Khamis, 5 Januari 2012

Indahnya Bersama Ulama - 2



Bersama al-Musnid Syeikh Muhammad Husni bin Muhammad Hayat bin Muhammad Ilyas Ginting al-Langkati al-Azhari

Sekembali dari Indonesia, dengan rahmatNya, al-fagir dapat pula bersama Syeikh Husni. Al-fagir telah mengaturkan majlis untuk beliau di UIA Gombak dan PJ. Alhamdulillah, beliau membacakan beberapa hadits musalsal di UIA Gombak dan setelahnya membacakan kitab Syamail Muhammadiyyah, dengan petikan beberapa hadits dari setiap bab. Manakala di UIA Gombak, beliau membaca kitab beliau al-Ayaat al-Mufassholat fi al-Ahadits al-Musalsalaat. Alhamdulillah. Seterusnya pada 15 Disember, al-fagir membawa Syeikh Husni untuk bertemu beberapa orang ulama Kedah. Turut serta Ustaz Muhadir dan saudara Hafiz Zakaria sebagai pemandu. Sepanjang perjalanan, Syeikh Husni bacakan kepada kami kitab Umdatul Ahkam min Kalam Khairil Anam صلى الله عليه وآله وسلم (430 hadits) mengguna kitab Ihkamul Ahkam Syarah ‘Umdatul Ahkam oleh al-Imam Ibn Daqiqil ‘Aiid. Alhamdulillah kami dapat khatamkannya sewaktu dalam perjalanan pulang ke KL. Sesuatu yang sangat menyeronokkan apabila berjalan dengan seorang yang sangat menghagai masa. Masa kami tidak berbuang begitu sahaja bahkan diisi dengan pembacaan hadits. 

Di UIA PJ. Bergambar bersama pelajar Darul Qur'an

Bergambar bersama pelajar Darul Qur'an setelah mengambil ijazah memakai serban

Kami sampai di Sik ketika hampir waktu Maghrib. Sesampai di Sik al-fagir menghubungi Ustaz Helmi Pondok Sik untuk meminta bantuan mereka tunjukkan hotel tempat penginapan. Beliau datang bersama Ustaz Mazlan menemui kami. Kami mengekori kereta mereka ke Sik Inn, namun Sik Inn telah penuh kerana di tempah semuannya oleh RTM. Namun dengan usaha Ustaz Helmi dan Ustaz Mazlan, mereka dapat sebuah homestay yang berhampiran dengan Pondok Sik untuk kami. Alhamdulillah, sebuah rumah yang elok dan selesa sekali. Alhamdulillah. Setelah membersihkan diri dan bersholat, datang murid Syeikh Husni ketika di Mesir, Ustaz Mohsen bersama rakannya untuk menyertai program ziarah kami. Pada malam tersebut juga setelah sholat ‘Isya`, Ustaz Helmi telah membawa kami menziarahi Syeikh Hasan di Gurun. Rombongan kami 4 buah kereta. Rumah Syeikh Hasan terletak di belakang Masjid Pekan Gurun. Suatu yang mengejutkan bila Syeikh Hasan memberitahu kami bahawa umur beliau 138 tahun. MasyaAllah, masih ada lagi rupanya orang yang berumur sedemikian. Beliau berasal dari Bangkok. Keturunan beliau masih berada di Bangkok dan menguruskan sebuah masjid berusia 400 tahun di Bangkok. Syeikh Hasan bertariqah Syadhuli. Beliau pernah belajar kepada Tuan Guru Haji ‘Abdullah Masri di Pondok Langgar. Kata beliau, 28 tahun memondok di sana. Selain itu Syeikh Hasan juga pernah menjadi Muti di Bangkok. Beliau juga seorang pejunagan kemerdekaan kerana pernah bersama-sama dengan Ahmad Boestamam. Pertemuan kami berakhir jam 12 malam lebih. Walaupun badan letih tapi seronok kerana dapat berjumpa ulama dan ‘orang lama’. Setelah itu kami berangkat pulang ke tempat penginapan. Dalam perjalanan pulang Ustaz Helmi dan krew beliau belanja kami makan di kedai Tomyam. Sedap!!!! Segar sikit badan yang dah mula lesu.

