Jumaat, 20 Januari 2012

Berdiri Tatkala Mendengar Kisah Diperanakkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم


Gambar Kerdit: Majlis Ta'lim Darul Murtadza
Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan رحمه الله تعالى, menyebut di dalam risalah berjudul Mustika ‘Ajaaib: “Dan telah berkata Syaikhul Islam bagi kerajaan Biladullah al-Haram Makkah al-Musyarrafah, al-‘Arif bi Rabbihi al-Mannan, as-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan رحمه الله تعالى dalam kitabnya yang bernama as-Sirah an-Nabawiyyah: Bahawa(sanya) telah berlaku adat manusia apabila mendengar mereka itu pada menyebut diperanak akan Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, berdiri mereka itu kerana membesar dan menghormat akan dia. Dan berdiri ini mustahsan ( dituntut baik) kerana barang yang ada padanya daripada membesar dan menghormatkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan telah memperbuat akan yang demikian itu beberapa banyak ulama`-ulama` yang diikut akan dia.

Dan telah berkata al-Halabi dalam as-Sirah: Maka telah menghikayat oleh setengah mereka itu bahwasanya al-Imam as-Subki telah berkumpul di sisinya beberapa banyak daripada ulama`-ulama` yang ada pada masanya kerana khatam membaca kitab, maka berqasidahlah oleh Abu Zakariyya Yahya ash-Sharshari al-Hanbali رحمه الله تعالى pada setengah qasidahnya dalam perkara memuji akan Nabi r, demikan bunyinya:
قَليلٌ لِمَدْحِ المُصْطَفَى الخَطُّ بِالذَّهَبِ – عَلَى وَرَقٍ مِنْ خَطِّ أَحْسَنِ مَنْ كَتَبْ
وَأَنْ تَنْهَضَ الأَشْرَافُ عِنْدَ سَمَاعِهِ – قِيَامًا صُفُوْفًا أَوْ جُثِيًّا عَلَى الرُّكّبْ
أَمَا اللهُ تَعْظِيْمًا لَهُ كَتَبَ اسْمُهُ – عَلَى عَرْشِهِ يَا رُتْبَةً سَمَتَ الرُّتَبْ
Semolek-molek tulisan orang yang menulisnya dengan dakwat emas, di atas kertas perak kerana memuji akan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, itupun sedikit benar pujiannya
Dan bangun orang-orang yang mulia hal keadaannya berdiri berbaris atau berteleku di atas lutut-lututnya pada ketika mendengar akan kisah diperanakkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, itupun sedikit juga kehormatannya (penghormatannya)
Apa tidakkah Allah Ta’ala menulis akan namanya صلى الله عليه وآله وسلم atas ‘arasyNya kerana membesarkan bagi Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, ya (wahai) martabat setinggi-tinggi martabat.
Dan apakala sampai pada perkataan ash-Sharshari itu “وأن تنهض الأشراف عند سماعه” Imam as-Subki pun bangun berdiri dan sekelian orang-orang yang hadhir dalam masjlis itupun bangun berdiri berbaris kerana bersetuju dan mengesahkan barang yang disebut akan dia oleh ash-Sharshari itu. Maka dengan sebab itu jadilah kesukaan dan kegembiraan yang besar di dalam majlis itu. (Mustika Ajaib Pada Menyatakan Hukum Dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi Kita r halaman 2 -4)
 
 Al-‘Alim Al-‘Allamah Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani رحمه الله تعالى menyebut di dalam kitabnya Haula al-Ihtifaal bi Dhikra al-Maulid an-Nabawi asy-Syarif,: Syeikh Ja’afar al-Barzanji, penyusun kitab maulid al-Barzanji yang terkenal itu ada mengatakan :
وَيَقْوْلُ البَرْزَنْجِيُّ فِيْ مَوْلِدِهِ المَنْثُوْرِ: هَذَا وَقَدِ اسْتَحْسَنَ القِيَامُ عِنْدَ ذِكْرِ مَوْلِدُهُ الشَّرِيْفِ أَئِمَّةٌ ذَوُوْ رِوَايَةٍ وَرَوِيِّةٍ، فَطُوْبَى لِمَنْ كِانَ تَعْظِيْمُهُ صلى الله عليه وآله وسلم غَايَةَ مَرَامِهِ وَمَرْمَاهُ وَنَعْنِى بِالإِسْتِحْسَانِ بِالشَّيْءِ هُنَا كَوْنَهُ جَائِزًا مِنْ حَيْثُ ذَاتُهُ وَأَصْلُهُ وَمَحْمُوْدًا وَمَطْلُوْبًا مِنْ حَيْثُ بَوَاعِثُهُ وَعَوَاقِبُهُ، لاَ بِالمَعْنَى المُصْطَلَحِ عَلَيْهِ فِيْ أُصُوْلِ الفِقْهِ
Ertinya: “Dan berkata Imam al-Barzanji di dalam kitab Maulidnya yang berbentuk prosa: Adalah dipandang baik dikalangan ulama yang mempunyai riwayat dan penelitian, perbuatan berdiri ketika kisah kelahiran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disebutkan. Maka beruntunglah sesiapa yang melakukannya dengan tujuan untuk membesarkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Yang dimaksudkan istihsan (dipandang baik) disini ialah jaiz (boleh), dilihat dari sudut perbuatan itu sendiri serta asal-usul dan dituntut (dianjurkan) berdasarkan aspek tujuan dan kesannya, bukanlah, istihsan itu dengan pengertian menurut isthilah di dalam ushul fiqih.”

Al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-Murabbi al-Habib Zein bin Ibrahim BinSumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته  tatkala menjawab pertanyaan mengenai hukum berdiri dalam perlaksanaan Maulid صلى الله عليه وآله وسلم menjawab:Telah berlaku suatu adat kebiasaan iaitu ada waktu untuk berdiri ketika membaca suatu bacaan dalam pelaksanaan maulid Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, disebabkan adanya rasa gembira dan senang dengan kelahirannya, ulama sepakat bahawa perkara ini adalah perkara yang elok, dan tidak ada yang menyalahi pendapat ini kecuali hanya sedikit sahaja.

Abu ‘Abdullah Abu ‘Abdullah ‘Alawi al-Yamani حفظه الله di dalam kitabnya Intabih Diinuka fi Khatar menyebut: Berdiri ketika mana sampai pada kisah diperanakkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah kerana mengagungkan kedudukan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dalam hati kita. Beliau juga berkata: Ketahuilah bahwa orang yang membaca maulid berada dalam keadaan mengingati sifat-sifat akan akhlak Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , begitu juga ketika berdiri, mereka mengingati saat-saat kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  dan zahirnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di atas mukabumi ini. Mereka berdiri dengan parasaan gembira dengan kezahirannya kerana bahwasanya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjadi sebab umat Islam mendapat hidayah. (halaman 71 dan 72)

Demikianlah sedikit perkongsian al-fagir mengenai masalah berdiri tatkala dibacakan kisah diperanakkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. InsyaAllah, ikuti tulisan seterusnya mengenai orang yang lumpuh kerana tidak mahu berdiri ketika dibacakan kisah diperanakkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bahkan dia membid’ah sesatkan perbuatan tersebut.

sekian dari
al-fagir ila ‘afwi rabbih, abu zahrah al-qadahi
jum’at, 26 safar 1433/20 januari
taman seri gombak

0 komen:

Related Posts with Thumbnails