapan ‘jazakumuLlah’ kepada individu-individu yang telah bermurah hati untuk menaja perjalanan al-fagir ke Bogor.


Al-fagir bersama teman karib, al-Fadhil Ustaz Muhadir dan Ustazah Syarifah Fathimah binti ‘Abdul Gadir al-Yahya berangkat ke Jakarta pada tanggal 5 Muharram 1433H bersamaan 1 Disember 2011M dengan penerbangan AirAsia. Sesampai di Bandara kami telah dijemput oleh Ustaz Abu Ihsan yang merupakan salah seorang penuntut di Ma’had Zein. Rupanya pada tanggal tersebut, para santri Ma’had az-Zein begitu sibuk sekali dari pagi sampai ke malam untuk menyambut delegasi dari Malaysia. Kalau tidak salah perkiraan al-fagir, delegasi dari Malaysia yang menyertai daurah ini memcecah hampir 40 orang. Ada dari Johor, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan, KL/Selangor, Perak dan Kedah.

Al-Fagir, al-Fadhil Ustaz Muhadir, Tuan Haji Shahrom, Ustaz Hanif Derang (PA kepada Syeikh Nuruddin di Malaysia) dan Ustaz ‘Abdul ‘Aziz telah ditempatkan dirumah yang berhampiran dengan rumah Guru Mulia Syeikh Nuruddin atau kalau disana dikenali rumah Haji Kamal.

Di rumah inilah kami ditempatkan
Daurah bermula selepas ‘ashar hari Jumaat. Selain peserta dari Malaysia, terdapat juga perserta dari Sumatera, Kalimantan, Jakarta, Surabaya, Lombok dan kawasan sekitar Bogor. Alumni Ma’had az-Zein, juga turut hadir, Jumlah kesemua peserta termasuk santri Ma’had az-Zein mencecah 400 orang rasanya. Kitab yang dibaca sepanjang daurah sebanyak 3 buah kitab iaitu Irsyadul ‘Ibaad ila Sabiilir Rosyad karya al-Imam al-Faqih al-‘Allamah Ahmad Zein ad-Diin ibn ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari asy-Syafie (wafat 987H). Pada awalnya dijadualkan untuk dibaca kitab Fatawa al-Imam an-Nawawi, iaitu kumpulan fatwa (363 fatwa) yang dikumpul oleh murid Imam Nawawi iaitu al-Imam al-‘Allamah al-Haafidz al-Fagiih ‘Alauddin ‘Ali ibn Ibrahim ibn al-‘Atthar ad-Dimasyqi رضي الله عنهما. (654 – 724H), namun ianya diganti dengan kitab Irsyuadul ‘Ibaad ila Sabiilir Rosyad, kerana kitab Fatawa yang ditempah tidak sampai ke Ma’had. Selain itu kitab yang dibaca adalah Iqaamatul Hujjah ‘ala anna al-Iktsaar fi at-Ta’abbud Laisa bi Bid’ah karya al-Imam Abi al-Hasanaat Muhammad ‘Abdul Hayy al-Lakhnawi al-Hind (1264 – 1304) dan al-Khairaat al-Hisaan fi Manaqib al-Imam al-Adzam Abi Hanifah an-Nu’man karya al-Imam al-Faqih Syihabuddin Ahmad bin Muhammad ibn Hajar al-Haitami al-Makki.


Tangga menuju ke kediaman kami.
Pada mulanya daurah dijadualkan dilangsungkan di dewan tafaqquh di belakang rumah Guru Mulia Syeikh Nuruddin, namun kerana saking ramainya peserta dan dewan tersebut tidak mampu untuk menampung jumlah peserta maka daurah diadakan di aula atau dewan sholat di bahagian bawah. Sewaktu al-fagir menghadiri daurah yang pertama yang pertama pada bulan Rajab 1430H, kami mengkhatamkan kitab al-Adab al-Mufrad (lebih kurang 1,322 hadits) di dewan tafaqquh. Masa itu masih dapat memuatkan peserta. Dan yang datang dari luar pun tidak begitu ramai. Namun tahun ini ramai sekali yang menyertainya hinggakan tidak muat dewan tafaqquh.


Secara ringkasnya, antara yang diberi penekanan di dalam dauroh ini adalah bab-bab yang penting sepeti bab al-riddah dan sebab-sebab yang boleh membawa kepada riddah yang tersebut di dalam kitab Irsyuadul ‘Ibaad ila Sabiilir Rosyad, bab kelebihan, keilmuan dan ibadahnya Imam Abu Hanifah di dalam al-Khairaat al-Hisaan fi Manaqib al-Imam al-Adzam Abi Hanifah an-Nu’man dan bab tentang banyaknya ibadah para shahabat, tabi’in dan tabi at-tabi’in رضي الله عنهم di dalam Iqaamatul Hujjah ‘ala anna al-Iktsaar fi at-Ta’abbud Laisa bi Bid’ah. Selain itu juga banyak hal-hal mengenai adab menuntut ilmu yang ditekankan. Pendekkata terlalu banyak mutiara ilmu yang dapat dikutip sepanjang 4 hari berdaurah.


Setiap kali permulaan pengajian, dilantun bacaan burdah karya Imam al-Bushiri. Sungguh menyentuh hati. Pada tanggal 9 dan 10 Muharram peserta dauroh berpuasa dan berbuka bersama. Dan pada petang 10 Muharram, Guru Mulia Syeikh Muhammad Nuruddin telah membacakan kepada peserta Musalsal Hari ‘Asyura. 

Pada hari penutup daurah, 6 ekor biri-biri telah disembelih untuk aqiqah dan dijamukan kepada para hadirin. Alhamdulilah, sl-fagir dan Ustaz Hanif Derang telah bertugas sebagai tukang masak untuk masak kambing yang diaqiqahkan untuk jamuan pada sebelah malamnya. Malam penutup adalah acara kemuncak kerana selain penutupan dauroh, diadakan juga majlis konvokesyen pelajar Ma’had az-Zein. Para santri yang telah tamat belajar di Ma’had az-Zein dianugerahkan ijazah pengajian mereka, yakni ijazah sanad ilmu dari Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin dan dipakaikan kepada mereka jubah dan syal/burdah (kain selendang).



Pada 12 Muharram 1433 bersamaan 8 Disember 2011, al-fagir dan Ustaz Muhadir berangkat pulang ke KL, manakala Ustzah Syarifah Fathimah tinggal di Bogor untuk meneruskan pengajian sehingga 29 Disember. Kami bertolak awal, yakni sebelah pagi ke Jakarta walaupun penerbangannya pada sebelah malam (jam 8 malan waktu Jakarta). Ambil peluang untuk ke kedai kitab di Tebet dan Kwitang. Alhamdulillah, 2 orang santri Ma’had menjadi teman kami kesana. Namun kami sekadar sempat ke PT. Shorouk Indonesia sahaja kerana masa dan keadaan jalannya yang tersangatlah macetnya. Maka ubah rancangan dengan menunaikan hajat Ustaz Muhadir untuk makan bebek. :). Selepas makan berangkat ke bandara, dan kami mendarat kira-kira jam 11.45 malam. Alhamdulilah. 

Sekian,
al-fagir ilaLlah abu zahrah
taman seri gombak
khamis, 11 shafar 1433/5 januari 2012

  

0 komen:

Related Posts with Thumbnails