Bersama Syeikh Hasan Bangkok


Jum’at, 16 Disember, berangkat menziarahi Tuan Guru Haji Sholeh bin Musa di Pondok Sik. Kami sampai kira-kira jam 10 pagi. Ketika sampai beliau sedang mengajar di kuliah mingguannya. Kuliah mingguan ini dihadiri lebih dari 1,000 orang. Mushollah beliau penuh sampai melimpah ke luar. Banyak gerai-gerai di jalan masuk dan kawasan sekitar pondok. Kami dibawa terus kerumah tuan guru dan menunggu beliau di sana. Setelah tamat mengajar sessi pertama jam 10.30, Tuan Guru Hj. Sholeh kembali ke rumah. Bertemu dan bersalaman.. Syeikh Husni memulakan majlis dengan menyatakan tujuan beliau berziarah. Syeikh Husni juga meminta Tuan Guru membacakan beberapa hadits musalsal. Selain itu mendapatkan ijazah ‘ammah untuk beliau dan juga kami. Alhamdulillah tuanguru dengan senang hati memberinya. Setelah itu Syeikh Husni diminta oleh Tuan Guru Hj. Sholeh untuk memberi ceramah di madrasah beliau. Selepas berceramah kami di hidangkan makan tengahari di rumah Tuan Guru. 

Bersama Tuan Guru Haji Sholeh bin Musa, Sik






Usai makan kami ke rumah Ustaz Helmi dan selepas itu kami berangkat menuju ke Baling untuk menziarahi Syeikh Thoyyib. Rumah beliau jauh dipenghujung kampung. Syeikh Thoyyib menerima kedatangan kami dengan penuh gembira. Beliau siap menyediakan makanan untuk tetamu. Seperti biasa Syeikh Husni menemuramah beliau untuk mendapatkan biografi hidup beliau. Syeikh Thoyyib tinggal di Makkah dan setiap tahun beliau kembali ke Malaysia dan tinggal di kampungnya 4 bulan atau kurang. Sudah lebih dari 60 tahun beliau tinggal di Makkah. Berumur 90 tahun lebih. Pernah belajar di Pondok Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Merbok. Di Makkah beliau belajar dengan ulama di sana antaranya Syeikh Wan Ismail bin ‘Abdul Qadir al-Fathani @ Pa Da El, Syeikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Mutthalib al-Mandili, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani. Beliau memberitahu bahawa beliau pernah menjadi kerani kepada Syeikh Yasin al-Fadani. Selain itu beliau juga sangat rapat dengan Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili. Saya mengaji dengan Syeikh Qadir sampai dia tak mau mengajar katanya. Kami bertanya mengapa? Beliau menjawab kerana Syeikh ‘Abdul Qadir sakit dan selepasnya beliau meninggal dunia. Selain itu beliau juga ada belajar dengan para masyaikh ternama di Makkah seperti Syeikh Zakaria Bila, Syeikh Hassan Masyhat dan lain-lain. Untuk mengambil berkat, Syeikh Husni membacakan kitab Syamail Muhammadiyyah di hadapan beliau. Beliau duduk iftirasy dan tawadhu sekali tatkala hadits-hadits di bacakan padanya. Setelah itu beliau dengan besar hati memberi ijazah ‘ammah kepada kami yang menziarahinya. Kelihatan beliau begitu ceria dan suka sekali dengan Syeikh Husni. Saling mendoakan. Oleh kerana waktu Jum’at dah hampir, kami membawa Syeikh Thoyyib ke masjid menunaikan sholat Jum’at di masjid yang berdekatan dengan kediaman beliau. Dan selepas sholat kami mengambil peluang berbai’ah tabarruk dengan beliau. Kemudian kami kembali ke rumah beliau dan berbual beberapa ketika. Oleh kerana kami merancang untuk meneruskan ziarah ulama, maka kami meminta izin untuk berundur. Beliau menghantar kami ke kereta dan berdoa untuk kami. Alhamdulillah, beberapa kali mendapat doa dari ‘arifbillah.

Bersama Syeikh Thoyyib al-Makki di Baling


Syeikh Husni membaca kitab Syamail dihadapan Syeikh Thoyyib al-Makki







Perjalanan kami seterusnya ke Derga, Alor Setar, menziarahi Tuan Haji Hamid bin ‘Abdurrahman al-Jarumi. Rumah beliau bersebelahan dengan Masjid al-Irfan, Derga. Beliau adalah merupakan imam dan khatib di masjid tersebut. Beliau kini sedikit uzur dan masih menggunakan ‘wheel chair’. Tuan Haji Hamid bin ‘Abdurrahman al-Jarumi adalah adik kepada al-Marhun Tuan Guru Haji Tujuddin bin Haji ‘Abdurrahman al-Jarumi, Mufti Kedah dan pengasas Pondok Melele di Kedah. Asal keturunan mereka adalah dari Hadramaut. Begitulah yang diberitahu oleh Tuan Haji Hamid bin ‘Abdurrahman al-Jarumi. Berumur 80an. Dari perwatakannya, kelihatan bahawa beliau seorang yang tegas. Beliau fasih berbahasa ‘arab. Sewaktu diwawancara oleh Syeikh Husni, beliau bertutur di dalam bahasa ‘arab sepenuhnya. Menuntut di Makkah, dan pernah menjadi khadam kepada Syeikh Hasan al-Yamani. Berguru dengan ramai para masyaikh di Makkah. Setelah selesai wawancara, Syeikh Husni membacakan kitab al-Minhatul Khairiyyah fi Arbain Haditsan min Ahaadits Khair al-Bariyyah karangan al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Muhammad Mahfuz bin ‘Abdullah al-Termasi al-Jawi. Beliau senang sekali ketika dibacakan hadits dan setelahnya beliau menutupnya dengan doa. Setelah itu beliau telah memberikan ijazah ‘ammah kepada kami. Pertemuan kami dengan beliau berakhir sebelum masuknya waktu Maghrib. 

Bersama Syeikh 'Abdul Hamid bin 'Abdurrahman al-Jarumi di Derga, Alor Setar
 



Kami seterusnya bertolak kembali ke KL. Tidak sempat lagi menziarahi ulama lain memandangkan pada keesokkan harinya Syeikh Husni akan berangkat kembali ke Mesir. Sampai di KL lewat malam. Al-fagir ingin mengucapkan jutaan terimakasih kepada saudara al-fagir yang dikasihi, Ustaz Helmi dan Ustaz Mazlan di atas khidmat mereka kepada kami. Semoga Allah memberi balasan yang berlipat ganda di atas masa, wang ringgit dan lain-lain yang telah kalian korbankan semasa kami di sana.

Dek kerana keletihan, maka tiada pengajian. Keesokkan paginya, kami menyambung pengajian dengan membaca kitab Syamail Muhammadiyyah dan mengkhatamnya. Alhamdulillah, 3 kitab dapat dikhatamkan bersama Syeikh Husni, Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, Umdatul Ahkam min Kalam Khairil Anam صلى الله عليه وآله وسلم dan Syamail Muhammadiyyah. Cadangan awal al-fagir adalah untuk minta Syeikh Husni bacakan kitab Muwattho, Manhaj Dzawin Nadzor dan Tadrib ar-Rawi, namun masa yang singkat tidak mengizinkan. InsyaAllah, semoga kedatangan Syeikh Husni pada bulan Mac ini semua kitab tersebut dapat di khatamkan. InsyaAllah akan al-fagir tulis biografi lengkap setiap ulama yang diziarahi di blog kenali ulama.

sekian dari,  
al-fagir ilaLlah abu zahrah
taman seri gombak
jumaat, 12 shafar 1433/6 januari 2012
setelah kembali dari majlis maulid di madraras tazkiyyah

0 komen:

Related Posts with Thumbnails